Rasanya semua orang tahu jalanraya. Tahu akan fungsinya. Mungkin lain orang lain persepsinya. Ada yang melihat jalanraya sebagai sesuatu yang ‘raya’ iaitu besar dan gah. Suatu kebanggaan negara. Suatu kemegahan bangsa. Besar dan lebar. Panjang dan mengufuk. Tanda kemajuan. Tanda kemewahan. Tanda kegemilangan bernegara. Setakat mana sebenarnya kita melihat jalanraya. Sekadar untuk kita merentasnya. Mungkin untuk hilir mudik menikmati gahnya. Atau mungkin juga untuk turut sama berkongsi santai nikmat negara berdaulat. Yang diperintah sendiri. Yang dulunya diperah dan dikerah. Yang segala kekayaan asetnya dipunggah pergi. Ditinggalkan sisa yang harus pula dilapah bersama. Dalam pada itu ramai juga yang rakus. Semuanya mahu dihimpun sendiri. Jiran dan saudara yang lain ditolak ke tepi.
Jalanraya bukan sekadar jalan. Bukan hanya laluan. Bukan menjadi rentasan semata-mata. Di atas batu aspal itu terukir cita-cita suatu bangsa. Teranyam suatu mimpi benar. Mengalirlah di atasnya denyut nadi negara dan warganya. Yang bandar bukan lagi jauh. Yang hulu bukan lagi terpisah. Utara dan selatan selalu bertemu. Timur dan barat selalu bersama. Perjalanan bukan lagi sesuatu yang menjadi igauan. Bukan lagi melalui belok dan selekoh tajam yang mengancam. Perjalanan bukan lagi berjadual. Semuanya boleh berlaku saban waktu. Masa sudah bukan lagi milik siapa-siapa. Semua orang boleh memilih ikut keutamaan. Yang penting perjalanan boleh dirancang dengan santai. Yang perlu dijaga hanyalah kenderaan. Pemandunya yang menjaga kantuk. Yang tahu bila untuk tidur. Keselamatan kenderaan dan penumpang perlu diutamakan kesemuanya.
Sekarang cuba pejam mata sebentar. Lihat bayangan jalanraya. Lihat lintasan teknologi. Untuk membina jalanraya perlukan teknologi yang semakin tinggi kualitinya. Bahan-bahan binaannya semakin canggih. Kaedah dan prosidurnya semakin berlainan dari dahulu. Jadual kerjanya tentu sekali mengambil waktu yang terpantas kerana masa adalah wang. Masa itu emas. Pekerja yang terlibat juga bukan calang-calang. Berbagai warganegara terlibat. Lihatlah, ada warga Bangladesh. Ada warga India. Rasa-rasanya ada warga Indonesia. Di mana warganegara kita? Ramai yang menyingkir. Kerja berat di tengah panas terik itu bukan lagi pilihan. Banyak lagi tempat yang lebih kondusif. Sejuk dan terlindung dari matahari. Lebih nyaman. Jadual kerja lebih predictable. Lebih fleksibel.
Cuba lihat bayangan ekonomi. Setiap saat meluncur laju lori dan tariler. Besar dan panjang. Bergegaran sepanjang siang dan malam. Muatan yang diminta oleh segenap peduduk. Yang diangkut dari segenap tempat. Jalanraya adalah penghubung talian hayat warganegara. Makan dan minum digerakkan di jalanraya. Sandang dan pakai juga begitu. Seolah-olah hidup dan mati kita bergantung kepada jalanraya itu. Kerananya hadlaju selalu tidak dipatuhi. Manusia yang memandu menjadi gila sebentar. Bukan gila biasa. Kebanyakan mereka mabuk kerana nikmat yang terlalu besar. Hilang pertimbangan untuk mengurus jalanraya itu. Maka jalanraya menjadi kuburan besar. Terlalu ramai yang tertarik untuk disemadikan di atasnya. Sepanjang lebuhraya menjadi perangkap maut yang sengaja dipasang. Bukan dipasang tetapi dicari. Dikejar dan seolah-olah dirindui.
Merempit dan lumba haram adalah salahguna jalanraya. Hilang fungsi positif yang memperkayakan negara. Yang memperkayakan bangsa. Yang membina tamadun. Mungkin jika dihubungkan jalanraya itu dengan teknologi akan dilihat jalanraya itu dengan perspektif yang berbeza.. Jika dikaitkan dengan pendidikan tentu natijahnya menginsafkan. Sekiranya kita melihat dari sudut agama tentu kita akan melihat kebesaran Allah. Manusia diberi ilham untuk meneroka dan menyelidik. Darinya diri akan menyatu dengan kebesaran Allah. Kembali kepada iqra’. Permulaan yang memerintahlan manusia untuk membaca semua tanda dan isyarat yang boleh dibaca. Jangan hanya membaca tulisan. Warna, saiz, suhu dan berbagai tanda yang lain mesti dibaca dengan akal budi yang tinggi. Tidak mungkin kesemuanya ada tanpa izin Allah. Mesti diinsafi untuk melihat kekerdilan diri.
