Ada orang marasakan perkara makan makan sangat berat. Ada yang lain sangat ringan. Semuanya bergantung kepada prinsip hidup atau falsafah yang hendak diikut. Gaya hidup kadang-kadang berubah kepada yang lebih baik. Lebih senang. Lebih santai. Makan pada konsepnya memenuhkan perut. Apa yang masuk kadang-kadang diambil berat. Namun pada orang lain tiada pertimbangan langsung. Asal masuk. Asal kenyang. Nah! Itu sikap yang merbahaya. Makanan ada yang toyyibah. Ada yang membina tenaga. Ada yang baik untuk merangsang minda. Ada pula yang menjadi tidak baik. Tidak menyumbangkan kepada kesihatan. Hatta tidak baik untuk ibadat. Untuk menjadi Muslim yang baik. Walaupun semua bangsa ada makanan ruji mereka masing-masing ada masanya semua itu hanya psikologi semata-mata. Orang boleh hidup tanpa makanan ruji sahaja. Malah banyak contoh manusia yang makan apa sahaja untuk hidup. Terutama sekali ketika terdesak seperti waktu sesat, sakit yang terlampau atau ketika dipaksa.
Pada saya makan adalah untuk mengenyangkan. Untuk keperluan tubuh badan yang serasi. Untuk tenaga. Untuk kesihatan. Senangnya untuk hidup. survive. Jika kita terlalu terikat dengan makanan ruji kita maka diri kita menjadi terlalu terikat. Semua makanan yang terhidang tidak merangsang selera. Semua yang ada di sekeliling juga menghampakan selera. Tanpa pengalaman yang banyak itulah yang kita tanggap. Yang kita rasa. Yang kita fikirkan. Kita mengikut selera. Mengikut adat. Mengikut kebiasaan. Jika tiada makanan ruji kita anggap bukan makan. Belum makan. Hidup menjadi sukar. Menjadi payah. Bila keadaan berubah kita menjadi resah. Tidak selsesa. Semua menjadi tidak kena. Tentera di hutan makan apa sahaja yang boleh apabila bekalan makanan kehabisan berminggu-minggu lamanya.
Berada di luar negara barangkali dianggap sukar. Sebenarnya di luar negara lebih mudah makannya. Banyak yang boleh dimakan. Ada orang tanya saya, boleh makankah di negara orang. Sedapkah makanan yang ada. Hakikatnya mereka yang keluar negara makan seperti biasa. Cuma perlu diubahsuai menunya. Resepinya. Dalam kebanyakan hal apa yang kita makan sama sahaja. Di negara sendiri atau di negara orang sama sahaja makanan yang mengenyangkan saya. Saya makan nasi kerana beras banyak di negara mana sekalipun. Di Jordan beras seperti biasa dijual di kedai. Orang Jordan sendiri suka makan nasi walaupun roti dianggap makanan ruji mereka. Ayam banyak. Daging lagilah banyak. Ikan beku tidak pernah kehabisan. Dalam keadaan tertentu makan di luar negara lebih sedap. Ada sahaja idea untuk mempelbagaikan makanan yang hendak dimakan.
Kek boleh di masak tanpa ketuhar. Hanya periuk boleh digunakan. Di negara sendiri hal seperti itu tidak pernah terfikir. Bekas minyak menggoreng ikan masin boleh digunakan untuk memasak sayur. Tidak masinkah. Tidak pula. Jika di Malaysia kari ayam lazimnya seketul-ketul di luar negara ayam itu diambil dagingnya sahaja. Dipotong kecil-kecil. Campur kentang, kerot, bunga kobis, bawang, tomato, lada hijau dan rempah. Rasanya lebih enak sebab sedikit. Lagipun jarang jumpa. Malah lebih sedap dari yang di kedai. Atau ayam itu dimasak sup. Daun sup tidak ada tetapi daun seladri (celery) yang besar batangnya di Malaysia di jual di Amman dengan daun-daunnya yang besar dan lebat. Malah daun kobis bunga sangat lazat dibuat sayur. Di Malaysia kita tidak pernah merasa daun-daun yang saya sebut itu. Bunga kobis tanpa daun. Celery tanpa daun. Maka tidak ada susahnya hidup di luar negara.
