Thursday, March 12, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Kembara Pendidikan



Penulis biasa berulang-alik ke Lapanganterbang Subang dan KLIA kerana menghantar anak. Pergi dan kembali mereka mengejar akademik dari luar negara. Walaupun diri sendiri pernah melanjutkan pelajaran di luar negara tidak menjangka bahawa sekali merentas benua akan direntas lagi benua yang lain. Malah tidak dijangka akan merentas lagi. Ketentuan Allah siapa yang mengetahui. Cuma jika kita sedikit perihatin ada tanda-tanda yang Allah perlihatkan. Terdapat petunjuk yang menandakan kita disediakan untuk ke satu arah yang tertentu. Ada alamat yang menunjukkan bahawa kita akan disampaikan ke suatu tempat yang bukan di persekitaran biasa. Kadang-kadang ada mimpi yang menunjukkan kita sudah berada di sesuatu tempat asing yang belum pernah kita jejakkan kaki. Ada gambar dan imej tertentu yang tidak kita fahami. Apabila kita berada di suasana baru barulah mimpi dan imej-imej yang lalu berdatangan. Memberitahu kita bahawa itulah tanda-tanda yang kita akan sampai di sesuatu destinasi tertentu dalam hidup kita.

Elok sebenarnya hidup ini dipenuhi dengan perancangan-perancangan yang akan diisi pada masa hadapan. Menggarap fasa-fasa kehidupan diri dari kita muda hingga lanjut usia. Bahawa apabila kita tidak tahu berapa banyak lagi usia kita bukan bermakna kita mati sebelum mati. Masih ada masa untuk melakukan sesuatu pada masa hadapan yang mungkin hanya beberapa detik atau beberapa hari atau beberapa tahun. Alangkah ruginya tanpa merancang sesuatu yang memberi impak kepada diri dan mereka yang berada di sekeliling kita sedangkan kita memiliki peluang yang begitu besar untuk melakukannya. Malah kadang-kadang kita bertemu dengan sesuatu yang sangat di luar jangkaan. Banyakkan berdoa semoga Allah meletakkan kita di tempat-tempat dan masa yang memberi pengajaran. Keinsafan bahawa kita berada di bawah lindunganNya. Selagi masih ada nafas moga-moga Allah izinkan kita mengembara mengagungkan kebesaranNya.

Hidup ini penuh dengan fasa-fasanya yang tersendiri. Sewaktu muda kita habiskan khidmat kita untuk keluarga. Membesarkan anak-anak dan memberikan akademik yang terbaik untuk mereka. Kemudiannya kita beransur dimamah usia. Seorang demi seorang anak-anak berkerjaya, berumahtangga dan berkeluarga sendiri. Dari berdua dahulunya kita bertiga, berempat dan seterusnya. Kembali semula menjadi berdua. Suasana semakin ramai. Anak-anak, menantu dan cucu berkeliling bersama. Rindu di sana dan rindu di sini. Ada masa berhimpun bersama. Sehari dua berpisah lagi untuk pertemuan lain yang entah bila. Barangkali tua yang paling baik ialah bersedia ke arah usia tua itu sendiri. Ada kehidupan untuk meneruskan pengisian waktu. Menggunakan peluang yang ada untuk menambah nilai diri dan pasangan. Bersama berdua adalah masa yang berbaki untuk sama-sama memandang ke hadapan dengan penuh harap. Kebaikan yang boleh disumbang dan boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Mencari kelebihan untuk mengisi kekurangan yang ada.

Pernahkan kita berbincang untuk menjadikan diri kita lebih unggul dari biasa-biasa. Apabila seorang lelaki mendapat pasangannya, ada tugas penting pada dirinya. Ia perlu mendidik isterinya. Memberikan pendidikan kepadanya. Memandaikannya dalam banyak hal. Dalam kehidupan. Kita menyorot ke dalam diri. Tidak ada orang sekarang yang mahir dalam semua bidang. Atau mahir dalam banyak bidang. Sangat jarang kedapatan lagi. Tidak seperti ilmuan dan sarjana zaman dahulu yang mahir dalam banyak bidang. Dari bidang agama hingga bidang profesional. Bukankah seorang suami juga perlu menjadi guru kepada isterinya. Tanya diri kita sendiri. Apa yang boleh kita ajarkan kepada isteri kita. Tidak banyak tentunya. Sebagai penganut Islam isteri kita perlu mahir al-Quran. Mahir bab agama. Mahir bab akademik. Begitukah? Mampukah kita melakukannya? Jika bukan kita yang melakukannya siapa lagi. Kerana itu suami perlu berpendidikan dalam banyak hal. Pendidikan akademik menjadi sumber pendapatan. Dari sumber pendapatan itulah kita melestarikan pendidikan anak-anak. Maka apabila usia persaraan menjelma kita kembali mendidik diri kita sendiri. Mungkin juga mendidik isteri kesayangan.

