Sunday, October 10, 2010

Pendidik Dan Yang Dididik

Hari ini bukan sebarang hari. Hari Ahad yang tarikhnya menjajarkan tiga angka 10. Sejarah besar bagi yang kali pertama menggenggam ijajah. Skrol yang dinanti sejak mula melangkah kaki ke universiti ini. Lalu tarikhnya terakam 10.10.10. Hanya sekali dalam satu abad. Setiap 100 tahun. Maknanya hanya segelintir manusia sahaja yang bertuah melaluinya. Itupun tidak semua orang mengerti maksudnya angka itu. Mungkin sekadar angka yang tiada apa-apa erti. Sejarah yang berlalu. Esok lusa sejarah lain yang akan datang. Sejaran hari ini akan menjadi sejarah semalam. Ianya mungkin akan dijengah lagi. Mungkin juga akan berlalu dan dilupakan begitu sahaja. Warisan zaman. Apa lagi jika tidak terakam. Jika tanpa apa-apa rakaman.

Masa itu relatif. Anda berada di Alma Meter ini selama empat tahun sahaja. Ada antara anda yang jalannya pintas sedikit. Dua tahun setengah sahaja. Waktu mula menjejak kaki di UTHM dahulu tentulah destinasi masa itu dirasakan sangat lama. Entahkan sampai entahkan tidak. Apatah lagi UTHM bukan IPT yang ternama. Tidak terpahat tinta seperti IPT lain. Maka masa-masa itu dilalui alah bisa tegal biasa. Terbius dengan karenah kuliah, bengkel, makmal dan aktiviti luar yang datang bertimpa-timpa. Masa seperti tidak mencukupi. Tersangat perlu diperpanjangkan. Semuanya kerana tugas akademik, tugas sosial, tugas kokurikulum dan tugas peribadi yang perlu disempurnakan. Semuanya perlu. Tidak ada suatupun yang perlu diurungkan. Semua permasalahan perlu dirungkai. Perlu selesai. Dateline sentiasa berbaris setiap masa. Setiap apa yang perlu. Ada-ada sahaja yang datang bertimpa-timpa.

Ada mata yang tidak mahu lelap. Ada mata yang tidak boleh dilelapkan. Ada tenaga yang perlu disimpan. Ada tenaga yang perlu digembling. Ada tenaga yang perlu diperah. Letih dan lesu bukan alasan. Penat dan lelah bukan sebab untuk tidak melaksanakan tugas. Malas itu selalu datang. Selalu menduga. Selalu mencengkam bisu. Sakit dan kaku mengenang tanggungjawab. Selalu mencari ruang untuk mengelak. Untuk tidak mencapai sempurna. Untuk selalu melambat-lambatkan. Untuk selalu melengah-lengahkan.

Nun di depan mata wajah-wajah itu menjelma. Wajah-wajah yang diberi amanah. Amanah besar untuk mendidik. Itulah wajah-wajah pendidik yang mendidik. Yang memberi tidak meminta. Yang menambah dan tidak mengurang. Yang memanjang dan tidak memendek. Yang meninggi dan tidak merendah. Yang membesar dan tidak mengecil. Yang mendekat dan tidak menjauh. Yang menyelam dan tidak mahu timbul. Yang merencah dan tidak mahu tawar-tawar.

Wajah-wajah itu menjelma setiap masa. Padanya diberikan harapan. Akan dibangun tekad untuk membuang malas. Untuk membuang culas. Untuk membuang sifat dan sikap menangguh masa. Wajah-wajah itu menggesa kekuatan dalaman. Cabaran demi cabaran yang perlu dirempuh. Diasak. Diterobos. Di sebalik wajah-wajah itu menggamit harapan, kejayaan dan kebahagiaan masa depan.

Wajah-wajah damai yang tenang itu membimbing, mengasuh, mendidik, memimpin, menunjuk jalan, membangun minda dan akal, meluas minda dan pandangan tersirat yang dalam dan luas. Yang merentas minda biasa untuk mencari yang indah dan syumul. Yang selalu banyak doanya agar anak didiknya menjadi manusia. Menjadi pewaris yang menjamin kelangsungan profesionnya. Yang nanti diperpanjangkan amal jariahnya. Yang sahamnya nanti dititip ke akhirat. Dikutip bak mutiara indah.

Kerananya masa-masa yang terluang mesti diguna. Mana ada waktu santai yang manis-manis belaka. Semuanya perlu diambil kesempatan. Diisi untuk memberi erti kepada ruang dan silangan masa. Kesempatan yang tidak mungkin datang semula. Tidak ada kemungkinan kitaran masa itu berulang untuk mengembalikan apa yang telah terlepas pandang. Yang telah terbuang kerana banyaknya ragam watku ianya datang. Alangkah! Aduhai! Indahnya masa yang berlalu itu. Kiranya dapat aku kembali membaiki keadaan. Memperbetul laluan.

Masa terlalu relatif. Lama dan sekejap hanya mainan minda. Mainan perasaan. Lama bagi yang terlalu memikirkannya. Yang mengusutkan diri kerananya. Yang terlalu menanti tanpa mendekat. Yang tercegat tanpa kreativiti dan inovasi. Yang hanya mengira tetapi tidak menjumlah. Yang tidak mengambil iktibar masa-masa yang pasti berlalu. Guna atau tidak ia tetap mengalir pergi kerana padanya tiada siapa yang perlu ditunggu. Ia berjalan mengikut fitrahnya. Berlalu pergi tanpa pamit dan izin.

Empat tahun mungkin lama. Penatnya mengguna masa. Dengan tenaga dan perasaan. Dengan tenaga dan wang ringgit. Dengan tangis dan tawa. Dengan keringat dan air mata. That toil dan soil. Sweat and blood. Semuanya bergabung. Berbaur. Bercampur. Menjadi rencah pengadun kejayaan yang dicita. Yang dari mula diazamkan untuk mencipta keindahan. Nikmat penat dan malas yang telah diganti dengan usaha dan harapan tinggi.