Ada masanya banyak kejutan berada di luar negara. Kita tidak menjangka makanan kegemaran kita terdapat di kedai atau pasaraya. Kali pertama saya membeli ikan beku ialah ikan sardin dari India. Bila digoreng rupanya ikan jeruk. Masin dan masam. Juling mata saya memakannya. Nasi sepinggan tidak cukup. Di tanahair sepot susu beras tidak habis untuk saya dan isteri. Di Amman kena masak lebih sedikit. Bila makan sedap sahaja. Pukul tiga petang tadi kami makan nasi berlaukkan ikan kering, sayur campur (bunga kobis, kerot, daun bunga kobis, lada hijau) dan pecal timun dan tomato. Macam. Tidakkah berselera makan sebegitu. Jangan risau bila berada di luar negara. Suatu malam isteri saya memasak bihun goreng. Terbeliak mata rakan-rakan yang datang untuk sama-sama tuisyen bahasa Arab pada malam itu. Setelah hampir sebulan di Amman memanglah makanan seperti bihun goreng menjadi sesuatu yang sangat dirindui.
Santan kelapa banyak dijual. Untuk memasak gulai atau kari bukan sesuatu yang sukar. Apatah lagi kurma atau rendang. Rempah memang kami bawa. Tidaklah secukupnya tetapi bolehlah tahan untuk berbulan lamanya. Jika kehabisan bolehlah minta anak-anak poskan apa yang perlu. Buah dan sayur cukup banyak. Beli dan makan apa sahaja jika larat. Segar, baru dan cantik-cantik. Di tanahair kadang-kadang terasa bila membeli minyak zaiton. Di Jordan memang negara yang asli untuk pokok zaiton. Minyaknya dijual di merata-rata tempat. Murah berbanding di Malaysia. Saya kira separuh harga. Orang Jordan sangat menjaga perintah Allah. Barang makanan tidak ada yang bercampur-campur seperti kegemaran pekilang di Malaysia. Minyak zaiton adalah minyak zaiton. Tulen. Dijamin begitu. Makanan di Malaysia banyak yang dicampur-campur. Beras dicampur dengan beras hancur pada kadar kira-kira 5%. Cuba beli beras pulut. Beras yang dicampur sangat banyak. Bila dimasak rasa beras. Bukan pulut.
Setelah berada beberapa kali di luar negara, makan bukan perkara besar. saya boleh makan apa sahaja insyaAllah. Nasi bukan sesuatu yang mesti. Bukan wajib. Apa sahaja makanan yang mengenyangkan sudah memadai. Roti biasa kami makan. Kadang-kadang makan lempeng sahaja. Untuk makluman tepung di Jordan datang dari Amerika. Ceritanya panjang. Itu cerita politik. Saya senyapkan di situ. Tepung gandum di sini sedap dibuat lempeng. Lembut walaupun sudah sejuk seperti ais. Mungkin, ya mungkin tepungnya tulen. Tiada campuran seperti di Malaysia. Roti di Jordan adalah makanan yang paling murah. Malah produk yang paling murah. Yang lain-lain lebih mahal jika dinisbahkan kepada roti. Sekilo roti yang siap dibakar baru kira-kira RM1.50. Mana ada roti semurah itu di Malaysia. Roti canai yang keras itu pun RM1 sekeping.
Beginilah. Di tempat orang semua makanan kita boleh diperolehi. Jika kit arajin menukar selera hidup menjadi lebih mudah. Lidah kita jangan dimanjakan sangat dengan sesuatu hidangan atau makanan. Pelbagaikan untuk mendidik lidah dan perut supaya boleh menerima yang baik semua anugerah Allah. Makanlah asalkan ianya mengenyangkan. Yang penting halal, suci, bersih dan halalan toyyibah.