Mungkin suatu perkongsian yang amat berguna. Isteri penulis membesarkan anak-anak dari yang pertama hingga anak yang ke sembilan. Ia menjadi suri rumah sepenuh masa. Suatu waktu apabila anak-anak mula berkerjaya ia mengorak langkah untuk mengejar akademik. Ada beberapa sebab yang boleh direnungkan

1                    Ada didengar sesuatu yang kurang enak yang menyuarakan kekurangan akademik yang ada pada dirinya. Kerana itu ia bersemangat untuk membuktikan keupayaan menambahnilai diri.
2                    Peluang ada untuk bersama orang dewasa lain mengejar akademik di IPT.
3                    Semangat untuk menyaingi anak-anak yang memiliki ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.
4                    Ingin menjadi lebih baik dari dahulunya.

Dari mengikuti Sijil Pengajian Al-Quran (SPAQ) di Universiti Malaya, dilanjutkan dengan Diploma Eksekutif Pengajian Syariah di Universiti Malaya juga. Oleh kerana Diploma Eksekutif tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia untuk tujuan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi maka ia mengikuti kursus Diploma Syariah di Kolej Darul Hikmah (KDH) di Kajang, Selangor. Selepas ini destinasinya ialah Ijazah Sarjana Muda atau mungkin terus Sarjana. Dalam pada itu tuntutan tugas sebagai guru al-Quran memerlukan isteri penulis mempelajari Bahasa Arab dan bertalaqqi bersanad  Qiraat 10. Lalu kami meninggalkan Malaysia untuk ke Jordan. Enam bulan di sana tidak memuaskan hati kerana apa yang dicari tidak kesampaian. Berpindahlah kami ke Mesir. Alhamdulillah selama setahun sembilan bulan kami dapat apa yang kami kejar. Yang kami inginkan. Yang dihasratkan di hati.

Mengenang kembali semua itu terlalu banyak manisnya. Bak kata isteri penulis: Abang berjaya memenuhi keperluan ilmu untuk isteri. Bukan sahaja anak-anak malah rupa-rupanya isteri juga akhirnya diberi ilmu yang wajar dari segi akademik. Dibawa untuk mencari sumber ilmu yang memang banyak di bumi anbia’ ini. Bumi Mesir yang banyak kenangannya. Banyak yang kami temui dalam pencarian yang tidak sudah-sudah. Ada senario yang berbeza yang selalu kami temui.

1                    Di Malaysia apabila orang tua ingin belajar, sapaan orang keliling ialah:
a.      Hendak buat apa sudah tua belajar lagi. Anggapan yang selalu melemahkan semangat. Sewajarnya didoakan. Alhamdulillah masih ada minat dan kekuatan semangat.
b.     Buat apa susah-susahkan diri. Belajar memang susah tetapi ganjaran nilai dan kepuasan kerana memiliki ilmu tiada tolok bandingnya.
c.     Bolehkah belajar lagi. Belajar tidak mengenal usia. Bukankah belajar itu dari buaian hingga ke liang lahad. Malah apabila berusia belajar menjadi lebih mudah kerana sudah banyak pengalaman dalam hidup.
d.     Kenapa tidak berehat sahaja. Belajar sebenarnya merehatkan minda. Memikirkan sesuatu yang selalu baru. Bertemu dengan sesuatu yang mencabar minda. Menjadi indah dan mengujakan. Mudah-mudahan boleh dikongsikan dengan orang lain.
2                    Di Mesir pula reaksi pelajar Malaysia yang ada di sini sangat berbeza. Begitu juga reaksi ibu dan bapa pelajar Malaysia yang kami temui.
a.      Bagusnya. Sudah tua masih berminat hendak belajar. Mereka adalah anak-anak yang sedang menuntut ilmu. Mereka mengetahui pentingnya ilmu. Nikmatnya ilmu. Hanya keindahan yang lahir dari mulut mereka. Doa dan harapan.
b.     Kalau begitu nanti saya hendak cadangkan kepada ibu dan bapa saya supaya datang belajar di sini. Mereka menjadi pemangkin kepada ibu dan bapa mereka supaya mengikuti langkah penulis dan isteri belajar di Mesir. Ini kisah benar. Apabila kami kembali ke Malaysia nanti, rumah yang kami sewa akan diduduki oleh ibu kepada seorang pelajar perubatan yang menuntut di Universiti Zagazig. Keseronokannya melihat penulis dan isteri diterjemahkan dengan membawa ibunya belajar di Mesir. Alhamdulillah. Sedikit sumbangan untuk memotivasi orang lain.

Untuk jinak dengan ilmu kenalah bermula dari asas. Dari awal. Dari dasar. Belajar yang senang dan ringan dahulu. Kemudian cari jawapan-jawapan kepada isu yang lebih sukar. Caranya tentulah dengan belajar dari mereka yang lebih arif. Di IPT mungkin. Ilmu tidak pernah membiarkan diri kita terbiar. Ilmu itu sendiri perlu disampaikan kepada orang lain. Maknanya, ilmu sentiasa berguna. Mereka yang berilmu juga menjadi berguna. Kita tidak tahu bila ianya diperlukan tetapi apabila ada keperluannya kita telah memiliki kelayakan yang diperlukan. Mungkin mafhum ayat al-Quran ini memberikan makna yang perlu: Adakah sama mereka yang mengetahui dengan mereka yang tidak mengetahui.