Sunday, August 1, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab Sembilan

Melanjutkan pelajaran di UM banyak mengajar saya tentang strategi dan teknik belajar. Semasa mengikuti pengajian Ijazah Sarjana di University of Pittsburgh saya masih menggunakan pendekatan yang sama. Sekarangpun saya tetap menggunakannya bila saya mengulankaji subjek yang saya pelajari di OUM.

Lain padang lain belalangnya. Lain orang lain ragamnya. Setelah beberapa ketika di UM saya mula mendapat rentak yang sesuai dengan keperluan saya. Rentak mahasitua yang lambat. Rentak yang berhati-hati. Rentak yang banyak waspada. Sebagai mahasitua kemahiran saya belajar tidak sama dengan yang dimiliki oleh mahasiswa yang muda-muda. Masih segar bugar cara berfikirnya. Masih lincah dengan aktiviti. Lepas bebas dari kongkongan sekolah. Mereka menerawang alam untuk bertapak di sana sini. Terbang tinggi di menara gading. Mereka tidak ada masalah sepatutnya kerana mereka ke universiti berdasarkan merit.


Tiket saya ke universiti sedikit berbeza. Saya lulus juga STPM tetapi tidak cemerlang. Bahasa Melayu dan Ekonomi mendapat Prinsipal E. Dua ekor gajah besar yang cukup-cukup meloloskan diri saya ke Fakulti Ekonomi UM. Kelayakan saya ke UM ini lebih bergantung kepada pengalaman bekerja. Selalu juga disebut sebagai saluran kedua. Kadang-kadang rezeki tidak dijangka dari mana datangnya. Jika ada hasrat di hati. Ada usaha untuk merealisasikannya, insyaAllah ada bantuan dari Allah. Begitu saya ditakdirkan ke UM sebagai menara gading idaman saya. Yang ceritanya sejak dulu menggamit minat saya. Lulusannya banyak menempa nama. Pensyarahnya juga banyak menebar nama. Yang menjadi pendidik berwibawa. Yang jadi Penulis terkenal. Tidak kurang yang jadi ahli politik.

Dalam tahun pertama saya banyak berbincang dan berdiskusi dengan rakan mahasitua. Pada tahun pertama ini masing-masing mencari tapak. Membina tapak menggarap ilmu, menghadapi cabaran dan banyak kelamkabutnya. Melihat dan memilih mana yang perlu dan mana yang tidak. Mana yang membantu dan mana yang tidak. Mana yang hak dan mana yang batil. Saya mencari dahan bergayut demi untuk lulus dan bergelar graduan. Gelaran dan label yang dijanjikan keindahan perjawatan. Peluang meningkat. Peluang naik pangkat. Peluang menambah kekuatan ekonomi. Janji untuk hidup lebih senang. Janji untuk membawa keluarga merentasi yang terbaik. Merentasi yang indah. Meninggalkan kepayahan-kepayahan dahulu yang sayup-sayup masih menyapa. Masih mendatangi ingatan dan imbauan.

Bukan mudah bergayut ilmu di UM. Banyak asing dari biasanya. Luar biasa ada di mana-mana. Terkejar ke sana dan terkejar ke sini. Mana kuliah. Mana tutorial. Mana red spot yang perlu dijengah. Terlambat sedikit putih mata jadinya. Ilmu dicari bagai hendak gila. Masing-masing dahagakan kemanisan dan keindahan ilmu. Begitulah bagi yang mengerti. Belajarlah saya dari gelap mencari terang. Semua yang dilalui di sekolah seperti langit dengan bumi. UM adalah dunia asing yang perlu ditawan. Menara yang perlu didaki. Tamatnya nanti menjadi manusia terbilang. Tahun pertama itulah yang banyak sejarahnya. Mahasiswa dan mahasitua bersatu dalam diri yang kerdil dari ilmu.

