Kekayaan bukan sesuatu yang mutlak. Berubah mengikut
masa dan tempat. Boleh berubah mengikut keadaan. Mungkin kekal dan mungkin
tidak. Boleh ditambah dengan usaha seterusnya tetapi boleh hilang atau merosot
apabila pemegang amanahnya tidak menyempurnakan tanggungjawabnya secara hakiki.
Harta pesaka umpamanya adalah untuk anak-anak dan keturunan mereka. Waris yang
berhak. Paling mudah ialah memfaraidkannya. Ambil bahagian masing-masing.
Berbelanja semahu-mahunnya. Habis dalam masa terdekat. Harta yang mudah
diperolehi tidak diinsafi bahawa suatu masa dahulu harta itu sukar untuk
menghimpunnya. Kadang-kadang bukan sahaja keringat yang tumpah basah tetapi
mengalir darah merah kerana menuntut hak dan warisan. Mereka yang lahir sebelum
merdeka mengerti sangat besarnya perngorbanan mereka yang terdahulu. Ada yang
terpaksa meninggalkan kampung halaman. Ada yang disula hingga akhir hayat. Ada
yang dihukum gantung sampai mati. Demi tanah pesaka.
Harta dan usia seiring. Kanak-kanak tidak menikmati
harta seperti orang dewasa. Orang tua yang sudah hilang daya ingatnya juga
tidak menikmati harta. Orang yang sakit apatah lagi. Begitu juga mereka yang
hilang upaya berfikirnya. Tidak bermakna harta yang banyak di sekelilingnya.
Hendak makan tidak boleh. Menelan makanan belum tentu berupaya. Berapakah usia
yang kita mulai menikmati harta kekayaan? Sewaktu kanak-kanak ketika ibu dan
bapa mereka berkemampuan. Berpangkat besar. Bergaji besar. Banyak harta. Ketika
remaja jika kedua ibu dan bapa sudah memiliki kekayaan. Ada orang mulai
menikmati kekayaan sewaktu usianya 45 tahun. Harta datang melimpah ruah.
Anak-anak kegilaan melihat harta yang banyak. Menggunakannya tanpa istilah
berhemah. Kesemuanya dilakukan semau rasa.
Lupa masa lalu yang tidak ada apa-apa. Pemilik hartanya mungkin si bapa.
Atau si ibu. Berapa lama harta dapat dinikmati hingga akhir hayat. Mungkin 20
tahun. Betapa setelah si ayah meninggal, isteri dan anak-anak berebut harta.
Cerita benar. Kisah benar. Ramai yang keluar masuk mahkamah kerana menuntut hak.
Hak siapa? Hak anak atau hak waris. Atau hak mereka yang benar-benar berhak.
Ramai anak-anak yang menambahkan keberkatan harta
peninggalan keluarga. Harta yang diwarisi barakah sifatnya. Semakin banyak dan
semakin banyak. Tentulah latarbelakangnya halal. Hak yang benar-benar hak.
Pesaka yang sah. Diurus dengan betul. Islamik. Beruntunglah mereka yang
berharta dan banyak bahagian hartanya diinfaqkan untuk agama. Untuk Allah. Balasannya
berlipatkali ganda. Labanya di akhirat. Harta tidak dibawa mati tetapi ganjaran
kerana memiliki dan mempergunakannya ke jalan Allah itulah yang dibawa mati.
Syaratnya kekal sama. Ianya mestilah harta yang hak. Yang halal. Yang sah. Jika
tidak, petakalah yang diterima. Salah kerana tidak sah. Kerana tidak halal.
Kerana bukan hak. Sebab itu memiliki harta adalah mudah jika dibelanjakan di
jalan Allah. Miskin juga senang jika cukup apa yang diperlukan. Bukan perlu
banyak. Tidak juga terlalu sedikit. Muasabah diri bahawa yang kita perlukan
hanya sedikit. Yang selebihnya milik orang lain. Zakat kita. Sedekah kita.
Derma kita. Bantuan kita. Yang ikhlas kita beri. Yang diminta. Yang diharap
dari kita.
