Thursday, March 8, 2012

Gerangan Apakah Orang Tua Kehilangan Seri?

Pokok bermula dari tiada kepada ada. Lazimnya terjadi dari biji benih. Biji benih yang tertimbus dalam tanah mula menjalarkan akarnya. Mencari air dan mineral untuk melestarikan hidupnya. Apabila akar itu menjalar ke bawah barulah tunasnya bermula. Akar itulah yang memulakan kehidupan. Membesar dan menyubur pokok itu. Mendahan dan meranting. Di hujung-hujung ranting itu dedaun menghijau. Musim berganti musim keluarlah bunga yang memutik dan menjadi buah. Manusia dan haiwan menikmati buah itu. Manis dan segar. Nikmat dan lazat. Bukan sekadar keluarga dan saudara mara malah dieksport ke negara yang jauh. Bukan pokok itu sahaja yang hidup bahkan ianya menghidupkan  generasi demi generaasi. Tetapi malangnya yang dilihat ialah buahnya. Itupun yang masak. Yang boleh dimakan. Dihadiahkan kepada orang lain. Dijual. Sumber kemewahan dan keselesaan. Mungkin darinya ekonomi negara berkembang maju.

Semua orang mendongak. Yang dilihat ialah buahnya yang masak. Yang dipandang ialah hasilnya yang menimbunkan untung. Yang dinanti ialah musim buahnya. Lebih ramai orang yang mengira kenyang perutnya. Yang penuh poketnya. Tidak ramai orang yang berhenti sejenak berteduh kerana pohon itu memang rendang. Tidak ramai yang menghirup udara segar yang penuh oksigen kerana itulah kerja pepohon. Tidak ramai yang menunduk sebentar melihat dedaun dan ranting kering yang mereput hancur. Yang menyatu dengan tanah menjadi baja kompos. Yang mebajai tanah perdu pepohon. Meneruskan kesuburan tanah. Meneruskan kehidupan. Meneruskan generasi.  Barangkali tidak ramai yang melihat kehijauan dedaun kerana terlalu lumrahnya. Sementelahan pula dedaun itu jauh di atas. Terlalu tinggi.

Begitulah kitaran hidup pepohon segar bayang rendang berbunga. Berbuah lebat. Memberi nikmat besar kepada manusia di sekelilingnya. Untuk suatu jangkamasa yang lama ianya setia dengan fitrahnya. Namun yang baqa’ hanya Allah. Makhluk seperti pokok tetap akan ada tamat usianya. Sebelumnya, ia pasti menjadi tua. Dedaunnya semakin jarang. Rerantingnya semakin mengering. Dedahannya semakin mengurang ranting. Batangnya semakin dicemari berbagai makhluk perosak. Maka bunga dan putiknya tidak lagi berapa menjadi. Buahnya semakin melawas. Menjarang dan sangat kurang jadinya. Tuanya semakin tua. Kurangnya semakin kurang. Lemahnya semakin lemah. Tinggallah pokok tua itu kering, kurus dan buahnya tidak menjadi. Manusia yang bertukar tawar dan masam. Besar yang bertukar menjadi kecil dan tidak menentu saiz. Masak yang tidak menentu rasa. Hilang seri mudanya. Hilang subur mewah buahnya. Yang tinggl hanyalah sebatang pokok tua. Bukan sahaja dedaunnya yang tidak dilihat orang. Akarnya tidak pernah diimpi lagi wujudnya. Hanya akar dan tunjang terpacak dalam kukuh mengenang kekuatan keturunan dan generasi.

