Pada tahun 2002 telah diadakan suatu himpunan empat generasi zuriat Haji
Abas di sebuah hotel di Bandar Penggaram, Batu Pahat. Kebanyakannya hadir.
Namun begitu ramai juga yang tidak dapat menghadirkan diri. Bagi yang hadir ianya
suatu kenangan yang tersendiri. Tidak mudah menghimpunkan empat generasai dalam
satu masa yang sesuai. Jika hendak dicari masa yang sesuai untuk semua yang
berkepentingan maka tidak akan ada masa yang sesuai. Yang penting ialah tarikh,
tempat dan masa. Makaman dan minuman hanya perintang waktu. Bertemu itu lebih
diberi keutamaan. Kenyang perut biarlah untuk anak-anak. Yang dewasa bertemu,
bersembang dan mengingat masa lalu yang telah berlalu. Perhimpunan pertama itu
meriah dengan sesi bergambar. Dengan ucapan dari setiap anak. Ada pula nukilan
sedikit mengenai masa lalu Haji Abas dari seorang menantu lelakinya.
Suasana majlis tahlil Jun 2014
Suasana majlis tahlil Jun 2014
Pertemuan singkat secara beramai-ramai itu berlalu dengan santai. Bertemu
antara sanak saudara yang asalnya datangnya dari pasangan Haji Abas dan Hajjah
Aminah. Merentasi masa berpuluh tahun lamanya. Apabila empat generasi bertemu
banyak wajah-wajah keluarga yang bertaut. Menemukan titik dan detik manis dalam
pertemuan keluarga. Titik yang akhirnya membesar menjadi empat generasi.
Setelah 12 tahun berlalu keluarga Haji Abas menjadi lebih besar. Dalam
pertemuan seperti itulah yang tua disapa. Yang muda disayang. Tugas yang dewasa
untuk menyusun susur galur keluarga yang datangnya dari pasangan yang sama. Jika
tidak cucu dan cicit akan terpencar tanpa mengetahui jalan pulang ke pangkuan
asal usul dari mana datangnya dia. Sekarang sudah lima generasi. Ada juga usaha
untuk relive semangat perhimpunan
yang pertama. Namun yang kedua ini agak elusif. Payah hendak dicari tarikh yang
sesuai. InsyaAllah mungkin pada tahun 2015 ada rezeki ke arah itu.
Anak-anak dan anak saudara
Sesuatu yang cucu dan cicit tidak maklum ialah Haji Abas setiap tahun
berusaha menghimpunkan mereka. Lazimnya anak-anaknya kesemuanya yang hadir. Ada
beberapa orang cucunya yang regular
setiap tahun. Yang lain mungkin hadir berselang tahun. Acaranya sangat simple. Majlisnya kenduri arwah. Tarikhnya
pasti pada bulan Sya’ban. Sebelum Ramadhan. Sudah menjadi amalan tahunan. Haji Abas
tidak termampu untuk menziarahi kesemua cucu dan cicitnya satu persatu. Pada hari
raya mungkin tidak kesemuanya berupaya menziarahi Haji Abas dan Hajjah Aminah. Masing-masing
ada agenda tersendiri. Namun Haji Abas dan isterinya memperuntukkan masa khusus
untuk majlis mengingati mereka yang pergi lebih awal. Dari datuk dan nenek
mereka hinggalah cucu-cucu yang telah meninggal. Haji Abas berusaha
menghimpunkan saudara-mara, sahabat-handai, kenalan, jiran tetangga, jemaah
surau dan tentunya cucu dan cicit.
Haji Abas sangat perihatin orangnya. Setiap kali mengadakan majlis pastinya
ia hendakkan yang terbaik. Ia mahukan juadah yang enak. Paling baik. Tinggi kualitinya. Tidak kira sama ada dimasak sendiri oleh ahli
keluarga atau dari pengusaha sajian, kualiti tetap diutamakan. Apabila menjamu
tetamu Haji Abas mahukan tetamunya makan
dengan selera. Puas dan kenyang apabila pulang. Dalam hal urusan jamuan Haji
Abas menjadi penganjur. Apa-apa yang hendak disajikan diserahkan kepada
anak-anak untuk merancang dan membuat keputusan. Bajet tanggungan sepenuhnya Haji
Abas. Hanya yang hadir dapat menikmatinya. Mungkin ikan tiga rasa. Sup tulang. Sate.