Tamat dan berjaya ke tahun kedua disapa lagi dengan cabaran baru. Jabatan mana pula sepatutnya saya mengkhusus. Terdapat tujuh jabatan yang masing-masing dengan gah tersendiri. Jabatan Statistik, Akaunting, Ekonomi Malaysia, Pentadbiran Perniagaan, Ekonomi Mikro, Ekonomi Makro dan Pentadbiran Awam. Suatu kebetulan seorang sahabat sekelas di sekolah menengah dahulu menjadi senior saya. Bertanyalah pendapat. Mintalah nasihat. Mudah sangat nasihatnya. Ia berkisar tentang apa yang menjadi minat saya secara umumnya. Saya cenderung yang kualitatif atau kuantitatif. Jika kualitatif pilihlah Ekonomi Malaysia, Pentadbiran Awam, Ekonomi Mikro atau Ekonomi Makro. Sebaliknya jika berminat dengan yang kuantitatif, maka pilihlah Akaunting, Pentadbiran Perniagaan atau Statistik. Setelah saya fikirkan. pilihan saya ialah Pentadbiran Perniagaan. Maka belajarlah saya mengenai ekonomi dan segala teorinya: micro dan macro. Production management, marketing, financial managemant, industrial relation and industrial law, management accounting, taxation, commercial law and the law of contract, management science dan statistics.

Lulus dengan BEc (Hons) - Pentadbiran Perniagaan, membawa saya ke Politeknik Ungku Omar (PUO) pada 19 Februari 1979. Hampir 12 tahun saya di sana sehingga saya ditukarkan ke Politeknik Batu Pahat (kampus UTHM induk sekarang) pada 16 Disember 1990. Cubaan untuk mengikuti program Master of Business Administration (MBA) gagal. Pada tahun 1984 saya ke USA untuk mengikuti program Master of Education (MEd). Jika dulu saya mengajar marketing, managemant dan ekonomi di PUO apabila saya bertugas di universiti, UTHM, saya banyak terlibat dengan Falsafah Pendidikan, Psikologi, Microteaching dan Sosiologi. Apabila saya bersara saya beralih angin, beralih arah, beralih selera. Saya katakan kepada diri saya, kesempatan ini saya dambakan ilmu agama. Saya selalu ingin mencari punca. Khususnya hukum hakam, halal dan haram, iman dan amal. Alhamdulillah. Cerah sedikit masa depan. Fahamlah kenapa agama itu begini dan mengapa pula begitu. Walaupun bukan untuk menjadi pakar, namun boleh mendidik diri sendiri, isteri, anak-anak dan cucu-cucu. Boleh juga mencelah dan bersembang mengenai agama. Tidaklah menjadi orang awam yang terus menerus di bawah, tanpa mengetahui pokok pangkal tentang agama.

Setakat ini sudah tiga disiplin ilmu yang saya ceburi. Dari Pentadbiran Perniagaan, berpindah kepada pendidikan dan kini Pengajian Islam. Kembara saya di PUO sudah berlalu. Namun mungkin akan ada yang saya jengah kembali. Membalik-balik lipatan ingatan dan sejarah diri, mungkin masih ada yang terlepas pandang. Ada yang masih terkesamping. Mungkin dulu dikira tidak signifikan. Di UTHM dan institusi sebelumnya (PBP, PLSP, ITTHO, KUiTTHO) sudah dua dekad saya telusuri. Mungkin terlalu lama. Sampai masanya saya mencari jalan keluar. Ramai lagi yang muda-muda. Walaupun saya seronok di sini, takut juga ada yang jemu. Bilalah hendak bersara sebenarnya. Ya, bersara yang sebenar-benarnya. Ada juga yang bertaya bila nak bersara. Kemungkinannya tidak menyangka yang saya sudah bersara sebenarnya. Ada pula yang hendak tahu persaraan terakhir.

UM. Rupanya pada tahun kedua saya masih teraba-raba lagi. Masih kabur merancang strategi dan teknik belajar. Semuanya masih belum mantap. Waktu itu di UM bukan seperti sekarang. Sekarang pelajar terlebih manja kerana mereka disediakan modul, nota dan segala macam yang termampu oleh pensyarah. Pelajar banyak menunggu dan bukan mencari, membaca dan berdiskusi. Banyak kali saya hilang fokus. Hilang arah. Akibatnya saya gagal. Daripada lapan subjek yang saya ambil, saya mendapat 2C, 2D, 2E and 2F. Alhamdulillah saya dibenarkan mengulang. Dalam cuti panjang di kampung, masa berlalu begitu perlahan. Seperti sudah ada alamatnya. Petandanya. Bila surat dari kampus saya terima, cemas saya membukanya. Saya membaca baris pertama yang berbunyi, anda gagal dan dibenarkan mengulang pengajian.

