Tuesday, December 17, 2019

Berserah Kepada Allah


Saat kita dalam situasi santai, kita menyangka bahawa kitalah yang paling damai. Paling bahagia. Paling harmoni dengan persekitaran kita. Memangpun kita selalu mengharap kesemuanya itu milik kita. Kita berusaha untuk mencari atau menciptanya. Namun dalam liku-liku hidup kita ada suratan yang tidak kita ketahui. Sebesar mana sekalipun kita merancang, perancangan Allah jua yang mendasari kehidupan kita. Sebenarnya apabila kita berpegang dengan qada’ dan qadar Allah kita mendapat kebahagian yang lebih indah dan bermakna mendalam. Emosi kita tenteram. Psikologi kita stabil. Fikiran kita terancang cantik.

Kita adalah kita. Manusia biasa yang selalu terfana apabila berhadapan dengan situasi negatif. Kita selalu merasa berat. Hati berat. Fikiran berat. Tindakan juga mungkin berat.  Impak negatif ini menyulitkan sebenarnya. Kita naik angin. Kita berang. Kita marah. Kita mendengus. Kita menjadi tidak keruan. Kita merasa seolah-olahnya persekitaran kita memusuhi kita. Andainya kita boleh bertenang, tentu kita boleh mengimbas kembali bahawa titik-titik indah yang berwarna pelangi adalah lebih banyak dari titik hitam yang kelihatan satu atau dua. Kita tahu yang hitam itu apa. Kita tahu yang hitam itu hanya terlalu sedikit berbanding yang berkilau dan berpelangi.

Andai kita selalu positif, kita akan terus bahagia dengan warna-warna pelangi di sekeliling kita. Yang menerangi hati. Yang membelai sanubari. Tetapi andai kita berhenti melihat yang indah maka kita tenggelam dalam melihat yang hitam legam walaupun hanya sebagai titik kecil yang tidak signifikan dalam taburan pelangi yang berwarna-warni. Hati kita perlu selalu dipujuk supaya memandang yang baik-baik akan apa yang ada di hadapan kita. Bukan melihat yang buruk yang sudah kita tinggalkan. Jadikan sejarah sebagai panduan untuk melonjak ke hadapan. Memburu keindahan yang masih banyak di hadapan sana.

Kita mungkin rasa sakit kehilangan sesuatu. Bagi yang redha, Allah gantikan dengan yang lebih banyak dan yang lebih baik. Syaratnya redha dan redha. Kembalikan segalanya kepada Allah kerana semuanya adalah milik Allah jua. Kita juga milik Allah. Yang hilang itu Allah ambil untuk diganti yang lebih baik. Jika kita sedar hakikat ini, maka hidup kita penuh bahagia sebenarnya. Bukan duka lara seperti yang kita rasa. Cuma sisi pandang kita perlu diubah supaya apa-apa yang negatif dilihat dari sudut positif. Ia perlukan disiplin yang bergerak dari asas. Mendisiplinkan diri supaya banyak bergantung kepada Allah. Menyerahkan diri kepada Allah. Biar akal menguasai diri. Bukan emosi yang selalu membawa kita kepada situasi payah.

Kadang-kadang untuk bahagia itu tidak memerlukan kos yang tinggi. Itupun jika kita kira sebagai kos.
1                     Solat. Yang wajib dan yang sunat.
2                     Doa dan zikir.
3                     Puasa. Banyak manfaatnya.
4                     Infaq harta, masa, tenaga, buah fikiran dan banyak lagi. Bawa harta ke syurga dengan        cara ini.
5                     Banyak sedekah.
6                     Banyak senyum.
7                     Bawa diri unutk bertenang. Bukan kepoh dan berfikiran kacau.
8                     Hidup ada SOP (standard operation procedure). Ada panduan umum dan khusus.
9                     Kenalpasti tiap situasi. Bina proses berhadapan dengan situasi yang berbeza.
10                 Kembangkan kebaikan dan tinggalkan keburukan.

Kita melayari kehidupan yang bukan diri kita yang mencorakkannya. Masa hadapan tidak ada yang kita ketahui. Kita akan mati. Pasti. Tetapi banyak ketidakpastiannya.

1                     Bila? Tarikh dan saatnya.
2                     Di mana kita akan mati.
3                     Sebab musabab kita mati.
4                     Di mana kubur kita.

Jika urusan ini kita serahkan kepada Allah, fikiran kita akan pebih tenang. Tidak perlu banyak difikir perkara-perkara yang bercapah. Yang penting:
1                     Hidup berusaha.
2                     Banyak doa dan zikir.
3                     Banyak istighfar.
4                     Banyak tawakkal.

Hidup kita ini perlu diteruskan dalam agenda Allah. Bukan agenda kita. Agenda Allah adalah hak. Agenda kita pula perlu ditapis dan disejajarkan dengan syariah beragama. Patuh syarie. Kita lemah. Kita serba kekurangan sebagai manusia. Kepada Allah kita berserah.