Banyak negara yang menjadikan jalanraya sebagai jalan keselamatan. Keluasannya bukan sahaja untuk memudahkan pemanduan. Bukan sekadar untuk bersantaian. Tersirat padanya jalur keselamatan jika perang berlaku. Jet pejuang boleh mendarat dan terbang. Touch down dan take off. Perang bukan sesuatu yang terlalu jauh bagi mana-mana negara. Lihat Korea Utara dan Korea Selatan. Lihat bagaimana ancaman yang dikenakan kepada Iran. Afghanistan dan Iraq tidak aman-aman. Begitu juga Syria dan Yamen. Cina dan Taiwan tidak damai-damai juga. Sebab itu jalanraya bukan sekadar jalanraya. Di US umpamanya jalanraya sentiasa dalam keadaan tip-top. Rata, cantik dan menjadi nikmat bagi pemandu. Perancangan dan pembinaannya mengambilkira aspek yang berbagai. Keselamatan penggunaannya hanya satu aspek kecil. Padanya terdidik warganegara yang bersopan di jalanraya. Tahu menghargai nikmat. Menyumbang untuk menjadikannya nikmat bersama. Pemandu gila yang kita lihat di TV bukan suatu norm. Itu hanya cereka untuk filem atau drama. Realitinya mungkin ada tetapi hanya berlaku dalam kes-kes terpencil. Orang jahat ada di mana-mana. Pemandu mabuk ada di mana-mana.
Sekarang buka mata kita. Realiti di hadapan mata. Pemandu ramai yang memotong di lorong kecemasan di sebelah kiri. Di lorong luar untuk kenderaan yang bermasalah. Jenuh diperingatkan tetapi seperti tiada kesannya. Yang dipandu bukan calang-calang kereta. Siapa agaknya yang memandu Mercedes atau BMW. Atau Alphard. Atau CRV. Bukan calang-calang orang. Malang sekali kerana kenderaaan tidak mencerminkan nilai dan kualiti pemandunya. Nilai pemandunay terlalu rendah berbanding dengan nilai kenderaan yang dipandu. Atau penumpangnya mungkin. Undang-undang dan peraturan jadi mainan. Saya teringat falsafah jalanraya di US. Intipatinya begini, you have no right to use the road unless you share with other users. Jalanraya adalah milik umum. Untuk maslahah awam. Itu baru pemanduan. Kita belum lagi bercerita tentang sampah yang melayang keluar dari tingkap dan pintu kenderaan. Masing-masing menyangka lebuhraya adalah tong sampah besar. Jika itu persepsinya maka tentu akan dikira sampah semua yang berada di atas jalanraya itu. Suatu senerio yang tentu agak memualkan.
Kita banyak slogan. Banyak impian positif untuk menjadikan jalanraya seindah namanya. Semua orang boleh menikmati ‘raya’nya. Maka ia perlukan pendidikan yang panjang prosesnya. Kita mesti mengetahui matlamat yang hendak dikejar. Objektif yang hendak dicapai. Lalu kita membentuk peradaban. Manusianya yang penuh dengan adab. Berfalsafah. Membina norma-norma yang terkehadapan. Memiliki kemanusiaan yang tinggi menjulang. Untuk itu jalanraya bukan sekadar untuk dilalui. Kita melihat tamadun di sepanjang laluannya. Kita melihat budaya di atasnya. Kita melihat manusia berakhlak mulia menjadi pemandunya. Jalanraya adalah binaan yang tidak pernah kukuh dan kekal. Ia perlukan penyenggaraan. Dipantau dari lubang dan lopak. Dari rekah dan pecah. Andainya kesemuanya ini menjadi realiti tentu kos untuk menggunakan jalanraya semakin berkurangan dengan signifikannya. Hospital tidak banyak dihuni oleh mereka yang celaka di jalanraya. Kita tidak kehilangan modal insan yang masih tinggi produktivitinya. Tidak banyak yang sia-sia.
Kita ada pemantauan polis secara berkala. Itu tidak mencukupi. Kita tidak ada highway patrol seperti di US. Polis trafik ada di mana-mana. Hadlaju maksimum adalah 55 bsj atau 90kmj. Kelajuan yang melebihinya pasti dihambat sama ada kereta peronda atau peronda bermotorsikal berkuasa tinggi. Kita di sini menggunakan jalanraya sesuka hati. Di negara maju seperti US banyak pantang larangnya yang wajib dipatuhi pemandu. Kelajuan hanya satu aspek. Keadaan kenderaan satu aspek lain. Tayarnya mesti berbunga supaya apabila dibrek boleh berhenti seperti dikehendaki. Begitu juga apabila hujan dan jalan bersalji. Akan terhindar hydroplaning. Luncuran atas air. Lampu besar yang semestinya hidup. Lampu merah yang terus menyala. Banyak sungguh kenderaan kita yang tiada lampu merah. Lampu besar yang hanya sebelah sahaja. Di US kenderaan seperti itu pasti dihentikan perjalanannya. Polis akan mengarahkan kereta itu dibaiki. Disempurnakan kegunaannya di jalanraya.
Kadang-kadang saya kesal dengan kenderaan yang memasang lampu tambahan. Ramai pemandu yang mahukan supaya kenderaan mereka dilihat dari hadapan. Dari jauh. Pada waktu malam. Waktu hujan. Waktu berkabus. Waktu suram. Malangnya yang saya lihat bukan begitu. Lampu-lampu tambahan itu dipasang sepanjang masa. Yang pastinya hanya menyilaukan orang di hadapan. Jadi penasaran kita dibuatnya. Lampu untuk menyuluh jalanraya akhirnya menjadi penyuluh mata. Sakit dipanah pancaran yang sangat terang. Silau yang amat sanagat. Itulah antara kegilaan di jalanraya. Kita ada highway code. Ada sejak dari British dahulu kala. Kita perbaiki dari masa ke semasa. Pendidikan di jalanraya masih belum sampai hajatnya. Adab di jalanraya masih belum menjadi darah daging. Kita tidak berkongsi jalanraya bersama pengguna lain. Jika sikap kita payah berubah maka payahlah perubahan akan dijelmakan. Jalanraya tinggal ‘raya’nya. Hilang seri fungsinya. Hanya kita yang mampu mengubahnya. Tepuklah dada, tanyalah hati. Jentik akal untuk kita fikir-fikirkan bersama.