Peperiksaan adalah sesuatu yang menggerunkan. Benarkah begitu? Semua orang berperasaan begitu. Kerananya ramai orang yang beria-ia menghadapi peperiksaan. Bimbang yang bukan kepalang. Ngerinya rasa di hati jika gagal. Harapan besar menggunung untuk lulus. Ada yang mengembangkan hasrat mencapai yang terbaik. Four flat jika boleh. Sebenarnya persepsi tentang peperiksaan itu yang mengerikan. Jika kita memahami tentang peperiksaan itu rasanya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Saya teringat sewaktu saya di Politeknik Ungku Omar dahulu. Antara tahun 1979 hingga tahun 1990. Jangkamasa 12 tahun yang agak lama. Saya banyak berceramah dengan pelajar saya. Nasihat dan motivasi. Saya jarang memberi nota. Menulis di papan tulis ala kadar sahaja. Lazimnya saya banyak berbincang. Saya bertanya pelajar. Ada masanya pelajar tujukan pertanyaan kepada saya. Saya tidak cepat memberi jawapan. Saya pulangkan soalan itu kepada pelajar-pelajar yang lain. Minta mereka memberi jawapan.
Mata saya mencari-cari siapa yang saya jangka boleh memberi jawapan. Dua atau tiga orang diminta mencuba. Dengan mengungkapkan semula soalan yang dikemukakan, selalu benar saya mendapat jawapan yang hampir tepat dari pelajar-pelajar. Saya sudah tidak perlu lagi memberi jawapan. Cuma pelajar-pelajar di Malaysia sudah biasa disuap. Kepada mereka hanya jawapan guru sahaja yang boleh diterima benar. Jawapan dari teman sekelas payah untuk memenuhi keperluan jawapan. Suatu persepsi yang salah. Siapa sahaja boleh memberi jawapan asalkan jawapan itu menjawab soalan. Siapa yang menjawab bukan isu. Suatu ketika seorang pelajar perempuan menyatakan rasa tidak puashatinya. Katanya, “Kenapa encik tidak menjawab soalan yang dikemukakan?” Saya hanya mampu tersenyum. Saya katakan kepadanya bahawa rakannya tadi telah menjawab soalan. Jika saya berikan jawapan, jawapannya adalah sama atau hampir sama. Lagipun saya kata bahawa yang belajar adalah ahli kelas itu dan bukan saya.
Saya selalu berpesan, tanyalah apa sahaja berkaitan matapelajaran itu. Tetapi saya sangat-sangat berpesan jangan tanya apa-apa lagi tentang matapelajaran itu sebulan menjelang peperiksaan. Prinsip yang saya tanam ialah belajar setiap hari. Setiap minggu. Setiap bulan. Bertanya. Mencari maklumat tambahan. Berbincang. Berdebat. Membuat rujukan. Menjelang tarikh peperiksaan mereka kesemuanya sudah bersedia. Adalah beberapa prosedur yang saya sarankan semasa menjawab soalan esei. Antaranya ialah gariskan katakunci dalam setiap jawapan. Mudah untuk saya mengesan jawapan yang dikehendaki. Apa yang selalu mengejutkan saya ialah walaupun saya tidak pernah membincangkan soalan-soalan peperiksaan secara terbuka pelajar-pelajar dapat menjawab dengan baik. Ramai yang mampu meraih A. Mereka menjawab penuh seperti yang saya jangkakan. Latihan kadang-kadanag diperlukan untuk membiasakan sesuatu. Mengajar secara lisan mungkin baik untuk pendengaran. Atau untuk penglihatan. Penyerapannya tidak kesampaian.
Ada juga ketikanya pelajar tidak dapat menimbangkan mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang sesuai dan mana tidak. Mana yang boleh dan mana yang tidak. Mana yang layak dan mana yang tidak. Guru atau pensyarah selalu berhadapan dengan situasi yang merumitkan. Pelajar bertanya soalan yang akan masuk dalam periksa. Di kelas tiada masalah jika soalan itu ditanya. Di makmal boleh. Di bengkel boleh. Di kawasan kampus boleh. Bayangkan soalan itu ditanya di pasar petang. Di pasar malam. Didengar orang yang lalu lalang. Tentu orang awam beranggapan bahawa kerahsiaan tidak ada nilai yang tinggi. Sedangkan kerahsiaannya termaktub dalam Akta 174. AUKU. Diluluskan oleh Parlimen. Disahkan oleh DYMM Yang DiPertuan Agung. Saya hanya mampu berkata, “Bacalah apa yang sudah diberi. Sudah diajar. Sudah dibincangkan dalam kelas.” Soalannya tunggu nanti waktu periksa.
