Saturday, May 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Peluang Yang Kita Kejar Datangnya Sekali

Kita selalu mengandaikan bahawa kita akan hidup lama. Kita berangan-angan bahawa kita akan mencapai usia tua. Kita rasa banyak yang perlu kita lakukan. Masih banyak yang belum terlaksana. Dalam pada itu banyak yang kita abaikan. Selalunya kita andaikan juga bahawa kita masih banyak masa. Banyak lain kali yang kita kira. Selepas satu, satu yang lain terlepas. Itupun kita tidak pernah terfikirkan implikasi tentang apa yang kita lepaskan. Dalam hidup ini banyak peluang yang terlepas begitu sahaja kerana andaian kita yang keliru. Kita suka mengandaikan sesuatu yang tidak ada kepastian. Yang terlepas begitu sahaja kerana kita membuat andaian yang salah. Salah perkiraannya. Salah masanya. Salah tempatnya. Salah niatnya. Salah jangkaanya.

Apabila satu-satunya peluang yang ada kita abaikan maka kita sebenarnya secara hakiki telah kehilangan peluang. Peluang yang sama tidak mungkin kembali melamar kita. Jika ada mungkin wujud persamaan. Keghairahannya berbeza, nilainya berbeza. Waktunya berbeza. Natijahnya berbeza. Implikasinya berbeza.

1 Yang terlepas ialah masa. Nilainya seperti emas. Maknanya kita telah mensia-siakan emas. Peluang yang terlepas sangat mahal nilainya.
2 Rugi kerana tidak mengambil peluang. Orang lain yang mengambilnya berada di hadapan kita. Dia menikmatinya sedangkan kita tidak. Dia berada di aras yang lebih baik dari kita.
3 Peluang itu tidak datang lagi. Menantinya muncul kembali adalah sia-sia. Yang datang lagi tidak sama nilainya. Malah mengurangkan nilai. Apabila ada peluang berbuat baik kita berpeluang mendapat pahala. Mungkin pada waktu yang lain kita dapat melakukannya tetapi ganjaran yang kita terima tidak sama jika kita melakukannya sebanyak dua kali. Jika peluang bernilai 1, bermakna meninggalkannya bernilai 0. Melakukannya dua kali bersamaan dengan 2 tetapi kerana terlepas yang pertama yang kedua hanya bernilai 1. Bukan dua yang sewajarnya.

Kita maklum yang kita selalu melepaskan peluang yang melintas di hadapan kita. Kita pejam mata untuk mengabaikannya. Untuk tidak mempedulikannya. Kita katakan bahawa itu bukan untuk kita. Analogi ini mungkin bagi orang-orang yang lemah Matematik. Apabila kita tidak pandai menambah dan mendarab maka yang kita terima ialah tolak dan bahagi. Orang yang bijaksana sentiasa ingin menggandakan apa yang mereka ada. Ada pula yang menambahkan pengganda yang berganda-ganda kesannya. Acccelarator. Bagi yang lain milik mereka menyusut, terhakis, berkurangan dan mungkin hilang.

Dalam mencari peluang, kita perlu memiliki wawasan. Apa yang ingin kita capai pada masa hadapan. Jangkamasa yang dijadualkan dengan sedar. Dengan niat yang betul. Ianya seiring dengan bekal ilmu dan kemahiran. Disalut pula dengan pengalaman. Belajar dari pengalaman orang lain. Kita pula perlu memiliki stamina yang teruji. Sabar memang perlu. Cekal mengikat niat. Istiqamah memang sepanjang masa. Pendekata peluang mesti dicari. Cari dan cari.

1 Banyakkan membaca. Maklumat yang dibaca membantu membuka peluang.
2 Tambah fikir. Berfikir dan bukan bermimpi. Tetapi impikan sesuatu yang bergemerlapan. Yang berwarna-warni. Yang mewangi. Yang berirama indah.
3 Ramaikan rakan. Diistilahkan strategic alliances. Rakan lazimnya membantu menyalurkan maklumat yang berupa peluang. Lebih ramai rakan bermakna lebih banyak peluang.

