Mungkinkah hal ini terjadi. Bagaimana manusia tidak punya hati. Mari kita fikirkan sejenak. Cuba rasa. Dengar barangkali. Guna alat pengesan. Sebentar. Ada. Hati kita berada di tempatnya. Benar. Sahih. Di kiri dada kita. Kekal selalu di situ. Tetapi, tetapi hati yang itu adalah fizikalnya. Substancenya. Yang boleh kita lihat. Boleh didengar. Dipegang. Dirasa dengan jari jemari kita. Pernah fikir. Milik siapakah hati itu. Siapa punya. Adakah kita berhak memiliki hati itu. Hanya sekeping. Kecil. Seperti tiada signifikannya pada tubuh. Namun begitu di situlah terhimpunnya seorang insan yang bernama manusia. Tanpa hati itu kita tiada. Tiada bererti kewujudannya. Hadirnya tidak ada yang menanti. Perginya tiada yang menangisi. Bersamanya tiada yang ambil peduli. Fikir lagi sejenak. Fikir dalam-dalam. Milik siapa hati itu. Ada masanya kita tiada berhati perut. Hati kita dicuri orang pada ketika yang lain. Rasanya cuba kita jawab sendiri. Kita hanya membawa hati. Jasad kita hanya tempat tumpangan. Kita hanya memegang amanah menjaga dan memelihara hati kita. Pada hakikatnya hati kita bukan milik kita.
Sewaktu kita menjadi anak hati kita milik ibu bapa kita. Hati ini untuk mereka berdua. Hati kita membahagiakan mereka. Keluarga kita mahukan hati kita. Tidak mungkin ada manusia yang hatinya untuk dirinya seorang. Secara mutlak. Kita serahkan hati kita kepada kedua ibu dan bapa. Anak yang soleh dan solehah tidak pernah memikirkan dirinya lebih utama dari kedua ibu dan bapanya. Segala-galanya untuk mereka. Itulah jalan yang diredhai Allah. Anak yang tinggi martabatnya di sisi Allah. Sedari kecil kita dididik dengan teliti supaya celik adab. Supaya berdisiplin. Membawa obor keluarga. Mewarisia segala kebaikan keluarga. Kita dibesarkan menjadi celik akademik. Pandai urus diri. Berdikari. Mandiri. Kita keluar dari rumah yang merupakan sekolah pertama kita. Langkah kita dari rumah sudah dibekalkan dengan sebahagian dari peranan kita untuk menjdai ahli masyarakat yang berguna. Kita adalah duta keluarga kita. Kita adalah cerminan keluarga kita. Baik kita baiklah tanggapan orang tentang keluarga kita.
Apabila kita bercinta hati kita hilang dari badan. Dicuri orang. Kita pula merelakannya. Tidak pula kita membantah. Atau menolak. Tidak pernah ada orang membuat laporan polis yang hatinya dicuri orang. Bersama sendu diadukan kepada ibu. Kepada bapa. Mungkin kepada abang dan kakak. Hilangnya hati bukan sesuatu yang perlu dirisaukan. Malah diterima berita itu dengan ria. Banyak senyum dari pilu. Yang dicuri hatinya bertambah gembira. Yang mencuri bahagia sama. Keluarga mengira bicara menceriakan keluarga. Ketika hati dicuri orang hati itu tidak pula hilang jauh. Cuma berbunga-bunga. Bergemerlapan. Berbintang-bintang. Semakin pandai pencurinya semakin cantik hati kita jadinya. Semakin besar. Semakin bercabang-cabang bunganya. Pendek kata mereka yang dicuri hatinya adalah orang-orang yang paling gembira berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Dunia ini terlalu lama geraknya. Terlalu luas untk didakap. Semuanya indah belaka.
Apabila berumahtangga hati kita hilang lagi. Sudah milik pasangan kita. Kita tiada hak mutlak ke atas hati kita sendiri. Semua perbuatan dirujuk kepada pasangan. Setiap bicara bersusun bahasa. Setiap gerak berjadual masa. Tidur dan jaga ada masa. Berkerja ada agenda. Santainya ada bicara berdua. Hati di dalam sudah dibahagi-bahagi. Yang tingglpun bukan milik kita. Hanya sedikit untuk diusap-usap selalu. Mengingatkan amanah yang masih banyak tertunda. Ketika itu rumah adalah rumah yang sebenarnya. Bukan lagi semak, sepah dan taburnya. Bukan lagi tinggal dan sepinya. Rumah sudah ada surinya. Maka suri itu selalu dirujuk sukanya. Diambil pandangannya. Ditanya hendaknya. Dilihat kebajikannya. Diimbas bahasa tubuhnya. Dihibur laranya. Ditari gendangnya. Susahnya disambut sandar. Senangnya ditawa senyum. Jauhnya dirindu. Dekatnya disayang. Beratnya diangkat. Ringannya dijinjing. Pasangan di sampig kanan atau kiri adalah temah hidup yang panjang waktunya. Dari dunia hingga ke akhirat.
