Ramai antara kita menghadapi dilema sama ada ketika hendak belajar
mengaji al-Quran atau ketika hendak mendalami pengajian al-Quran. Bagi mereka
yang hendak belajar, memulakan langkah pertama dianggap paling susah. Ironis
apabila ramai yang mengaku tidak pandai mengaji tetapi untuk memulakan
pembelajaran al-Quran terus-terusan memberi alasan. Memberi dalih yang
diada-adakan. Apabila dicadangkan untuk belajar, jawapan yang paling stereotaip
ialah malu kerana dirinya tidak pandai mengaji. Malu kerana nanti orang tahu
dirinya tidak pandai mengaji. Tetapi pada hakikatnya orang di sekeliling memang
tahu dirinya tidak pandai mengaji. Sebagai insan bermasyarakat semua orang tahu
siapa kita. Kita banyak mengetahui hal diri orang di sekeliling kita. Berusaha
juga kita menyembunyikan kelemahan dan kekuranag diri kita. Hanya setakat berusaha
yang kita mampu. Diri kita yang sebenarnya diketahui orang juga.
Bagi mereka yang sudah memang giat belajar dan mendalami al-Quran banyak
pengalaman yang sukar dinukilkan. Sukar digambarkan. Sukar diperincikan. Pengalaman
tentulah berbagai antara manis dan pahit. Antara senang dan terhibur. Antara teruja
dan terangsang. Pengalaman berbagai itu menambahkan seri dalam mempelajari
al-Quran.
1
Berusaha mengubah dari
kebiasaan berlahjah Melayu ke lahjah Arab.
2
Belajar dari banyak membuka
mulut dengan lebar ke sekadar mencukupi sahaja.
3
Berusaha dari tercungap-cungap
membajet nafas hingga bernafas pajnag.
4
Berubah dari takut, gugup, gabra, panik ke yakin diri. Dari
suara perlahan sudah berani bersuara kuat.
5
Dari membaca terlalu cermat,
lambat dan kurang bersemangat hingga menjadi tegas, bersemangata dan cebih
cergas.
6
Dari mengaji dengan suara
mendatar sudah pandai pula membuat pitching yang berbagai.
Membaca al-Quran perlukan kecerdasan.
1
Kecerdasan mendengar.
2
Kecerdasan menyebut
huruf-huruf hijaiyyah dan sifat-sifatnya sekali. Serentak.
Kebanyakan huruf Arab bukan asing
dalam bahasa Melayu. Banyak bahasa dan perkataan kita diambil secara langsung
dari bahasa Arab. Bunyinya sahaja kadang-kadang berubah. Maknanya juga diubah
mengikut kesesuaian adat resam dan sistem bunyi bangsa. Contohnya tahta (fathah)
menjadi tahte (taqlil). Maknanya apabila kita mengaji, kita perlu
membuat sedikit penyesuaian (alignment) dari bunyi Melayu ke bunyi Arab. Untuk itu:
1
Penguasaan tentang makhraj
huruf perlu dilakukan bersungguh-sungguh. Difahami dan diingat di mana sesuatu
huruf itu dikeluarkan. Atau di mana tempat keluar huruf yang sebenar. Lazimnya
makhraj huruf dikenalpasti dengan cara mematikan huruf tersebut. Apabila kita matikan
sesuatu huruf, bunyinya dikembalikan ke
makhrajnya. Kita perlu mahir mengesan makhraj dengan sentiasa sedar di mana
lidah kita berada. Di bahagian mana kerongkong kita getaran berlaku. Keadaan bibir
dan gerakan lidah.
2
Sifat huruf berganding dengan
makhraj huruf. Setiap huruf ada sifat-sifatnya yang tersendiri. Ada yang sama
dengan sifat huruf-huruf lain dan ada pula yang tidak ada pada huruf lain. Umpamanya
istitolah, tafasyi dan takrir hanya untuk huruf ﺽ,ﺵ dan ﺭ masing-masing.
