Tuesday, July 17, 2012

Puteri Yang Malangnya Selalu Dirundung


Bacalah cerita rakyat dahulu kala. Apabila sang puteri bertemu puteranya maka cinta berputik pada pandang pertama. Semua halangan dari si tukang sihir yang jahat dipatahkan dengan satu ciuman kasih. Segala sumpahan termusnah. Bergemerlapanlah alam semesta kerana ria bersama pasangan kekasih yang serasi antara keduanya. Mereka berkahwin. Berakhir suatu episod cinta indah antara dua sejoli yang pertemuan pertamanya diabadikan dalam melayari bahtera kehidupan berumahtangga. Mereka berbahagia selama-lamanya. They lived happily ever after. Di England (Great Britain) cerita itu menjadi tidak benar. Perkahwinan putera dan puteri yang cantik rupawan tidak kekal lama. Tiada keabadian yang dicari dan direncana. Kilauan kasih hanya pada awalnya sahaja. Mendung menyelubungi seluruh kehidupan. Bumi bertuah yang bernama Kensington menyaksikan betapa remuknya hati seorang puteri yang terpisah dari putera harapannya.

Melalui Istana Kensington tergambar keredupan suasananya. Akhir spring itu, dalam suhu sekitar 16ยบC persekitarannya begitu suram. Suram sesuram hati penghuninya. Bahagia yang hanya sekerat jalan. Keindahan yang tiada panjangnya. Puteri Diana yang rupawan hanya memendam rasa. Sukarnya melalui masa-masa bersama keluarga DiRaja Britain. Tunggaknya masih Queen Elizabeth II. Satu-satunya ratu yang paling lama berada di atas singgahsana pemerintahan. Walaupun kehadiran Queen hanyalah ceremonial minat rakyat dan manusia dari seluruh pelosok dunia masih terarah kepadanya. Seluruh negara Commonwealth memahami hakikat ini. Negara seperti Australia, New Zealand dan Canada masih menganggap Queen sebagai raja mereka. Kemerdekaan dan kebebasan tidak menghakis semangat cintakan Queen. Malah kerajaan British masih menempatkan Gorvenor Generalnya di negara-negara yang mengiktiraf Queen sebagai raja mereka.

Sifat manusia masih sayangkan raja mereka. Di mana-mana negara yang beraja keadaan itu sama. Di Jepun, Nepal, Bhutan, Denmark, Sepanyol, Thailand, Kemboja, Fiji, Monaco, Maghribi, Jordan, Arab Saudi, Brunei dan begitu juga di banyak negara di Afrika. Raja masih dilihat sebagai tinggi kedudukannya. Cuma masa telah mengubah banyak suasana politik. Raja tidak lagi memiliki kuasa politik. Sistem yang dikatakan demokrasi meletakkan raja sebagai terlalu ceremonial. Dalam kebanyakan hal kehadiran raja dipertimbangkan tetapi bukan dalam pentadbiran. Bukan dalam politik. Sebab itu di Britain kedudukan keluarga DiRaja menjadi perhatian umum. Menjadi kritikan umum jika melakukan sesuatu yang dianggap silap. Luar biasa. Rakyat mereka berdebat mempersoal aktiviti dan tindakan raja mereka. Secara terbuka. Tiada media yang disekat dari membicarakannya.

Di suatu sudut Hyde Park saya terdengar seorang pemidato mengkritik Keluarga DiRaja. Ada sahaja yang tidak kena. Di mata rakyat yang diharapkan ialah raja mempamerkan kesempurnaan. Kepekaan yang tinggi terhadap isu masyarakat di bawah. Yang di luar istana. Di barat mengkritik raja no hold barred. Bebas sebebasnya. Bagi keluarga DiRaja kritikan sebegitu dianggap no big deal. Biasa sahaja. Sama seperti orang lain yang juga dikritik walaupun tidak dalam media. Ketahanan perasaan mereka sangat tinggi. Adversary Quotient (AQ)  yang tahan uji. Kritikan tidak mejejaskan fungsi dan peranan mereka. Tidak mengganggu kehidupan mereka. Mereka faham bahawa mereka berada di bawah public scrutiny. Setiap pergerakan mereka diekori. Setiap perbuatan mereka dinilai. Apatah lagi pekerti mereka semestinya sentiasa diperhati.