Belajar adalah kebaikan. Ada nilai ilmu. Malah fardhu ain. Banyak juga yang fardhu kifayah. Wajib menjadi orang yang mengetahui. Memahami. Mengerti. Soalannya adalah proses penting penilaian. Untuk mengetahui kedudukan diri. Kehebatan berfikir. Menerobos halangan berfikir. Merentas halangan paradigma. Melahirkan kehebatan potensi diri. Peperiksaan itu menguji segala yang kita banggakan. Benarkan bagai dikata. Atau hanya luarnya sahaja kelihatan hebat tetapi dalamannya tiada nilai tinggi yang boleh menggugat. Yang dapat dilihat sebagai menjadi panduan menempatkan diri ke taraf tinggi. Takut-takut tidak menyengatpun.
Peperiksaan di Malaysia benar-benar menguji calon. Jika gagal calon itu diangap ‘bodoh’. Kita lupa yang pelajar itu telah belajar dalam jamgkamasa yang lama. Dia mungkin terlupa. Dia gugup. Dia lalai. Salah baca soalan. Salah memahami soalan. Mereka memberi jawapan yang tidak menepati soalan. Pelajar itu mungkin pandai sebenarnya tetapi waktu peperiksaan yang singkat itu dia gagal. Terlalu tertekan kerana jangkamasa yang singkat. Semua hal tentang peperiksaan adalah paradox. Semasa peperiksaan semua pelajar dipaksa untuk mengingat segala macam benda yang telah dibaca, dikira, dilihat, dieksperimen dan sebagainya. Sepanjang tiga jam itu semuanya perlu dikeluarkan semula. Tambah pula dengan hiasan. Dengan fakta. Dengan pendapat. Dengan ulasan. Dengan kritikan. Dengan penyelesaian. Dengan cadangan lagi.
Memang bagai hendak gila bila sampai waktu peperiksaan. Baca sana baca sini. Masih banyak belum dibaca. Yang ini belum dibaca. Yang itu belum difahami. Alamak macamana formula yang ini. Panjang pulak. Ini simbol apa. Ini apa hendaknya. Mulalah badan tidak terurus. Makan minum kira masuk perut. Tidur malam terjaga-jaga. Mungkin ada yang menahan-nahan mata supaya jangan terkatup. Semua ini berlaku bagi yang tidak menyediakan dirinya sejak dari awal. Tidak memahami kerangkanya. Tidak memahami perosedurnya. Tidak memahami susnaturnya. Tidak memahami prosesnya. Tidak memahami cabang dan pecahannya. Jika semua dapat dikuasai sejak dari mula soalan peperiksaan bukan masalah. Apa jawapanpun boleh disusun. Yang membezakan ialah pendekatan. Istilah yang betul. Isi yang diperlukan. Formula mana yang sesuai.
Banyak bezanya antara peperiksaan secara American dan secara British. Kita mengikut cara British. Semuanya perlu dihafal. Diingat. Difahami luar dan dalamnya. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Di US banyak proses dan prosedur yang berbeza dengan Brirish. Belajar sangat santai dan ringan. Bila peperiksaan pensyarah hanya uruskan permulaannya sahaja. Bila semua sudah set, pensyarah beredar sambil berkata, “Please don’t copy. If you do you’re cheating yourself!” Ungkapan yang sama walau apapun peperiksaan yang kita duduki. Orang Malaysia menjawab soalan peperiksaan hingga ke detikan saat terakhir. Seperti hidup mati kita bergantung kepadanya. Semua yang terlintas di kepala ditulis. Semua yang diingat ditulis.
Lain sungguh dengan orang Amerika. Peperiksaan yang sepatutnya berlangsung selama tiga jam mungkin disudahkan selama sejam sahaja. Bila keputusan diisytiharkan mereka mendapat A juga. Kita yang lenguh-lenguh satu badan selama tiga jam A juga. Apa bezanya? Cuba renungkan. Bila kita menjalankan tugas harian semua masalah harian kita selesaikan berdasarkan pengalaman yang kita ada. Bagaimana jika berhadapan dengan masalah baru? Tentu kita merujuk buku. Bertanya kepada orang yang lebih tahu. Melayari internet. Menghubungi rakan taulan. Maknanya untuk hidup kita tidak perlu tahu kesemua perkara. Yang penting kita tahu apa patut dilaksanakan untuk mendapatkan jawapan. Untuk membuat rujukan. Untuk mencari maklumat. Itulah jawapan pelajar Amerika. Mereka tahu what to do in tight situation. Wriggling through. Tidak perlu tahu semua perkara. Terlalu inhuman jadinya. Tidak semua perkara dapat diprogram kepada minda dan diri kita. Hanya mereka yang istimewa sahaja dapat berbuat begitu. Kita yang kebanyakan ini perlu melalui proses biasa. Lambat. Slow. Perlu kesabaran.
