Thursday, August 5, 2010

Anak, Keluarga dan Imej Diri

Anak-anak adalah anugerah Allah. Mereka Allah amanahkan kepada kita. Mereka adalah perhiasan sebuah rumahtangga. Perhiasan yang lahir dari kasih sayang. Dari rasa cinta. Lahir dari damainya dua hati. Mawaddah yang Allah kurniakan kerana fitrah manusia berpasangan. Begitulah sejak Adam dan Hawa diciptakan Allah di syurga. Itulah lambang indahnya bersuami isteri. Lambang-lambang syurga yang nikmat semata. Manusia pernah berada di sana. Ada yang kemudiannya berziarah ke sana. Di dunia kita mengimpi dan mengharapkannya. Nantinya Allah akan sampaikan kita kesemuanya ke sana bagi yang beriman dan bertaqwa. InsyaAllah.




Dari damainya dua hati (mungkin juga beberapa hati), lahirnya zuriat penyambung warisan. Harap dan cemas menantikannya. Doa dan zikir meminta kepadaNya. Menunggu penuh debar bila petandanya. Rasa bersyukur datangnya janin. Membesarnya demi kelangsungan kasih sayang. Kelangsungan syurga rumahtangga. Penantian yang mengujakan. Karenah yang mengubah dan memperbagaikan selera ibu. Mengidam dan ragam selera yang entah-entah. Bukan-bukan maunya. Anak, abah berbuat apa sahaja untuk kau lahir nanti. Memberi sinar dalam hidup abah dan ibumu. Kau yang akan meramaikan, membisingkan lagu tangis, tawa, rengek dan keriaumu. Kesabaran yang tiada tolok bandingnya. 9 bulan yang terlalu panjang bagi kerinduan yang tiada hujungnya. Yang dinantikan ialah tangisan pertamamu. Suatu pernyataan kesyukuranmu menjengah dunia. Menerpakan kasih sayang yang selalu didambakan.




Warisan yang mengujakan. Abah tidak kisah jantinamu kerana Allah menjanjikan kesamarataan dari segi taqwa. Abah tidak membeza kulit putih dan hitammu kerana kau adalah warisan abah. Abah tidak memilih ragam dan nakalmu kerana kau adalah penghibur duka lara abah dan ibumu. Dari dua jari kau ku tatang. Dari golek, julur dan dudukmu. Dari tatih dan jalanmu. Dari langkah dan larimu. Jatuh dan bangun, sakit dan tangis adalah pengalaman indah yang dipandng, didengar, dirasa dengan deria sayang dan kasih yang mendalam.




Lahirmu didengarkan bisikan syahadah. Azan dan iqamah yang menghalwakan telinga. Moga seluruh perasaanmu hanya untuk Allahmu. Moga terhindar dari iblis dan syaitan. Moga dendangan itu mendekatkanmu kepada Allah dan bukan yang lain. Tahnikmu tentu menghindar dari tercebur kepada makan dan minum yang tercemar. Yang tidak toyyibah. Begitupun nanti seluruh anggotamu akan terlepas dari gangguan penyakit berat yang tentu tidak diminta dan dicita. Rambutmu yang berat tidak seberapa, ditimbang dan dinilai. Nilainya ditara dengan emas. Untuk sedekah. Melepaskan tuntutan agama. Sunnah dan sunat yang dituntut.




Membesarlah kau menjadi anak-anak yang cantik dipandang. Sedap dan redup di mata. Mendamaikan hati. Subhanallah. Sesungguhnya kau adalah anugerah Allah. Amanah besar yang wajib dilaksana dan disempurnakan abah dan ibumu. Padamu disandarkan harapan bagi kelangsungan warisan ini. Warisan abah dan ibumu. Nanti berkurun-kurun lamanya kau bina salsilah keluarga yang membelah alam. Membela kebaikan dan keadilan. Menjana kebajikan dan manfaat. Mendidik dan menjadi da'i yang berwibawa. Seluruh hidupmu untuk memberi manfaat. Demi Allah dan RasulNya. Demi manusia yang melingkungimu.




