Pada pandangan mata kasar lorong ini tiada warnanya. Alhamdulillah lensa kamera merakamkan sesuatu yang luarbiasa. Lorong ini membelok ke kiri dan kemudiannya ke kanan. Dari hujungnya air menderu masuk bersama ombak dan alun. Memang nampak selesa berendam di sini. Air datang dan pergi pada masa air surut. Pada masa air pasang ianya tepu dengan air. Di lorong sempit ini Cleopetra dan Mark Anthony memadu kasih. Penulis izinkan pembaca berimajinasi sendiri tanpa panduan dan gangguan.
Lorong ini memang sempit. Tidak boleh berselisih. Maknanya masuk beriring dan keluar juga beriring. Panjangkan imajinasi anda.
Dari luar ianya hanya bongkah batu. Dj dalamnya banyak rahsia zaman dan rahsia sejarah.
Sewaktu filem mengenai Cleoptra lakonan Elizabeth
Taylor dan Richard Burton heboh ditayangkan penulis hanya sempat membaca
synopsisnya. Ketika itu penulis beranggapan bahawa Cleopetra adalah dari
salasilah Firaun yang dianggap zalim. Membaca catatan orang lain yang bukan
dari sumbernya banyak yang tersasar. Di Matruh barulah penulis mendapat
gambaran yang lebih jelas bahawa Cleopetra bukan orang Mesir. Bukan orang
Qibti. Bukan orang Berber yang ramai menghuni di kawasan utara Afrika. Cleopetra
adalah orang Greek. Kelangsungan empayar Greek masih ada di Mesir ketika itu.
Walaupun era Alexander The Great lebih awal dari Cleopetra namun lagenda dan
metos mengenai Cleopetra banyak dikaitkan dengan empayar Rom pula. Tidak cukup
dengan Julius Ceasar yang menggilai dan mengahwininya malah rakan karib Ceasar
iaitu Mark Anthony turut menggilai dan mengahwini Cleopetra. Kisah itu
diabadikan dalam sejarah Greek dan Roman. Menjadi percintaan yang epiknya
merentas zaman. Di Mesir banyak imej Cleopetra di mana-mana. Barang hiasan.
Kain baju. Lukisan. Seramik dan sebagainya.
Sejarah menjejak Cleopetra dari Iskandariah
(Alexandria – dibina dan mengambil sempena nama Alexander The Great) hingga
sepanjang pantai Laut Mediterranean. Matruh berada hampir dengan sempadan
Libya-Mesir. Kira-kira 260 kilometer dari Iskandariah. Namun begitu di sekitar
Matruh ada tempat yang dinisbahkan kepada Cleopetra. Mungkin sebagai maharani,
Cleopetra banyak mengembara dari satu jajahan ke satu jajahannya yang lain
hinggalah ke Matruh. Bukan itu sahaja dia merentas padang pasir yang kering
kontang untuk sampai di Siwa. Kira-kira 220 kilometer dari Matruh. (InsyaAllah
ceriteranya dalam episod lain). Orang Greek dan Roman mencatat sejarah mereka.
Terutamanya perjalanan dan kembara pemerintah dan keluarga diraja dan orang
besar mereka. Kerana itu pencinta sejarah tidak pernah kering maklumat mengenai
sejarah bangsa Greek dan Rom. Di Ijlun, Jordan banyak gelanggang pertarungan
pahlawan-pahlawan mereka tetapi di Mesir banyak tempat yang dikaitkan dengan
Cleopetra. Alexander The Great tidak banyak diceritakan kecuali perjalanannya
ke Siwa dan kemudiannya membina Alexendaria (Iskandariah) dan jasadnya
disemadikan di situ.
Terdapat sebuah tempat lapang yang tohor airnya pada
masa air surut. Sebuah gua yang unik dikatakan tempat Cleopetra mandi bersama
kekasihnya, Mark Anthony. Di dalamnya terdapat sebuah kawasan lapang yang
terbuka tanpa bumbung. Sebuah rorong semulajadi atau mungkin buatan menuju ke
arah keluar. Di hadapan lorong itu pula terdapat selapis batu yang menghalang
ombak besar. Yang masuk ke dalam lorong hanya deruan air yang separas pinggang
pada masa air pasang. Pada masa air surut deruannya separas lutut. Bagi
pasangan yang sedang intim memang mengasyikkan berada di lorong sempit itu.
Sangat romantik. Terlindung pula dari pandangan orang. Bagi Cleopetra dan Mark
Anthony mereka berdua dikawal oleh
tentera yang ramai dan setia. Berdua-duaan tiada siapa yang mengganggu. Penulis
yang berada seketika di ruang itu teruja juga membayangkan senario masa yang
sudha ribuan tahun itu. kebetulan senja menjelang tiba. Suasana menjadi terlalu
romantik.
Terakam detik-detik matahari melabuhkan diri. Terdapat
imejnya yang memaparkan antara pantai, matahari, laut dan wanita yang
bersendirian. Sayu seketika melihat keindahannya. Subhanallah. Kesempatan yang
bukan sebarangan datang menerpa. Jika di Bukit Tursina penulis melihat matahari
timbul, di Matruh penulis melihat matahari melabuhkan dirinya. Nanti ada cerita
bagaimana orang Greek cuba memahami adanya matahari pada waktu siang dan
bagaimana matahari bergerak pada waktu pagi dalam bentuk bayi yang baru lahir.
Laluan menuju ke Hamam Cleopetra (Tempat Cleopetra Mandi)
Kepada mereka yang pertama kali berada di sini, tidak dapat meneka apa sebenarnya istimewanya tempat ini. Dari jauh hanya pantai dan batu.
Dua bongkah batu yang bersebelahan. Yang di kanan seolah-olahnya mengawasi yang di kiri.
Bongkah batu bak kepala. Tegak setia di tepi pantai. Mengadap Laut Mediterranean yang terbentang luas.
Tanpa rakaman sejarah pantai ini hanya batu dan air. Landai menganjur ke laut. Air pasang dan surut silih berganti.
Antara dua zaman yang terakam. Kita hanya pengembara sementara. Lelahnya di sini. Zaman itu telah berakhir lama. Bersama siang dan malamnya hari.