Menjejak semula
tanah tercinta tentulah banyak berbunga di hati. Meghirup udaranya yang segar.
Memandang kehijauan yang meluas pandang. Tanah datarnya yang terbentang. Melaut
di kejauhan. Bertemu anak cucu menyegarkan. Menyentuh dan mencium darah daging.
Menatap cucu-cucu. Menimang dan memangku mereka. Membuai dan mendodoi.
Mengingat zaman beranak kecil dahulu kala. Mulalah kembali tersibuk ke sana ke
mari. Ada sahaja yang perlu dibuat. Yang perlu diselesaikan. Yang perlu diambil
tahu. Menjadi tanggungjawab untuk merealisasikan kelangsungan kehidupan yang
memang begitu. Yang perlu dibuat. Yang perlu dilaksanakan. Yang perlu ditutup
fail kewujudannya. Siapalah kita tanpa membuat apa-apa yang berguna. Hal-hal
yang memang tugas kita sendiri. Tanpa boleh memindahkannya kepada orang lain. Cumanya yang sangat terasa
ialah kos hidup. Semuanya terasa sangat mahal. Setelah berada di Mesir selama
kira-kira dua bulan nikmat murah sudah tidak terasa lagi di Malaysia.
Nikmat bernegara
bukan hanya merdeka. Nikmat itu perlu disatuni dalam berbagai aspek. Yang
membahagiakan selalunya ialah kehidupan dalam serba serbi kemampuan. Ada dua
hal yang melegakan. Pertama kos hidup yang rendah sementara taraf hidup pula
yang tinggi. Atau keduanya, kos hidup tinggi dalam taraf hidup yang tinggi.
Kedua-duanya bersandarkan kepada pendapatan boleh guna. Bukan pendapatan kasar semata-mata. Becakap
tentang hal-hal yang berkait dengan ekonomi perlukan penelitian minda yang
tajam. Yang dilihat bukan fizikal semata-mata. Kita bercakap tentang nilai
wang. Ianya bukan besar atau kecilnya wang
yang sukar difahami. Sukar juga memahami konsep kuasa beli. Mungkin
perlu bahasa yang mudah. Bahasa yang paling dasar. Andaikan kita selalu mengisi
minyak sebanyak RM20 setiap kali. Sewaktu minyak RON95 berharga RM1.90 dengan
RM20 kita dapat mengisi sebanyak 10.5 liter minyak. Apabila harganya menjadi
RM2.10 kita hanya dapat mengisi sebanyak 9.5 liter. Maksudnya kenaikan 20 sen
sudah mengurangkan sebanyak satu liter. Bagi sebuah motorsikal satu liter boleh
ditunggang sejauh berpuluh kilometer. Mungkin berhari-hari pergi dan balik
kerja.
Jika kita mengisi
minyak sebanyak RM20 setiap hari kita kehilangan satu liter setiap hari. Kita
rugi sebanyak RM2.10 setiap hari. Andaikan ianya berlaku pada hari kerja
sahaja. Kita bekerja lima hari seminggu atau 20 hari sebulan. Dan kira-kira 200
hari setahun. Mudah-mudahan pembaca sudah boleh mencongak. Setahun kita
kehilangan 200 liter. Bermakna sebanyak RM420. Itu belum pergi berkelah. Belum
pergi kenduri kahwin. Belum urusan keluarga. Belum urusan kerja di luar kawasan. Dan perjalanan-perjalanan lain dalam
kehidupan seharian kita. Jika orang membuat kenyataan bahawa 20 sen tidak perlu
dibesar-besarkan orang itu tidak mengiranya dalam jumlah besar. Tidak dikira
dalam jumlah minggu , bulan dan tahun. Dia hanya mengira angka 20 sen
terus-terusan. Yang dilihat hanya 20 sen. Dia tidak melihat kesan pengganda
(multiplier effect). Dia tidak melihat kesan rantaiannya (chain reaction) yang
tidak dapat dinafikan. Jika dikatakan kita semakin miskin takut nanti ramai
yang mencebik.
Kita baru
bincangkan kesan kenaikan minyak hanya 20 sen seliter. Kita sudah rugi
kira-kira RM420. Hanya minyak semata-mata. Apabila harga barang-barang lain
melambung sekitar 10% atau 20% kerugian kita akan berlipat kali ganda. Bukan
RM420 tetapi mungkin beribu-ribu RMnya. Atas alasan apa sekalipun harga
barang-barang akan naik. Sudah mula naikpun. Kepada orang ramai yang difikirkan
hanya 20 sen yang dilihat sangat kecil. Apabila berbelanja baru disedari bahawa
barang yang dapat kita beli semakin kurang berbanding dahulu. Timbangannya
semakin ringan. Kuantitinya semakin kurang. Kualiti mungkin sama. Jika kita
membeli kuih ada dua kemungkinan. Saiznya mungkin semakin kecil atau jika
saiznya sama harganya pula semakin mahal. Sebab itu ahli-ahli ekonomi tidak
bercakap hanya nilai yang dilihat. Sebaliknya dilihat juga nilai rantaianya.
