Sudah lebih setengah abad
kita merdeka. Bukan satu tarikh. Malah dua tarikh. 31 Ogos 1957 dan 16 September
1961. Pilihlah yang mana satu. Yang pentingnya kita sudah merdeka. 56 tahun
belum lama. Baru dewasa. Belum lagi warga emas. Pejuang-pejuang kemerdekaan
telah lama berlalu dalam sejarah. Yang tinggal kita-kita ini sahaja. Dalam melayari
bahtera kemerdekaan kita membentuk sistem pendidikan kita sendiri. Dulu
dikatakan mengikut acuan kita sendiri. Acuan siapa penulis tidak pasti. Sejak 1957
banyak sudah direncanakan sistem pendidikan yang selalu didakwa bertaraf dunia.
Kita gamit pelajar antarabangsa supaya memilih Malaysia untuk mendapat
pendidikan IPT. Pendidikan peringkat tinggi. Tiba-tiba kita dikejutkan bahawa sistem
pendidukan kita bukan yang terbaik. Malah yang kedua tercorot antara negara-negara
Asean. Kedua tercorot. Penulis tidak pasti sama ada semua pembaca memahami
istilah corot. Jika faham tentu pedih rasanya di hati. Tertampar di muka
sendiri. Hendak tampar dahi sendiri tentu sakit juga. Mengapa kita corot. Angkara
siapa. Tidak mungkin angkara Pak Leman yang rumahnya dilanda banjir di Kuantan.
Tidak mungkin angkara Mak Timah yang terataknya dihanyutkan air di Kemaman.
Bayangkan ada yang hanya
berani menunjuk salah orang. Siapa salah? Lihat senarai di bawah:
1.
Sikap murid yang menganggap penilaian itu
tidak serius.
2.
Format soalan teks panjang yang memerlukan
pemahaman.
3.
Terjemahan dan refleksi dengan kehidupan
sebenar.
4.
Guru-guru lebih mengutamakan untuk menghabiskan
sukatan pelajaran berbanding menerapkan pemahaman konsep kepada pelajar.
Penulis merasakan bahawa lemparan telunjuk ini
sangat tidak wajar. Hanya melepaskan tengkok sendiri. Tengkok orang lain
dikelar. Atau telinga orang kain yang dipulas. Penulis ingin menganalisis
sebentar mengenai kelima-lima pernyataan di atas.
Sikap murid yang menganggap penilaian itu
tidak serius:
Siapa murid. Setahu penulis mereka di sekolah
rendah. Sekolah kebangsaan. Antara usia 7 tahun hingga 12 tahun. Rasanya tidak waras
mengatakan bahawa murid menganggap penilaian itu tidak serius. Tidak
adil. Apalah
sebenarnya yang diketahui oleh murid di sekolah kebangsaan. Mereka tahu matematik.
Rasanya mereka tidak tahu statistik. Mereka tidak tagu ranking. Mereka tidak tahu yang sekolah mereka
dinilai. Guru mereka dinilai. Peperiksaan mereka dinilai. Buku teks mereka
dinilai. Mereka hanya dipaksa menggalas beg besar dan berat. Sudah berdekad-dekad
lamanya perkara itu diberi teguran. Namun murid terus-terusan menggalas beg
mereka ke sekolah. Ironisnya mahasiswa di IPT terlalu sedikit buku yang mereka
bawa. Tidak sampai seperempat seperti yang dibawa oleh murid sekolah
kebangsaan. Malangnya mereka yang dewasa menafikan kelemahan mereka. Mereka yang
lemah menyalahkan murid yang tidak tahu apa-apa. Yang berhingus dengan
gelombang kehidupan. Salah mereka. Maaflah. Cuba cari alasan lain yang lebih
menasabah. Yang masuk akal.
Format soalan teks panjang yang memerlukan
pemahaman:
Jika ini masalah memang sistem pendidikan kita bermasalah.
Kita hanya melahirkan robot yang tidak ada perasaan. Tidak tahu berbahasa. Tidak
tahu menggunakan bahasa. Tidak tahu gunanya bahasa. Seolah-olah sekolah hanya
mengajar bahasa isyarat. Dari tadika anak-anak kita diajar membaca. Mereka boleh
membaca. Mereka celik bahasa. Media cetak dan media elektronik menggunakan
bahasa. Bahasa yang dibaca. Bahasa yang didengar. Tidak mungkin sehingga darjah
enam anak-anak kita tidak tahu membaca. Tidak
tahu memahami bahasa Melayu. Bahasa mereka sendiri. Ironis juga kerana setiap
tahun dikatakan prestasi peperiksaan meningkat. Dengan bangganya diumumkan bahawa
peratusan lulus peperiksaan meningkat. Inilah masalahnya apabila terlalu banyak
hiasan. Banyak kosmetik. Keputusan peperiksaanpun dihias cantik. Masing-masing
memakai jaket perlindungan yang kalis teguran.