Apabila kita beranak pinak hati kita hilang semakin jauh. Pasangan sudah mengundur sedikit memberi laluan kepada anak-anak yang bersusun setiap tahun. Hati kita diracik semakin kecil. Tanggungjawab semakin besar. Pendek kata hati yang dulunya satu sudah menjadi unit-unit kecil yang semakin mengecil. Yang dilihat besar hanya salutan pengalaman yang bertambah. Anak-anak adalah permata hati. Hati kita untuk mereka. Kecilnya kita beri sepenuh hati. Besarnya kita perhati. Kita jaga dengan hati-hati. Pergi dan baliknya semua kena hati yang uruskan. Tanpa hati kita, anak-anak kita hilang dari ingatan. Terpinggir dari tanggungjawab. Kerana itu ibu bapa yang hatinya diberikan kepada anak, menjadikan mereka hidup bahagia, yakin diri, stabil dan masa hadapanya seperti terancang. Beranak pinak bukan suatu yang mudah begitu. Perlu ada rencana masa hadapan mereka. Masa yang jauh itu dibahagikan berfasa-fasa supaya setiap satunya dicapai mengikut jadual.
Di kampung atau di taman kita berhati-hati. Rumah kita berjiran dengan tetangga. Hati kita milik mereka juga. Kita kongsi citarasa. Menjaga hak-hak jiran dan berjiran. Susah senang bersama menjaga keakraban. Di kejiranan kita, kita bukan orang asing. Masjid dan surau wajib dijengah. Jiran tetangga wajib dikenal. Mereka perlu dijengah juga. Ambil tahu hal persekitaran kerana kita bersama mereka. Senang dan susuh ada hubungan akrab bersama mereka. Kita tidak boleh memutlakkan hati kita untuk diri kita. Hanya untuk keluarga kita sahaja. Sebahagian besar hati kita milik jiran tetangga. Mereka perlu kelebihan kita. Mereka ingin berkongsi pengalaman kita. Mereka inginkan ilmu yang ada pada kita. Berkongsi hati membuahkan banyak hasil yang berbagai manfaatnya kepada jiran tetangga. Mana mungkin kita hidup tanpa berbaik dengan jiran tetangga. Berbanding dengan saudara mara, jiran tetangga lebih utama kerana mereka lebih dekat. Libih dulu datangnya. Lebih pantas bantunya.
Apabila kita bekerja hati kita untuk kerjaya. Untuk rakan sekerja. Tentunya juga untuk ketua yang menjaga. Kesemua tanggungjawab dilaksana mengikut jadual. Masa dan hari dijaga serapi mungkin. Jadual yang perlu disempurnakan. Hari-hari kita bukan sepi. Ada sahaja arahan dan rutin yang pasti beres pada masanya. Rantaian tugasan organisasi bergantung kepad kita. Kita menjadi rantaia penting tidak boleh putus. Mana-mana bahagian yang putus memungkinkan orang lain tersadai. Banyak kerja lain tersesak dalam prosesnya. Sebab itu hati kita bukan milik kita lagi. Ianya untuk kerjaya yang menjadi pilijan kita. Mungkin kerjaya yang dijodohkan untuk kita. Tanpa hati kerja kita tiada kualitinya. Kuantitinya juga terlalu sedikit. Apabila hati diberikan kepada kerjaya barulah produktiviti meningkat. Kualitinya terjamin. Bekerja sewajarnya kerana Allah. Hasilnya ialah untuk nagara. Untuk keluarga. Pekerja yang berkerjaya menggandakan usaha kerana ada matlamat jelas yang perlu dicapai pada fasa-fasa kehidupan. Maka kerana itu keikhlasan bekerja perlu ditanam bertunjang di hati kita.