Nilai yang terkait. Nilai yang berganda-ganda kesannya. Tidak semua orang
memahami struktur dan kesan ekonomi. Walau bagaiamanapun cukuplah memahami
bahawa barang yang kita beli dan bawa balik semakin berkurangan atau semakin
mahal.
Pengalaman saya di
negara orang berlainan sekali. Ubi keledek di Kaherah hanya 2.50 junaih
sekilogram. Atau RM1.15 sahaja. Begitu juga cili merah. 2.50 junaih atau
RM1.15. Buah anggur 6.00 junaih atau RM2.70. Di Batu Pahat anggur dijual
sekitar RM25.00 sekilogram. 10 kali ganda harga di Mesir. Di Kaherah. Ubi
keledek di Malaysia RM3.90. Cili merah sekitar RM9.00. Jika harga sebegini
berlaku di Kaherah, huru hara negara. Di Malaysia ramai yang hanya terliur. Di
Mesir makan anggur perkara biasa. Begitu juga di USA. Negara yang disebut land of plenty. Memanglah nilai dollar tiga kali ganda ringgit Malaysia tetapi kos hidup di sana
rendah. Saya telah tinggalkan USA 27 tahun yang lalu. Namun saya rasa buah
anggur di sana sekitar RM3 sahaja. Di Malaysia semua peniaga berlumba-lumba
menaikkan harga barang. Pemerintah pula membiarkan keadaan itu terjadi. Mudah.
Apabila peniaga banyak untung, kerajaan banyak dapat cukai. Siapa sebenarnya
yang membayar cukai itu. Peniaga tidak membayar dari poket mereka sendiri. Yang
mereka bayar kepada kerajaan ialah wang pengguna. Siapa pula pengguna jika
bukan rakyat jelata. Kita semua. Saya, tuan, saudara mara kita, sahabat handai
kita dan jiran-jiran kita. Di negara lain mereka berusaha mengurangkan kos
supaya pengguna menikmati kehidupan yang lebih selesa. Bukan menghimpit rakyat.
Bukan menyesakkan nafas. Bukan menjerut leher dan perut.
Ekonomi di negara
barat adalah laissez-faire. Pasaran yang
menentukannya sendiri. Tetapi, tetapi, tetapi usahawan di sana berusaha
meminimumkan kos. Economic of scale
untuk mengurangkan kos tetap. Fixed costs.
Penjimatan kos dikembalikan kepada pengguna. Maka barang-barang keperluan
harian sangat rendah harganya. Nikmat untuk semua orang. Semua rakyat. Barangan
mewah barulah tinggi harganya. Hanya untuk mereka yang berkemampuan. Rakyat biasa
membeli barangan mewah yang sudah terpakai. Kerajaan menjadi pengadil. Pengawal.
Menaik atau menurunkan harga mengikut
tuntutan ekonomi pada sesuatu ketika. Malang. Kita belajar ekonomi tetapi tidak
mengaplikasikannya untuk faedah ramai. Maslahah
umum tidak diberi perhatian. Terasa benar di negara orang banyak murahnya. Terasa
pula di negara sendiri perit kehidupan.
Kepada mereka yang
berpendapatan tinggi kenaikan apa-apa barang tidak pernah membebankan mereka. Pendapatan
mereka ratusan ringgit sebulan. Ada yang berjuta-juta ringgit yang mereka
perolehi. Kenaikan harga tidak menjejaskan kehidupan mereka. Membeli minyak
kepada mereka seperti membeli air mineral. Bagai penjawat awam di peringkat
tinggi atau penjawat politik, membeli minyak bukan hal besar. Mereka mampu. Elaun
bukanan untuk keraian sahaja beribu-ribu ringgat jumlahnya. Mereka tidak terasa
tergigit. Tidak terasa tergigit. Tidak mungkin terhimpit dan sersepit. Mereka harus
memandang ke bawah. Ke lapangan. Tidak semua orang mampu berhadapan dengan
kenaikan harga. Yang belum membeli rumah umpamanya, semakin jauh harapan dan
impian mereka. Bantuan one-off sekali setahun tidka banyak membantu mereka. Yang
lebih baik ialah penurunan harga barang-barang. Mereka menikmati saat-saat
sebegitu. Hal-hal harian. Paling lama cerita minggu. Tidka bulan atau tahun.
Golongan berpendapatan
rendah inilah yang kuat menyokong mana-mana kerajaan di dunia. Sewajarnya mereka
mendapat nikmat itu. Nikmat harga rendah. Kehidupan bertaraf tinggi. Hidup dalam
suasana yang lebih mewah. Banyak pilihan. Beri mereka pilihan.