Saya terkedu seketika. Nafas sahaja mengombak dada. Kembang dan kempisnya tidak sekata. Andainya banyak lagi ujian dan cabaran yang Allah beri kepada saya. Yang mesti saya harungi. Yang harus diterima dengan redha. Untuk mencapai kejayaan masih banyak payahnya yang mesti diredah. Banyak gunung dan bukit perlu didaki. Banyak gelombang dan alun yang mesti direnangi. Entahlah, tergenang juga air di mata. Kesedihan yang merenggut di hati. Mencengkam, menekan dan menghimpit perasaan. Kesayuan memandang isteri dan anak-anak. Rakan-rakan tidak dapat dihubungi. Zaman itu tiada telefon di kampung. Telefon bimbit belum ada dalam kamus idea perekanya. Hanya sewaktu mendaftar semula, saya dapati ramai sebenarnya rakan saya yang turut gagal. Ada yang menyambung semula seperti saya. Ada pula yang serik dan beralih ke bidang lain yang lebih diminati. Ketentuan Allah. Manusia merancang tetapi perancangan Allah jua yang terbaik.

Mengimbau kembali peristiwa itu memberi banyak keinsafan. Ujian adalah untuk orang yang tabah. Sesungguhnya Allah tidak menimpakan kepada seseorang ujian yang tidak dapat ditanggungnya. Kegagalan bukan mengecilkan tetap membesarkan kita. Mudah-mudahan saya dalam akasih Allah. Sebenarnya kegagalan saya merupakan suatu rahmat. Allah memberikan saya yang terbaik untuk saya. Kegagalan itu hanya ujian untuk saya menerima ganjaran dan anugerah yang lebih besar kemudiannya. Allah menuntut syukur saya sebagai hambaNya. Dalam diam saya merancang strategi. Saya kaji situasi di Fakulti Ekonomi, situasi di kampus, situasi politik di kampus, situasi akademik dan situasi sosialnya. Kelihatannya ada sesuatu yang tersirat dari apa yang saya pandang. Ada sesuatu yang tidak dapat dinyatakan dengan pasti. Mengambil iktibar dari segala keadaan yang saya fahami maka saya mengambil suatu langkah berani. Natijahnya keputusan peperiksaan akhir tahun saya banyak melonjak. Ada A dan B walaupun C dan D tetap ada.

Saya membuat pendekatan yang agak songsang. Saya hanya menjawab satu soalan sahaja dalam Bahasa Malaysia. Tiga soalan lagi saya jawab dalam Bahasa Inggeris. Mungkin strategi saya berserta kerja keras untuk menebus kegagalan tahun sebelumnya membuahkan hasil. Skrip jawapan tidak memerlukan nama. Sekadar nombor matrik sahaja. Bagi pensyarah yang condong ke kanan atau ke kiri sukar menentukan sama ada saya Bumiputra atau bukan. Bahasa Inggeris sayapun boleh tahan juga. Setanding dengan orang lain. Di situlah advantage saya. Maaflah strategi saya tidak patriotik. Ketika itu saya hanya fikirkan survival diri sahaja. Apalah yang hendak dikata pada tahun-tahun 70an. Selepas peristiwa 13 Mei 1969 banyak lompang-lompang sosial yang tidak terbina. Menjadi pula lohong hitam yang tiada tepinya. Ketika itu UM didominasi sekelompok etnik yang kuat kecondongannya. Syukurlah keadaan itu sudah berubah. Bagai langit dengan bumi.

Prestasi saya pada tahun kedua dan ketiga melayakkan saya mendapat honours kelas kedua bawah. Saya bersyukur sangat kerana ramai rakan-rakan saya yang graduat pada tahun sebelumnya sekadar mendapat ijazah am tanpa honours. Bila tiba giliran saya graduat, secara automatik saya menjadi enam tahun lebih senior dari mereka. Namun dari segi gaji saya mungkin kalah. Ini bermakna saya mempunyai peluang enam tahun lebih awal untuk naik pangkat jika berdasarkan time based.