Hari itu yang tarikhnya 10.10.10 semuanya berputar kembali bermain di minda. Segala-galanya yang telah berlalu itu hanya menghasilkan sekeping kertas yang bernama ijazah. Kertas biasa yang tiada bezanya dengan kertas-kertas biasa. Kepingan kertas itu telah memampatkan segala yang diusahakan. Yang telah direncahkan. Yang mengandungi adunan-adunan kejayaan. Padanya kertas yang datar untuk melancarkan harapan alam. Harapan agama. Harapan zaman berzaman. Masa depan yang diidamkan.

Lintasan waktu hanya beberapa saat di atas pentas. Di dewan yang gemerlapan itu. Yang ditonton ribuan mata yang terasa syhdunya. Mata mencari-cari orang tersayang yang bernama ibu dan bapa. Mungkin isteri atau suami. Mungkin tunang atau kekasih. Mencari-cari senyuman indah. Senyum bangga. Senyum puas kerana perjalanan masa yang tamat sudah. Suatu perhentian yang pasti akan bersambung lagi. Destinasi masih banyak di hadapan. Banyak tempat yang perlu disinggahi. Untuk sampai banyak usaha lain yang lebih gigih lagi.

Sebagai pendidik saya sempat melihat kesemuanya. Dari mula anda berada di sini hingga hari ini. Jika dulu datangmu dengan muka mencuka. Masam. Kusai. Penat dari jauh yang banyak kilometernya. Yang merasa penat mendengar dan melihat. Entah apa si tua ini berkata. Entah apa bicaranya. Entah apa celotehnya. Entah apa omelnya. Sesekali ada lawaknya. Ada kecindannya. Ada jenakanya. Ada pula cerita panjang dan pendek yang dikutip entah dari mana.

Diprovokasi pula minda yang selalunya malas untuk menganalisis dan mengolah bicara. Dipaksa pula berhujjah dangkal tanpa makna. Naive yang kerana lama tidak diguna. Hari demi hari yang dilaluinya tidak mengubah fizikal. Tinggi dan besarmu tidak mungkin berubah lagi selepas zaman remajamu berlalu. Besarmu sahaja mungkin berubah kerana makanan yang tidak dijaga piramidnya. Namun dalamanmu berubah. Akalmu semakin panjang. Tajamnya semakin menghiris. Pandanganmu semakin menusuk tajam. Apa yang dilihat bukan sekadar luarannya yang difaham. Kemahiran sintesis dan analisis itu semakin jauh meninggi, mengangkasa. Kepetahan bicara, hujjah dan mengulas terserlah. Akhirnya pasti dinobat graduan berjaya. Sampai saat kita berpisah. Antara yang mendidik dan yang dididik tiba sudah di persimpangan. Aku dengan perjalananku. Kau dengan perjalananmu. Jalanku mungkin sudah terlalu hampir tamatnya. Jalanmu secara fitrahnya masih terlalu ya terlalu panjang. Nanti ada kesempatan akan tetap ku titipkan pesanan satu atau dua. Ini mungkin kali terakhir kita bertemu. Maya ini sahaja jika boleh menghubung lagi. Selamat jalan. Selamat terus ke hadapan dengan penuh harapan. Aku kembalikan kamu kepada orang-orang yang berhak atas dirimu. Kembalilah kepada mereka.

Ungkapkanlah kepada mereka. Azam yang kuat untuk kesejahteraan mereka:

"Untuk ini sumbangsih ku untukmu ibu. Ini untukmu ayah. Ini untuk penat lelahmu. Ini untuk harapanmu yang menggunung. Ini untuk doamu yang tidak pernah putus. Ini aku, ankmu yang kau titipkan di universiti ini bebrapa tahun yang lalu. Hari ini aku kembali kepadamu dengan jaya. Ke dalam dakapanmu. Hanya untuk sementara singgah sebentar. Nanti ada panggilan agama dan nusa. Nanti aku akan pergi lagi dengan bekal yang lebih berani. Di luar sana baktiku dipinta. Jasaku diharap. Juangku digarap. Langkah beraniku ditunggu. "

Katakanlah:

"Doamu masih tetap ku harap. Semangatmu yang mengalir dalam diriku akan ku gilap. Warisan ilmu yang tersemat akan ku sebar luas. InsyaAllah masa tuamu akan ku bela. Akan nanti ku jaga. Akan nanti ku jamin bahagia. Akan nanti tiada cacat cela yang mengganggumu. Akan nanti ibu dan ayah akan menjadi warga emas tempauan. Aku janjikan itu untukmu. Mudah-mudahan harapanmu akan ku balas. Moga-moga Allah memberikanku kekuatan untuk membalas."

"Doalah ibu. Doalah ayah. Aku masih rindukan doamu itu. Aku doakan jua bahawa ibu dan ayah akan bahagia. Akan damai. Akan tenang menghadapi harapan hari tua. Nantinya akan ku sambung warisan ini kepada anak cucumu. Kepada anak-anakku. Kepada keturunan kita. Aku ingin jadikan mereka pewaris hebat yang membina agama. Yang membina bangsanya. Yang membina keturunannya. Yang membina ketamadunan dan kemanusiaannya. Yang nanti dikenang sepanjang zaman. "

Selamat menapak dan nanti berlari. Selamat menghapus segala rintangan yang menghalang. Mudah-mudahan beroleh kesenagan yang membahagaiakan. Mendamaikan. Salam sejahtera selalu. Aku akan setia di sini menunggu waktu. Pasti berlalu seperti masa dulu-dulu.