Apabila anak-anak mendewasa tentu ibu bapa merasa getaran-getaran yang datang melamar keluarga. Sampai masanya anak-anak berumahtangga. Anak perempuan menunggu tangan dihulur. Anak lelaki kenalah menghulur tangan mereka. Kata sepakat bukan susah. Yang meruntun ibu bapa ialah harapannya yang terlalu tinggi. Siapa bakal pasangan anak-anak mereka. Di lereng mana kebahagiaan mereka. Di puncak mana tapak mereka. Bagaimana nanti jatuh dan bangunnya. Pasangan itu kufu atau tidak. Namun pasrah dan doa selalu bertingkah. Manusia tidak selalunya mendapat yang terbaik. Tidak juga yang terburuk. Ketentuan Allah tentulah ada hikmahnya. Allah memberi yang terbaik untuk kita. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Maka anak-anak yang dibelai dan dibesarkan sampai masa mereka untuk dilepaskan. Dari seorang ke seorang yang lain. Selagi mereka masih belum berumahtangga maka tertunggu-tunggulah ibu bapa akan kuda putih datang bertambat. Rajawali datang hinggap. Doa dan harapan yang selalu digarap dalam jaga dan mimpi. Semoga anak-anaknya diambil oleh orang-orang yang cukup mustaidnya.
Menjadi wali hanya sebentar ucapnya. Aku nikahkan dikau dengan ...... . Tamatlah tugas syahdu itu seketika. Anaknya sudah menjadi isteri orang. Sudah menjadi anak orang. Sudah menjadi menantu orang. Bakal menajdi ibu yang didoakan solehah. Lahir darinya cucu-cucu yang juga soleh dan solehah. Menjejak ibu dan bapanya. Menjejak datuk dan neneknya. Menjejak keturunan moyang-moyangnya. Melepaskan anak-anak perempuan bukan sesuatu seperti membuang kertas yang melayang entah ke mana ditiup angin. Sorot kembali surat cinta zaman dahulu. Dilipat rapi. Diwangi harum. Disampaikan dalam sampul yang cantik indahnya. Semerbak bak hati yang kembang gembira. Dubuka dengan debaran. Dibaca berulang kali. Dikucup tanda rindu. Disimpan tanda ingat selalu. Anak-anak seperti warakah yang disimpan rapi dalam ingatan ibu bapa. Dirindui akan untung nasibnya. Kebahagiaannya yang ingin selalu dilihat jelas. Hatinya yang selalu riang ingin selalu digalas mata memandang. Tentu bukan lagi sesuatu yang pasti melainkan ketentuan Allah jua. Apabila anak-anak berumahtangga yang dilepaskan hanya kehadirannya di hadapan mata. Keberadaannya tetap di hati yang sama. Anak tetap dirindui sepanjang masa. Apalagi usia semakin tua. Lanjut menunggu tibanya masa yang menentukan. Apatah lagi mereka yang terlalu lanjut usianya. Jalannya yang sudah berbapah. Duduknya yang sudah tidak boleh tegak lagi. Ingatannya yang sudah samar di kejauhan.
Kuda putih yang datang tentu ada penunggangnya. Rajawali yang hinggap tentu ada gembalanya. Menantu-menantu yang gagah datangnya diletak tinggi dengan harapan menjulang. Membahagiakan anak-anak perempuan yang menjadi isteri mereka. Mengambilalih tanggungjawab memelihara insan wanita yang dimuliakan Allah. Dimuliakan Rasulullah. Membawa mereka ke syurga terindah. Langkah mereka meninggalkan pintu rumah yang dahulunya dia dibesarkan tentu merembaskan airmata. Tentu menggenangkan aliran yang mungkin jatuh dan membasahi pipi. Tentu meruntun hati di dalam. Tentu menjadikan hati sebak kerana dia bukan lagi anak akan selalu bersama. Datangnya hanya seketika. Kekerapannya dilihat kepada jadual keluarganya yang baru dibina. Gerak langkahnya juga tentu tertahan-tahan. Ada tarikan dan dorongan. Antara ibu bapa yang ditinggalkan dan suami yang bakal memberi perlindungan. Kembali kepada fitrah dan tanggungjawab. Ibu bapa hanya mendewasakan. Melengkapkannya untuk peranan yang lain. Suami juga yang akhirnya tempat bernaung. Tempat berteduh. Tempat bermanja dan menumpang kasih. Ke mana lagi tumpah rindu dan sayang jika bukan untuk suami. Kerna itu suaminya adalah sebaik-baik lelaki dan suami. Sebaik-baik pemimpin yang membawanya ke syurga fawana. Pengakhirnya ke syurga hakiki. tempat segala nikmat yang tiada tolok bandingnya. Tempat semadi abadan abada.
