Belajar hingga tinggi-tinggi untuk apa sebenarnya?
Masa yang diambil sangat lama. Kosnya pula tinggi. Belajarnya sulit. Tidak ada
pendidikan yang diperolehi dengan jalan singkat. Cukup hanya mendaftar. Cukup
masa dapat ijazah. Mungkinkah begitu? Tidak ada dan tidak ada. Mungkinkah
ijazah boleh dibeli? Mungkin. Tetapi apabila orang minta pendapat, mampukah yang
punya diri berhujjah. Mampukah memberi fakta. Mampukah membantu menyelesaikan
masalah selari dengan ijazah yang dibeli itu. Mereka yang bertungkus-lumus
belajar bersungguh-sungguh kadang-kadang tidak berupaya menguasai bidang
pengajian mereka. Mana mungkin mereka yang hanya membeli ijazah dapat
menguasainya. Kerana itu belajar adalah suatu keperluan. Menambah ilmu dengan
banyak membaca. Banyak mengulangkaji. Banyak menghafal. Banyak menyoal dan
mencari jawapan. Banyak berdamping dengan guru/pensyarah. Mengecek ilmu mereka.
Mengendeng-ngendeng kelebihan mereka. Mengamati amalan mereka. Barulah ilmu
diperolehi. Susah-payahnya jangan dikira. Rintangan yang banyak diatasi.
Cabarannya dihadapi. Pendidikan di IPT seolah-olah kemuncak segala-galanya
kerana selepas IPT yang menunggu ialah jawatan eksekutif. Pegawai tinggi.
Pendapatannya dikira tinggi. Banyak keistimewaaanya. Tidak akan rugi sesiapa
yang menjadi graduan mana-mana IPT. Sama ada dalam negera atau luar negara.
Jaminan ekonomi itulah yang selalu dikejar
anak muda. The paper chase goes on and on. Menambah pandai menjadi suatu
quest yang tiada tolok bandingnya. Dikejar di Utara atau Selatan. Timur
atau Barat. Di mana-mana sahaja yang menawarkan kebijaksanaan maka akan ada
sahaja yang mengejarnya. Menjadi pandai atau dikatakan pandai menjadi sesuatu
yang lumayan untuk dimiliki. Itulah tanggapan umum bahawa lulusan IPT adalah
golongan intelek. Untuk membuktikannya yang selalunya sukar. Mereka yang sudah
berpengalaman sudah dapat dilihat inteleknya. Mereka yang belum teruji belum
dapat dikesan tahap intelek mereka. Tanyalah semua graduan, jawapannya pasti
sama. Belajar bererti melakukan banyak hal yang berkaitan dengan belajar.
1
Membaca sangat banyak buku rujukan dan bahan-bahan
lain yang berkaitan. Membaca dan membaca tanpa jemu. Mungkin letih tetapi
membaca tetap membaca. Pembacaan itulah yang menambahkan keluasan dan kedalaman
sesuatu pengetahuan dan ilmu atau bidang. Semakin dibaca semakin pula banyak
lorong dan simpang lain yang perlu diteroka. Mengetahui suatu bidang tetapi
tidak mengetahui bidang lain yang berkaitan. Maka untuk maju hendaklah membaca
dan membaca. Penyelidikan demi penyelidikan. Mencari dan terus mencari.
2
Antara jaga dan tidur tentulah jaga lebih besar
nisbahnya. Malam banyak berjaga kerana qiam al-lail dan sesudah itu
mengulangkaji, menyiapkan tugasan, membuat kajian dan berbagai-bagai lagi
aktiviti akademik. Rehat adalah sesuatu yang sangat mahal dan bernilai tinggi.
Sewajarnya rehat bukan pilihan pelajar. Rehat adalah hak eksklusif bagi mereka
yang bekerja. Mereka telah penat belajar dahulunya. Apabila bekerja banyak pula
memerah minda. Tenaga perlu dipulihkan dengan berehat. Tidak kepada pelajar.
Rehat belum waktunya. Bukan waktunya lagi. Anda perlu dera diri anda sendiri
untuk nanti akhirnya berada pada tahap yang anda inginkan. Cuti tiada dalam
senarai keutamaan mereka yang bergelar pelajar.
3
Kuliah, seminar, forum dan kembara akademik adalah
sesuatu yang lumrah. Rutin harian dan mingguan. Melalui kurikulum itulah tugas
utama (core business) anda untuk mendapat manfaat ilmu. Tetapi pembelajaran tidak
formal juga sangat penting supaya ada keselarian dengan kurikulum (formal) anda.
Ditambah lagi dengan pembelajaran informal. Yang datang melalui pancaindera
kita. Didengar dan dilihat terutamanya. Atau deria rasa melalui ilham dan
lintasan pemikiran yang Allah anugerahkan.
4
Masa digunakan sepenuhnya. Dicari masa luang yang ada.
Dirancang supaya ada maktu lain yang menjadi terluang. Masa terus berlalu.
Hanya yang bestari sahaja masanya tetap banyak dan tidak berkuragan. Merancangkan
masa terluang ini istimewa untuk mereka yang bijaksana. Ada sahaja masa terluang yang walaupun
sedikit tetapi bermanfaat. Begitulah ulamak dahulu menghasilkan berjudul-judul
kitab dan berjilid-jilid setiap judul. Senarai kitab mereka terlalu banyak
hingga melebihi usia hidup mereka. Kesemuanya kerana mengguna dan memanfaatkan
masa.
