Friday, October 18, 2013

Menilai Jauh Pasangan Hidup Sendiri




Sudah berapa lama anda berumahtangga. Cuba kira. Bila kali terakhir anda muasabah diri tentang hidup berumatangga dengan pasangan anda. Bagi yang baru bernikah, tentulah masih terasa manis-manisnya. Keindahan berseni yang Allah anugerahkan untuk pasangan yang sah dan halal. Untuk yang sudah beranak satu atau dua, inilah masanya menguji diri. Hidup berbulan madu hanya sementara. Jika ingin madu itu berkekalan anak-anak itulah madu-madu yang enak melepasi tenang minda. Ada yang sudah beranak pinak. Sudah lama. Anak sudah besar-besar. Sudah banyak yang dilalui. Asam garam yang berbagai rasanya. Olahan hidup yang berbagai ragamnya. Hidup berterusan. Yang bermenantu dan bercucu rasanya sudah amat jauh perjalanan dan pengalaman. Yang sudah jadi warga emas lagilah banyak liku dan simpang yang telah direntasi. Mencari destinasi yang tetap terus indah di hadapan. Masih mengejar pelangi hingga ke senja.


Ingatkah anda ketika mula berbulan madu dahulu. Dari malam pertama yang jika boleh jangan ada siangnya. Biarlah malam terus berulit. Rindu yang terlalu panjang untuk diurai. Maka malam-malam itu sendiri dirindui sepanjang malam-malam yang berikutnya. Bersemadilah dua cinta yang selalu lara menanti masa. Terlalu rindu walau tiada jauhnya. Walau tiada jarak masa. Walau tiada jarak tempat. Seharian bertemu tetap bertahta rindu yang sama. Waktu bercinta dan waktu bertunang sama sahaja. Hanya melengahkan kerinduan yang tidak kunjung padam. Yang tidak menjanjikan apa-apa kesempurnaan cinta dan rindu. Masih ingat bantal yang selalu basah. Hingus yang selalu mengalir. Mandi yang airnya tidak membasahi kulit. Makan yang tidak mengenyangkan kerana lambat kunyahnya. Lambat telannya. Masin yang terasa masam. Manis yang terasa pahit. Sebenarnya lapar berlalu begitu sahaja. Tiada pula kenyang mengisi kerinduan. Masa pula terlalu lama beredarnya. Rindu dan rindu. Lemas tangan menggapai rasa.


Tetapi bulan madu itu terlalu pantas. Bersilih ganti dengan menanti orang baru. Cahaya mata yang juga dirindui. Diharap pengikat kerinduan yang memanjang. Dikaulah ibu kepada anak-anakku. Dikaulah bapa kepada anak-anakku. Menjadi ibu dan bapa yang diramaikan dengan anak-anak. Suatu fasa hidup berumahtangga untuk mengingat kembali tanggungjawab kemanusiaan. Kita pernah dilahirkan, dibelai, dibesarkan, dipandaikan dan dijadikan manusia berguna. Apabila beranak pinak kita melestarikan kesinambungan warisan keluarga. Merealisasikan kemanusiaan. Membalas budi kepada yang hak. Kita dibelai ibu dan bapa hingga kita berkerjaya dan berumahtangga. Itulah saatnya kita mengambil tugas ibu dan bapa kita. Untuk masa lalu kita kembali membalas budi. Malah mungkin membayar hutang yang ditanggung oleh ibu dan bapa kita. Ketika kita beranak pinak ibu dan bapa kita telah lewat usianya. Ketika mereka memerlukan bantuan dari anak-anak.


Bantuan itu tidak semestinya material. Walaupun material itu tetap penting kepada ibu dan bapa. Bantuan fizikal amat diperlukan terutama kepada ibu bapa yang keuzurannya tambah merumitkan. Mereka pula yang perlu dibelai. Diberi segala tumpuan dan perhatian. Bantuan dan pertolongan yang berbagai. Pada masa yang sama anak-anak yang di bawah umur perlukan juga perhatian. Memberi perhatian kepada kedua ibu dan bapa adalah masa lalu yang wajib dikenang. Melaksanakan tanggungjawab kepada anak-anak adalah masa hadapan yang kita bina untuk generasi tinggalan kita kelak. Ketika anak-anak sudah meninggalkan rumah, yang ditinggalkan ialah kedua ibu dan bapa. Sewajibnya tumpuan kita adalah kepada kedua mereka. Antara cucu dan ibu bapa maka yang lebih utama ialah ibu dan bapa. Cucu-cucu kita ada ibu dan bapanya. Maksudnya anak-anak kita ada anak-anak yang perlu diurus. Ibu bapa kita sudah tidak ada anak-anak yang perlu diurus. Ramai antara mereka tidak sempurna mengurus diri mereka sendiri. Ketika itulah kita yang menjadi anak-anaknya menggandakan tugas mengurus mereka. Menyenangkan hati mereka. Meriangkan suasana seperti sewaktu kita kecil-kecil dahulu. Bawa cucu-cucu untuk menziarahi moyang mereka sekerap yang mungkin. Supaya nanti cucu dan cicit kita juga menjalankan tugas yang sama kepada kita. Kitaran yang seharusnya intim yang berkekalan.