Begitu juga harapan tinggi ibu bapa. Jejaka-jejaka pilihan itu memberi yang terbaik kepada isteri-isteri mereka. Hakikatnya Allah menjadikan lelaki memimpin wanita isteri dan anak-anaknya. Menjaga ibu bapanya. Memberi yang terbaik untuk jiran tetangganya. Berkhidmat untuk masyarakatnya. Peranan besar itu perlu dilimpahkan kepada isteri dan keluarganya. Maka ibu bapa besar harapannya kepada mereka. Tempat berteduhnya cukup selesa dan membahagiakan. Sandang pakainya memenuhi status yang dibina. Makan minumnya bukan sahaja mengenyangkan. Bahkan juga berkhasiat. Persekitaran kehidupannya ceria, bersih dan mendamaikan. Jauh dari gangguan yang merungsingkan. Kadang-kadang hidup berkeluarga tidak mungkin statik. Tidak mungkin kekal seperti yang ada. Ada tangga yang perlu didaki. Ada tinggi yang perlu dijejak puncaknya. Ada makan yang lebih baik toyyibanya. Ada pakaian yang lebih selesa di badan. Tetapi ada yang lebih baik dari kesemuanya itu. Akhirnya yang didambakan ialah kesihatan dan kesejahteraan. Dan nilai-nilai kebajikan yang perlu diambilkira. Yang dicari manusia ialah kedamaian selamanya. Hal-hal yang membahagiakan mesti diusahakan. Dicari di mana adanya. Dicapai sepanjang tangan. Digarap setinggi awan.
Lelaki seperlunya memberi yang terbaik untuk pasangannya. Membahagiakan pasangan tentulah secara material dan fizikal. Secara rohani dan emosi. Secara psikologi. Hanya memadankan dua jasad belum cukup tinggi natijahnya. Hanya menserasikan dua jiwa belum cukup memberikan kebahagiaan yang panjang ingatnya. Yang tinggi kasihnya. Yang murni hinggap di sanubari. Fikirkan kenyang dan sihat sejahtera. Gembira dan damai ceria. Dirasa dan dilihat bahagia. Mendamaikan hati. Alangkah indahnya membina baiti jannati. Rumah yang bagaikan syurga. Cukup besarnya. Selesa didiami. Indah hiasannya. Damai di dalamnya. Persekitaran yang hening dan bersih suci di dalamnya. Begitu juga di luarnya. Terhindar dari sebarang pencemaran. Asap dan kotor. Bau dan cemar. Sampah dan buangan. Persekitaran yang cemar memberikan impak yang meragam. Mengesankan kepada janin yang banyak kali tidak menjadi. Anak-anak yang tidak begitu sihatnya. Ada kesan warisan yang tidak menyihatkan. Andainya lelaki menyanyangi isteri dan anak-anaknya contohilah Rasulullah. Kasihnya kepada isteri terlalulah sayangnya. Tanggungjawab disempurnakan tanpa helah. Tanpa berbelahbagi. Bahawa isteri adalah pendamai segala-galanya. Tiada yang melebihinya. Bagi manusia biasa isteri itulah yang sebaiknya. Malang jika lelaki melakukan hal-hal yang memudaratkan isteri dan anak-anaknya secara langsung atau secara tidak langsung. Setiap perlakuan pastinya difikirkan akibat kesannya kepada keluarga. Sebatang rokok memberi kesan besar kepada diri. Seteguk arak memberi kesan besar kepada iman. Hal-hal yang lebih rendah dari harus atau mubah wajib dihindri. Banyakkan yang wajib dan sunat.
Persekitaran selalunya tidak banyak dipedulikan lelaki. Kebersihan yang tidak berapa rapi untuk keluarganya. Pencemaran yang ditokok tambah dengan hal-hal yang tidak diteliti. Membiakkan keturunan yang tinggi mahabbahnya perlu dirancang. Ada amalan yang digariskan agama. Ada panduan yang disaran oleh orang bijak pandai. Seluruh tubuh lelaki adalah janjian kepimpinan kepada orang lain. Dari lelaki dia menjadi suami. Menjadi bapa. Menjadi imam. Di luar sana dia adalah pemimpin yang diharap besar memimpin agamanya. Bangsanya. Negaranya. Keluarganya. Tanggungjawab lelaki yang besar itu bermula dari kepimpinan dalam keluarganya. Memberikan kesejahteraan kepada isteri dan anak-anaknya. Kepada lelaki seperti itulah yang diharapkan oleh ibu bapa apabila anak-anaknya diletakkan di atas kuda putih seorang putra. Diterbangkan di atas sayap tinggi sang rajawali. Alangkah damainya menutup mata tanda puas dalam tidur dan matinya. Dalam jaga yang damai sentiasa.
Wahai lelaki, apabila kamu memilih seseorang sebagai pasanganmu, ingatlah janji yang perlu kau hulurkan. Uraikan segala kemaslahatan yang mendamaikan hati-hati mereka di sekeliling kamu. Padamu digalaskan harapan tinggi menggunung. Di bahumu ada gunung harapan yang besar. Di hatimu ada naluri indah untuk dilebarkan. Ingatlah di sampingmu ada insan yang tinggi nilai kasih sayang yang kau himpunkan. Hidupmu dan matimu mencari redha Allah. kepadaNya nanti mudah kau ungkapkan bahawa tanggungjawabmu telah kau laksanakan dengan sempurna. Semoga kau damai di dunia dan akhirat. Bersamamu keindahan abadi yang nanti berjumpa di syurga. InsyaAllah.