Tiga sifat ini istimewa untuk keriga-tiga huruf tersebut.
Mengaji al-Quran perlu dibiasakan setiap mmasa dan setiap hari. Tidak seperti
membaca buku atau kitab lain yang boleh berehat beberapa hari atau beberapa
minggu. Tidak bagi al-Quran. Jika lama tidak mengaji maka lidah akan mengeras. Tidak
jinak dan tidak lunak. Hilang rasa santai dan kelancaran membaca. Untuk itu
al-Quran perlu dibaca dalam kadar selalu. Sebanyak-banyaknya. Atau mengulang-ulang
ayat yang sedikit untuk menghafalnya. Kita kagum dengan Dr Zakir Naik yang
menghafal al-Quran tetapi pada masa yang
sama menghafal berbagai-bagai versi Bible dan kitab-kitab Hindu. Begitu juga
Ahmad Deedat yang sekarang menetap di USA. Banyak Bible yang dihafalnya. Sangat
mudah bagi mereka berdua berdebat dengan penganut Kristian. Malah ramai
sebenarnya orang Kristian yang tidak membaca Bible mereka.
Tidak ada apa susahnya membaca al-Quran. Tidak juga susah
mempelajarinya. Seperti juga dengan hal-hal lain dalam kehidupan kita yang
paling sukar dikawal ialah attitude (sikap). Ramai mungkin antara kita tidak
memiliki aptitude tetapi ianya boleh diubah dengan sabar. Maksudnya tidak
pandai membaca boleh belajar. Berbeza dengan sikap yang sukar dibentuk kerana
ianya berkait dengan kepercayaan (belief), ego, adat resam, keterbukaan dan
kebiasaan diri. Andainya kita boleh mencampakkan sikap buruk atau negatif
jauh-jauh, maka banyak input baru yang lebih segar boleh kita tambahkan dalam
diri kita. Kita lebih terbuka. Lebih mudah menerima yang baru. Bersedia untuk
belajar dan belajar. Sesungguhnya apa yang kita ada sangat sedikit. Terlalu sedikit
untuk dikatakan ada. Jangan sekali-kali:
1
Berpuas hati dengan yang sedikit
jika ianya ilmu. Terlalu sedikit atau terlalu kurang tidak membantu untuk kita berjaya
dalam banyak bidang. Lebih baik mahir dan melebihi daripada orang lain. Banyak manfaatnya.
2
Berasa cukup kerana sudah
terasa banyak. Kesemuanya relatif. Cukup terlalu sedikit berbanding dengan
orang lain. Banyak adalah sedikit kepada orang lain. Dalam keadaan yang relatif
sebegitu adalah lebih baik kita berada pada relatif peringkat tinggi. Peringkat
banyak. Peringkat luas.
3
Selesa dalam kepompong kecil,
lusuh dan jumud. Selesa sewajarnya hanya dalam jangkawaktu yang singkat. Ada unjuran
untuk berganjak ke paradigma lain yang sejajar, lebih jauh atau lebih tinggi.
Apabila kita terlibat dengan al-Quran maka yang sewajarnya kita lakukan
ialah:
1
Menambah lagi aspek lain yang
berkaitan.
2
Melihat dari pandangan sisi
yang lain. Bukan satu sisi sahaja.
3
Hormati pandangan orang lain. Mungkin
banyak yang kita terlepas pandang.
4
Bersahabat dengan mereka yang
berbagai pandangan. Anda akan kaya dengan kepelbagaian pengalaman dan
pengetahuan.
5
Cari ilmu baru yang berkaitan
untuk mengelak dari rasa bosan.
Diam kita biarlah berisi. Gerak kita biarlah untuk memenuhi ruang-ruang
kosong yang perlu kita isi supaya kehidupan kita lebih bermakna. Lebih menyakinkan.
Lebih membahagiakan. Lebih sejahtera sama ada dari segi fizikal, mental atau
emosi.