Monday, July 14, 2014

Bingkisan Dri Kaherah: Iftar Bersama Duta Besar


TYT Dato Duta sedang menikmati nasi ambeng bersama tetamu yang lain. Selalunya pelajar yang makan berdulang. Alhamdulillah rezeki Ramadhan


Jadualnya agak spontan. Dirancang segera untuk mengadakan iftar bersama keluarga persendirian Malaysia Mesir bersama juga pelajar-pelajar luar negara dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. Sekitar 80 orang telah hadir. TYT  Dato Duta Besar Malaysia Mesir dan Palestin iaitu Dato Ku Jaafar bin Ku Shaari, menjadi tetamu kehormat dalam iftar ini. Agenda yang dibuat secara simple ini dihadiri juga oleh beberapa pegawai dari Kedutaan Malaysia di Kaherah. Meriah seketika imarah 16 di jalan Toha al-Dinari di Hayyi  Sabi’, Kaherah. Jamuannya juga simple. Makan berdulang (ambeng kata orang Jawa). Sunnah sebenarnya. Lauknya juga lebih simple. Kari ayam dan sayur campur. Sementara pencuci mulutnya buah tembikai susu dan anggur serta bubur merah (juga menu orang Jawa rasanya). Alhamdullah TYT Dato Duta tidak terkejut kerana besannya rupanya orang Jawa yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor. Begitulah integrasi sesama etnik Melayu di Malaysia.

Sedikit ucapan balas yang ringkas dan padat. Menggarap pentingnya ilmu yang letaknya di hadapan. Menghindar nafsu dari meguasai diri. Juga menghindari kelayuan diri dari mengoda malas dan culas.


Iftar ini menjadi santai dengan hidangan ala kadar. Pertemuan bersama yang lebih penting. Kata orang tak kenal tentu tak cinta. Bertemu dan bekenalan menjadi resepi penting untuk membina ukhwah. Mungkin ada strategik alliance yang boleh dibina untuk menjana sinergi bersama. Memanfaatkan keberadaan di Bumi Anbia ini. Sesungguhnya sangat ramai bilangannya rakyat Malaysia yang berada dan menghuni di sini. Dari yang berusia belasan tahun hinggalah yang sudah 7-series kata setengah orang. Maksudnya sudah berusia melebihi 70 tahun. Yang berusia 60an agak ramai juga. Taarif keluarga persendirian dimaksudkan kepada keluarga dari kalangan mereka yang sudah bersara. Berada di Bumi Anbia ini kerana berehat sambil menambahkan ilmu. Antaranya belajar Bahasa Arab dan bahasa-bahasa lain seperti Turki serta Inggeris. Yang lain mendalami ilmu dan bacaan al-Quran sama ada bertalaqqi, mempelajari qiraat atau tafsirnya. Kepelbagaian peringkat usia menjadikan rakyat Malaysia yang berada di sini memiliki kerencamannya yang tersendiri.
 
Keluarga Persendirian Malaysia Mesir bukannya ramai sangat. Walau bagaimanapun banyak kelebihannya. Di Hayyi Sabi’ ini terdapat satu-satunya surau Melayu yang mungkin itulah satu-satunya surau Melayu (untuk orang awam) di Kaherah dan Mesir yang diurus oleh keluarga persendirian yang diterajui oleh Tuan Syed Ahmad. Dari surau Melayu di Jalan Toha al-Dinari inilah terpancar berbagai aktiviti sosial dan agama.
1                    Talaqqi al-Quran.
2                    Hafazan al-Quran.
3                    Tuisyen Bahasa Arab.
4                    Agen agihan makanan dalam bulan Ramadhan untuk pelajar-pelajar    
            terutamanya hasil sumbangan dari rakyat Mesir.
5                    Majlis-majlis agama seperti sambutan Maulid al-Rasul dan sebagainya.
6                    InsyaAllah aktivi ibadah qurban.

Pada tahun ini seorang hamba Allah menyumbang sejumlah wang untuk tujuan iftar bersama. Keluarga persendirian menyumbang selebihnya. Mesyuarat ringkas telah diadakan untuk menentukan susunan kerja. Agenda majlis. Menu yang sesuai. Bajet yang berpadanan. Hasilnya terhimpunlah tiga golongan pesertanya. Pegawai-pegawai dari Kedutaan Malaysia dan penglibatan pelajar negara lain. Keduanya wanita iaitu isteri-isteri pegawai dan pelajar-pelajar wanita. Ketiganya pelajar lelaki. Penuh sesak tiga rumah yang bersempadanan iaitu rumah Tuan Syed Ahmad, Tuan Haji Md Yusof Jamar dan Tuan Haji Mejar (B) Ahmad Shahbudin. Berbaloi penat Tuan Syed Ahmad mengangkut dulang dan perkakas yang lain dari berbagai sumber terutamanya dari rumah-rumah negeri di sekitar Hayyi Sabi’. Menjayakan majlis iftar ini menjadi satu kepuasan yang tidak ternilai. Alhamdulillah.

Sebenarnya apapun agenda yang hendak dihasratkan hanya perlu digerakkan dan disegerakkan. Apabila semboyan dibunyikan maka bermulalah segala aktiviti yang perlu disempurnakan. Pembahagian kerja amat perlu. Setiap ahli ada peranan masing-masing. Koordinasi diperlukan. Kesegerakan dan kesegeraan juga diperlukan untuk menjayakan kesemua yang dirancang. Persediaan awal dikira sangat perlu supaya langkah-langkah berikutnya dapat diselaraskan. Majlis yang simple sekalipun perlukan pemantauan yang rapi supaya kesemua yang dihasratkan dapat disempurnakan. Yang tua-tua sebenarnya sudah berkurangan tenaga seperti semasa muda dahulu. Alhamdulillah ada anak-anak muda yang boleh diharap membantu kejayaan majlis yamg dirancang. Seperti biasa apabila terhimpun mereka yang berbagai latarbelakang, ada yang sudah dikenali. Ada yang belum kenal. Pertemuan sebegitu mengeratkan silatuurrahim. Ukhwah Islamiyah yang terbina. Terasa dekat dalam keterasingan di luar negara. Di Bumi Anbia pula.

Tenaga penggerak, AJK iaftar dari Hayyi Sabi'. Mereka dibantu oleh isteri-isteri mereka yang juga AJK sebenarnya. 



Petugas yang menyiapkan hidangan bergambar dengan Dato Duta dan isteri-isteri pegawai kedutaan. 


Keluarga Persendirian Malaysia Mesir amat menghargai kehadiran TYT Dato Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin dan rombongan pegawai-pegawainya. Suatu pengalaman yang berganda indah dan nikmatnya bagi kami kerana dapat meraikan TYT Dato. Berkenal-kenalan dalam satu fasa yang lain. Membina strategic alliance dalam fasa yang lain. Keluarga persendirian yang anggotanya sudah melampaui usia guna profesionalnya masih ingin membantu menyumbang untuk kebaikan agama dan bangsa. Demi negara tercinta. Mudah-mudahan pertemuan singkat ini bukan yang pertama. Bukan juga nanti yang kedua. Yang diharapkan ialah jalinan rantaian dan rangkaian yang berkesinambungan lama untuk sandar menyandarkan harapan membina sesuatu yang jauh manfaatnya di hadapan nanti. InsyaAllah.

Terima kasih kepada AJK yang terlibat. Banyak-banyak daun keladi. InsyaAllah bertemu lagi.