Apalah yang pada pokok tua yang tidak dipandang lagi. Bila menyemak mungkin ditebang. Ditutuh dan dicantas sudah sangat biasa. Ada masa mungkin diracun dan dibakar. Alangkah hidup ini yang seperti tiada adilnya. Tiada sempurnanya. Tiada unggulnya. Masa menentukan perubahan dan pergantian rupa dan keadaan. Sesuatu yang indah tidak pernah kekal lama. Akan sampai masanya tamat suatu episod kehidupan yang tidak dapat ditentukan bentuknya. Mungkin sahaja ada keindahan dalam perjalanan masa yang entah panjanag yang entah singkat. Persekitaran juga memainkan peranan dan memberi sumbangan. Tanpa persekitaran pepohon tidak dapat hidup sendirian. Ia perlukan tanah subur yang dipelihara kesuburannya. Ia perlukan udara dan angin untuk proses pernafasan dan pendebungan. Ia perlukan panas yang pada kitarannya membuahkan hujan. Air yang turun memberi basah. Memberi laluan akar rerambut menjalar. Mengukuhkan bekalan sumber hidup seterusnya. 

Apakah kita dapat mengerti analogi ini? Itulah bak kehidupan seorang manusia. Yang akhirnya tua dan tidak berguna. Janganlah disamakan mereka dengan al-Quran buruk kerana Quran tetap dibaca tulisannya walaupun tua, buruk dan kelam tulisanya. Masih ramai yang menghafal setiap kalimah dan hurufnya. Mata hanya membaca yang tertulis. Mulut masih tetap dapat menghafal yang tersimpan abadi di minda dan hati. Ia mendarah daging. Quran tua  bukan perbandingan untuk orang tua. Malangnya kita terlalu tidak belajar. Bahawa kita kerana ada ayah dan ibu. Ayah dan ibu kita ada sebab ada datuk dan nenek kita. Begitu seterusnya susur galur kita yang terdahulu. Bagaimana kita selalu melupakan akar dan tunjang pokok keluarga. Keturunan kita.  Ramai antara kita melihat ke bawah. Perihatin dengan anak dan cucu. Bukankah kita telah memberi pendidikan. Telah mengasuh dan membimbing. Telah memanusiakan mereka. Telah membolehkan mereka berdikari. Menjadi manusia yang mandiri.

Agama mengajar kita untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa tanpa sempadan. Tanpa had. Tanpa batas waktu. Tanpa ada syarat. Tugasnya berpanjangan tanpa berbelah bagi. Tanpa soal jawab. Tanpa dalih dan alasan. Apabila anak-anak telah mendewasa mereka pula yang mengambil giliran untuk mendongak ke atas. Melihat kembali orang tua yang sudah tua. Yang staminanya sudah lama hanyut. Yang kekuatannya sudah berzaman luntur. Yang tidak lagi ada keupayaan untuk mandiri. Lihatlah mereka yang semakin bergantung harap. Hidup ini penuh dengan syariat. Kita ada panduan agama. Bila ada pilihan, agama hendaklah didahulukan. Syariat diutamakan. Allah Yang Maha Besar. Tiada langsung kompromi yang menjadi saingan. Dosa dan pahala di bawah tapak kaki ibu. Syurga itu bergantung kepada redha ibu dan bapa. Tua, uzur, sakit yang mengharap adalah faktor-faktor yang menyumbang pahala kepada anak. Sumber ganjaran Allah yang tidak terhingga. Ingatlah redha Allah bergantung kepada redha ibu dan bapa. Memanglah anak dan cucu adalah tanggungjawab tetapi yang sangat terhad keutamaannya. Tanggungjawab kepada ibu bapa tiada langsung hadnya. Hinggalah mereka tiada. Sesudahnyapun kita masih ada tanggungjawab jika ingin menjadi anak soleh dan solehah. Doa anak soleh dan solehah yang selalu dinanti ibu dan ayah di alam barzah. Doa yang meringankan di sana. Doa anak soleh dan solehah.