Pada tahun ketiga saya tingkatkan kekuatan saya. Tahun ketiga. Teruja sangat untuk graduat dengan segera. Mengujakan sungguh. Terbayang jelas peluang menjadi Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah. Peluang untuk menikmati status ekonomi yang lebih lumayan. Jauh lebih indah dari sekadar lulusan maktab perguruan dan hanya dengan sijil guru. Profesional tetapi rendah tarafnya dari segi akademik. Pun juga dari segi profesional. Begitu juga peluang naik pangkat. Walau bagaimanapun Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu tidak menjanjikan apa-apa untuk itu. Kenaikan pangkat ke jawatan kanan pertama kali saya terima pada tahun 1990 selepas 11 tahun perkhidmatan. DG2 menuruti pada tahun 2000 selepas 21 tahun berkhidmat. Begitulah kesetiaan saya terhadap profesion keguruan hinggalah saya bersara pada 23 Julai 2001.

Kembali ke UM. Proses belajar diteruskan. Di samping membaca, saya membuat rujukan, mengulangkaji, membuat nota. Selepas setiap kali kuliah saya bergegas ke perpustakan untuk melengkapkan nota. Berlakulah proses pemahaman, meringkaskan nota, menyediakan nota pendek, menyediakan nota ringkas, melukis dan menulis berulang-ulang kali. Latih tubi. Menulis membantu saya mengingat. Fakta-fakta disusun supaya mudah diingat sama dalam bentuk puisi, kata-kata hikmat atau ayat-ayat lucu. Mungkin accronim lebih mudah dan ringkas. Kegilaan menulis berulangkali mengatasi kelupaan. Perkara yang diulang tentulah lebih melekat dalam minda.

Formula perlu ditulis berulang-ulang kali. Latih tubi. Lazimnya, ingatan kita perlu dididik dan dibangunkan. Orang-orang dahulu cukup kuat hafalan dan ingatan mereka. Di UM saya memungut banyak kertas terpakai. Kertas itulah saya gunakan untuk menulis formula, fakta, proses, kebaikan dan keburukan, unsur dan faktor, strategi dan prosedur. Kerja saya ialah tulis dan buang, tulis dan buang. Conteng. Catat. Conteng. Catat. Begitu juga yang saya amal sewaktu mendapatkan ijazah sarjana pendidikan dahulu. Ketika mengikuti kursus Sijil Pengajian al-Quran. Ketika mengikuti kuliah Diploma Eksekutif Usuludin dan sekarang ketika mengikuti Bachelor In Islamic Studies and Management at OUM . Itu cara saya membina ingatan. Latih tubi dan latih tubi.

Di University of Pittsburgh saya tiada masalah dengan kertas. Di makmal komouter melambak-lambak kertas terpakai. Tahulah orang Amerika. Kemewahan di mana-mana. Saya tidak pernah terputus bekalan kertas. Bersaiz besar pula. Printer semuanya bersaiz besar ketika itu. Komputer desktop. Laptop belum ada lagi. Kertas besar itu memberi saya kemewahan menggunakan kertas. Suasananya begitu. Kemewahan mereka melimpah kepada saya. Syukur.

Gaya saya belajar tidak dapat ditiru oleh rakan-rakan saya. Ada anak-anak saya yang mewarisi gaya saya. Orang lain sukar mengikuti jejak saya. Saya biasa belajar hingga larut malam. Damai selalunya. Waktu di sekolah menengah dahulu, jika membaca buku cerita saya selalu teruja hingga sukar tidur selagi belum tamat membaca buku itu. Esoknya saya masih boleh fokus sama ada belajar atau periksa. Seorang rakan cuba meniru cara saya belajar. Esoknya (periksa) dia tidak boleh fokus. Kepalanya kosong. Sukar berfikir kerana kurang tidur. Sebab itu rentak dan gaya belajar hendaklah yang sesuai dengan keperluan diri. Tidak boleh meniru-niru gaya orang lain. Kata peribahasa, ukur baju di badan sendiri. Ia bukan sekadar ungkapan. Bukan sesedap bahasa. Bukan penenang perasaan. Dalam perkataan yang membarisi peribahasa itu tersirat falsafah, cara hidup, adab hidup, adab sosial.

Selepas gagal tahun kedua saya membuat keputusan membawa isteri dan anak-anak saya ke Lembah Klang. Saya menyewa sebuah rumah setinggan di tapak Bandar Sunway sekarang. Nanti. Saya akan kongsikan pengalaman dari sana. Cerita dari seorang mahasitua yang juga bekas setinggan di Sungai Way, Selangor.