Monday, August 13, 2012

Panggilan Tugas Yang Tidak Pernah Ditolak


Pada awal tahun  1984 saya mendapat tawaran ke London. Kursus pendek tiga bulan. Meningkatkan profesionalism. Pada petengahan tahun yang sama saya dapat pula anugerah biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana di USA. London 1984. USA 1985. Saya cuba dapatkan kedua-duanya. Tidak boleh. Saya kena terima satu sahaja. Kena agihkan kepada orang lain. Rezeki harimau. Tidak boleh dibolot semua. Menafikan hak orang lain. Maka terbanglah saya ke USA. London tertangguh untuk sementara. Dapat juga dijengah akhirnya. Perjalanan pulang yang melintasi Atlantik. London dihuni sebentar. Melihat segala kerlipan neonnya. Agam bangunannya. Di Barat kebanyakan bangunan tidak banyak bezanya. Yang pasti gah, besar, kukuh, commanding. Ada wariswan budaya yang ampuh. Bukan keuntungan sementara. Nilai senibinanya tidak ada seperti kebanyakan bangunan kita di sini. Tiada tarikan seni. Kosong. Hanya bangunan. Berfungsi sebagai tempat kerja. Elemen lain dari segi estetika diabaikan. Tarikan pelancongan tidak diambilkira. Tidak menjana ekonomi. Itulah yang dilihat di Barat. Bangunan ada nilai estetikanya. Lambang-lambang budaya yang menyerlah.

Saya kira perjalanan ke luar negara cukuplah sekali. USA sudah cukup jauh. Sudah cukup lama. Sudah cukup asam garamnya. Pengalaman yang terlalu mahal untuk diri dan keluarga. Tiada nilai setara yang dapat diungkapkan. Teringat saya sewaktu kerajaan Belgium menawarkan saya biasiswa ke University of Leuven dahulu. Jika pergi tentu pengalaman pertama keluar negara. Ke Eropah. Ke negara  orang putih. Bertahun-tahun saya terimbau tawaran itu. Apakan daya. Saya yang menurut perintah. Penjawat awam yang terikat. Sayapun belum tahu selok belok pentadbiran. Anak kampung yang serba daif. Lulus dari menara gading tetapi tidak banyak yang diketahui. Perintah-Perintah Am kerajaan kosong dari minda saya. Satupun tidak diketahui.  Perancangan Allah tiada siapa yang tahu. Saya ke USA dengan keluarga. Terubat impian lama menjengah dunia.

Tahun 1990 rezeki saya datang lagi. Allah memberikan rezeki nikmat yang berulang-ulang. Saya mendapat tawaran untuk mengikuti kursus pendek selama tiga bulan di Toronto Canada. Kursus Public Relations and Industrial Liaison. Alhamdulillah Canada yang pernah saya jengah pada tahun 1985 rupanya menggamit saya lagi. Kerajaan menghentikan program ke London. Sebagai gantinya Toronto menjadi pilihan. 30 Ogos 1990 saya bertolak ke sana melalui Tokyo, Cleveland dan Toronto. Terbanglah lagi menggapai awan. Di balik dunia sana saya pergi. Tugas negara. Pengalaman peribadi. Excited and elated. Teruja dan sangat gembira. Terbang jauh bukan mudah. Bukan juga murah. Negara melimpahkan rezeki untuk penjawat awamnya. Pengalaman yang nantinya dikongsi dengan rakan sejawat. Dikongsi dengan pelajar. Sekarang saya kongsikan dengan audien saya yang lebih luas.

Dunia ini luas. Allah menunjukkan tanda-tanda kekuasannya. Mata kita yang perlu melihat. Telinga kita yang perlu mendengar. Hidung kita yang perlu menghidu. Perasaan yang perlu menyapa. Menjengah dunia memberikan pengalaman yang mengujakan. Dapat dilihat sosio-budaya-politik sesebuah negara. Berada di negara sendiri kita merasakan kita berada di sebuah negara yang beruntung. Negara bertuah. Kita rasa semuanya ada di sini. Kita masuk bakul sendiri. Hanya apabila kita keluar negar barulah kita melihat dunia yang sebenarnya. Kemudian kita melihat negara kita dari kacamata dunia. Looking from out of the box. Barulah kita dapat menilai negara kita sendiri. Jika kita melihat dengan kacamata orang lain maka terlalu banyak cacat celanya. Jika kita melihat dengan kacamata kita sendiri maka terlalu banyak baiknya. Kita berada di dua dunia yang berbeza.