Tangisilah mereka semasa tuanya. Semasa lemahnya. Semasa sakitnya. Semasa terlalu semakin  banyak kekurangannya. Inilah persimpangan suka duka seorang tua. Banyak sangat harapnya. Banyak benar mintanya. Banyak benar melambak bantu peliharanya. Banyak olahnya. Banyak ragamnya. Banyak yang tidak kena dengan rasa dan selesanya. Ketika inilah anak harus sangat bersabar. Tingkatkan kecekalan. Banyak mendengar dan bukan menjawab. Bukan mengkritik. Jauh sekali menghina dan mencerca. Jangan palingkan muka. Jangan jeling. Jangan masam muka. Benar, anak banyak meriahnya. Tetapi anak-anak banyak tanggungjawabnya sendiri. Melebihi tugas yang pernah kita sandang. Tinggallah orang tua yang sudah kehilangan dirinya. Ingatannya. Dengarnya. Sedapnya. Kepalanya sudah tidak berambut. Matanya kabur hanya kelabu. Giginya entah dibuang ke mana. Yang tinggal gusi semata-mata. Lutut bergetar tidak lagi ada diamnya. Tulang temulangnya mereput semua. Ototnya longgar tidak lagi nampak kejap dan gagahnya.

Hilanglah seri seorang manusia. Seorang insan berguna waktu mudanya. Waktu puncak produktivitinya. Sepi tanpa ada yang memandang. Tanpa ada yang bertanya. Tanpa ada yang ingin bersua. Payah hendak ambil tahu. Janganlah jadi pokok  yang besar dan tinggi tetapi hasilnya tidak lagi dapat diharap. Buahnya setakat boleh dimakan tetapi sayangnya sudah hilang nilai komersilnya. Manusia tentu tidak begitu. Tua yang banyak pengalamannya. Yang banyak skillnya. Yang telah merantau jauh. Yang telah merentas zaman berzaman. Malangnya orang kita banyak diam dari bercerita. Memendam dan bukan berkongsi rasa. Masuk ke dalam diri dan tidak membuka ruang untuk berada dalam arus perdana. Alasan sudah tua bukan alasan sebenarnya. Alangkah jika orang tua-tua bukan tua usianya. Yang tua ialah semua yang menyaluti dirinya. Dalam dirinya masih ada anak-anak yang lincah dan nakal keletahnya.

Bagi yang muda, ilmu dan harta selalu beriringan. Akal mestilah selalu dihidupkan dengan berfikir. Dengan mencari ikhtiar. Dengan mencanai otak supaya darinya keluar berbagai idea. Berbagai rancangan dan gagasan. Membina landasan untuk hari tua. Ilmu yang banyak dan berat tidak pernah sia-sia kecuali tidak mahu dimanfaatkan. Daif jika itu terjadi. Jumud benar cara berfikir. Ilmu menjadi pelita menerangi kegelapan. Mencerahkan peribadi. Meluaskan rezeki. Hidup pasti lebih bermakna. Bila tua ada harta sedikit sebanyak untuk menyara hingga usia tiada. Tidak perlu terlalu bergantung kepada orang lain. Hatta tidak lagi perlu menyulitkan anak-anak. Ilmu dan harta insyaAllah beriringan menjaga dan merawat kita pada usia tua.

Kongsikanlah pengalaman. Ada manfaatnya bagi yang muda. Banyak yang dapat dipelajari. Yang ditimba berturutan. Walaupun zamannya bersama tetap ada samanya. Banyak rutin yang diulang-ulang. Mungkin teknologi mengganti atau merubahnya menajdi lebih produktif. Kenapa tiada menulis. Kenapa tiada bercerita. Bersahut-sahutan dari zaman ke zaman. Suara orang tua yang dahulunya muda. Bak perdu pepohon, datangilah ia. Berteduhlah diperdunya. Nanti akan dikibarkan dedaunnya supaya melindungi anak cucu. Tua yang tetap ada manfaatnya. Tolong jangan abaikan yang tua. Dari dia kita datang. Talian darah dari ibu atau bapa mengalir kuat darinya. DNA kita pasti darinya. Lalu jangan lupakan dia. Ziarah dan berkampung selalu. Hatinya berbunga senyum. Banyak tawanya. Lihat makannya bertambah sesenduk dua. Anak cucu menjana selera. Tua-tua yang tegap susur galurnya. Jangan ia bersendirian memendam rasa. Rindunya pada anak-anak tetap tersemat di hatinya. Itu yang selalu hilang dari hadirnya.