Benarlah jika kita keluar dari kerangka agama maka
harta melalaikan. Kita gunakannya ke jalan yang bukan hak. Di luar sana ramai
yang perlu cukup makan. Bukan perlu makanan mewah. Mungkin untuk makan sekali
dalam sehari. Ramai yang perlukan pendidikan tanpa ongkos. Ramai yang perlukan
bantuan kerana ketidakupayaan anggota atau sakit. Anak-anak yatim yang daif dan
melarat. Mualaf yang perlukan tapak untuk mengukuhkan iman. Untuk hidup baru.
Untuk menyegarkan agama. Untuk memakmurkan orang-orang di sekeliling kita. Bahagiakan
sanak saudara kita. Bahagiakan jiran-jiran kita. Bahagiakan sahabat handai
kita. Bahagiakan orang-orang di sekeliling kita. Kebahagiaan bukan untuk
disimpan sendiri. Bukan untuk dinikmati sendiri. Ianya untuk dikongsi. Bahagia
membuatkan ramai yang tersenyum di sekeliling kita. Bukan titisan airmata.
Bukan rayu dan minta. Bukan muram durja menahan rasa hiba.
Andainya kita boleh berfikir sejenak. Hanya sejenak
sahaja. Tidak ada orang yang bahagia tanpa membahagiakan orang-orang di
sekelilingnya. Tidak ada orang yang hanya senyum sendiri. Ketawa sendiri. Seronok
sendiri. Paling kurang ada seorang teman yang berkongsi semua itu. Lebih ramai
lebih baik rupanya. Kerana ini kongsikan apa yang kita ada. Ada harta bayar
zakat. Berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Yang daif. Yang miskin. Beri derma
kerana banyak manfaat kepada mereka yang memintanya. Infaqkan harta kerana
ganjarannya hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tidak ada satupun yang menjadi
hak milik kita seorang secara mutlak. Kesemuanya dikongsi sesama makhluk Allah.
Khususnya ahli keluarga tanggungan kita, jiran tetangga dan saudara mara.
Menimbunkan harta banyak baiknya asalkan digunakan
kerana Allah. Selalu beringat. Beribadat dengan mudah. Bina masjid. Bina sekolah.
Bantu mereka yang ingin melanjutkan pelajaran. Sebaliknya tiada banyak harta
juga baik. Boleh membantu dengan memberi nasihat berguna. Banyak menolong orang
lain. Banyakkan senyum. Banyakkan silaturahim. Dunia ini aman sebenarnya jika
mengikut landasan Islam. Yang kaya harus sedar bahawa kekayaannya datang dari
Allah. Kongsikan kerana Allah. Yang tidak berupaya mengumpul harta hidup secara
Islam. Qanaah. Cukup pada yang ada. Berusaha bersungguh-sungguh supaya Allah
memberi kelebihan. Melebihi kecukupan. Beringat pula bahawa yang kurang
berkemampuan masih boleh berkongsi apa yang ada. Hendak bersedekah jangan
tunggu kaya. Selok poket dan hulur apa yang termampu. Lebihan dari keperluan
biasa-biasa. Lebih besar rasa kepuasannya.
Untuk yang kaya, kekayaannya akan ditinggalkan untuk
difaraidkan kepada waris-warisnya. Yang tidak banyak hartanya pula faraidkan
apa yang ada. Didik anak-anak untuk banyak berdoa. Bersedekah mana yang
termampu. Membantu mereka yang memerlukan sama ada dengan nasihat atau tenaga
atau wang ringgit walaupun tidak seberapa. Mungkin ilmu boleh membantu orang
lain. Ilmu yang bermanfaat. Apa sahaja yang menjadikan orang lain lebih
mengerti dari sebelumnya atau lebih mengerti dari orang lain. Carilah semua
jenis kekayaan untuk ditinggalkan. Beramal untuk dibawa ke alam barzah dan ke
alam akhirat. Mudah-mudahan lebih banyak yang ditinggalkan lebih banyak
manfaatnya. Sebab itu pendidikan kepada anak-anak hendaklah berlandaskan Islam.
Merekalah yang menentukan bahawa harta yang ditinggalkan akan dimanfaatkan. Untuk
manfaat umum. Untuk menambah ganjaran dan pahala. Insyaallah.