Kita selalu ingin melihat apa yang hendak kita lihat. Lalu kita buat perbandingan berdasarkan apa yang kita ada. Kita mungkin menolak kelebihan-kelebihan yang ada pada negara orang. Tetapi jika kita buka minda  banyak yang bole dibawa pulang. Cuba menerima input-input baru yang sesuai dengan budaya dan perancangan masa hadapan. Negara yang berbeza memperlihatkan banyak perbezaan antara satu sama lain. Orang Islam, orang Timur dan lebih-lebih lagi orang Melayu memiliki nilai dan akhlak yang tertutup. Namun ianya bukan lapuk. Bukan mengundur ke belakang. Cuma berada di negara orang kita banyak menyerap dan berfalsafah. Iklim banyak mempengaruhi gaya hidup, nirma, nilai dan kepercayaan. Apatah lagi perubahan musim yang banyak mengubah banyak persepsi dan amalan.

Setiap hari ramai pelancong yang berlegar di segenap penjuru dunia. Semakin banyak negara yang dilawati semakin banyak hal-hal yang perlu dinilai. Sikap boleh berubah. Cara berfikir berubah. Begitu juga persepsi dan konsep yang terpahat sejak kecil terungkai untuk menerima sesuatu yang menganjak paradigma. Gaya berfikir meneroka alam. Bukan lagi dalam lingkaran sebuah tempurung. Bagi yang bersedia menerima perubahan sangat mudah. Yang tidak ingin berubah kekal dengan amalan lama yang tidak produktif. Mereka terlalu sayangkan apa yang mereka ada. Mengabaikan peluang untuk memperbaiki diri dan aura diri. Sayang jika 10 jung masuk, anjing tetap bercawat ekor juga. Melihat tetepi tidak nampak. Dilihat tetapi tidak disapa.  Melihat manusia yang berbagai tentu menginsafkan kerana kita berasal dari pasangan yang sama. Adam dan Hawa. Anak cucunya berbagai-bagai. Hitam, putih, kuning, kelabu asap. Janga lupa pula yang sawo matang.

Pengalaman di Canada menambahkan lagi koleksi budaya yang dilihat, dirasa dan dihuni keliling. Ada yang indah dan ada yang biasa-biasa sahaja. Yang pastinya ada kelainan yang sukar digambarkan. Hanya secara peribadi sahaja yang dapat merasakannya. Mata kita mata kita. Telinga kita telinga kita. Mulut kita mulut kita. Persaan kita perasaan kita. Setiap individu memiliki garapan yang berbeza. Maka berbagai-bagai pengalaman yang sangat berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Objek yang sama diceritakan secara berbeza kerana dilihat mengikut persepsi masing-masing. Penilaian masing-masing. Tahap pendidikan yang berbeza juga mempengaruhi kualiti pemukiran yang terjana hasil dari pengalaman itu. Ada orang mengalami yang sedikit tetapi menjana pemikiran yang banyak, berat, besar dan berimpak tinggi. Tidak kurang orang yang banyak pengalaman tetapi untuk dipendam dalam dirinya sahaja. Orang-orang di sekeliling tidak mendapat manfaat darinya.

Jika ada luang waktu kembaralah ke mana-mana sahaja. Lihat tanda-tanda kebesaran Allah. Lain tempat lain padangnya. Lain belalangnya. Kembara memberikan inpur baru untuk kita menghadapi dunia yang sudah terlalu banyak berubah. Pegalaman membina kekuatan AQ –Adversary Quotient. Kesediaan menghadapai apa-apa cabaran, halangan dan kekangan. Yang pentingnya menjadi positif. Selalu berharap yang lebih baik. Minda lebih luas. Hati lebih lapang. Tindakan lebih rasional. Tidak dogmatik mungkin. Dapat mengharmonikan hal-hal yang paradoxical. Pengalaman mengajar. Kita belajar dari pengalaman.