Jika kita bersedia menyenaraikan peluang yang wajar kita ambil, kita akan termenung panjang kerana kita telahpun melepaskan ribuan peluang. Mungkin:

1 Kita memiliki kelayakan akademik yang berlainan.
2 Menjawat jawatan yang lebih lumayan pendapatannya.
3 Tinggal di tempat yang berbeza. Rumah yang lebih besar. Kenderaan yang lebih mahal.
4 Anak-anak kita lebih berpeluang melihat dunia yang luas dan bukan di sekeliling persekitarannya sahaja.

Kadang-kadang kita hanya melihat sudut yang sempit dalam kehidupan kita. Kita tidak memperluas skop kewajaran kita berfikir dan bertindak:

1 Cukuplah apa yang ada.
2 Biasalah, hendak apa lagi.
3 Kenapa susah-susah.
4 Hendak buat apa lagi.
5 Tidak cukupkah apa yang ada.

Sahabat Nabi, Abdul Rahman bin Auf sudah dijanjikan antara 10 orang sahabat yang masuk ke syurga terus-menerus. Tanpa hisab. Tetapi Abdul Rahman masih terus-menerus memperkayakan dirinya. Bukan untuk sombong, riak atau takabbur. Sebaliknya Abdul Rahman sentiasa berusaha untuk membantu kaum Muslimin ketika itu. Hidupnya juga zuhud. Dia melakukan selayaknya dengan kekayaannya. Tidak dikurangi malah sentiasa berusaha untuk melebih-lebihkan amal jariahnya. Maknanya:

1 Kita perlu pandai kerana pandai memberi peluang kita mendapat rezeki yang lebih banyak. Memberi saraan yang lebih baik kepada keluarga.
2 Rezeki yang lebih banyak memberi kita peluang untuk menginfakkan harta kita ke jalan yang direda\hai Allah. Zakat, sedekah, derma dan lain-lain keperluan umat Islam semasa.
3 Sekali lagi apabila kita memiliki kelebihan dari segi akademik, maka kita berpeluang untuk berada di tempat yang lebih wajar. Suara kita lebih didengar. Pendapat kita didengar orang. Idea kita dipakai orang. Nasihat kita diterima orang. Tunjuk ajar kita diturut orang.

Banyak bezanya antara tahu dengan tidak tahu. Antara orang awam dengan orang yang mengetahui. Orang biasa dengan orang yang berada di luar kebiasaan. Orang muda biasanya melihat singkat di hadapan. Tidak nampak yang jauh. Yang selalunya berbalam-balam tetapi ada. Bak bukit-bukau di balik kabus. Orang tua yang selalu memberi tunjuk ajar. Untuk melihat jauh di hadapan. Bahawa di sebalik gunung-ganang terdapat dataran luas yang subur. Greener pasture. Bahawa di sebalik kabus terdapat keindahan yang disinari matahari siang. Rugi mengabaikan kabus. Rugi tidak mendaki bukit-bukau yang mencabar kesabaran. Melihat yang di sebaliknya itulah motivasi diri yang mesti selalu tegak berdiri.

Kerana itu rebutlah peluang yang ada.

1 Pastikan masa diguna dengan faedah yang mengganda-ganda. Dijadualkan supaya manfaatnya maksimum. Kosnya pula optimum.
2 Buka minda supaya tidak kekal orthodox. Tidak mahu berubah. Tidak mahu berpindah. Tidak mahu mencuba yang lebih baik. Kurang pula berusaha untuk memperbaiki diri.
3 Terlalu terikat dengan adat yang mengikat dan menolak perubahan.
4 Kekal dalam zon selesa sehingga dirinya menjadi pulau kerana persekitarannya sudah berubah.

Rebutlah peluang-peluang:

1 Menambah ilmu dan kemahiran.
2 Menambah rezeki.
3 Menambah usaha.
4 Membuat kebaikan.
5 Menambah aktiviti guna diri.

Pilihan terbaik kita tentulah untung, pahala, kebaikan, manfaat dan berada di hadapan. Jangan sekali-kali mengundur dan terelincir dari landasan untuk menambah baik diri. Perbetulkan selalu supaya destinasi dapat dituju dengan pasti kejayaannya. Mudah-mudahan Allah membantu kita ke arah yang lebih baik. InsyaAllah.