Udang. Sotong. Bakso. Rojak. Banyak lagi resepi dan menu yang belum dicuba. Kesemuanya
perlu yang terbaik. Untuk tetamu. Untuk anak-cucu-cicit. Bukan untuk selera
Haji Abas dan Hajjah Aminah.
Di balai jamuan majlis tahlil 2012
Tedapat beberapa pengajaran dalam melaksanakan majlis anjuran Haji Abas. Timing sangat dijaga. Jadual mestilah advanced. Kadang-kadang enam bulan sebelumnya
agenda majlis itu sudah digerakkan. Menunya. Tatakerjanya. Bajetnya. Beberapa
hari sebelum majlis, rumah dibersihkan. Disusun
dan diatur mana yang perlu. Perkakas makan dan minum sudah diperkemas. Perkakas
memasak sudah tersedia. Bahan-bahan makanan kering sudah dibeli. Gula, kopi dan
bahan minuman yang lain sudah disusun. Air gula sudah dimasak. Pada pagi hari
majlis, kerusi dan meja hendaklah disediakan awal. Jika diperlukan balai jamuan
sudah dipasang sehari sebelumnya. Apabila anak-anak lambat sampainya bising Haji Abas. Apabila cucu-cucu tidak hadir banyak tanyanya. Sebelum tengahari kesemuanya sudah tersedia. Lauk-pauk
tersedia sebelum waktu Maghrib. Selepas sahaja solat Isya’ sajian juadah siap
untuk dinikmati. Diperkemas mana-mana yang perlukan perhatian. Tahlil mengambil
masa kira-kira setengah jam sahaja. Kesemua yang hadir berjamu seenaknya. Haji
Abas memantau sama ada tetamu cukup makannya. Cukup kenyangnya.
Sebahagian dari tetamu wanita
Sesuatu yang sangat indah sebenarnya. Selama mudanya Haji Abas bukan orang
senang. Sesudah lanjut usia dia juga bukan dalam golongan orang senang. Dia membiasakan
dirinya untuk memberi kepada orang lain. Memberi apa sahaja yang menggembirakan
orang lain. Dia tidak spesifik siapa yang hendak digembirakan. Cantik sekiranya
cucu-cicitnya menyorot kembali kepada kedaifan Haji Abas pada masa lalu. Wang titipan
dari anak-cucu dihimpun dan cuba dikembalikan semula kepada mereka. Jika pada
suatu masa dahulu Haji Abas banyak menangis hatinya kerana tidak mampu memberi
yang terbaik kepada anak-anaknya, sekarang dia cuba menggembirakan kesemuanya
dengan apa yang terdaya. Dia gembira, banyak senyum dan ketawa bersama yang
hadir. Hatinya menjadi besar kerana kehadiran orang-orang yang sewajarnya dekat
dengan dia dan isterinya.
Jika pada masa mudanya Haji Abas
banyak menerima pertolongan orang lain, sekarang Haji Abas berusaha menolong
menggembirakan orang lain dengan memberi jamuan juadah yang terbaik. Kesedihan masa
lalu diganti dengan kegembiraan mensyukuri nikmat Allah. Sesuai benar bagi Haji
Abas. Jika dahulu tempatnya di bawah. Menadah pertolongan. Walaupun sekarang
dia tidak tinggi keberadaannya dia mencuba menjadikan tangannya berada di atas.
Tidak lagi mahu berada di bawah. Alangkah indahnya andainya usaha Haji Abas
yang menjadi acara tahunan ini dikongsi oleh generasi warisan Haji Abas. Menyumbang
bajet. Menyumbang tenaga. Menyumbang masa. Bagi yang berkelapangan hadir bersama
meraikan Haji Abas dan Hajjah Aminah yang begitu lanjut usainya. Biarlah yang
tua dan dewasa berehat. Mungkin boleh cucu-cucunya pula yang memainkan peranan
aktif. Yang penting ialah fokus kerja. Bukan banyak perbincangan. Jadikan seperti
yang dihasratkan. Ketepikan gangguan yang mengekang perjalanan aktiviti. Zaman Haji
Abas banyak bekerja dan berfikir wajar diganti dengan kerehatan yang melegakan.
Anak-cucu-cicit yang merai dan menghiburkan keberadaan Haji Abas dan Hajjah
Aminah.