Sejak akhir-akhir ini kita banyak disajikan dengan
hal-hal yang ironis dengan keadaan. Penuh dengan keganjilan-keganjilan yang
sukar difahami. Sepertinya kita sudah hilang kawalan dalam banyak hal. Ibu dan
bapa umpamanya hilang kawalan terhadap anak-anak. Guru hilang kawalan terhadap
pendidikannya. Anak-anak muda dan remaja tergelincir ke dalam alam gelap yang
bukan masanya mereka terokai. Pemimpin pula hilang kewarasan bila berfikir dan
berbicara. Terdapat segolongan orang yang hanya dapat mengelengkan kepala. Suara
kebaikan tenggelam. Suara dakwah hanyut. Suara nasihat tidak kesampaian. Motivasi
sudah bukan ceritanya lagi. Andainya kita dapat berfikir sejenak kita
seolah-olah melihat suatu kehancuran bangsa yang memang dirancang. Memang dilorongkan
begitu.
1 Pembohongan dianggap benar kerana diulang dan berulang
disebut dan dipaparkan.
2 Kebaikan selalunya terlindung. Diselaputi dengan
fitnah yang diorkestrakan.
3 Dunia hiburan seolah-olah menentukan hidup atau mati. Selebriti
jauh diagungkan berbanding dengan mereka yang menjadi negarawan ulung. Atau yang
terkenal arif dalam bidang agama. Atau yang gigih usaha hingga berjaya dalam
dunia keusahawanan. Atau mereka yang berjaya dengan cemerlang dalam bidang
akademik.
4
Hedonism menghakis amalan agama.
a. Lebih menyanyi dari membaca al-Quran.
b. Lebih menghafal senikata lagu dari
menghafal al-Quran dan berzikir.
c. Lebih banyak ke konsert, panggung dan
pawagam dari ke masjid.
5
Kegilaan seks sudah tidak mengira usia dari yang tua
hingga yang kanak-kanak.
6
Maksiat pula ada di mana-mana.
Mari kita sorot kembali sejak awal tahun 2014:
1
MH370 hilang tanpa bekas.
2
MH17 hancur berkecai.
3
Kapal peronda TUDM hilang di Laut Cina Selatan.
4
Ribut berlaku di sana sini.
5
Buat pertama kalinya puting beliung berada di daratan (Pendang,
Kedah) sedangkan banyak kali ianya hanya di laut.
6
Kemalangan jalanraya semakin memberat. Semakin ramai
yang menjadi korban.
7
Pembunuhan semakin menjadi-jadi.
8
Pembuangan janin dan bayi bertambah berganda-ganda.
Menjadi pendidik sudah bukan lagi suatu nikmat yang
menyegarkan. Setiap hari ada sahaja yang mendebarkan. Yang memberatkan hati. Banyak
yang perlu dilakukan untuk memandaikan anak didik tetapi pendidik terikat dengan
banyak peraturan dan kekangan. Tidak pernah berlaku sedemikian semasa penulis
mengajar di sekolah menengah dahulu. Ramai ibu dan bapa tidak memahami tanggungjawab
pendidik. Ramai ahli masyarakat tidak membantu memapankan lagi sistem
pendidikan. Menamba mana yang kurang. Mengukuh mana yang lemah. Kesemuanya tertanggung
di bahu pendidik yang kadang-kadang tidak mendapat simpati atau empati dari
mereka yang menjadi boss kepada pendidik. Siapa sebenarnya yang perlu
diharap untuk membina bangsa. Membina negara. Kita tidak banyak opsen dalam hal
ini.