Dalam sibuk-sibuk hidup itu bagaimanakah anda menyantuni pasangan anda. Seperti ada yang sudah keletihan kerana bertahun-tahun melayani karenah pasangan masing-masing. Sudah sama-sama tua barangkali. Sudah malas bersama. Merasa cukup bersama kelibat masing-masing sahaja. Fikirkan sejenak. Kedua ibu bapa kita sudah terlalu tua. Mungkin sudah tiada. Anak-nak sudah memiliki urusan mereka sendiri. Ketika itulah sewajarnya kita kembali kepada pasangan masing-masing. Bukan anak-anak atau cucu-cucu. Liku-liku hidup bersama yang sudah terlalu lama dan panjang. Asam dan garam yang sudah terlalu banyak dikecap. Alun dan gelombang yang berbagai badainya sudah dilalui. Tentu kembali kepada fitrah itu lebih indah.


1       Pasangan kita adalah pilihan kita sendiri. Dicintai dan disayangi separuh mati.
2       Mungkin dipilih untuk kita. Kita jatuh cinta kepadanya setelah lama bersama.


Pandang kembali pasangan anda. Tanpa mengira usianya. Tanpa mengira perubahan saiz fizikalnya. Tanpa memikirkan keuzurannya. Ingat kembali semasa mudanya. Semasa cantiknya. Semasa masnisnya. Semasa kulitnya masih gebu. Semasa matanya masih menyilau apabila dipandang. Semasa giginya berbaris rapi mewarnai senyumnya. Semasa jelingannya memukau rasa. Semasa cubitannya mencengkam sayang. Semua masa itu sudah berlalu lama. Namun secara fizikalnya masing-masing masih tetap hadir dalam sanubari masing-masing. Masih perlu dan memerlukan. Jangan dustai dirimu. Jangan menyangkal fitrah cinta dan sayang. Kasih yang semerbak wangi jika tahu renjis dan siramnya. Bukankah dia tetap muda di hati. Subur pada perasaan. Segar menawan mata memandang.


3       Berapa kali anda sentuh dirinya dalam sehari.
4       Berapa banyak khidmat yang anda beri untuk menghiburnya.
5       Bagaimana anda menyalakan obor kasih dan sayang yang panjang berzaman.


Ukuran mata selalu mengelirukan. Mengecilkan yang besar tersergam. Andainya mata hati dan perasaan dapat digubah dan dianyam indahnya. Pasangan kita sebaik-baik insan untuk kita. Dia telah memberikan banyak kebaikan. Banyak keindahan hidup bersama. Banyak kenangan yang dialbumkan dalam minda kenangan. Nukilan rasa yang diabadikan dalam lipatan sejarah keluarga. Biasalah apabila sudah melalui waktu-waktu luput usia banyak yang terpaksa diakur mengerti. Pendengaran yang meragu maksud. Penglihatan yang meragut jarak. Kesihatan yang diinjak uzur. Alangkah, alangkah manisnya jika rasa rindu masih semerbak. Kasih masih memanjat tinggi. Sayang masih memanjang waktu. Rangkaian dua hati yang membesar bak sesawang putih. Bersih dan suci. Menanti dan terus-terusan memerangkap rindu. Menggamit kasih.



Janganlah mengerdip pada yang lain. Cukuplah pasangan anda teman sejati hingga ke mati. Teman yang terlalu mengerti tentang kita. Yang telah menerima kita seadanya. Yang telah mencambahkan zuriat pewaris keluarga. Kepada Allah kita panjatkan  doa kesyukuran. Pasangan kita bukan calang-calang orang. Insan istimewa yang selalu di samping kita. Senang bersama tawanya. Susah bersama tangisnya. Penghibur jiwa lara sepanjang masa. InsyaAllah tambatan kasih bertaut lama. Abadi hingga ke syurga. Amin.