Suatu ketika dahulu ditayangkan sebuah program TV dari United Kingdom (UK). Tajuknya seperti di atas Mind Your Language. Siri tersebut mengisahkan sebuah kelas Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Bila latarbelakangnya adalah UK maka bahasa kedua bermakna untuk orang asing. Mereka mungkin pemastautin tetap atau mereka yang bermukim sementara di sana. Pemastautin tetap sebenarnya adalah migrant yang datang berpindah dari negara luar. Lazimnya mereka adalah penduduk dari negara-negara yang pernah dijajah oleh UK. Kebanyakan negara-negara itu berada di Asia dan di Afrika.
Kelas dalam siri itu lucu dan hilarious. Ada sahaja yang menyebabkan penonton jadi ketawa. Semuanya kerana kekeliruan untuk memahami bahasa bukan dengan cara yang betul mengikut budaya pengguna bahasa itu. Mereka yang bukan penutur jati tentu sahaja mengalami berbagai kesukaran menguasai bahasa itu. Sesuatu yang baru dan asing. Perkataan yang senang jadi susah. Perkataan yang tertentu tersalah erti. Salah tanggap. Salah konsep. Oleh kerana mereka semua adalah pelajar maka kesalahan itu dimaafkan. Dalam keadaan biasa tentulah ungkapan-ungkapan yang sebegitu dianggap sensitif. Tetapi tidak dalam siri Mind Your Language.
Supervisornya seorang andalusia. Orang putih. Sudah lama mendara. Masih mencari yang sesuai di hati. Mr. Brown selalu menjadi perhatian. Gurunya bujang teruna. Trang tang tang. Handsome pula. Pelajar-pelajarnya kur semangat. Bermacam-macam bangsa. Ada Jepun. Ada India. Ada Pakistan. Ada Itali. Ada Sepanyol. Ada Cina. Beberapa bangsa yang lain. Bangsa yang saya maksudkan ialah warganegara sesuatu negara. Mereka mempelajari Bahasa Inggeris di negara bahasa itu. Kebetulan gurunya orang berbudaya tempatan. Memang cukup kemas kepenguruannya. Malangnya pelajarnya orang yang baru mempelajari budaya itu. Baru dengan bahasa itu. Maka berlakulah pertembungan budaya. Tetapi garapannya santai, ringan dan melucukan. Seorang teman yang belajar di UK akhirnya berkahwin dengan seorang teman pelajar spertinya di kelas seperti Mind Your Language itu.
Bahasa Inggeris dimaklumi bahawa ejaan perkataan-perkataannya agak sukar. Huruf lain, bunyinya lain. Sebutan pula banyak ilmu nauhunya. Jika belajar dari guru yang alang kepalang akan banyak kesilapan yang berlaku. Itu belum lagi cerita bahasa Inggeris Amerika, Banyak ejaan yang sudah diubah. Cuba disesuaikan dengan lidah mereka. Mempelajari bahasa Inggeris dari orang Inggeris tentulah lebih menepati. Pelajar-pelajarnya sahaja yang tunggang langgang cuba memahaminya. Ada sahaja yang tersalah sebut. Tersalah ungkapan. Tersalah maksud. Budaya masing-masing pula bertentangan. Watak orang dari India dan Pakistan selalu digambarkan bercakaran sentiasa. Ada sahaja yang tidak kena.
Kembali kepada isteri saya. Sampai sahaja di sana mulalah dia tercari-cari kelas bahasa Inggeris. Kebetulan di University of Pittsburgh dikendalikan kelas English As A Second Language For Foreign Students’ Spouses. Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua untuk pasangan pelajar asing. Isteri saya boleh berbahasa Inggeris. Cukup makan. Walaupun ramai isteri pelajar Malaysia di sana tidak ramai yang berminat mengikuti kelas bahasa Inggeris itu. Mungkin sibuk dengan hal sendiri. Seingat saya kelasanya diadakan di Cathedral of Learning. Di tingkat 34. Saya selalu berseloroh dengan isteri saya. Saya yang melanjutkan pelajaran kelasnya di bangunan yang rendah. Dia di bangunan paling tinggi di kampus. Rupanya pasangan pelajar-pelajar asing lebih diberi layanan mesra. Tempat mereka lebih istimewa.
Universiti di sana memikirkan bahawa tentu pasangan yang mengikut suami atau isteri berasa jemu di rumah. Suami atau isteri belajar. Pasangannya perlu mengisi masa. Maka mendaftarlah isteri saya. Dalam kelasnya itu memang benar-benar antarabangsa. Rakan-rakannya dari seluruh dunia. Ada yang boleh berbahasa Inggeris sedikit-sedikit. Tetapi ramai yang memang langsung tidak tahu walau sedikitpun. Ada dari Jepun. Republik Cina. Korea. Indonesia. India. Pakistan. Iran. Syria. Lebnon. Itali. Brazil. Afrika. Peru. Turki. Dan banyak lagi. Gurunya terdiri dari mereka yang berpengalaman. Memahami kehendak dan apa yang tersirat di hati pelajar. Apa sahaja yang digagapkan pelajar dapat diinterpretasi. Dia membantu membetulkan sebutan. Memilih perkataan yang sesuai. Memandu bercakap dengan intonasi yang betul belajar membaca dan menulis. Membuat ayat dan cerita. Dalam waktu yang singkat sahaja pelajar-pelajar boleh memahami apa yang mereka pelajari.
