Hari ini 2 Ramadhan. Hanya tinggal 27 hari lagi. I Syawal menjelang tiba. Pasti tiba. Yang tidak pasti ialah kita. Pertama mungkin tidak menemui Syawal itu. Keduanya layakkah kita merayakannya? Kenapa? Ramadhan ini sempurnakah seperti yang dituntut. Kewajipan yang di dalamnya penuh cabaran. Dugaan kesabaran. Ujian keimanan. Mencari manusia Muslim dan Muslimat. Yang cintakan Ramadhan dengan sepenuh jiwa raga. Menatang datangnya. Mengelus hadirnya. Menimang siang dan malamnya.
Firman Allah yang mafhumnya, “Wahai! Orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti juga telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.” Puasa adalah hanya untuk orang yang beriman. Baru ada iringan pahala dan syurga. Bagi orang yang tidak beriman, mereka berpuasa juga. Orang agama lain berpuasa juga. Berdasarkan maksud ayat di atas hanya yang beriman sahaja diambilkira puasanya. Umat terdahulu (yang beriman) telah mengerjakan puasa. Kita bukan yang terpilih sahaja. Allah memberi suatu motivasi bahawa ganjaran berpuasa ialah taraf bertaqwa. Tetapi tentu ada syaratnya.
Puasa dimaklumi sebagai menahan lapar dan dahaga. Namun maksudnya diperluaskan bahawa yang lebih besar dipuasakan ialah hawa nafsu. Nafsu seks hanya satu aspek sahaja. Mungkin yang dikira tidak besar. Mempuasakan hawa nafsu dari kehendak yang tidak terbatas itu yang lebih besar. Memerangi musuh yang nyata di medan perang jauh lebih mudah berbanding memerangi kehendak hawa nafsu yang datangnya sangat menyulitkan. Yang banyaknya menakutkan. Yang bahayanya menggusarkan. Ia tidak kelihatan di mata kasar. Hanya dilihat dengan mata hati. Dirasa oleh orang yang punya diri. Apabila berlaku maka dirasa kejanggalan yang tidak terkira.
Bagaimana kita menerima kedatangan Ramadhan. Suka? Duka? Masih berbaur lagi. Allah. Masihkah kita di takuk lama. Pernah fikirkan bahawa Ramadhan ini mungkin yang terakhir. Mungkin hanya di awal. Atau di tengah. Atau di penghujungnya. Sebab? Usia kita semakin mengurang. Dihakis lama. Ditolak gunanya. Tempohnya telah ditentukan sejak azali. Kita mengira kurangnya. Bila akhirnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Jika Ramadhan ini yang terakhir ahlamdulillah. Kita masih bersamanya. Tahun hadapan belum tahu lagi.
Ramadhan ini sangat istimewa untuk seluruh umat yang beriman. Padanya diturunkan al-Quran. Padanya malam Lailatul Qadar. Padanya segala amalan digandakan. Diganda-gandakan. Bukan ganda dua. Bukan ganda tiga. Tetapi gandaan yang sukar terfikir kerana kata ulamak gandaannya 70 kali. Malamnya solat tarawih. Siang dan malamnya dibacakan al-Quran. Waktu berbukanya adalah saat kegembiraan. Waktu sahurnya nikmat berjaga di hujung malam. Fikirkan. Fikirkan. Aduhai! Syahdunya. Allah Maha Besar. AnugerahNya melimpah-limpah. Andainya kita dapat melihat. Andainya dapat melihat gunung intan yang sebesar-besarnya. Mahligai yang teramat besar dan agam. Allahuakbar. Alangkah nikmatnya jika dapat dilihat semua itu.
Hanya yang beriman dapat melihatnya dengan iman mereka. Dengan kekuatan dalaman mereka. Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Pahala itu benar. Syurga itu benar. Ramadhan al-mubarak. Bulan besar di sisi Allah. Di seluruh dunia manusia yang beriman berpuasa. Menanti datangnya Ramadhan untuk mencari radha Allah. Menunggu Ramadhan untuk lebih dekat di sisi Allah. Cuba renungkan. Renungkan dalam-dalam. Dari Subuh tadi kita berjaga. Siang ini kita berpuasa. Maghrib nanti kita berbuka. Malam nanti kita bertarawih. Sebelum subuh esok kita sahur lagi. Siang dan malam ini mudah-mudahan kita dalam peliharaan Allah. Iblis dan syaitan nyahlah kau dari menggodaku. Semoga rantaian ke atasmu lebih besar dan lebih kuat. Allah. Aku ingin menikmati RamadhanMu. Bersama nikmat yang mengiringnya.
