Siapa suami kepada seorang isteri. Siapa pula isteri kepada seorang suami. Saya pasti semua orang amat mengetahui bahawa hubungan kedua mereka amat rapat. Sangat intim. Kesyahduan yang ingin diabadikan hingga akhir hayat. Senang susah bersama. Mencari bahagia yang kadang-kadang selalu elusif.
Maksudnya: Isterimu adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian untuk isterimu.
(al-Baqarah 2:187)
Begitulah dekatnya antara suami dan isteri. Hanya kulit nipis yang memisahkan mereka. Lebih nipis dari kulit bawang. Apabila terungkap kata-kata hikmat, “Aku terima nikahnya” maka tertimbunlah tanggungjawab ke atas keduanya. Kepada pasangan itu kehidupan bukan lagi yang dahulu. Zaman bebas dan lepas sudah berakhir. Tolonglah jangan dengar panggilan dari teman dan taulan yang masih bujang. Hidupmu sudah terasing dari mereka. Hubungan sebagai rakan tidak putus tetapi modus operandi sebagai rakan sudah berubah. Boleh bersama lagi waktu ada majlis-majlisan. Waktu santai yang tidak mengganggu rutin rumahtangga. Atau rutin kehidupan profesional. Keluar tanpa waktu bukan lagi amalan. Kembali ke rumah tanpa mengira waktu bukan lagi sistem kehidupan. Ada orang yang lebih bermakna daripada rakan. Lebih akrab dari teman. Lebih dekat dari taulan. Terlalu dekat sehingga sistemnya menyatu. Dekatnya di sebalik kulit di tubuh.
Aku milikmu sayang dan kau milikku. Memiliki dan dimiliki. Menagih hak-hak yang selalu diberikan. Yang paling sukar ialah menjaga milik itu. Menjaga hak itu. Tanpa mengetahuinya hak itu boleh dirampas oleh orang lain. Boleh menjadi milik orang lain. Ramai yang memsang mata. Ramai yang mengidamkannya. Ramai yang berkira-kira untuk mempunyainya. Ya, hakmu ada yang mengingininya. Ujiannya sepanjang masa. Lebih dewasa ujiannya semakin keras. Semakin tua ujiannya semakin deras. Datang dan pergi semakin menjadi-jadi. Di sinilah wanita yang bernama isteri perlu lebih banyak memandang dirinya. Menilai semula peranannya. Memandang jauh ke hadapan untuk melihat dirinya pada suatu titik masa yang jauh di hadapan. Bagaimana menjaga pakaian yang dekat dengan dirinya. Jika kita ambil analogi pakaian itu maka lumrahlah untuk menggantinya. Bila? Ketika lusuh. Ketika kotor. Ketika luntur warnanya. Ketika menjadi lapuk dek zaman. Ketika fesyennya sudah lapuk. Ketika bahnnya mereput. Ketika tidak lagi ada keselesaan memakainya.
Biarlah cerita ini mengenai lelaki. Lelaki idaman wanita. Suami dambaan isteri. Nanti wanita akan mencari jalan yang paling baik untuk menambatnya. Untuk mengikatnya. Untuk menjinakkannya. Untuk melunturkan kasih sayangnya. Untuk memilikinya secara mutlak. Kekal sepanjang zaman. Kau milikku dan aku milikmu seorang. Tidak ada yang membelah bagi. Tiada yang minta tumpang di hati. Tiada sesiapapun yang akan mencurinya dari hatimu. Kehadiranmu untuknya. Kehadirannya untukmu. Fahamlah tentang lelakimu. Maklumi luar dan dalam dirinya. Hatinya yang selalu berbunga atau layu. Matanya yang damai atau mencari-cari yang tiada. Telinganya yang dipasang menangkap ungkapan-ungkapan syahdu atau dipasang untuk mendengar usikan-usikan hati entah dari mana datangnya. Hidu bau hidungnya yang mencari wangi dan harum dari segenap penjuru. Hanya isteri yang peka mengetahui. Hanya isteri yang sedar memaklumi segala gerak geri bahasa tubuhnya. Lenggok bahasanya. Lerekan matanya.
Pada suatu masa dahulu kau umpan dia. Kau pasang kail yang halus. Dia mengena. Dia lelaki idaman yang menjadi milikmu. Ada sesuatu yang jarang diketahui isteri-isteri sepertimu. Lelaki itu lelaki. Suami itu suami. Lelaki dan suami itu orang yang sama. Ibarat segala yang liar dia mahunya dijinakkan. Dijadikan kenderaan yang memacumu ke hadapan bahagia. Hidup bersama perlu memerlukan sepanjang sama. Cinta dan sayang yang selalu berbunga. Rindu dan sayu yang berganti saban waktu. Jauh dirindu. Dekatnya disayang. Siangnya dipandang. Malamnya dikenang. Jagamu dibelai mesra. Lenamu diulit mimpi indah. Suatu fantasi? Mungkin juga. Tetapi kenapa sesuatu yang mungkin itu tidak direalisasikan? Isteri mampu melakukannya. Wanita berupaya mendapatkannya. Sebagai kekasih kau ada peranannya. Sebagai teman kau ada caranya. Duduklah sebentar. Cuba menerawang untuk melihat suamimu ke dalam lubuk hatinya. Sebagai teman kau cari apa maunya. Sebagai kekasih kau tinjau apa kurang yang dicarinya.
