Tuesday, October 4, 2011

Guru – Profesion Yang Selalu Dilupakan

Puisi Usman Awang: Guru oh Guru!
Guru oh Guru!
Usman Awang

Berburu ke Padang Datar
dapat rusa belang kaki
berguru kepalang ajar
ibarat bunga kembang tak jadi

Jika hari ini
Seorang perdana menteri berkuasa

Jika hari ini
Seorang raja menaiki takhta

Jika hari ini
Seorang Ulama' yang mulia

Jika hari ini
Seorang peguam menang bicara

Jika hari ini
Seorang penulis terkemuka

Jika hari ini
Siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya
mengajar tulis baca .

Pernah menghayati pusi yang sangat puitis ini? Nukilan simple yang menusuk qalbu. Garapan seorang yang sensitif dengan alam di sekelilingnya. Seorang sasterawan negara. Yang namanya masih gah walaupun jasadnya sudah tiada. Walaupun kelibatnya sudah menghilang lama. Melihat putaran dan kitaran dunia yang berkisar dalam kehidupan seorang insan yang bernama manusia. Sejarahnya panjang. Berlatarkan sejarah diri itu adanya seorang guru berjasa. Beberapa orang guru yang menuntunnya ke alam celik. Bermula dari tahu tulis baca. Menjadi dewasa. Memungkinkan dirinya menjadi warganegara yang menginsafi diri. Bahawa dirinya bukan hak dirinya seorang. Bukan hak orang-orang yang tersayang secara eksklusif. Bukan hak keluarga yang membesarkannya. Bukan komunitinya. Bukan hak keturunannya. Bukan hak negara sekalipun. Ia menjadi hak manusia yang lain. Tugasnya adalah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tugas yang selari dengan tujuan Allah menjadikan manusia. Mafhum firman Allah, manusia (Islam) adalah sebaik-baik umat di kalangan manusia.   

Sebagai guru saya rasa bertuah. Seandainya saya memilih kerjaya lain mungkin lain juga jadinya. Guru bukan sebarang orang. Bukan sebarang kerja dan tugasnya. Bukan sebarang kerjaya. Memanglah berbanding dengan kerjaya lain siapalah guru. Tidak ramai orang yang memandang dengan sebelah mata. Bukan tidak ada mata tetapi banyak yang lain yang lebih senang dipandang. Yang lebih menyejukkan. Dalam zaman orang mahukan hidup senang yang nampak dipandang ialah rumah besar bak istana. Kereta besar yang menjalar. Pakaian yang berjenama gah. Melancong ke luar negara. Gaya hidup yang mewah. Rumah di kawasan elit. Rakan taulannya gagah-gagah belaka. Itu yang dipandang orang. Apalah ada pada budi. Emas tempawan juga dinilai orang. Guru dilihat terlalu kecil. Ada baik, tidak ada mungkin baik juga. Guru yang tidak lagi dipandang sebagai seseorang yang tinggi duduknya. Berdirinya cukup rendah hingga hilang dari pandangan.

Kasihan guru. Bila berbaris di belakang letaknya. Bila duduk tidak dapat dilihat. Bila berjalan selalu tertinggal. Bila bercakap orang tidak mendengarnya. Pakailah bagai hendak gila, siapapun tidak memandang. Di depan ditolak orang. Di belakang ditinggal orang. Di sisi dipinggir-pinggirkan. Akhirnya guru terperosok dalam alamnya sendiri. Terkeluar dari arus perdana. Dari arus masyarakat yang terlalu pantas bergerak kerana mengejar kemajuan. Maaflah. Guru akhirnya menjadi gembala bakal generasi akan datang. Tuan gembala itu lebih tahu apa mahunya. Jangan banyak soal. Guru tiada suara keramat. Tiada suara halilintar untuk meminta diberi perhatian. Tenggelam dalam bilangan yang banyak. Hilang dalam bilangan yang sedikit. Tidak menonjol dan tidak diberi pengiktirafan. Alangkah manisnya kata-kata puitis Usman Awang. Hanya guru yang perasan. Yang membacanya juga guru. Mungkin kanak-kanak sekolah. Mungkin bakal guru yang semangatnya belum reda. Orang dewasa hanya menjeling baris dan bait puisi itu. Kepada mereka guru bukan ikon lagi. Itu dahulu semasa mereka belum tahu tulis baca. Sebelum mereka tahu apa-apa. Sekarang guru berada di bawah tapak kaki mereka. Mereka selalu berada di atas.