Jika kita
melihat kepada pendidik, tugas mereka melampaui profesion mereka. Mengajar
hanya sebahagian kecil dari tugas mereka. Banyak kerja perkeranian yang
sepatutnya dilaksanakan oleh mereka di bahagian perkeranian. Banyak kerja rumah
yang perlu disemak saban hari. Sekolah pula penuh dengan aktiviti yang bukan
akademik. Terlalu banyak. Menjadi KPI pula kepada pengetua atau guru besar. Secara
jujur apa impaknya kepada perkembangan diri pelajar. Apa impaknya kepada kepimpinan yang bakal
dilahirkan. Apa impaknya kepada kesejahteraan sosial. Apa impaknya terhadap
kemurnian agama. Apa impaknya terhadap masa hadapan bangsa. Sistem pendidikan
kita seperti banyak kelonggarannya. Ada yang tidak beres. Politik adalah sistem
yang mengawal pendidikan. Tetapi politik tidak boleh mempolitikkan pendidikan. Mempolitikkan
pendidik. Mempolitikkan pelajar. Mempolitikkan ibu dan bapa. Mepolitikkan institusi
sekolah itu sendiri. Perlu ada kelapangan berfikir, menganjak paradigma dan
mengarah kepada kesejahteraan jangkapanjang.
Ada dua perkara yang menyentuh hati penulis dalam
minggu ini. Kedua-duanya berkait dengan mereka yang mampu. Tanpa banyak
berfikir ianya boleh menjadi precedent. Ikutan. Sebuah hospital swasta
memberi tawaran percuma kepada seorang artis yang pada hakikatnya mampu
membayar. Hospital itu inginkan milage sebagai hospital popular. Sepatutnya
hospital menawarkan pakej terbaik dengan bayaran yang mungkin juga terbaik. Cuma
ianya disempurnakan mengikut kadar kos yang perlu dibayar. Kita banyak hilang priority.
Keutamaan. Yang berkemampuan diberi layanan percuma sedangkan yang tidak mampu
terkedu kaku dengan bayaran tinggi yang dikenakan. Apakah yang miskin tidak
boleh menuntut layanan seperti selibriti yang berkenaan kerana mereka memang tidak
berkemampuan. Pihak pengurusan hospital adalah mereka yang berpengalaman dan
tergolong dalam kalangan bijak pandai. Mengapa seorang professor terkenal tidak
mendapat rawatan percuma. Mengapa seorang pakar tidak mendapat rawatan percuma.
Mengapa seorang yang menjadi aset negara tidak mendapat rawatan percuma dari
hospital swasta.
Bagaimana seorang menteri berfikir dan berbicara. Pada
tahap tinggi atau pada tahap rendah. Mereka yang berkemampuan tinggi dimanjakan
dengan kadar cukai yang rendah. Takut mereka lari meninggalkan negara ini. Mari
kita semak. Mereka menjadi kaya kerana usaha mereka. Tetapi mereka menggunakan
sumber negara. Bahan mentah negara. Menggunakan tenaga warganegara. Menggunakan
elektrik yang dijana Tenaga Nasional. Menggunakan air bersih yang menggunakan
air aset negara. Sungai dan mungkin tasik milik negara. Bagi yang Muslim mereka
senyap-senyap membayar zakat. Bagi yang bukan Muslim tentu ada tanggungjawab
sosial. Social responsibility. Bukan perkara asing. Semua usahawan dalam
dunia mengetahui aspek ini. Malah ada doktor perubatan yang memberi rawatan
percuma. Ada peguam yang memberi perkhidmatan percuma. Tentulah wajar bagi yang
kaya melimpahkan sedikit kemewahannya kepada masyarakat di sekeliling mereka.
Kebajikan rakyat adalah tanggungjawab pemerintah. Cara
mengurus kebajikan hendaklah dilihat adil. Dilaksanakan dengan adil. Keadilan sosial
yang memberi impak kepada kebajikan itu sendiri. Kesemuanya disempurnakan
mengikut keutamaan. Priority. Kita tidak boleh lari dari kewarasan
berfikir. Perancangan kita untuk 2020 tinggal beberapa tahun sahaja. Kita masih
kekal berfikir pada tahap 20 tahun yang lalu. Tidak menampilkan pemikiran
tinggi. Yang berimpak tinggi. Yang produktivitinya berganda. Kita terlalu
banyak bergayut kepada yang lama. Gaya lama. Pemikiran lama. Tanpa pula ada rejuvenation.
Tidak dikembangkan sebagai sesuatu yang besar dan semakin menambahkan
kesejahteraan. Adakah kita menjadi Lebai Malang selamanya. Tidak mungkin hanya
cendol rujukan kita.