Sahabat, anak-anak kita adalah menifestasi diri kita. Mereka adalah cermin diri kita. Lambang diri kita. Serlahan diri kita. Bayangan diri kita. Harapan diri kita. Maka untuk itu, anak-anak hendaklah diberi perhatian dan kita perihatin dan peka dengan apa yang sewajarnya kita lambangkan mereka sebagai wakil kita. Sebagai ibu bapa kita tidak dapat menghindar dari mewajarkan kebaikan kepada mereka. Segala kebaikan yang dituntut mengikut kemampuan. Selari dengan yang halal dan memenuhi tuntutan akhlak. Segala ciri yang mencorakkan keindahan keislamannya. Pun begitu harus dibentuk budayanya. Kelestarianya dengan kehendak alam dan tarbiah masyarakatnya.




Anak-anak yang sudah menjadi kanak-kanak menjadi perhatian orang. Dipandang orang. Dinilai orang. Pada diri mereka terlihat kita ibu dan bapanya. Warisan kita ada di situ. Rambut dan romanya. Kepala dan kakinya. Hidung dan telinganya. Mata dan keningnya. Dahi dan dagunya. Bibir dan giginya. Senyum dan tawanya. Bangun tubuhnya. Jalan dan duduknya. Suara dan tegurnya. Seluruh anggotanya adalah warisn dan keturunan kita.



Anak-anak itu lambang kita. Fizikalnya bukan kawalan kita. Allah telah menciptakannya begitu. Kita perlu bersyukur atas seadanya. Tinggi atau rendahnya. Besar atau kecilnya. Berat atau ringannya. Putih atau hitamnya. Tetapi lihatlah ciri-ciri yang dalam kawalan kita. Tanggungjawab kita untuk membangunkannya sehingga tahap terbaik. Terunggul. Mumtaz - cemerlang. Banyak perkara yang tidak seharusnya melepasi perhatian kita. Akhlaknya, pakainya, makan dan minumnya, rakan taulannya, tutur katanya.



Anak-anak kita adalah benih-benih masyarakat. Yang nanti dewasanya akan berada di tengah-tengah masyarakat yang melingkunginya. Jadilah ia watak-watak yang diperlukan memainkan skrip dan senario masyarakatnya. Tatalakunya mestilah yang membangunkan masyarakat. Peranannya menjulang idealisma masyarakat. Ia mematuhi norma dan nilai, kepercayaan dan warisan budaya. Harmoni hidupnya dengan agama. Semuanya bersendi hukum dan hakam. Yang hak dilaksana, yang batil dikesampingkan. Ibu dan bapa yang mencorakkan mereka. Dulu waktu lahirnya ia suci bersih bak kain putih. Maka sentuhan, asuhan dan bimbingan perlu membawa mereka selari dan segerak dengan masyarakatnya.



Tingkah laku anak-anak dilihat orang. Mereka perlu dididik dari semasa mereka sangat kecil. Sewaktu mereka mula mendengar, mula melihat, mula mengungkapkan kata yang pertama. Dia harus tahu membezakan ya dengan tidak. Jangan dengan boleh. Suara ibu dan ayah dapat dikesan mesra dan tegasnya. Marah dan nasihatnya. Geram dan sayangnya. Gunakan mata untuk berkata sesuatu. Beri erti bila mata diterbeliakkan. Maksud jeling memanjang. Kecil mata yang sepet memanjang. Tenungan dalam. Pandangan menikam.



Didik mereka mengenal senyum dan tawa. Membezakan pula sinis dan sindir. Metafora dan ungkapan. Bila pula galak dan dorong. Tegah dan larang. Perlihatkan kepada mereka hal-hal yang positif. Solat dan doa. Zikir dan ratip. Al-Quran dan hadith. Buku dan rujukan. Membaca dan berfikir. Pengalaman meneroka dan menyempurnakan rasa ingin tahu. Naluri anak yang banyak tanya. Yang perlu jawapan untuk hal besar-besar.



Jaga lompat dan larinya. Duduk dan baringnya. Gerak dan lakunya. Semuanya mesti bertempat. Mesti disesuaikan dengan amalan yang disukai. Ajar mereka prosedur dan tertibnya. Walaupun untuk perkara yang sekecil-kecilnya. Ingatlah bahawa melentur tidak pernah pada buluhnya. Rebung itu yang perlu dijaga supaya besarnya mengikut bentuk yang kita lurutkan. Sentiasalah pantau tingkah lakunya. Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu terbuka. Takut nanti anak kita biasa dengan hal-hal yang orang tidak suka. Waktu kita sedar tentang ketidaksesuaiannya, masa sudah tidak mengizinkan kita untuk mengubahnya. Sekolahnya mungkin jauh. Kebersamaan dengannya mungkin terbatas.



