Monday, January 7, 2013

Sayang, Kau Terpaksa Ku Tinggal Sendirian


 Kadang-kadang kita selalu digerakkan untuk berhijrah. Bukan kerana kepayahan atau kekangan. Konsepnya tentulah untuk yang lebih baik. Untuk yang lebih cantik. Lebih bermakna. Lebih tinggi. Lebih banyak dan banyak lagi. Hidup kita tidak pernah statik. Kecuali mati yang pada zahirnya statik untuk jangkamasa yang sangat lama. Agi idup agi ngelaban. Itulah pesan Kanang, wira zaman darurat dahulu. Begitulah kita. Jika ingin perubahan, hijrah langkahnya. Jika ingin tinggi, terbanglah. Jika ingin jauh, jalanlah. Jika ingin menyelam, renanglah dahulu. Tidak ada yang tinggi jika terus menerus berada di bawah. Tidak mungkin jauh jika tidak berpergian. Tidak mungkin dapat jika tidak menggapai tangan. Mana mungkin memeluk tanpa melingkari tangan. Hijrah tentulah jauh dari segi jarak tempat. Dari segi jarak masa. Dari segi jangkamasa. Dari segi pemikiran. Dari segi perasaan. Dari segi psikologi.

Hijrah memerlukan pengorbanan yang terlalu banyak. Kita meninggalkan kebiasaan sehari-hari. Yang telah sebati berbulan dan bertahun-tahun. Kita ke arah sesuatu yang belum tentu. Suasana baru yang memang lain dari biasa. Lain dari rutin. Lain dari keenakan, kelunakan, keselesaan dan zon-zon melekakan. Tanpa hijrah banyak yang tidak dapat kita lihat warna dan bentuknya. Tidak dapat didengar lagu dan iramanya. Tidak dapat dihidu aroma semerbak harumnya. Malah bumi yang dipijak tidak diketahui tinggi rendanya. Tidak tahu mana tarinya. Berada dalam kepompong sendiri selalu menjadikan kita asing benar dari mereka yang jauh perjalanannya. Yang tinggi terbangnya. Yang selalu melewati ufuk jauh di sekeliling pandangan mata. Berada dalam kelompok sendiri menjadikan kita terperosok jauh ke dalam diri sendiri. Kita tidak mengetahui apa yang ada di luar sana.

InsyaAllah,  Selasa 15 Januari 2013 akan saya tinggalkan watan tercinta ini. Darah yang mengalir di bumi dan di badan menyatu untuk lagi mencari yang belum ada. Mencari pelengkap untuk menghadirkan diri dengan lebih berwajah lebih baik. Jam 3.00 pagi Selasa ini saya dan isteri akan terbang ke Jordan. Bumi para anbia. Mungkin untuk jangkamasa dua tahun atau lebih. Bukan berjalan. Bukan beristirehat. Bukan melancong. Saya ingin rehlah seperti yang saya katakan selalu. Mencari ilmu lain yang belum ada. Yang belum meyakinkan diri. Walaupun ilmu sekular saya belum sepenuhnya tercapai, saya ingin ke bidang yang sangat juga utama dalam Islam. Mempelajari Bahasa Arab. Teringat hadith Rasulullah s.a.w. yang menggesa kita semua sebagai umatnya supaya mempelajari Bahasa Arab. Seorang sahabat bertanya sebabnya. Rasulullah menjawab, “Bahasa Arab adalah bahasaku, bahasa al-Quran dan bahasa syurga.” Pengakuan yang kita sayangkan Rasulullah tentu tidak memadai tanpa kita mempelajari bahasa Baginda. Bahasa Arab dan al-Quran tiada keraguan padanya. Di syurga nanti tiada seorangpun yang menggunakan bahasa selain dari bahasa Arab.

Mempelajari Bahasa Arab dan menuturkannya mendapat gandaan ganjaran. Ganjaran pertama kerana bersusah payah mempelajarinya. Ganjaran kedua kerana berusaha menuturkannya. Menyayangi Bahasa Arab bermakna mencintai Rasulullah. Khazanah ilmu tentang Islam terlalu banyak dalam Bahasa Arab. Musykil sungguh kerana saya hanya memandang kosong buku-buku Arab yang anak saya bawa balik dari Mesir. Membaca al-Quran setakat memahami sedikit dari kalimah-kaliah yang biasa. Apabila bertemu dengan kalimah dan ayat-ayat yang bekaitan dengan akidah umpamanya tentulah saya tidak berupaya menangkap maksudnya. Terlalu banyak isi al-Quran yang tidak dapat diberi makna yang sebenar. Malang diri yang serba kekurangan dari segi itu. Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini membawa barakah yang besar.

Bila berpergian kita tinggalkan banyak yang tersayang. Yang kita kasihi. Yang kita cintai. Mereka dan segala yang dekat kepada kita menjadi jauh hanya dalam masa beberapa ketika. Semakin jauh semakin sayup di balik awan. Hilang dari pandangan. Hanya di hati kita masih kekal ingat. Hanya di mata kita masih ada imejnya.  Di telinga terngiang-ngiang suaranya. Ditinggalkan semua yang dekat di hati. Yang jauh ialah fizikalnya. Jaraknya. Masaya. Tempat memisahkan pertemuan. Masa memisahkan antara yang dahulu dan yang kemudian. Tinggallah semua yang selalunya sangat biasa. Hingga kadang-kadang kita terlalu selesa dengan yang sama dan berulang-ulang. Memang kadang-kadang ingin berada dalam situasi yang aman dan menyenangkan. Kepada kebanyakan orang ungkapan yang sama diulang-ulang. Disebut-sebut hingga lali. Ungkapan yang ringkas tetapi perlukan jawapan yang panjang berjela-jela. Kenapa nak susah-susahkan diri?

