Pada awal tahun 80an tidak banyak peluang diberikan kepada pegawai perkhidmatan pelajaran (guru) untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pascaijazah. Jika ada peluang itu diberikan kepada guru-guru yang berada di Kementerian Pelajaran khususnya mereka yang berada di Bahagian Penyelidikan. Guru-guru yang lain ramai yang menggigit jari. Ramai juga yang tidak langsung berminat untuk melanjutkan pelajaran. Tidak ada dalam kamus mereka ketika itu. Saya pula telah mencuba untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana selepas tamat pengajian saya di UM. Malangnya saya gagal. Namun semangatnya masih kuat dan kekal dalam dada saya.
Pada awal tahun 80an itu sudah ada pensyarah politeknik yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hati saya bagai dijolok-jolok. Gejolaknya memuncak-muncak. Alhamdulillah ada iklan untuknya. Ada borang untuk diisi. Ke Kuala Lumpurlah saya untuk menghadapi lapan orang panel penemuduga di Kementerian. Aduhai! Lapan orang ahli panel. Ada yang saya kenal tetapi sesudah sekian lama nama mereka hilang dari ingatan. Dari Politeknik Ungku Omar kami bertiga. Saya, Ang Jili dan Noraini. Kami semua Berjaya. Rasanya hilang nyawa berhadapan dengan lapan orang panel. Masing-masing ada soalan. Berat-berat belaka. Bahasanya bertukar-tukar. Skejap Melayu. Sekejap inggeris. Keluarga. Diri. Pengalaman kerja. Pengalaman belajar. Politik. Ekonomi. Perdagangan antarabangsa. Puh! Semua soalan mengancam belaka. Rasanya pengalaman membaca, mengajar dan menerwang alam membantu saya mengahdapi temuduga itu dengan baik.
Itu halangan pertama. Halangan kedua menanti. Ke mana saya? UK? Australia? New Zealand? Canada? USA? Kebetulan sewaktu di UM dulu saya banyak merujuk buku-buku karangan orang Amerika. Buku-buku terbitan Amerika. Dulu waktu di sekolah menengah (tahun-tahun 60an) banyak membaca bahan-bahan yang dibekalkan oleh Kedutaan Amerika. Ada satu tarikan bahawa saya telah memilih USA. Maklumat dalam terbitan USIS (United States Information Sertvice) itu seperti menggamit saya untuk ke sana. Suatu ruang dalam hidup saya. Rezeki yang Allah anugerahkan. Ada sesuatu yang meruntun saya ke sana. Ingin melihat keindahannya. Negara yang jolokannya land of plenty. The melting pot of nations. Penuh dengan harapan dan opportunities.
Tiba pula halangan ketiga. Jika ke US ke negeri mana? Daerah (disebut county di sana) mana? University mana? University state atau private? Banyak pertimbangan saya. Saya fikirkan jika ke US hendak juga menikmati empat musim yang bagaikan gila hendak mengalaminya. Alang-alang hendak ke sana tentulahlah summer itu hendak dirasa panasnya. Hijau dan bebuah bergayutan di pohon. Dedaun merah dan kuning musim fall/autumn yang mengasyikkan itu mahu dirasa indah. Mahu dijamah mesra. Mahu dihambat rindunya. Winter yang dingin mencengkam apatah lagi diselaput snow yang memutih. Yang orang putih gila bila white Christmas. Nanti dihambat bunga-bungaan di musim spring. Yang banyak burung berkicauan menanti panas mendatang. Lalu menumbuhkan dedaun hijau yang perlahan mengisi dahan.
Saya memikirkan sama ada hendak berada di Timur atau Utara atau Barat atau Selatan. Di Timur dan Utara tentulah sejuknya melebihi yang lain. Di Barat sejuk tetapi lebih kepada iklim Mediterranean. Di Selatan takut tidak bertemu salju. Banyak juga berhabis duit kerana membayar permohonan masuk. Ada yang USD10. Ada yang USD15. Ada USD 20. Ada juga yang hingga USD30. Bila dilihat kembali amaunnya melebihi RM1,000. Itu tidak termasuk duit setem dan fotostat dokumen. Belum lagi berulang alik ke Kuala Lumpur mengurus berbagai hal.
Lupa nak cerita. Bila surat yang mengandungi berita baik diterima. Bila berita itu mengatakan berjaya menerima biasiswa tentulah euphoria. Terlonjak perasaan. Alangkah gembiranya. Dapat berkelana keluar Negara. Impian menjadi nyata. Bukan mimpi kosong. Bukan igauan. Bukan angan-angan lagi. Realiti yang menggamit syukur. Hakiki kebenaran. Syahdunya. Terasa hiba menerima anugerah Allah Yang Maha Esa. Bersama isteri tercinta, bersama Diana, Dahlia, Najwa, Nurin dan Zaza, saya bertujuh beranak akan ke negara orang. Negara yang asing sama sekali. Tapi ingin dihuni. Ingin bermukim di sana. Ingin bermain. Ingin berkongsi udaranya. Ingin bersama warganya. Janjinya akan melestarikan rasa indah di negara orang. Dulu-dulu hanya dengar ceritanya. Hanya Nampak gambarnya. Hanya Nampak warnanya. Tentu tidak dapat dirasa dan dihidu baunya. Aromanya. Lintasan, papasan dan silihan ganti musimnya tidak dapat dirasa secara live. Tidka ada pengalaman peribadi yang menyentuh hati. Menyentuh kulit. Menyentuh payah dan susahnya.
Demikianlah, dalam banyak perkiraan itu saya memilih Universiti of Pittsburgh. Minda saya kosong tentang Pittsburgh. Nihil. Sifar. Cuma seingat saya dalam buku Geografi tingkatan empat dulu adalah cerita tentang Pittsburgh. Tempat yang banyak arang batu dan besi. Digambarkan sebagai bandar yang kotor, comot, berkabus, berdebu dan gloomy. Maksiatnya juga berleluasa. Terlindung dalam kekelaman persekitarannya. Nantilah akan ku jejakkimu. Akan ku ratakan jarak kaki melangkahimu. Nanti akan ku hirup udara nyamanmu. Akan ku lepaskan anak-anakku bermain di datarannya. Nanti akan dibina snowman-snowman yang tidak bernyama. Hanya perasaan ingin menyatu dengan alam. Di padang-padangnya. Di lembah dan bukitnya. Di ladang dan kehijauan yang memukau. Luasnya pemandangan bagi yang berjalan, bagi yang melihat. Bagi yang mengembara. Mudah-mudahan membuka minda. Membuka perasaan. Membuka hati dan semangat. Membuka rasa syukur bahawa segala nikmat itu milikNya. Syukur dapat mersa sedikit apa yang diberiNya. Ahlamdulillah saya jejak juga yang namanya Universiti of Pittsburgh itu. Yang namanya Pittsburgh itu. USA here I come.