Kanak-kanak waktu umurnya antara lahir hingga 7 tahun adalah waktu-waktu kritikal. Waktu itulah didikan pertama di terima. Oleh kerana kita ada tadika, tabika, taska, taski dan kindergarten sehingga umur 5 tahun sudah dikira kritikal. Sebelum mereka melangkah keluar untuk menyatu dan menjadi ahli masyarakat, kita sebagai ibu dan bapanya bentuk mereka dahulu dengan norma-norma yang terbaik untuk masyarakat dan agama. Mudah-mudahan bila berada di tengah-tengah masyarakat mereka sudah arif menentukan yang mana baik dan yang mana tidak. Yang mana benar dan yang mana salah.



Mandi mereka harus diselia supaya amalan di bilik air adalah sesuai dengan keadaan dan keperluannya. Mereka mengamalkan kebersihan diri yang sebenarnya. Mandi memang basah. Membasuh dan beristinjak dengan betul. Kebersihan di bilik air mesti dijaga dan diperlihara. Peralatannya digunakan dengan prosedur dan tertib yang betul. Lumrahnya bilik air itu tempat kotor dan bersifat kotor. Ubahlah persepsi itu. Bangunkan falsafah baru tentang bilik air. Jadikannya tempat yag disenangi untuk dikunjungi.



Di ruang tamu ajar mereka untuk duduk di lantai dan kerusi dengan betul. Dengan sopan dan tertibnya. Jika tidak nanti akan merisaukan orang lain yang ditandang. Risau juga orang yang datang bertandang. Lain keluarga lain cara dan ragamnya. Baik pada kita mungkin tidak pada keluarga lain. Jadikan anak-anak kita sesuai dengan semua keadaan. Kita kembali kepada kawalan. Kawallah mereka sementara boleh dikawal. Sementara mereka perlukan bimbingan kita. Sementara mereka belum mengenal pilihan. Takut nanti mainnya tidak bertempat. Cakapnya ikut lepas mulut. Gerak tangannya merisaukan mata. Gerak kakinya melemaskan pandangan. Biar cakapnya beralas, bersih dan positif. Biar tangannya memegang yang hak sahaja. Di rumah orang ada antik dan nilaian barang hiasan yang mahal dan sensitif. Pegang itu mengkusamkan. Pegang itu risiko jatuh dan pecah.



Pijaknya biarlah di lantai. Kakinya melangkah dan berada di paras bawah. Laranglah jika kakinya naik di settee atau kerusi apatah lagi jika naik ke meja. Katil dan tilam adalah untuk tidur. Untuk berehat dan santai. Bukannya tempat bermain. Bukan tempat membajak. Bukan tempat berlari. Setiap perkara dilakukan dengan adil. Kena pada guna dan tempatnya. Kerja kita, ibu dan bapanya, untuk mendidik.



Duduknya biarlah bertempat. Di kerusi atau bersila hendaklah disesuaikan. Cara duduknya santai tapi sopan. Beradap dan benar tingkah lakunya. Berjalan biarlah belajar tidak terlanggar kanan dan kiri. Biar diatur langkah supaya lurus dan with purpose. Teratur tetapi with urgency. Sandarnya bertempat. Tidak dilihat seperti orang malas dan tidak bertenaga. Tidak bermaya. Berdirinya tidak menghalang. Tidak menyusahkan.



Di rumah orang peraturannya lebih ketat. Ramai orang suka kanak-kanak tetapi ramai orang tidak suka perangai kanak-kanak yang asing bagi mereka. Tolerensi mereka berubah dari seorang kanak-kanak kepada kanak-kanak yang lain. Yang tidak normal selalu tidak disenangi. Yang melakukan sesuatu yang bukan lumrah menakutkan mereka. Kawalselia terhadap anak-anak hendaklah berganda. Yang cemar nama ibu dan bapanya. Anak-anak tentu dengan fitrahnya. Ada masanya mereka mendamaikan. Ada masanya mereka destructive. Imej kita yang tercalar.



