Sudah empat kali saya ke hospital swasta ini. Empat kali membawa bapa mertua saya memeriksa telinganya. Al-maklumlah sudah lanjut benar usianya. Pendengarannya sudah terganggu. Banyak peralatan tubuh yang sudah luput usia. Sukar hendak berbicara kecuali seperti orang bertengkar. Terpaksa bercakap kuat sedikit. Itu sahaja yang mampu untuk berkomunikasi. Diusahakan juga supaya bertambah baik pendengarannya. Namun seperti minyak di tangki, sudah hampir kering. Ditambahpun tidak memberi bekas. Namun begitu usaha tetap usaha. Kuasa Allah yang diharapdoakan.
Cuma hari ini Isnin 6 Jun 2011, bapa mertua saya agak kritikal pertanyaannya kepada saya. Dia memerhati keliling. Kenapa hanya ada beberapa orang Melayu yang dilihat. Hampir 99% adalah orang lain. Khususnya orang Cina. Saya hanya mampu memberi isyarat jari bahawa semuanya kerana wang. Geselan jari saya menunjukkan bahawa semuanya kerana orang Melayu tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkualiti tinggi. Yang lebih memberikan perhatian sewajarnya. Tidak pula saya mengatakan bahawa di hospital kerajaan atau di klinik-klinik seluruh negara tidak memberi perhatian. Layanan yang diberi sepadan dengan wang RM1.00 yang dibayar. Ruang hospital dikongsi pula dengan seramai-ramai rakyat jelata. Masa perlu dibahagi-bahagikan seupaya supaya setiap orang mendapat layanan seadanya. Tidak lebih dan tidak kurang. Ramai lagi yang menanti. Bukan seorang pesakit sahaja yang perlukan layanan paling mesra. Doktor sudah tidak mampu lagi menjadi terlalu personal. Kudratnya sudah sampai ke dasar. Habis terhakis. Doktor seperti tidak boleh untuk selesa bernafas. Hidupnya hilang seri. Kadang-kadang kemanusiaannya terlempar juga ke lantai tempatnya bekerja.
Senerio di hospital swasta jauh berbeza. Itupun saya kira ramai juga. Terpaksa juga menunggu sejam dua. Bukan seperti laluan ekspress. Penduduk semakin ramai. Yang sakit juga nisbahnya mengikut penduduk. Semakin ramai orang semakin ramai pesakit. Maka di hospital swasta juga ramai. Walau bagaimanapun bilangannya tolerable. Menasabahlah sejam dua. Bukan sehari atau dua hari. Datang tidak dijemput dan perginya tidak dipeduli. Bagi yang memiliki kemampuan elok benar melarikan diri dari institusi kesihatan milik kerajaan. Bukan benci. Kita harus melihatnya dari sudut lain. Sudut yang lebih positif. Bebanan kerajaan dapat dikurangkan. Tekanan kepada kewangan kerajaan dapat diampu sedikit. Sumber kewangan yang selalu berkurangan itu dapat diagihkan kepada keperluan lain. Memang menasabapun yang kaya membayar. Yang miskin mendapat subsidi atau diberi kebajikan. Jika membayar sekalipun jumlahnya boleh difikirkan menasabah.
Cuma yang mengganggu pemikiran saya ialah ketidakmampuan orang Melayu membiayai kos perubatannya sendiri. Bukan tidak ada orang Melayu yang mampu tetapi bilangannya mengikut statistik tidak signifikan. Tidak dilihat sebagai penting. Tidak lucrative dari segi ekonomi pada keseluruhannya. Mungkin paling tinggi sekadar 10% atau kurang. Soalnya kenapa. Kenapa selepas 55 tahun merdeka orangMelayu masih tidak mampu? Dulu semasa hendak merdeka ada yang menyanggah bahawa orang Melayu belum pandai membuat sebatang jarum, bagaimana nanti untuk mampu memerintah sebuah negara. Persekutuan Tanah Melayu ketika sebelum jadi Malaysia. Hakikatnya pernyataan itu kekal begitu. Memang belum ada orang Melayu yang membuat sebatang jarumpun. Kita kekal menjadi pengguna. Kembali kepada persoalan kita tadi. Kita sudah 55 tahun merdeka. Kehidupan kita bertambah baik tetapi tidak cukup baik untuk menyaingi taraf hidup orang lain yang tinggal di Malaysia juga. Di bumi bertuah ini juga. Di tanah merdeka ini juga.
