Thursday, February 11, 2016

Masihkah Kau Ingat



Masihkah kau ingat sewaktu kecil dahulu. Sewaktu kau sangat kecil. Sewaktu kau belum tahu apa-apa. Sewaktu kau hanya mahu semua yang kau nampak. Sewaktu kau tamak hendakkan semua yang ada di hadapan mata. Kau kedekut pada kakak dan abang. Kedekut pada adik-adik. Malah kau kedekut pada ibu dan ayah kau. Masa kau ketka itu tahunya hanya banyak menangis. Masa kau tahunya banyak menjerit. Dunia ini kau mahu segala-galanya. Tidak boleh untuk orang lain. Malah untuk ibu dan ayah juga tidak boleh. Segala-galanya untuk kau seorang sahaja. Matamu jadi gelap. Telingamu jadi tertutup. Perasaanmu jadi terhijab. Orang lain di sekeliling kesemuanya tidak ada dalam perkiraan. Yang penting diri kamu sendiri. Jarak masa hanya sementara. Rupanya apabila kamu tua sifat sewaktu menjadi kanak-kanak kembali kepada dirimu. Semua yang ada ingin kau miliki. Tidak ada yang ingin dikongsi. 

Masihkah kau ingat sewaktu kau meraung meminta mainan di kedai dahulu. Kau meminta dengan tangis mainan pistol dan pedang. Kau minta patung dan periuk masak-masak. Itu belum baju gaun warna merah berenda-renda. Masihkah kau ingat sate yang tidak mampu dibeli. Anggur yang hanya mengecurkan air liur. Rojak yang hanya mampu dihirup baunya. Roti canai yang hanya wangi rangupnya. Baju raya yang sangat kau idamkan. Kau tangisi. Kau jerit sekuat hati. Kesemuanya untuk kepentingan diri. Masa itu kau kuasai suasana. Bentak kakimu sangatlah kuat. Tidak peduli rasa sakit. Nanti bila tidurmu ibu dan ayahlah yang mengelus dan mengurut. Tidurpun rengekmu sangat kuat. Kasih sayang ibu dan ayah kekal dalam ragam dan tangismu. Kamulah anak mereka. Malah kasih sayang ibu dan ayah tumpah kepadamu. Tidak ada pilih kasih. Siapalah kamu jika bukan cahayamata ibu dan ayahmu.

Ingatkah sewaktu air besarmu merata-rata di ruang tamu. Air kecilmu meresap di karpet tebal baru dibeli. Ingatkah makanmu bersepah di meja makan. Minummu tumpah di lantai. Bajumu basah dan comot. Mulutmu penuh kotor nasi dan lauk-pauk. Kerusimu tiada ruang yang tidak kotor. Ketika itu ada tangan-tangan sabar yang mendamaikan ragammu. Sabar menyuap makanan ke mulutmu. Menghapus sepah dan sampah. Minyak dan lekit gula yang memualkan kepada mereka yang tidak mempunyai anak. Tetapi tidak bagi ibu dan ayahmu. Kamulah anak mereka. Tidak ada yang lain. Sepahmu menghiburkan. Tangismu mendamaikan. Ragammu bertingkah dengan kasih sayang mereka. Mana ada pilih kasih yang datangnya dari hati mereka? Yang terpamer hanya kasih dan sayang. Hanya kasih dan sayang. Hanya kasih dan sayang. Kamu menjadi harapan sehingga usia lanjut mereka. Harapan mereka. Tiada anak yang berkemampuan memenuhi harapan itu. Mungkin sebahagian kecil sahaja. Terlalu sedikit bilangannya. Anak-anak yang mendapat hidayah Yang Maha Mengetahui.

Ingatkah sewaktu sakitmu diusap sayang oleh ibu dan ayahmu. Demammu dituam dengan kasih. Kembungmu diurut dengan tanggungjawab. Penatmu diriba mesra. Rajukmu disapa ramah. Siangnya kamulah cahaya. Malamnya kamulah bulan. tertumpah segalanya kepada kamu. Anak yang memang diharap untuk berjasa kepada orang tua. Kepada ibu dan ayah yang menyayangimu. Rupanya masa menjarakkan dua hati. Hati anak tidak sama dengan hati dan perasaan ibu dan ayah. Sebagai orang lama, ibu dan ayahmu ada tradisi yang mereka pelihara. Anak-anak yang selalunya mencipta standard yang bercanggah dengan tradisi amalan ibu dan ayahmu. Maka terciptalah kelainan dan perbezaan. Itu yang akhirnya kamu besar-besarkan dan kamu jadikan sumber keresahan. Bahawa ibu dan ayahmau pilih kasih. Hanya setelah kamu tua nanti barulah datang perasaan itu kembali menghantui jiwa tua. Kitarannya pasti datang dalam bentuknya yang tersendiri. Ingatlah bahawa ibu dan ayah adalah dua sosok yang tidak boleh dilukai hati dan perasaannya. Allah tidak redha kerananya! Allahu akbar!