Tentu ramai yang akan bersetuju dengan pertanyaan itu. Menyusahkan diri bukan prinsip. Bukan falsafah. Tetapi cuba lihat keliling. Cuba berkisar dalam lingkungan kita sendiri. Berapa ramai orang yang ingin menjadi lebih baik. Lebih mengetahui. Lebih banyak kemahirannya. Lebih ramai rangkaian kenalan dan konteknya. Itu belum lagi mereka yang ingin berada di paras yang tidak sama dengan orang lain. Ramai antara kita yang suka berada dalam zon selesa.  Jadi seperti orang lain. Menyamai seperti yang dimiliki oleh orang lain. Akademik, ekonomi, milikan harta dan keberadaan yang terlalu biasa. Mungkin hanya beberapa peratus sahaja merkea yang ingin memiliki yang lain dari orang lain. Akademik yang bercapah. Ilmu yang bercabang-cabang. Kaya dalam hal-hal yang selain daripada harta benda. Cuba langsung kita fikirkan bahawa pengalaman itu hanya melalui masa. jarak yang jauh. Meninggalkan semua yang biasa. Mencari sesuatu untuk memenuhi hasrat diri. 

Kita dilihat bukan sahaja dari segi fizikal. Bukan wajah yang cantik dan anggun. Dalaman kita dinilai orang. Rohani dan emosi. Akhlak barangkali dipamerkan dengan penampilan dan tingkah laku tertentu kepada audien yang tertentu. Atau bagaimana kita bertindak dalam persekitaran yang terbatas. Lalu kita dilihat dan dinilai dalaman kita. Hati kita. Pemikiran kita. Tidakan kita. Idea kita. Hujjah kita. Keikhlasan kita. Pengalaman membantu kita melebarkan sayap untuk melihat dari atas. Dari ruang yang lebih lebar dan luas. Seperti burung helang yang terbang tinggi masih dapat melihat ikan yang jauh di dalam air laut. Haiwan yang merayap di tempat-tempat yang terlindung masih dapat ditangkap dengan kaki yang kuat kejap cengkamannya. Mata burung yang selalu awas dan telus. Begitulah rasanya mereka yang jauh lebih luas pengalaman dan pendidikannya. Sama ada secara formal atau tak formal pendidikan tetap suatu input yang lebih menyempurnakan seseorang individu. Jangan segan untuk mengalami apa sahaja yang boleh menambah nilai diri.

Berpergian, berhijrah atau meninggalkan semua yang kita sayang bukan bermakna kita sudah tidak sayang lagi kepada semuanya. Pengalaman yang lebih luas sebenarnya menjadikan kita orang yang lebih penyayang. Lebih menghargai kasih sayang. Berpisah bukan melupakan. Ianya mencipta kerinduan yang berpanjang. Bila bertemu lagi kasih sayang itu akan lebih diberi makna. Lebih bernilai. Saya tinggalkan anak-anak, cucu-cucu, adik beradik, ibu bapa, teman-teman, handai taulan dan sesiapa sahaja yang bersama dengan saya. Saya tinggalkan rumah dan halaman. Saya tinggalkan tanahair tercinta yang selalu mendebarkan sebaknya. Kecintaan kepada watan yang tidak berbelah bagi. Semakin berusia semakin bergejolak memikirkan hambatan-hambatan yang selalu merungsingkan tentang masa hadapan negara yang tidak menentu. Mungkin hari ini kita baru terasa bahangnya. Bahang itu akan semakin panas jika tiada kesudahannya yang mamtap. Waja kuat memperkasa.

Pergi jauh meninggalkan kecintaan adalah meneroka masa hadapan yang lebih baik. Di hujung sana ada cahaya yang lebih bersinar. Menyorot ke belakang saya banyak melalui fasa-fasa yang santai dan mengujakan dalam kerjaya sebagai pendidik. Hingga kini masih teruja mendidik. Sesudah melaluinya selama hampir 44 tahun. Sejak tahun 1969. Saya puas dipanggil cikgu dan encik. Kadang-kadang orang tersasul memanggil saya prof. Atau doktor. Akhirnya saya masuk kelompok antara mereka yang dipanggil ustaz. Saya bukan pakar agama tetapi penglibatan saya dalam pengajian al-Quran menjadikan saya terkeluar dari aliran sekular. Jordan akan mengubah lanskap diri saya. Mudah-mudahan Bahasa Arab memudahkan saya mendalami agama. Lebih mahir al-Quran kerana rahsia yang mendalam perlu terus digali.

Rasanya apabila kita mencari yang lebih baik tidak ada yang lebih baik dari menjadi lebih dekat dengan Allah. Ilmu yang semakin banyak memperlihatkan lebih banyak tanda-tanda kebesaranNya.  Kita melihat, mendengar, menghidu, menyentuh dengan deria kita. Yang lebih penting naluri kita pasti tersentuh dengan kehadiran alam yang menambah senarai semua yang pernah kita alami. Pernah hadir dalam deria dan minda kita. Saya tidak tinggalkan kesemuanya begitu sahaja. Memang fizikal saya tidak berpijak di bumi Malaysia yang saya cintai ini. Namun teknologi menajdikan kita selalu berada bersama. Blog saya ini akan selalu saya isi. Saya tetap menjengah saudara. Kita bertemu di alam maya. Semoga saya sihat walafiat. Saya doakan semuanya dalam sejahtera. Mohon doa restu. InsyaAllah kita bertemu lagi.