Ijazah yang segulung kecil tidak
memperlihatkan peritnya menjadi seorang pelajar. Seorang pencinta ilmu. Tidurnya
tidak menentu. Tenaganya tidak terbatas. Sihatnya ditagih setiap masa supaya
agenda akademik tidak tergangggu. Berdoa sebanyak-banyaknya supaya Allah
kurniakan terang hati, tajam pemikiran, cepat menangkap dan dapat menganalisis
sesuatu dengan cekap dan berkesan. Zaman menjadi pelajar adalah zaman yang
penuh cabaran. Apabila tamat pembelajaran yang memakan masa antara empat tingga
enam tahun yang tinggal hanyalah kenangan. Bilik kuliah yang usang. Dewan
kuliah yang agam. Pensyarah yang berbagai rupanya. Buku dan kitab yang berbagai
topik. Rakan-rakan yang berpisah akhirnya. Tempat jatuh yang selalu dikenang.
Apabila bekerja dan berkerjaya mengharap imbuhan dan balasan penat lelah
belajar. Sesekali mengimbas kembali imej-imej semasa menjadi pelajar. Selepas
tamat belajar anda akan memasuki alam yang berbeza. Penuh dengan realiti. Bukan
idealisma seperti sewaktu belajar dahulu.
1
Jawatan eksekutif di sektor swasta atau penolong
pengarah di jabatan kerajaan. Guru atau ustaz/ustazah berijazah.
2
Pendapatan penjawat pengurusan dan profesional.
Memulakan jawatan dengan gaji permulaan sekitar RM2,200 + elaun rumah RM700 +
elaun kos sara hidup RM200 = RM3,100. Mungkin kurang mungkin lebih.
3
Apabila dipanggil berceramah layak diberi honorarium
(saguhati) paling rendah RM100 sejam + elaun perjalanan + elaum menginap +
elaun makan. Jika dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur mungkin:
Ceramah 2 jam x RM100 =
RM200
Elaun perjalanan RM0.70 x 500 km = 350
Elaun menginap di hotel = 180
Elaun makan RM 60 x 1 hari
= 60
Jumlah = RM790
Lazimnya penganjur memberi sebanyak
RM1,000 atau RM1,500.
Mengapa banyak? Menghargai susah
payahnya semasa belajar dahulu. Payahnya mencari ilmu. Peritnya zaman menjadi
pelajar. Mereka memberi penghargaan.
4
Apabila naik pangkat elaun memberi ceramah mungkin
meningkat menjadi RM200 sejam. Setelah menjadi pakar elaunnya bertambah menjadi
RM400 sejam. Konsultan di luar pula elaunnya mungkin RM1,000 atau lebih
sejam. Jangan terkejut apabila anda
mengikuti kursus-kursus atau seminar di luar kawasan atau pejabat, anda perlu
membayar antara RM150 hingga RM1,500 seorang bergantung siapa yang menjadi
penceramah atau fasilitatornya. Ada yang sehingga RM2,500 seorang.
5
Jangan terkejut ada penceramah undangan yang bertanya
berapa elaun ceramahnya untuk jangkamasa sejam. Tidak mungkin dari Johor Bahru
ke Kuala Lumpur tidak dibayar elaun. Atau dibayar sekadar RM100 untuk dua jam.
Tiada pula tambahan elaun perjalanan, penginapan dan makan minum. Ingat kembali
bahawa belajar itu susah. Banyak perbelanjaan, tenaga dan wang ringgit yang
telah dihabiskan. Berilah peluang graduan-graduan dan pakar-pakar ini mendapat ganjaran kerana
penat lelah mereka. Untuk menyediakan suatu bahan ceramah umpamanya banyak yang
dirujuk sama ada pengalamannya, ingatannya atau bahan-bahan lain yang
berkaitan.
Zaman remaja dan muda adalah pengalaman yang
tersendiri. Rugilah sesiapa yang tidak melaluinya dengan mendapat manfaat
sebanyak-banyaknya. Kesemua yang menambah pengalaman itu menambah nilai
peribadi. Lebih banyak nilaitambahnya maka lebih menyerlah yang empunya
diri. Semasa menjadi pelajar inilah
anak-anak muda menimba apa sahaja pengalaman yang mungkin. Membaca sebenarnya
menambah fikir. Banyak gagasan yang sebelumnya bertapak di fikiran. Belajar
membuka ruang-ruang baru yang dahulunya terabai. Betapa minda dipenuhi dengan
pemikiran yang bertambah aras tingginya. Belajar membantu kita membuat unjuran
diri. Siapa kita pada suatu ketika pada masa hadapan. Andainya kita berbakat
besar, masa hadapan kita sangat cerah. Banyak peluang untuk memaju dan
mengembangkan diri dalam berbagai aspek.
Semua orang berharap menjadi pandai. Tidak pula ingin memandai-mandai.
Tentulah berbeza antara keduanya. Yang pertama realiti sedangkan yang kedua
hanya lakonan kosong semata-mata. Kita selalu berhadapan dengan kekeliruan
mengenai The learnered myth. Intelek dan kebijaksanaan seharusnya
berpijak di alam nyata. Kadang-kadang kita dilabel tidak bijak dalam sesuatu
perkara hanya kerana kecuaian kita apabila berbicara atau apabila bertindak
melulu. Mereka yang bijaksana selalunya banyak sabarnya. Untuk bercakap sepatah
atau dua perkataan difikirkan dahulu banyak kali. Dipilih dahulu perkataan dan
istilah yang paling sesuai. Ditimbang baik dan buruknya. Positif dan
negatifnya. Ilmu dan kebijaksanaan perlu selari. Kelayakan akademik dan
kebijaksanaan diseimbangkan. Apabila kebijaksanaan terhimpun dalam diri, itulah
masanya untuk terus menimba ilmu. Tawaduhk dan tunduk kepada yang Maha
Mengetahui. Kita hanya diberi sangat dan sangat sedikit akal yang dinamakan
bijaksana. Terlalu sedikit. Manfaatkan sebaik-baiknya. Insyaallah banyak
manfaatnya.