Benarkah Ramadhan ini yang kita tunggu. Atau hari raya yang selalu mengimbau kalut adat beradat. Sampai bila agaknya kita memberi keutamaan kepada Ramadhan. Ala kadar menyambut idul fitri. Bukankah waktu berbuka pada hari terakhir Ramadhan melebihi hari raya. Setelah setiap hari kita beraya dengan berbuka, hari terakhir itu lebih besar rayanya. Benarkah begitu. Ayuh cuba rasakan. Bukankah Ramadhan nanti meninggalkan kita. Kita ditinggalkan penuh kesayuan. Bukan hari raya yang tidak dirayakan. Bukan kuih muih yang ditangisi. Bukan baju cantik yang dirindui. Kita akan kehilangan Ramadahan. Kita akan ditinggalkan Ramadhan. Ramadhan akan pergi jauh. Pergi lama untuk setahun yang panjang. Yang akan nanti dirindui. Diulit rasa resah dalam penantian yang menyesakkan. Datangkah lagi. Sampaikah nanti terpaannya. Syahdunya.
Malangnya diri. Puasa belum, hari raya diri yang disediakan. Segalanya fokus kepada hari raya. Di mana keutamaan Ramadhan. Sepatutnya Ramadhan ini adalah pesta ibadat. Pesta mencari pahala. Mencari redha Allah. Bukan pesta makan. Bukan pesta merancang hiburan untuk hari raya. Hari raya hanya sehari. I Syawal. Hari kedua sudah berpuasa semula. Begitulah hingga hari ke-7. Selepas itu berhari rayalah. Maaf sudah naik kerja. Anak-anak sudah sekolah semula. Jika kita fikirkan dalam-dalam, hanya ibadat sahaja yang kekal abadi. Buat semuanya yang namanya ibadat. Yang positif. Yang memberi ganjaran pahala. Yang agama perintahkan. Yang Allah garispandukan. Yang Rasulullah dakwahkan. Yang alim ulamak selalu laungkan.
Tahniah kepada saudara-saudara yang di utara kerana kesabarannya yang amat tinggi. Sekarang summer. Waktu siangnya amat panjang. Mungkin hingga 16 jam. Panas terik. Suhu tinggi. Cuasa cerah. Puasa tetap puasa. Don’t you feel hungry? Jawablah. Of course I’m. Then why don’t you eat and drink? Thank you. This is my religion. This is my choice. I’m testing my iman. My belief in Allah. He The Almighty. Saudara kita di selatan sedang winter pula. Yes, the day is shorter. Could be 8 hours. Yet it is cold. Saudara di utara tentu dahaga kerana panas. Saudara di selatan berasa lapar kerana sejuk. Ujian ke atas mereka cukup berat. Bagi kita di Malaysia semuanya predictable. Puasa kita merata dalam 14 jam. Dari dahulu hingga sekarang. Hingga akan datang barang kali.
Mari kita muasabah diri. Ramadhan ini kita mencari redha Allah. Bukan redha manusia. Allah melihat kita. Hanya mereka yang mengerti maksud ihsan dapat merasakan dekatnya Allah. Sekarang kita bersama Ramadhan. Ia singgah sebentar. Tidak lama. Ia akan berlalu. Kita yang tinggal. Yang kita dahagakan ialah tarbiahnya. Tahun hadapan hanya milik Allah. Mudah-mudahan kita kembali kepada yang hak. Mencari redha Allah. Ingin dekat di sisiNya. Masa kita semakin hampir kepadaNya. Usia kita semakin terhakis. Yang tinggal ini hanya amanah dan pinjaman. Semuanya milik Allah. KepadaNya kita akan kembali dan dikembalikan. Ramadhan semoga sentiasa di hati.