Ingatkah sewaktu makanan tidak cukup, kaulah yang diutamakan. Ketika ibu dan ayahmu menahan lapar, kaulah yang dikenyangkan. Ketika ayahmu ketiadaan wang, apa yang ada diserahkan kepadamu untuk sekolahmu. Keupayaan menanggung anak-anak bukan kepalang sukar dan susahnya. Kebetulan zaman kau kecil bukan zaman mewah. Bukan zaman wang datang melimpah. Zaman itu kesemuanya dicatu. Disukat mengikut kemampuan. Yang penting kau dan keluargamu terus hidup. Kesinambungan sebuah keluarga yang hidupnya penuh dengan kesukaran. Kais pagi makan petang dan kais petang malan pagi. Meminjam bukan perkara asing. Terlalu banyak kali dilakukan demi sesuap nasi. Demi kehidupan anak-anak. Tidak ada anak yang memahami peritnya menjadi orang tua. Hanya apabila masing-masing menjadi tua barulah Allah berikan sedikit pengalaman menjadi ayah dan ibu. Tetapi hidupmu dalam zaman yang jauh sangat mewah berbanding ketika kau kecil dahulu.

Itulah sewaktu kecilmu. Itulah semasa kanak-kanakmu. Itulah sewaktu semuanya tidak cukup. Semasa semuanya tidak ada yang lebih. Semasa hidup serba susah. Sewaktu kehidupan mencengkam kemiskinan. Masa yang berlalu mendewasakan. Lalu menuakan. Lalu ibu dan ayahmu menjadi sangat tua. Ketika inilah mirror image sewaktu kecilmu kembali menemuimu. Dahulu ragammu menggeramkan. Kadang-kadang memeningkan. Kadang-kadang memalukan. Malah kadang-kadang mengaibkan. Tidak kurang pukul dan cubit. Tidak kurang marah dan tengking. Tidak kurang tinggi suara kerana ragammu yang dahulu. Ragam anak-anak. Ragam kanak-kanak. Sekarang ragam itu terjadi kepada ibu dan ayahmu. Mereka kembali ke zaman kanak-kanak mereka. Zaman seperti yang kau lalui dahulu. Gerakanya perlu dibantu. Hidupnya banyak perlukan bantuan. Apakah air kecilnya redha kau hidu? Apakah air besarnya redha kau bersihkan? Hingusnya redha kau lap. Leleh minumnya redha kau kesat. Ragamnya. Ragamnya. Ragamnya yang banyak dan luar biasa.  


Apakah kau boleh menerima perubahan itu. Apakah kau boleh menerima tingkah mereka. Menerima ragam mereka. Karenah mereka. Apakah kau kembali kepada anak-anakmu. Mengadu tingkah-laku kedua ibu dan ayahmu. Bercerita tentang kedua ibu dan ayahmu. Bercerita tentang nada negatif bahwa kedua ibu dan ayahmu tidak seperti dahulu. Tidak nampak siuman seperti mudanya dahulu. Banyak yang anak-anak merasakan ibu dan ayahnya tidak memuaskan hati. Bisingnya melebihi biasa. Kehendaknya yang bukan-bukan. Baru beberapa ketika sudah datang bosanmu kepada mereka. Kitaran itu akan kembali kepada kita. Kepada kita semua. Tanpa kecuali apabila kita panjang usia. Sakit dan pening tidak tahu bila datangnya dari Allah. Ajal pasti tiba. Mudah-mudahan kita terhindar dari azab dunia hanya kerana kita tidak redha dengan ibu dan ayah yang menjadi tua dan banyak ragamnya. Itu ibu kita. Itu ayah kita. Bukalah dada sebentar. Masih adakah sedikit kasih menyelinap di hati?