Apabila kita naik pangkat hati kita lebih jauh hilangnya. Semakin sayup meninggalkan yang lama dan biasa-biasa. Kita tinggalkan rakan-rakan kerana tempat kita lebih tinggi di atas. Tugas dan tanggungjawab memimbun untuk disempurnakan. Hati kita semakin jauh. Milik kita tinggal terlalu sedikit. Malah hati kita sudah sukar disapa isteri. Anak-anak ruangnya semakin samar-samar. Pangkat dan kedudukan kadang-kadang menukar hati. Dari lembut menjadi kasar. Dari kecil menjadi besar. Dari kosong menjadi berisi dengan penuh pengalaman. Masa mematangkan diri. Tugas memperkayakan diri. Kepelbagaian tugas memperkayakan pengalaman yang dulunya terlalu sempit. Kita mula melihat ruang-ruang untuk berlegar. Membawa arah yang jelas. Memperbetul kedudukan. Membina wawasan yang mengufuk jauhnya. Itulah pangkat dan kedudukan. Perlukan hati kita untuk menjiwainya. Pangkat diterima dengan amanah. Ada pertayaan yang perlu dijawab di hadapan Allah nanti.
Apabila kita menjadi pemimpin hati kita sudah terlalu jauh dari tubuh badan kita. Pemimpin hanyalah jawatan. Kerusi dan meja pinjaman. Bilik pejabat yang orang sewakan. Kita diberi tempoh seketika memanaskan kerusi empuk yang hakikatnya bukan milik kita. Ia milik orang-orang yang berhak ke atasnya. Semua mereka meminjamkannya sebentar untuk kita. Kerusi itu amanah. Amanah besar untuk berbakti dan berjasa. Untuk menyumbang dan bukan untuk mengambil peluang. Apatah lagi untung. Memimpin bukan seperti pemandu. Destinasi pemimpin tiada hadnya. Tiada jangkawaktu yang tertentu. Yang penting ada bakti yang bertambah tingkatnya. Semua yang dipimpin berasa digerakkan ke hadapan. Membesar maju bersama taqwa. Fizikal yang diisi dengan rohani. Negara makmur dengan sentuhan agama. Rakyatnya patuh kepada perintah Allah dan RasulNya. Negara ditadbir bersendikan syariah. Semua pertimbangan hanya untuk Allah. Membina negara yang letaknya di bawah lidungan Allah. Amanah dan keadilan sentiasa dijulang. Nasihat dan meminta nasihat diberi nafas yang positif. Amamar maaruf dan nahi mungkar. Ingatlah nanti perlu dijawab. Adakah kita pemimpin yang wajar dan adil.
Apabila kita toleh semula ke belakang kita sudah tidak melihat lagi hati kita. Kita mungkin sudah lupa di mana kita tinggalkannya. Kepada siapa kita bahagikannya. Untuk siapa kita hulurkan. Masih bersisakah ianya. Kita jengah ke dalam. Yang kita rasa hanyalah kerangkanya. Tapaknya masih kukuh. Besarnya semakin mengganda. Hebatnya berlapis-lapis. Rupanya hati kita masih ada. Dibahagi tidak terpisah. Diberi bukan tinggal hanya sisanya sahaja. Dicampak kembali juga. Dibuang tetap bersama. Semakin hati itu dimanfaatkan semakin pula terlihat manfaatnya. Semakin banyak bakti dan sumbangan. Semakin sihat tubuh dan semangat. Semakin tinggi harapan. Tiada siapa yang rugi memberi hati. Hati itu bukan milik kita. Semu aorang berhak memiliki hati kita. Hanya hati yang baik terserlah cahayanya. Putihnya. Pancaran cahayanya. Terangnya menerangi. Putihnya memutihi. Terangnya menggemerlapkan orang lain. Tidak semua berkesempatan memiliki hati kita. Namun cukuplah kepada mereka yang sudi dan bersedia. Berkongsi hati rupanya fitrah kita manusia.
Pada fitrahnya hati kita adalah milik kita. Pada hakikat kehidupan hati kita milik orang lain. Kita hilang hak untuk memutlakkannya sebagai milik kita yang tunggal. Kerana itu jagalah hati untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Gilap hati itu supaya sinarnya mnerangi orang lain. Besarkan hati supaya banyak yang sukar nmenjadi senang. Tinggikan hati supaya yang kecil menjadi besar dan menyerlah kepada orang lain. Berikanlah hati kita kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya supaya iany menjadi hati yang mulia. Tulus. Ikhlas. Penuh dengan ihsan. insyaAllah.