Monday, January 13, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Rehlah Syarie


Mencari yang islamik bukan sesusah mana. Kita sahaja yang tidak mencari jalan keluar. Tidak patuh syariah. Jika produk ada yang perlu patuh syariah. Syarikat juga perlu patuh syariah. Cara hidup kita masih banyak perlu diubah supaya patuh syariah. Malangnya sistem sekular di negara kita terlalu mencengkam sehingga umat Islam tidak lagi mengenal yang mana satu yang hak dan yang mana yang batil. Yang syarie selalu disalah mengerti. Ramai yang berusaha untuk patuh syarie. Dalam majlis walimatulurus umpamanya ada tuan rumah yang berusaha memisahkan antara tetamu lelaki dan tetamu wanita. Malangnya usaha ini selalu tidak dipatuhi oleh tetamu. Apabila datang tetamu berkeluarga mereka beranggapan tidak mengapa. Mereka lupa di meja sebelah adalah mereka yang berlainan gender. Mereka pula bukan mahram. Tuan rumah membuat tindakan yang betul. Tetamu pula lain yang difahaminya. Walau bagaimanapun tuan rumah telah berbuat yang terbaik dapat dilakukannya. Alhamdulillah. Ada usaha ke arah syarie.

Di luar sana masih banyak yang perlu dilakukan. Sewajarnya hal ini dididik dari sekolah kebangsaan lagi. Apabila mereka di sekolah menengah mereka sudah agak terbiasa. Di IPT mereka sudah memahami yang syarie. Kita masih kental dengan fahaman bahawa kanak-kanak tidak mengapa bercampur antara gender. Mereka masih kecil. Kita pula selalu lupa bahawa segala-galanya perlu bermula pada usia kanak-kanak tujuh tahun. Mula bersolat dan mula memulakan kehidupan yang patuh syarie. Ke sekolah berseluar panjang. Tidak bercampur antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Didikan awal inilah yang menentukan pemikiran yang islamik. Semoga apabila membesar minda mereka dapat memisahkan antara yang hak dengan yang batil. Yang islamik dengan yang bukan islamik. Ianya tanggungjawab ibu bapa Islam. Tanggungjawab guru-guru Islam. Tanggungjawab pemimpin Islam. Islam tidak dibina hanya apabila seseorang itu dewasa. Ianya melalui didikan yang prosesnya panjang dan lama. Perlu bimbingan. Perlu pemantauan. Perlu istiqamah.

Begitulah di sesetengah negara pemisahan gender sangat dipatuhi. Baik di rumah atau di luar rumah. Pada hari Selasa 7 Januari 2014 penulis menyertai perkelahan yang dikendalikan oleh Markaz Nil. Ramailah pelajar yang turut serta. Perkelahan itu memudik Sungai Nil. Mudik mengambil masa sejam setengah. Menghilir pulang juga sejam setengah. Peserta kira-kira 60 orang. Mereka dari berbagai negara seperti Turki, Kagarzstan, Qirghistan, Russia, Cina, Afghanistan, Malaysia, USA, dan lain-lain. Saudara seislam. Berbagai rupa tetapi jiwanya Islam. Kesemuanya lelaki. Terdapat du orang perempuan tetapi masih kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun. Begitulah sewajarnya dilakukan. Lelaki dan wanita dipisahkan. Bukan segregasi. Bukan diskriminasi. Mematuhi perintah agama. Yang dilarang dipatuhi. Dingin bulan Januari menggirangkan hati kerana di sepanjang mudik dan hilir itu terlihat berbagai pemandangan yang menyegarkan. Musim dingin di Mesir berbeza dengan musim yang sama di negara lain. Ada pokok yang tidka terjejas dengan suhu sejuk. Ada yang dedaunnya baru hendak gugur. Terlihat dedaun yang mula menguning. Di tanah bertaburan dedaun kering. Tidak secantik musim luruh di USA atau Canada. Namun cukup untuk memahami perubahan suhu dan impaknya kepada kehidupan lain.

Di atas kapal peserta mengikuti aktivi yang disediakan. Tiada nyanyian. Tiada dansa. Tiada muzik. Disediakan soalan-soalan kuiz yang meliputi sejarah Islam, para sahabat, ibadah, al-Quran dan berbagai lagi. Di akhir aktiviti seorang wakil setiap negara memperdengarkan bacaan al-Quran. Syahdu. Peserta yang terakhir dari USA. Dia bertaranum. Aduh. Terkedu sebentar. Andainya aktiviti sebegitu digalakkan di negara kita pastinya ramai anak-anak kita kenal Rasul mereka. Nama-nama malaikat. Sejarah solat. Ulum al-Quran. Sejarah perjalanan agama. Sirah nabi. Dan berbagai lagi aspek yang boleh diperkembangkan. Umpamanya dalam solat apakah perintah menukar qiblat? Tidak ramai anak-anak yang mengetahui bahawa qiblat yang pertama ialah Bait al-Maqdis, di Palestin. Di sebuah bandar purba yang dinamakan al-Quds. Itulah ibu negara Palestin. Bangsa Yahudi menghina umat Islam ketika itu kerana berqiblatkan ke Bait al-Maqdis. Sewaktu wahyu diturunkan mengenai perubahan Qiblat, Rasulallah dan para sahabat berada di Masjid Qiblatain. Masjid dua qiblat. Solat Asar ketika itu. Bergeraklah Rasulallah dan makmumnya ke arah Masjid al-Haram.


Melentur buluh tentu dari rebungnya. Agama diterapkan sejak anak-anak masih sangat kecil. Terbuka menerima pengajaran. Mudah menerima input segar mengenai agama anutannya. Kanak-kanak adalah sumber inspirasi agama. Kepada mereka disandarkan harapan masa hadapan agama. Didiklah mereka secara syarie. Menjaga solat mereka. Menjaga adab mereka. Menjaga akhlak mereka. Kita sudah lama kehilangan jati diri sebagai Muslim berakhlak mulia. Perlu menghormati yang lebih tua. Membantu yang kepayahan dalam banyak hal. Kita yang dewasalah yang merencanakan yang terbaik untuk anak-anak kita. Anak-anak didik kita. Tanggungjawab ini berat tetapi bukan terlalu sukar. Mulakan dari yang mudah. Bukan muzik. Bukan puisi. Bukan nyanyian. Bukan joget. Bukan merebut kerusi. Perkelahan syarie menambahkan tebal iman. Menambahkan sayang kepada agama. Lebih mengenal Allah dan RasulNya.

Gambar-gambar berikut adalah pemandangan di kanan dan kiri Sungai Nil. Termasuk gambar-gambar lain sebelum dan semasa perkelahan.






Antara bangunan lama
































Pulau di tengah sungai






Ladang pisang


















Kuda sedang dimandikan


Masing-masing memperdengarkan bacaan al-Quran






Remang senja




Kapal layar




Memancing


Pokok kobis bersama pokok pisang



Menunggang kaldai di ladang pisang


Pencemaran diesel di Sungai Nil