Sunday, February 22, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Aktiviti Sosial, Menjaja Nama atau Beramal



Manusia dianggap oleh ahli sosiologi sebagai haiwan sosial. Mereka suka bekelompok bak kata pepatah Inggeris: Birds of the same feather flock together. Mereka yang memiliki aspirasi yang sama bergabung lalu membentuk kumpulan yang berbentuk parti politik atau persatuan atau pertubuhan atau kelab dan sebagainya. Akhirnya ianya dikategorikan kepada dua sahaja iaitu parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan. Non-Governmemt Organisation. (NGO ringkasnya). NGO-NGO ini bergerak mengikut objektif masing-masing. Ada yang berbentuk agama, akademik, ekonomi, sosial, sukan, rekreasi, sejarah, sastera dan seni. Dalam mana-mana organisasi ada ahli yang dominan dan ada ahli yang menumpang hanyut sahaja. Maksudnya tidak aktif langsung. Kadang-kadang ikut serta pun tidak mahu dalam mana-mana aktiviti yang disertai oleh rakan-rakan ahli yang lain. Sekiranya ahli yang doninan berintegriti tinggi maka organisasi itu berjalan di atas landasan yang mewajari objektifnya. Jika tidak organisasi bergerak membawa ahli ke arah yang divergen dari objektif asalnya. Pada akhirnya menyulitkan.

Dalam mana-mana persatuan, kelab atau pertubuhan pengerusi, setiausaha dan bendahari adalah tiga jawatan penting. Letaknya di atas. Pengerusi atau presiden atau yang dipertua sebagai nombor 1, setiausaha nombor 2 dan bendahari nombor 3. Namun begitu kesemua mereka adalah AJK organisasi. AJK biasa yang lain duduk di bawah ketiga-tiga jawatan di atas. AJK biasa tidak boleh memandai-mandai mengatasi mereka. Tidak boleh membuat keputusan yang bukan hasil mesyuarat bersama mereka. Semua AJK tidak boleh membelakangi pengerusi atau setiausaha atau bendahari. Mesyuarat yang menentukan:

1                   Aktiviti yang perlu dijalankan.
2                   Tarikh yang ditentukan.
3                   Masa yang dijadualkan.
4                   Tempat yang dipilih.
5                   AJK yang terlibat.
6                   Bajet yang diperuntukan.
7                   Sumber kewangan.

Dalam mana-mana organisasi, kewangan adalah paling kritikal. Perlu dicari sumbernya. Perlu dibajet penggunaannya. Perlu ditambah dananya. Organisasi yang bukan berbentuk mencari keuntungan hendaklah mengurangkan kos sebanyak mungkin. Pengurusan koperasi umpamanya, tiga jawatan penting iaitu pengerusi, setiausaha dan bendahari diberi elaun bulanan atau elaun menghadiri mesyuarat kerana mereka bekerja untuk menambah keuntungan koperasi itu. Dalam organisasi seperti sastera dan seni umpamanya tidak perlu menuntut elaun hadir mesyuarat atau diberi elaun kerana menghadirinya. Organisasi seperti ini sangat kekurangan dana. Ahli yang ingin aktif adalah kerana rasa tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik untuk persatuannya atau pertubuhannya atau kelabnya. Itu sahaja. Tidak ada faedah peribadi dari segi kewangan. Perlu banyak pengorbanan wang sendiri untuk memberi dan bukan meminta balasan yang tidak mampu diberi oleh orang lain.

AJK pula tidak boleh menggunakan sumber kewangan atau dana yang ada tanpa keputusan mesyuarat. Maksudnya apa-apa yang hendak dilakukan hendaklah dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat AJK.

1                   Apakah aktivitinya.
2                   Bila tarikh akan dilaksanakan.
3                   Waktunya.
4                   Bajetnya dan untuk apa.
5                   Siapa yang akan melakukannya.

Organisasi perlu menolak atau bersetuju dengan cadangan aktiviti. Tidak ada AJK yang seharusnya menyusahkan AJK lain. Andainya AJK lain menolak sesuatu gagasan idea, maka ahli yang  lain perlu patuh kepada keputusan mesyuarat. Selepas tamat mesyuarat:

1                   Semua AJK hendaklah mematuhi keputusan mesyuarat.
2                   Apa yang berlaku dalam mesyuarat tidak boleh diceritakan kepada mereka yang bukan AJK. Yang boleh diceritakan ialah keputusannya sahaja. Itupun dengan penuh berhemah supaya mereka yang bukan AJK tidak menimbulkan apa-apa masalah. Jika AJK menceritakannya di luar mesyuarat perbuatan itu dianggap khianat terhadap ahli mesyuarat yang lain.
3                   Apa-apa keputusan mesyuarat adalah keputusan mesyuarat. Bukan keputusan orang yang bersetuju sahaja. Mereka yang kalah undi atau yang cadangannya ditolak perlu juga menerima keputusan mesyuarat tersebut.
4                   Tidak boleh mengubah keputusan mesyuarat tanpa persetujuan AJK yang lain atau sebelum diadakan mesyuarat khas mengenainya.