Lelaki itu panjang langkahnya. Bukan pergi jauh. Bukan menjauh. Bukan lari dari segalanya. Tetapi lelaki itu melihat jauh yang berbagai. Ragaman manusia yang bernama wanita. Fantasinya mengimbau segala yang mahu dikenang. Ia rindu tanpa mengetahui siapa yang dirindu. Ia ingin memandang sesiapa yang yang memberi senang. Ia lapar menanti seseorang yang memberi kenyang perutnya. Ia mendengar suara-suara yang selalu dipuput bayu. Ia inginkan kehadiran seseorang yang memiliki segala. Mustahil bukan? Mana ada kesempurnaan mutlak yang manjadi idaman semua lelaki. Kebanyakan wanita memiliki sebahagian daripada yang diingininya. Ia berasa puas jika mendapat yang terbaik dari yang sedikit. Di sinilah punca yang selalu bermasalah. Lelaki selalu mencari. Isteri pula selalu menghilangkannya. Pencarian yang selalu tidak menemukan. Menghilangkan semua yang selalu ada sebagai harapan. Mencari yang hilang. Menghilag yang dicari.
Semua lelaki mencari cantik. Luarbiasa jika jawapannya lain. Pilihannya mungkin tidak secantik yang diidamkan. Jodohnya sampai di situ. Hinggap pada yang satu. Namun kecantikan hati budi mengatasi cantik pada wajah. Cantik bahasa mengatasi rindu yang selalu membasah qalbu. Cantik nurani yang selalu memberi nadi kepadanya. Di luar sana cantik yang selalu dilihat. Lalu lalang di hadapan mata. Menduga kasihnya di rumah. Mencabar kesetiaannya. Mengujakan godaan. Jika wanita mengetahui hal itu maka cantikanlah dirimu di hadapan suami. Pakaian yang kena warnanya. Wangian yang membelai rindunya. Kebersihan tubuh badan yang selalu ingin diusap. Isteri kepada suami seharusnya sedikit berbeza. Lerek mata menggoda yang selalu menyentap jantung hatinya. Senyum menduga yang selalu dirindu masa. Bahasa merayu yang selalu mencairkan kelelakiannya. Keletah yang menikam-nikam. Sedikit miang yang menggirangkan. Kenapa? Itu yang selalu dilihatnya di luar sana. Itu yang selalu dilakukan oleh wanita di luar sana. Walaupun bukan niatnya menggoda tetapi lelaki sealu tergoda dengan sifat-sifat itu.
Perut lelaki perlu selalu kenyang. Sayang jika dia makan di kedai sedangkan air tangan isteri itu sangat mujarab untuk mengikat hatinya. Menambat kasihnya. Mencengkam setianya. Siat-sifat wanita seperti itu hanya kau isterinya yang mampu melakukannya. Bawalah gambaran-gambaran wanita di luar itu ke dalam rumah. Cantikkan dirinu di mata hati. Wanita yang sensuous didekatinya. Yang damai didampingi. Yang dihidu dengan rindu. Yang dipandang meremang sayang. Yang dipegang meronta kasih. Yang bertutur bersusun puisi.
Maaf. Biar kita bicara sesama orang dewasa. Sesama suami. Mungkin bakal suami. Juga sesama para isteri. Semua yang bakal menjadi isteri. Juga yang nanti suatu ketika menjadi isteri. Cerita orang dewasa yang pasti akan terjadi kepada sesiapa sahaja yang waras. Yang rasional. Yang sentiasa siuman. Seorang lelaki perlukan wanita sebagai temannya. Sebagai kekasihnya. Sebagai wanita yang selalu memberikan kebahagiaan. Memanjang usia. Memanjang zaman. Hari-harinya yang lega. Malam-malamnya yang lapang. Bagaimana? Seorang isteri menjadi wanita. Menjadi perempuan. Menjadi gender yang membahagiakan lelaki suaminya. Lelaki kekasihnya. Lelaki cintanya. Lelaki setianya. Lelaki yang mengabadikannya. Berikanlah kepada suamimu apa sahaja yang terbaik seorang isteri mampu memberikannya. Melayaninya setulus hati. Semulus keindahan. Belaianmu yang terhalus untuk mencairkan segala yang terindu di hati.
Mudah-mudahan lelaki itu tidurnya akan lena. Dengkurannya menjadi muzik indah berirama. Kepalanya ringan. Hatinya lapang. Dadanya banyak ruang. Perutnya kenyang. Jantungnya selalu tenang. Aliran darahnya deras di keseluruh anggota. Fikirannya lapang. Matanya senyum. Telinganya kembang merakam sayang. Hidungnya menghidu wangian rindu. Lalu matanya tidak akan beralih. Akan fokus kepadamu selalu. Seluruh tenaganya hanya untukmu. Hatinya hanya satu. Setianya akan selalu memukau diri. Isteri membina hijab yang yang tebal. Gelap dan hitam. Pandangan suamimu tidak akan dapat menembusinya. Tidak mungkin melihat apa yang di sebelahnya. Di balik tabir yang menghalang. Itulah hakmu membina hijab tebal. Hakmu menghalang wajahnya memaling dari memandang yang bukan haknya. Hakmu untuk terus memukau pandangannya terhadapmu. Dia milikmu. Jagalah hijab itu. Jagalah tabir itu. Jagalah tirai itu. Jangan biarkan ia menjarang. Jangan biarkan ia robek. Jangan biarkan ia turun runtuh kerana kau yang tidak dapat menjaganya. Bangunlah untuk memulakannya semula. Gagal bukan penamat. Ia membuka jalan untuk menjadi yang lebih baik. Yakinlah. Kau mampu melakukannya.