Sesiapa sahaja yang berkerja akan
menamatkan kerjayanya dalam tempoh masa tertentu. Usianya dikatakan cukup.
Tugasnya ditamatkan di situ. Penting atau tidak bukan penentu. Detik dan
waktunya tiba juga untuk menjemput kita keluar dari kotak yang terlalu lama
kita huni. Barulah kita ketahui bahawa nyawa kita di situ. Barulah kita tahu
bahawa nyawa kita perlu diperbanyakkan supaya kita tidak mati sekali tetapi perlu
mati banyak kali. Maksud penulis persaraan adalah suatu kematian. Namun jika
nyawa kita banyak dalam banyak bidang yang berbagai maka kita akan mati banyak
kali dalam bidang yang berlainan. Persaraan hanya satu daripadanya. Impaknya
sangat besar jika kita tidak bersedia. Ramai orang yang semput sementara
menunggu waktu bersara. Semput menghampiri persaraan. Semput semasa bersara.
Semput sesudah bersara. Pada hari kita bersara tirai tempat kita berlindung
dilabuhkan. Pentas kita berlakon (seperti kata William Shakespeare) menjadi
sangat kosong. Lapang tetapi gelap dan suram. Hati kita bergejolak. Tiada
tempat dan sudut yang boleh ditoleh. Kesemuanya kekosongan belaka.
Persaraan boleh datang seperti tsunami.
Menenggelamkan segala yang kita hargai. Yang telah pernah melonjakkan kita ke
persada tinggi dalam kerjaya kita. Mungkin ia datang tanpa kita sedari. Kadang-kadang kita tunggu
tetapi apabila ia datang kita mungkin tidak bersedia sebenarnya. Bila tiba
waktunya nafas kita terhenti. Pagi itu kita kehilangan seketika. Tempat kita
sudah terlontar di rumah. Hilang setiausaha yang membancuh kopi setiap hari. Atau
kerani yang menjaga diari harian. Hilang meja panjang yang penuh memo dan fail.
Yang penuh kertaskerja dan arahan. Penuh pekeliling dan jemputan. Tiada lagi
deringan telefon. Hilang barisan panjang tetamu yang ingin bertemu. Tiada
agenda mesyuarat yang selalunya panjang dan berjela-jela. Baru ketika itu kita
tersedar bahawa kerjaya kita hanya sementara. Bukan hakiki yang kekal abadi.
Tempat kita yang hakiki sebenarnya di rumah. Rupanya setiausaha yang paling
setia ialah pasangan kita. Kerani yang selalu menggerakkan kita ialah pasangan
kita. Pejabat hanya ruang sementara untuk bersosial. Menjalankan amanah negara.
Amanah agama. Rumah itulah ruang kekal hingga akhir hayat.
Kita tinggalkan bilik berhawa dingin.
Kita tinggalkan bilik mesyuarat yang lebar dan besar. Kita tinggalkan hotel
berbintang tempat kita selalu bersidang. Kita tinggalkan forum dan seminar.
Terputus dunia dalam dan dunia luar. Kerjaya kita telah menjadikan kita begitu.
Hanya disediakan pentas untuk melakonkan peranan kita. Sesuai dengan jawatan
kita. Sesuai dengan kelakyakan kita. Sesuai dengan intelek yang kita miliki.
Pada pagi hari pertama kita bersara semuanya terputus. Terhenti semua rutin dan
kebiasaan. Apa yang sebenarnya menyelinap dalam minda ketika itu?
1
Inilah masanya aku hendak
berehat sepuas-puasnya.
2
Apakah agenda selepas
ini?
3
Apa aku nak buat
selepas ini?
Apa sebenarnya persaraan? Betul tuan.
Betul puan. Apa sebenarnya persaraan? Berhenti kerja. Kerja apa? Sebagai
manusia kita tidak boleh berhenti bekerja. Kerja sentiasa menanti di hadapan
kita. Banyak dan berlambak-lambak. Maaf, kebanyakannya tidak bergaji. Tiada
ganjaran. Tiada elaun. Setelah berpuluh tahun kita kenyang dengan gaji dan
elaun kini sampai masanya kita menyumbang balik. Harga yang wajib kita bayar
kerana kita menjadikan diri kita dibayar. Dijadikan pegawai. Kita kembalikan
kepakaran lama. Kita kembalikan kemahiran itu. Kita kembalikan pengalaman
dahulu. Kenapa perlu menyibukkan diri. Cantik. Pertanyaan cepu emas. Jika tidak
sibuk tuan akan mati. Jika tidak menyibukkan diri puan akan mati sendirian.