Berbagai rancangan telah dilaksanakan. Mungkin ada dasar yang tidak mencapai realiti. Siapa orang Melayu sebenarnya. Siapa hakikat yang namanya Melayu. Yang bahasanya Melayu. Yang adat resamnya Melayu. Yang jiwanya Melayu. Saya selalu terusik bila dikatakan bahawa orang Melayu suka mengamuk. Kamus bahasa Inggeris satu dunia memuatkan makna dan erti amock (amuk) yang dimaktubkan dilakukan oleh orang Melayu. Penjajah British pula melabel orang Melayu sebagai ‘pemalas’. Bila kita baca Hikayat Pelayaran Abdullah Munshi lagilah diserlahkan kelemahan orang Melayu. Sudah hampir 200 tahun buku itu. Sudah dua abad lamanya. Kata-kata Abdullah itu memang menghiris. Namun hakikatnya itulah seperti dikata. Hingga sekarang saki baki sifat dan sikap Melayu seperti yang diamati Abdullah itu masih ada. masa 200 tahun tidak cukup untuk mengubah orang Melayu. 200 tahun bagi orang Amerika sudah mencipta tamadun dunia. Menjadi ikutan semua orang. Duni ini mereka yang punya. Kita pula hampir kehilangan kesemuanya. Yang dikejar keciciran.
Saya membesar sebagai anak merdeka. Sementelahan pula saya menjadi guru. Hati saya bagaikan remuk mendengar ungkapan bapa mertua saya pagi tadi. Sukar melihat orang Melayu yang berkemampuan untuk mendapat rawatan di hospital swasta. Longlai anggota tubuh badan saya bila mengenangkan semua itu. Kita telah lama tidur. Kita telah didodoi terlalu lama. Sejak tahun 1511 orang Melayu menjadi rakyat yang diperintah. Yang dijajah. Yang selalu dibelai. Yang selalu digula-gulakan. Hidupnya dilunakkan. Semangat juang yang wujud sebelum 1511 ditekan dan dipendam oleh penjajah. Portugis meninggalkan bekasnya kepada orang Melayu. Belanda juga meninggalkan bekasnya. Datang Inggeris dengan psikologi santunnya mencairkan semua yang ada berbaki di hati sanubari orang Melayu. Jepun menegakkan semula bulu roma yang tinggal. Tergerak semangat merdeka. Datang British semangat itu tidak padam bahkan mengandakan momentum hingga merdeka pada tahun 1957.
Berbagai raancangan dilaksanakan untuk membangunkan orang Melayu dari segenap segi. Dari fizikal ke material. Dari pemikiran dan psikologi. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Yang selalu elusif. Tidak dilihat oleh pemimpin yang di atas. Siapa sebenarnya orang Melayu. Tanpa mengetahui subjek ini kita banyak mencurah air ke daun keladi. Yang melekat terlalu sedikit. Mungkin, mungkin sahaja banyak pembaziran telah berlaku. Banyak yang dicurahkan tetapi mungkin ada kesilapan dari segi cara mencurahnya. The delivery system need to be overhauled. Reengineered. Sikap lackadaisical yang membarah pada orang Melayu dihakis. Disingkir jauh-jauh. Mereka banyak diberi tetapi tidak diminta komitmen bila diberi segala bantuan yang perlu. Dilepaskan begitu sahaja. Balasan kepda usaha itu tidak dihasilkan. Tidak diusahakanpun. Meminta tanpa berusaha membalas kembali. Selalunya orang yang menerima menyangka bahawa pemberian itu kontan begitu sahaja. Percuma. Tidak. Tidak ada lagi yang percuma sekarang ini. Setiap pemberian mesti ada cara lain untuk dibalaskan. Setiap pemberian adalah hasil pungutan dari orang yang lebih mampu. Sepatutnya ia seperti rantai. Ia berkait-kait antara satu sama lain. Apapun bantuan tidak sepatutnya berhenti pada seorang penerima sahaja. Ia harus menyampaikannya kepada orang lain. Jika boleh semua orang akan berada dalam kitaran bantuan yang perlu. Bersambung dan bertali arus.
Saya hanya ingin memohon beberapa perkara. Nanti sama-sama kita fikirkan:
1 Kurangkan pesta-pestaan. Mati jiwa kerananya.
2 Kurang atau hapuskan hiburan melampau. Menyesatkan kita dari landasan menuju wawasan.
3 Gandakan ilmu keibubapaan. Banyak belajar lagi. Anak-anak tanggungan kita. Untuk Allah. Untuk negara. Untuk umat. Untuk agama. Untuk saham akhirat kita.
4 Orang dewasa menjadi model bukan menjadi perosak. Makhluk perosak mesti disekolahkan semula.
5 Mohon jasa baik pemimpin untuk memimpin rakyat di bawah untuk mendepani realiti. Rakyat hanya memandang kepada pemimpim. Mereka perlukan pimpinan. Bukan gula-gula. Kita inginkan manis yang abadi. Bukan yang sementara.
6 Pendidikan agama dimartabatkan. Dipandang tinggi. Diberi nilai ekonomi. Nilai sosial.
7 Motivasi dan psikologi yang lestari dengan kehendak semasa. Ingatlah masa hadapan yang perlukan suluhan cahaya. Bukan usaha memadamkan terang yang ada.
Doa dan harapan saya. Semoga Allah mengkabulkannya.