Terjemahan dan refleksi
dengan kehidupan sebenar:
Penulis pernah menjadi
guru. Pernah menjadi pemeriksa kertas soalan peperiksaan SPM. Terasa banyak
kejanggalan. Sekolah dan dunia komersil terlalu divergent. Kemahiran di sekolah
tidak direlevankan dengan teknologi dalam pengurusan. Dalam pengurusan pejabat.
Dalam pengurusan ekonomi. Untuk menulis surat rasmi masih lagi digunakan format
zaman Stanford Raffles. Komputer
sudah terlalu lama dan terlalu jauh meninggalkan tradisi untuk maju dalam
teknologi. Dalam bisness antarabangsa. Tradisi yang jumud sudah tidak lagi
dipandang orang. Yang dikejar ialah kepantasan. Ergonomik dalam menggunakan
teknologi yang memang untuk memudahkan manusia. Sudah sewajarnya realiti di
dunia luar dibawa masuk ke dalam sekolah. Sekolah adalah realiti masyarakat. Jika
terasing, maka sekolah menjadi luncai yang terjun dengan labu-labunya. Tidak tahu
kenapa terjun. Tidak tahu kenapa membawa labu.
Penulis pernah menjadi Yang
DiPertua PIBG beberapa buah sekolah
kebangsaan. Biasa juga menjadi AJKnya. Selalu dicadangkan supaya guru
memberikan gambaran realiti hakikat hidup kepada murid. Mengajar matematik jika
hanya bergantung kepada buku teks maka banyak teori yang tidak difahami
pelajar. Tambah, tolak, darab dan bahagi bukan teori. Bukan ilusi. Ianya realiti
jika guru bijak menggunakan kebestariannya di dalam kelas. Tulisan, istilah dan
angka yang tercetak diterjemahkan dalam situasi yang difahami murid. Jika guru
sendiri gagal menterjemahkannya dalam realiti kehidupan apatah lagi murid-muridnya.
Satu lagi jawapan yang standard ialah bila hendak menghabiskan silibus jika
asyik merealitikan apa yang hendak diajar.
Guru-guru
lebih mengutamakan untuk menghabiskan sukatan pelajaran berbanding menerapkan pemahaman
konsep kepada pelajar:
Menarik bukan. Guru
tentu memahami tuntutan sekolah. Tuntutan Pejabat Pendidikan Daerah. Jabatan Pendidikan
Negeri. Sektor dan Jabatan di Kementerian. Kementerian Pelajaran sendiri. Kesemuanya
mengejar KPI masing-masing. Pada peringkat dasar, guru diwajibkan menghabiskan
silibus masing-masing. Kesalahan besar jika arahan itu gagal dilaksanakan. Sama
ada muridnya di kelas A atau di kelas Z, silibus mesti habis apabila cukup
masa. Bukan akhir tahun tetapi sebelum tarikh peperiksaan akhir. Murid tiada
pilihan. Mereka mengejar guru. Yang bijak selesa di dalam kelas. Yang kurang
inteleknya jauh tertinggal. Dilabel sebagai bodoh. Lemah. Lemban. Malas. Tiada harapan.
Tiada masa hadapan. Siapa yang melabel. Sistem. Guru mereka. Sekolah mereka. Hilang
semangat membina. Semangat kejurulatihan. Membimbing. Menyuluh kegelapan. Menerangi
jalan yang maju ke hadapan. Kesemuanya gila mengejar silibus.
Apabila ada orang
mengenalpasti sistem yang ada sangat lemah, guru juga yang salah. Mereka yang
di PPD juga guru. Yang di JPN juga guru. Yang di KPM lagilah guru. Jika hanya
KPI yang dikejar maka murid yang diharap untuk masa hadapan kita dan negara terabai
keperluan mereka. Sistem tidak memberikan yang terbaik untuk mereka. Sistem kita
tidak sistemik. Dasar kita terperangkap dalam kotak lama yang kumal dan lusuh. Tidak
menjenguk keluar untuk melihat kemajuan orang lain. Kita mabuk sendiri dalam
kotak lapuk yang lama. Tidak ada urgency
untuk memperbaiki keadaan. Tidak melihat sistem kita dalam krisis. Mungkin kayu
ukur kita hanya sejengkal. Orang berlari kita masih berjalan santai. Jika paradigma
tidak diubah, padah yang akan datang. Jika sikap tidak diubah parah yang
menimpa. Jika apapun tidak dijiwai maka jiwa kita kosong. Bunyinya kuat. Sayangnya
isinya hanya kelongsong.