Buka teks disediakan secara percuma. Mungkin ada pertubuhan yang membiayanya. Bukan satu. Ada dua atau tiga. Tebal-tebal belaka. Isinya bukan untuk beginners. Topik yang dibincangkan mencakup tentang politik, Presiden Reagan (ketika itu), kad kredit, ekonomi dunia. Bukan calang-calang topik yang dibincangkan. Itu belum cerita agama. Cerita budaya. Bila datang Christmas maka bercertitalah dia tentangnya. Memberitahu mereka yang beragama lain. Yang berbudaya lain. Bila datang Thanksgiving berceritalah tentang pilgrim father. Tentang Mayflower. 1964 yang membawa orang Irish mendarat di Boston, Masachusettes. Kenapa ada hidangan turkey (ayam belanda). Bila sampai haloween berceritalah tentang treat or trick. Guru bercakap tanpa sekatan. Tiada apa yang sensitif. Semuanya disampaikan sekadar makluman. Cerita. Maklumat. Mungkin dalam hatinya ada sedikit dakwah. Itu hatinya. Yang zahirnya pelajar-pejar itu mempelajari budaya Amerika.
Jenuh juga saya membantu isteri saya. Saya sendiri bukan faham sangat dengan kad kredit. Membacalah bagai nak gila. Memberikan apa yang saya faham kepada isteri saya. Rajinnya ke kelas. Bila dia tiada saya menjaga anak-anak. Tiap semester saya tidak gagal meraikan sijil yang diterimanya. Sifatnya kekal hingga sekarang. Masih teruja untuk belajar lagi. Saya sentiasa menanti dengan penuh debar perancangan masa hadapannya. dari tahap ke tahap terus memanjat. Semangat kepada anak cucunya. Tidak terikut setengahnya. Tidak kurang yang tertanya memanjang. Belum habis belajar lagi ke? Rajinnya. Senang sahaja jawabnya. Saya mencari. Hasilnya saya kongsikan kepada pelajar-pelajar saya. Maksudnya pelajar-pelajar al-Quran yang mengikuti kelas-kelasnya.
Bila balik ke rumah ada sahaja cerita lucu rakan-rakannya di kelas. Al-maklumlah kali pertama mendengar sesuatu perkataan. Banyak berpintal dengan huruf “r”. Yang paling sukar mungkin membiasakan ungkapan-ungkapan yang biasa kepada masyarakat berbahasa Inggeris. Ungkapan, “You know what?” tidak ramai memahaminya sehingga beberapa ketika. Ungkapan itu mudah tetapi maksudnya merujuk kepada sesuatu peristiwa yang mengejutkan. Bayangkan apabila disebut, “You know what today I eat rice!” Sesuatu yang mendebarkan rupanya anti-climax. Hanya kerana gagal menghayati semangat bahasa itu.
Bersama kita di Malaysia ramai pelajar asing. Apa yang kita buat kepada pasangan mereka? Sepatutnya ada program-program seperti itu. Ajar mereka bahasa Malaysia. Budaya Malaysia. Adat istiadat Malaysia. Biar kesemuanya lekat di hati mereka. Mudah-mudahan ia menjadi dakwah. Yang pandai tinggal kekal menjadi pemastautin tetap. Yang kaya berurusniaga di sini. Biar datang rasa sayang mereka kepada kita. Itulah nilai tambah yang sepatutnya mereka dapat. Yang sepatutnya mereka bawa pulang. Yang sepatutnya mereka simpan sebagai ingatan kuat tentang Malaysia. Sayang jika kita tidak memikirkannya. Suatu peluang yang bukan datang selalu. Mungkin bagi setiap mereka hanya sekali seumur hidup. Apa nanti yang dibawa pulang oleh pasangan-pasangan yang berada di Malaysia bertahun-tahun lamanya.
Isteri saya mendaftar selama tiga semester. Tiap hujung semester dia mendapat sijil. Masih ada sampai sekarang. Bila ada majlis penyampaian sijil semua pasangan dan anak-anak mereka diraikan sama. Riuh rendahlah majlis itu. Anak-anak berkeriau di sana sini. Macam-macam bangsa ada. Meriah. Santai. Ceria dan mesra. Suasana dan iklim yang dibina ialah untuk mewujudkan pleasant stay. Di negara orang tidak semestinya selalu rindu ke kampung jika sudah dibina rangkaian sahabat handai baru yang bermacam-macam pula rupa dan budayanya. Mengenali diri masing-masing yang memang berlainan. Yang memang berbeza. Kenal hati budi. Mengerti ada sebab Allah menjadikan manusia berlainan ciri dan karekternya. Watak-watak manusia yang terpencar dari Adam dan Hawa. Sesungguhnya mereka dari sumber yang satu. Allah menciptakan manusia supaya mereka mengerti antara satu sama lain. Kembali kepada fitrah kejadiannya. Lalu mensyukuri wujudnya. Berbakti kepada Yang Khaliq. Kita tetap hamba selamnya.