Seorang calon PhD dari Malaysia menjadi tutor di University of Pittsburgh. Bila menyemak skrip peperiksaan dia mengikut kebiasaan. Seperti orang Malaysia. Semuanya perlu dijawab selengkapnya. Menguji intelek peringkat tinggi. Tidak boleh skrip jawapan yang ala kadar sahaja. Tidak cukup. Tidak sempurna. Bila keputusan diisytiharkan ramai pelajar yang mendapat B dan C. Mengamuk pelajar Amerika. Keputusan peperiksaan di luar kebiasaan. Hanya mereka yang benar-benar tidak menjawab sahaja yang mendapat gred rendah. Yang lain semuanya mendapat gred tinggi. Kenapa? Sebelum mereka masuk ke university meeka sudah mengambil college entrance examination. Bagi pelajar asing mengambil TOEFL (Teaching of English as Foreign Language). Maknanya standard mereka sudah diatur. Ditentukan hampir sama antara satu sama lain. Belajar adalah proses. Peperiksaan adalah juga proses. Mengajar untuk berhadapan dengan situasi tertentu yang perlukan penyelesaian maslalah. Perlukan keputusan yang logikal. Yang ekonomikal. Yang berimpak sosial. Aspek legalnya difikirkan. Dan dalam keadaan sekarang impak politiknya juga perlukan pertimbangan.
Sampai bilapun peperiksaan adalah aktiviti yang tidak mungkin berakhir. Hidup kita penuh dengan peperiksaan. Setiap saat kita melaluinya. Sebahagian besarnya kita sedar. Tetapi ada sebahagiannya tanpa kita sedari. Ada orang lain yang memeriksanya. Yang menilainya. Yang menentukan baik dan buruknya. Cantik dan hodohnya. Tinggi atau rendahnya. Boleh dicontohi atau tidak. Kadang-kadang kita tidak sedar ada sesuatu pada diri kita yang tidak elok. Ada gerak laku yang tidak menyenangkan orang lain. Kita bercakap tetapi bahasanya menyentap hati orang lain. Menasihat tetapi bahasanya pedas menyakitkan. Mengguris rasa di dada. Bercakap tetapi intonasi suara yang digunakan mencederakan perasaan. Mimik muka yang dilihat ada sindiran. Ada tempelak. Dilihat sinis. Ada rupa marah dan geram. Ada wajah dendam di dalam. Akibatnya peperiksaan yang dipantau orang tidak memberikan gambaran yang terbaik. Banyak cacat cela yang ada pada kita.
Cermin juga yang selalu memberikan gambaran benar. Itupun hanya yang di hadapan. Yang di luar. Malangnya tidak dapat dilihat yang di dalam. Tidak juga dilihat yang di belakang. Sebagai manusia kita tidak boleh menghias yang di hadapan sahaja. Yang dilihat sahaja. Dalam jangkapanjang bahagian dalaman kita diperiksa orang. Yang di belakang di selongkar orang. Sejarah kita dibaca orang. Riwayat hidup kita disusur orang. Masa lampau kita ditinjau orang. Yang dalaman kita dibuka orang. Dilihat kemurniannya jika ada. Keindahannya jika boleh meyerlah. Kedamaiannya jika boleh dipancarkan. Cahaya dalaman yang dimanifestasikan untuk dinikmati orang sekeliling. Jangan lupa kita bukan milik diri kita sendiri secara eksklusif. Diri kita milik Allah. Milik alam. Milik keluarga. Milik saudara mara. Milik sahabat handai. Milik semua orang.
Peperiksaan akademik mungkin lebih mudah. Skripnya jelas sejak dari awal. Skrip hidup lebih sukar. Tiada standard khusus kecuali yang berpandukan al-Quran dan al-Hadith. Yang menjadi amalan para sahabat. Yang menentukan pahala dan dosa. Yang membawa kita ke syurga. Hadapilah peperiksaan itu dengan semangat al-Quran. Sesungguhnya kita akan dikembalikan kepada Allah. Mudah-mudahan kita semua lulus peperiksaan yang diberikanNya setiap nafas kita dihela. InsyaAllah.