Hilang dari persada ingatan sesiapapun yang sepatutnya mengingat kita. Amal
jariah yang berpanjangan dalam bentuk amal jariah tidak kesampaian. Ilmu yang
berpanjangan tidak dapat disampaikan. Pengalaman tidak dapat kita kongsikan kepada
orang lain. Untuk kita tinggalkan
apabila kita tiada lagi. Apabila kita tinggalkan kesemuanya untuk orang-orang
selepas kita.
Persaraan menjadi sebahagian daripada
rutin bakal pesaranya. Bersedia setahun atau dua sebelum sampai masanya. Bagaimana
kita melakukannya bergantung kepada pengalaman pengendalinya. Mungkin seorang
kerani berpengalaman. Telah ramai
pegawai yang diurus persaraannya. Bukan orang yang bersara. Tidak ramai bakal
pesara yang bertanya dengan mereka yang telah bersara. Bagaimana prosesnya. Apa
yang perlu dibuat. Berapa lama semuanya boleh selesai sebelum tarikh persaraan.
Bila dapat pencen pertama. Bagaimana mengira graduiti. Berapa banyak dapatnya. Apakah
sifir pengiraannya. Pinjaman-pinjaman yang masih ada bagaimana nantinya. Bagaimana
menerima wang pencen. Aduh! Banyaknya soalan. Itulah lambang-lambang dan
isyarat beratnya menghadapi persaraan. Tidak semudah bangun dari kerusi. Tidak semudah
meninggalkan bilik kesayangan kita itu. Tidak semudah menyerahkan fail
serahtugas. Tidak semudah meninggalkan pejabat secara rasmi buat kali terakhir.
Tidak berani menoleh lagi kerana takut empangan air mata pecah berderai. Akan ditinggalkan
kesemuanya dengan perasaan berbaur. Antara gembira dan sedih lara. Selamat tinggal
kerjaya.
Kita sebenarnya sangat mengetahui bila
tarikh persaraan kita. Tarikh hari lahir kita. Pilihan kita ialah hendak
bersara 100% atau memulakan kerjaya lain. Ada orang menjawat jawatan lain. Jawatan
bergaji. Sibuk semula menjalankan tugas yang sebelum ini hanya diidamkan
sahaja. Mulalah ke hulu dan ke hilir semula tanpa mengira waktu. Dunia baru
yang diharungi. Reda hati kerana sibuk yang berbagai. Ada orang yang lain
berehat sementara. Membetulkan arah kompas. Menikmati persaraan yang lama
dinanti. Meregangkan minda. Hindarkan dahulu berfikir. Lapangkan minda. Berehat
secukupnya. Tidak mungkin. Rasanya mungkin hanya untuk beberapa jam sahaja. Atau
sehari dua. Atau seminggu dua. Atau sebulan dua. Tidak mungkin hingga minggu
dan bulan. Akan datang kegelisahan. Kesemuanya yang disentuh tidak kena. Yang dicapai
tidak kena. Berjalan, duduk dan yang dipandang sudah bukan lagi yang menjadi
kebiasaan.
Kerana kita mengetahui tarikh persaraan
kita sendiri maka sewajarnya kita telah menyediakan diri ke arah itu. Sudah dirancang
apa yang akan dilakukan dengan izin Allah. Sebelum bersara ramai yang sudah
berjinak dengan kelab dan persatuan. Menjadi AJK itu dan ini. Mungkin menjadi
penasehat. Atau menjadi konsultan. Walau apapun persediaan untuk mengubah rutin
sangat perlu. Mental dan psikologi kita terusik ketika bersara. Alternatif diperlukan
supaya kita landing
softly.
Masa untuk kita didaratkan telah sampai. Awan biru nan tinggi sudah sampai
masanya kita tinggalkan. Kita turun berpijak di bumi nyata. Kita belajar
menerima hakikat. Itulah kehidupan. Semuanya sementara. Ada yang lebih abadi yang
perlu dicari lagi. Yang dikerjayakan lagi sementara masih ada peluang.
Selepas bersara kita kehipangan status. Hilang
martabat. Hilang kedudukan. Tanpa persediaan yang rapi kita kehilangan diri
kita. Kehilangan persekitaran. Alhamdulillah bagi mereka yang tidak lagi
mengejar glamour.
Masih ada manfaat kepada dirinya. Masjid dan surau menanti. NGO menanti. Banyak
kerja amal yang boleh dilakukan. Di samping itu boleh mendalami ilmu yang
tertinggal. Menambah nilai persaraan. Mencipta suasana baru. Sahabat baru. Bergeraklah
semampunya. Pengalaman lama dimanfaatkan di luar kerjaya kita yang dahulu. Orang
di luar menanti juga sumbangan kita selepas bersara. Menyumbang idea. Menyumbang
gerak kerja. Meredah lagi usia yang masih ada. Dimanfaatkan hingga ke
hujungnya. Sementara masih berbaki dan bersisa.