Objektif organisasi perlu juga disertai dengan dasar atau polisi. Umpamanya:

1                     Aktiviti yang boleh dilakukan dan yang dilarang.
2                     Perbelanjaan yang boleh dilakukan dan hadnya.
3                     Siapa yang layak mewakili organisasi apabila ada jemputan dari luar.

Aktiviti menjadi nadi organisasi. Tanpa aktiviti organisasi itu mati. Jumud. Statik. Kerana itu perlu dirancang aktiviti tahunan yang dipecahkan kepada aktiviti bulanan dan mingguan. Aktiviti ikut biro-biro yang ada. Mengikut tempat dan masa yang tertentu. Kesemuanya perlu dengan restu mesyuarat AJK. Tidak diubah sehingga melibatkan tambahan kos. Berlaku pembaziran kewangan atau peralatan. Berlaku pergeseran sesama ahli. Mesyuarat menentukan siapa yang menjadi AJK pelaksana. Yang membantu. Yang sama-sama menjayakan sesuatu aktiviti. Ahli-ahli dilibatkan untuk turut sama tanpa kecuali. Dalam hal ini semua alhi dilatih supaya boleh menjalankan sesuatu aktiviti. Mengembangkan bakat masing-masing. Banyak yang perlu dilakukan untuk membantu ahli-ahli. Banyak juga sumbangan ahli yang diperlukan untuk membangunkan organisasi. Antaranya:

1                   Setiap AJK perlu memikirkan aktiviti yang memberi faedah kepada ahli mengikut objektifnya. Organisasi yang berkaitan dengan al-Quran umpamanya perlu merancang untuk memahirkan ahli dalam bidangnya, meluaskan ilmu yang boleh didapati dari luar kawasan. Dari guru-guru lain yang mahir. Yang pakar dalam al-Quran. Menghadiri seminar atau forum mengenai al-Quran. Mendalami tafsirannya. Berdakwah dengan al-Quran. Menggalakkan orang lain mempelajari dan mendalam alp-Quran. Menggalakkan seberapa ramai hafiz dan hafizah. 
2                   Jangan fikirkan aktiviti yang tidak menambah kemahiran atau tidak menambahkan ilmu. Makan-makan hendaklah dikurangkan kerana ianya habis selepas kenyang. Ilmu tidak bertambah.  Pakaian seragam juga tidak menambahkan kehebatan. Malah kadang-kadang menjadi cemar apabila ada ahli yang tidak disenangi oleh ahli masyarakat. Sesiapa sahaja yang dilihat memakai pakaian seragam itu akan terpalit sama. Tidak dihormati orang lain.
3                   Dalam bahasa akademik, aktiviti yang ingin dijalankan adalah aktiviti yang produktif kepada minda dan ilmu, menambah nilai diri dan ilmu, mendatangkan keuntungan dari segi kewangan atau barang.


Persatuan atau yang seumpamanya perlu membina kebijaksanaan dan bukan kedunguan. 

1          Persatuan dan ahli-ahlinya bergerak untuk menjadi bijaksana. 
2          Berfikir pada aras tinggi. 
3          Menjalankan aktiviti yang berimpak tinggi. 


Menjangkau jangka masa panjang dan jauh. Tidak seharusnya berlaku bahawa menjadi AJK hanya pada nama. Hanya menjual nama. Masuk buku tetapi tidak menyumbang. Biar tidak ada nama tetapi menyumbang. Ahli-ahli yang bukan AJK digalakkan menyumbang supaya banyak idea dilahirkan yang akhirnya menjadi aktiviti yang bermanfaat. Kerjasama adalah sangat perlu. Hormat menghormati. Bantu membantu. Patuh mematuhi. Jangan sekali-kali buat hal sendiri. Jangan menimbulkan masalah kepada ahli yang lain. Organisasi akan gagal akhirnya. Sebelum terlibat dengan mana-mana persatuan semak diri sendiri dahulu. Sesuaikah diri itu berada di dalamnya. Jika tidak cari persatuan yang sesuai dengan diri sendiri. Konsep berpersatuan ialah bersama orang lain. Bersosial dan bukan mencari keuntungan diri. Menyumbang dan bukan meminta yang bukan-bukan. Ketepikan kedegilan diri, ego dan hendak menang sahaja. Berilah hak itu kepada orang lain untuk terlibat sama. Insyaallah akan berjaya.