Friday, February 17, 2017

Tinggal Ayah Tinggallah Emak

                 

Sekarang ini menjadi tren bahawa apabila anak-anak menikah maka kedua ibu-bapa mempelai lelaki dan perempuan akan ikut serta. Di rumah pengantin perempuan kedua ibu-bapa mempelai lelaki akan turut serta dan di rumah mempelai lelaki kedua ibu-bapa mempelai perempuan akan juga turut serta. Berbeza pada tahun-tahun 1960an dan 1970an. Ibu-bapa tidak turut serta. Ada wakil ibu-bapa bersama saudara-mara dan sahabat-handai. Pada waktu itu persemendaan tidak begitu terbuka seperti sekarang. Seolah-olahnya ketika itu masih banyak malunya. Masih teragak-agak untuk membuka keterbukaan yang seluas-luasnya. Masih ada reserve dan privacy yang dijaga. Disimpan untuk suatu jangka masa yang tertentu. Zaman berubah dan keadaan berubah. Jalan fikir kita juga berubah jauh. Kita sudah membuka minda seluas-luasnya. Kemesraan antara dua keluarga terbina ketika risikan dibuat. Ketika pertunangan dirasmikan. Bertambahlah ketika pernikahan dilangsungkan. Bertautlah dua keluarga yang bersemenda. Bertambah dan bertambah apabila cucu-cucu bakal memeriahkan suasana.

Dalam perkahwinan, jarak tempat bukan lagi perkiraan penting. Dalam daerah atau luar daerah. Dalam negeri atau luar negeri. Dalam negara atau luar negara. Persemendaan merapatkan jurang keluarga. Jurang kaum. Jurang bangsa. Jurang agama. Jauh hanya beberapa jam. Dengan kenderaan darat dua jam. Dengan perjalanan udara mungkin juga dua jam. Tidak ada perjalanan laut kecuali antara pulau ke pulau. Atau dari pulau ke tanah besar. Atau dari tanah besar ke pulau. Malah pernerbangan yang beberapa jam atau berpuluh jam bukan penghalang perkahwinan antara warga dua negara. Proses kehidupan sudah banyak dipermudahkan. Hanya kestabilan ekonomi keluarga sudah cukup merealisasikan segala impian pasangan dua sejoli untuk hidup bersama. Apabila dua hati sudah tertambat, hanya masa menjadi halangan. Yang lain-lain menghambat kesegeraan bersatunya kedua mereka. Apa lagi yang perlu dinantikan. Jika rasa tanggungjawab sudah redha dipikul maka segeralah menikahnya. Pengubat segala penantian yang menyeksakan.

Begitulah antara Semenanjung dan Sarawak serta Sabah. Antara Johor dan Sarawak. Antara Batu Pahat dan Miri umpamanya. Jarak dua jam penerbangan terlalu singkat. Hanya sebentar belon di atas awan. Baru mendatar sudah mula menurun altitud.  Saudara jauh yang turut serta ingin meraikan sama mempelai semenda mereka. Meraikan saudara semenda mereka. Melihat tempat orang. Menikmati hidangan tempat orang. Bermesra dengan saudara mara yang baru. Begitu yang dirancang. Namun apabila kita merancang, jangan lupa Allah juga merancang. Ketahuilah sesungguhnya perancangan Allah maha sempurna. Dalam kegembiraan menerima menantu ada kesukaran-kesukaran yang harus redha diterima kerana ianya datang dari Allah. Dan sesungguhnya dalam kesusahan itu tetap ada kesenangan yang Allah datangkan. Tentunya dalam spektrum yang berbeza dari pandangan kita manusia biasa. Cuma apabila kita amati, banyak hikmah yang tidak dapat kita ungkapkan. Tidak dapat kita nyata secara spesifik.

Suatu pernikahan lazimnya dinanti penuh debar. Penuh rindu. Mempelai perempuan syahdu menanti bait-bait “Aku terima nikahnya” dari seorang lelaki bernama suami. Orang tercinta yang diharap memberi gamitan kebahagiaan. Mencanai keindahan bersuami-isteri.  Mencambah kasih-sayang. Mengayam rindu-rinduan kasih. Lelaki yang menambat jiwa raga itu telah berada di hadapan mata. Hanya sejarak disapa mesra. Jarak disentuh sayang. Telah sekian dirindui munculnya secara syahdu. Dinanti penuh rembesan air mata. Malamnya diimpikan. Siangnya berbayang-bayang. Hari pernikahan itu hanya detik masa sahaja yang memisahkan. Namun debaran menanti yang singkat itu cukup menggema sanubari. Cukup melelahkan pernafasan. Cukup melonglaikan sendi-sendi sekujur badan. Resah yang meresahkan. Penantian yang cukup menyeksakan. Ya Allah, sabarlah sayang. Detik-detik keramat itu pasti tiba jua. In sya Allah.