Sejarah awal Puteri Diana bak puteri dari kayangan. Kebetulan ia memiliki ciri seorang puteri. Sosok tubuhnya yang langsing menjadi ditiru segila-gilanya. Rambutnya diset di serata dunia. Senyumnya yang memukau tiada tolok bandingnya. Matanya yang cerah mencairkan semua orang tanpa mengira jantina dan usia. Gambarnya puas mengisi semua muka hadapan media di seluruh dunia. Princess Diana. The only Princess Diana. Dari keluarga elit ia naik menjadi keluarga DiRaja. Menjadi menantu Queen.  Rupanya semua itu indah khabar dari rupa. Senyumannya mengandungi hiba. Sinar matanya memendam duka. Lenggang-lenggoknya mendamba luka. Hidupnya tidak pernah bahagia. Putera harapannya bukan putera idamannya yang sebenarnya. Kecantikan Diana tidak dapat mengikat Putera Charles selama-lamanya. Diana tidak dapat memiliki Charles. Suaminya itu hanya seketika. Lalu dalam sorotan kehidupannya. Menghilang di sebalik ufuk kasih yang baru dibina. Ternyata Charles milik orang lain.

Keagungan bukan milik kita. Kita hanyalah watak-watak sementara yang memeriahkan dunia. Itulah kata-kata Shakespeare. The world is a stage. The people are the actors. Sekiranya Shakespeare masih hidup tentu banyak nukilannya tentang Puteri Diana. Puteri malang yang menghambat bahagia. Yang terluka sepanjang hidupnya. Berusaha mencari bahagia yang selalu elusif dari hidupnya. Menjangkau sesuatu yang tidak pernah kekal. Mengejar pelangi pancawarna. Tidak tahu di mana pangkalnya. Tidak tahu di mana hujungnya. Kecewanya hingga ke hujung hayat. Tiada cinta sejati yang ditemuinya. Semuanya hanya sementara sahaja. Benarlah dunia ini fana. Abadi hanya milik akhirat. Sejarah Diana abadi. Gambarnya abadi. Patung lilinnya abadi di muzium lilin di London. Namun bahagianya tidak pernah abadi. Wataknya hanya sementara. Kebahagiaan itu milik orang lain. Mudanya bukan ciri juara. Cantiknya bukan resepi gahara. Ketentuan untuk dirinya sekadar itu sahaja. Semuanya sementara. Seketika. Barangkali jika ada sifat qanaah pada dirinya cukuplah berpada.

Barangkali banyak iktibar dari cerita itu. Yang abadi hanyalah Allah. Yang baqa hanyalah Dia. Cinta kepada Allah tidak pernah surut. Keterikatan dan kejelikatan yang padu. Mencintai Allah sentiasa membahagiakan. Dalam segala kekurangan material orang bahagia kerana cintanya kepada Allah. Tiada batas. Tiada sekatan. Cintakan manusia terlalu banyak titik bengiknya. Banyak syaratnya. Banyak batasannya. Skopnya juga terlalu kecil. Itupun tidak pernah ada jaminan berkekalan. Janji senang bersama dan susah bersama kadang-kadang hanyalah mainan bibir. Penyedap telinga. Ritual yang diulang-ulang. Di sebalik ungkapan itu tiada  makna yang memanjang nilainya. Selalu memisahkan antara realiti dengan harapan. Bagi yang pendek fikirnya hanya kekecewaan sahaja yang selalu datang menjengah. Kebergantungan yang menghilangkan kejernihan akal. Usaha menjadi kecil. Diri berada dalam alam sempit yang menghimpit. Kebanyakannya tersepit dalam perasaan yang perit.

Hidup ini perlu banyak pertimbangan. Perlu banyak melangkaui perasaan. Akal selalu dipupuk untuk wajar. Siuman. Bersandar kepada syariat. Cinta yang keterikatannya tidak menghilangkan identiti diri. Tidak hilang pertimbangan hingga lupakan tanggungjawab kepada Yang Maha Esa. Kebergantungan yang mutlak hanya untuk Allah. Sayangnya Puteri Diana bukan dalam kelompok kita. Ceritanya gah sekadar untuk media. Cerita dunia hanya fana dan sementara. Yang kekal hanyalah akhirat sana. Abadan abada. Nikmat yang sentiasa bertambah. Luasnya tiada dalam jangkauan pemikiran manusia. Bahagia yang abadi bukan pada manusia. Cinta abadi kepada Allah pasti membahagiakan. Carilah yang lain. Pasti tidak akan ditemui.