Kesihatan dan kebersihan anak-anak mencerminkan tahap penjagaan. Keperihatinan kita. Kemahiran kita. Falsafah dan gaya hidup kita. Lihatlah gatal dan kudis pada anak. Mungkin kebersihan diri dan persekitaran yang tidak terurus. Tidak terjaga. Pandanglah rambut dan kutunya. Kuku dan giginya. Kulit dan dakinya. Kecantikan fizikal ini perlu diajar dari kecil. Biar mereka tahu pentingnya kebersihan, kesihatan dan gaya sihat.



Sakit pening anak perlukan perhatian berganda. Kita ingin mereka segera sembuh. Lebih penting lagi ialah cara mereka menangani sakit. Cara mereka dipakaikan semasa sakit. Bayangkan hingus yang leleh. Tentulah meloyakan menggunakan tangan dan lengan untuk mengesat ke kanan dan ke kira muka. Hitam, comot dan berserabut tidak menentu. Siapa, anak siapa. Orang ingin tahu ibu dan bapanya. Ingin tahu kerja dan kerjayanya. Ingin tahun taraf pendidikannya. Banyak yang ingin diketahui tentang keluarga kanak-kanak itu. Akhirnya mereka menemui paradox. Hidup yang ironis. Ketidakserasian antara ibu bapa dan anak-anaknya. Kelangsungan hudup yang tidak harmonis.



Lihatlah pakaian anak-anak. Cukupkanlah saiznya. Yang terlebih saiz tidak kemas dan melemaskan dipandang. Yang terlalu singkat, terlalu ketat, terlalu sempit, yang terlalu pendek juga tidak sesuai. Yang kotor jauhilah. Yang kusam gantilah. Yang koyak dan tetas jahitan persarakanlah. Apalah seringgit dua. Kecualilah yang tidak berkemampuan. Itupun masih banyak pakaian yang dilambak murah. Yang dilelong borong. Jagalah imej kita. Masyarakat memandang semua itu dan ada hubungannya dengan diri kita. Ketidak pedulian kita. Ketidak pekaan kita. Bukan jenama atau material sahaja yang harus dikira. Bagi yang kurang mampu cukuplah yang sesuai, sederhana. Yang penting presentable. Sedap dan sesuai di mata orang.



Anak-anak sukanya makan. Yang menarik pada mata, sedap didengar semuanya diminta. Kitalah hakimnya. Kitalah pegumbelanya. Kitalah peguamcaranya. Didik mereka memilih yang halal, suci, bersih dan toyyibah. Kursus pra perkahwinan hendaklah disusuli dengan kursus pra kelahiran. Carilah ilmu keibubapaan untuk menangani kanak-kanak, remaja dan kedewasaan anak-anak. Janganlah nanti anak-anak kenyang dengan makanan ringan. Makanan yang bersalut gula dan perasa. Khasiatnya langsung tiada. Takut anak-anak lali dengan penyakit. Payah sihatnya. Racun dan toksik ada di mana-mana. Buatlah pilihan yang bijak.



Ajarlah anak-anak makan dengan beradab. Duduk bukannya berjalan. Makan, bukan bermain dan bercakap. Makan dalam keadaan bersih. Badan bersih, pakaian bersih, tingkah laku bersih. Berpakaian kemas, bersih dan wangi tentu tambah menyelerakan. Tidaklah hapak, hamis, bacin dan haring. Semuanya bercampur baur. Kerja siapa semua ini jika bukan ibu dan bapa. Makan berjemaah lebih baik sebagai himpunan keluarga. Di situlah bertukar bicara. Bertukar berita. Bertukar idea. Di situlah boleh dicari kesepakatan keluarga.



Berumahtangga adalah fitrah. Beranak pinak adalah fitrah. Datangnya dari Allah. Namun begitu banyak yang berada dalam kawalan kita. Kawalan ibu dan bapa. Belajarlah untuk memberikan erti yang terbaik untuk anak-anak kita. Kepada mereka dicurahkan kasih sayang. Kepada mereka disandarkan harapan. Kepada merekalah kelangsungan warisan dan keturunan kita. Lambang warisan ini perlukan belaian, jagaan dan asuhan halus dari kita. Ibu dan bapa.