Lelaki yang menjadi bakal suami adalah lelaki terbaik yang telah dipilih dari ramai lelaki yang berbaris menawarkan diri. Yang dinilai hati dan budinya. Yang kemunculannya dinantikan bak putera berkuda putih. Pantas menyambar membawa ke daerah cinta yang cahaya benderangnya memukau indah. Ramai lelaki di luar sana namun yang dipilih dia juga. Bukan lelaki lain entah berapa ramainya. Bila hati telah tertawan, tersimpullah ikatan abadi yang ingin terus diabadikan melalui pernikahan syahdu. Di hadapan ayah-ibu tersayang. Bersama sanak-saudara dan sahabat-handai. Mengapa menanti saat “Aku terima nikahnya” sangat mendebarkan? Gundah dan gelana tidak lagi terkira. Semakin masa mendekat semakin pula tambah debarnya. Sesuatu yang ironis. Saat gembira yang sangat-sangat dinantikan dirasa mengharukan. Rupanya penantian yang dahulunya merindukan bertukar menyebakkan hati nurani. Seorang suami yang hadir di hadapan mata menjadi titik tolak bagi mempelai perempuan bergelar isteri. Bakal menjadi ibu. Menjadi suri penuh setia.
  
Masa yang dijanjikan itu tiba jua. Tiba membawa ribuan harapan. Membawa indahnya bercinta yang diabadikan. Yang dijanjikan barakah. Janji yang ingin sampai ke jannah. Bersama kebahagiaan abadi. Tetapi sebagai manusia kita perlu tetap berpijak di bumi nyata. Setiap pasangan kedua ibu-bapa sentiasa berdoa agar anak-anaknya menemui jodoh yang terbaik. Jodoh yang boleh diharap senang dan susahnya. Jodoh yang memberi harapan kepada anak-anaknya. Yang memberi harapan masa hadapan yang gemilang dan cemerlang. Begitu juga harapan anak. Ingin memberikan kebahagiaan kepada kedua ibu-bapa mereka dalam banyak keadaan. Namun begitu kekadang sesuatu kegembiraan bersalut rasa duka nestapa. Ibu-bapa yang sudah berumur mungkin kesihatannya tidak memungkinkan ianya bergembira sepenuhnya. Pancaran kegembiraan hanya terlalu singkat. Khusuanya bagi derita sakitnya melampaui cerita biasa-biasa. Mereka tidak dapat bersama bertandang ke rumah besan. Ke rumah yang menyambut menantu.   

Saat itu seolah-olahnya putus jantung hati. Segala-galanya diserah kepada suami. Dirinya tertanggung oleh suami. Bukan lagi ibu-bapa yang selama ini bersama. Seperti hilang sebentar dari pandangan. Hati menjadi berbelah-bagi. Di hadapan hadir seorang suami bersedia untuk menerima kehadiran seorang isteri. Di belakang dan di samping, ibu-bapa melepaskan seorang anak kesayangan kepada suaminya. Bergerak ke hadapan meninggalkan ibu-bapa. Berundur ke belakang pastinya tidak mungkin. Kehidupan pasti perlu diteruskan. Dibina struktur yang boleh merealisasikan kebahagiaan bersuami isteri. Membina masa hadapan yang diimpikan bersama. Tidak ada siapa yang menghiris bawang. Tidak ada siapa yang menghembus asap ke mata. Tiada abuk hinggap di mata. Mata tetap bergenang dengan mutiaranya. Menitis dan membasahi pipi. Merembas tanpa ada paksaan. Lumrah manusia menangis kerana kegembiraan yang tidak dapat dibendung perasaan. Ia datang bersama sendunya. Tinggal emak, tinggallah ayah.

Pastinya hati seorang ibu tersentuh hiba. Saat melepaskan anak gadianya kepada menantu barunya meruntun jiwanya. Juga menifastasi kegembiraan yang diterjemahkan bersama air mata. Itulah paradoks hati manusia. Tangis antonim dengan tawa ria. Namun dalam saat terlalu gembira tangis dan sendu terpapar pada wajah. Anak yang dibelai dari rahim, kanak-kanak, remaja dan dewasa, dilepaskan juga mengikut fitrahnya. Anak gadis itu perlukan suami. Menjadi menantu terbaik untuk keluarga. Ia bukan suatu percaturan. Bahkan suatu perancangan sunnah Allah untuk lelaki dan perempuan pilihan masing-masing. Direncanakan menuju jannah yang penuh nikmat. Suatu perjalanan bersuami-isteri yang banyak likunya. Perlu banyak sabarnya. Perlu banyak perencanaannya. Lazimnya doa dari  kedua ibu-bapa menjadi bekal terbaik. Diharap dengan penuh doa bahawa alunan ombak bukan badai, bahkan alunan yang menghempas pantai kebahagiaan yang natijahnya impian indah belaka. Perbezaan tetap berlaku tetapi carilah persamaan. Kembangkan nilai persamaan. Beri nalai tambah yang bererti dan berharga.


Lelaki yang menjadi suami, ketahuilah bahawa ketika kau bergembira menerima hadirnya seorang isteri, dia, isterimu sedang berperang dengan perasaannya. Ketahuilah ia bakal terpisah dengan kedua ibu-bapanya. Dua orang yang sejak sekian lama sentiasa bersama. Kehadiranmu mengubah segala persepsi diri. Oleh itu bantulah ia untuk meninggalkan keluarganya dengan penuh tertib. Penuh berhati-hati. Hanya dengan bersamamu sahaja dia merasakan saat terpisah yang mencengkam perasaannya. Damaikanlah hatinya. Biarlah usapanmu selembut bayu. Kata-katamu sesejuk salju. Biarlah senyummu semerkah bunga. Biarlah gerak tubuhmu selembut tari. Dakaplah isterimu bersama sendunya. Kasih sayangmu amat syahdu buat dirinya. Hanya kau suaminya. Hanya kepadamu digantung harap masa hadapannya. In sya Allah andai dua hatimu dan hatinya menyatu selalu.