Menyesal menjadi guru? Tidak perlu. Saya tahu. Tuan tahu. Puan tahu. Siapa kita bukan penting dipolimikkan. Kita tahu tugas kita. Kita tahu kerjaya kita. Kita tahu objektif kita. Kita tahu rupa bangsa yang kita bina sekarang untuk zaman mereka nanti. Untuk masa hadapan yang kita tentukan.  Selama ini kita bahagia. Damai. Wang dan harta tidak seberapa. Tetapi kita masih berupaya menjengah dada bahawa orang-orang di luar sana dulunya pernah kita didik. Mereka menjadi penjana kehebatan negara. Siapalah kita. Namun ada hasil tangan kita yang berpanjangan jariahnya. Berpanjangan ilmu yang berguna. Mereka menjadi anak-anak didik yang soleh dan solehah. Alanhkah. Bukankah mereka menjadi bekalan yang akan kita bawa ke alam barzah nanti? Saham kita berpanjangan kerana jariah, ilmu dan sifat soleh itu pasti dipanjang-panjangkan. Diturunkan kepada generasi ke generasi. Yang baik itu abadi. Sahamnya kita yang punya. Rasanya tidak ada profesion yang serupa guru. Dari anak didik tidak tahu tulis baca hinggalah mereka melestarikan generasi yang mengikut mereka. Silih berganti zaman berzaman. Itulah harta kita. Itulah kekayaan kita. Itulah mudah-mudahan kemewaha kita di alam barzah dan diakhirat nanti. InsyaAllah.

Hari ini mereka menyambut hari guru sedunia. Biarlah sambutan itu orang yang beri. Kita tetap begini. Fokus kita ke hadapan. Banyak tugas yang belum selesai. Agenda negara yang pastinya selalu didahulukan. Di bahu kita terletak tanggungjawab membina  negara. Membina warganegaranya. Membina anak bangsa. Membina negara bangsa. Membina kelangsungannya. Sebenarnya kita tidak perlu berada di hadapan. Boleh sahaja berada di belakang tabir. Orang tahu siapa kita. Tanpa guru tiada apa-apa kepada siapapun. Cuma harganya terlalu mahal. Berat dan beban yang bukan ringan. Senyum dan tawa sahaja yang mampu selalu dihadiahkan. Tangis dan sendu hanya di dalam. Bukan menangisi diri. Menangisi anak watan yang tercicir. Yang kecundang. Yang terkandas. Yang terhalang. Yang bantut perjalanan mereka ke tahap yang lebih tinggi. Memacu minda membina negara ke tahap yang lebih menjulang. Bak kata Usman Awang, kita hanya guru biasa.   Bukan memimpin. Bukan yang di atas yang duduk di kerusi empuk merancang masa hadapan. Cukup sekadar memberi yang terbaik. Terbaik dalam keterbatasan kudrat yang ada. Peluang dan ruang yang ada.

Tolehlah ke belakang. Tolehlah ke hadapan. Di sekelilimng kita yang bernama guru, terlalu ramai yang telah kita lepaskan ke alam buana untuk membina kehidupan diri. Kehidupan keluarga. Kehidupan negara. Malah mungkin ada seorang dua yang menyumbang kepada warga dunia. Tangannya menggapai lebih panjang. Kakinya lebih melangkaui jurang besar. Mindanya menggapai awan. Lapangannya luas. Medannya terhampar melaut luas. Tiada batas kepada mereka. Itulah hasil titik peluh kita yang sedikit. Memanusiakan anak-anak didik yang dikembalikan kemanusiaannya. Untuk manfaat manusia lain yang memerlukannya. Kita boleh duduk bersandar dan bersantai. Pejam mata. Yang tergambar sebagai imej-imej besar yang memberi ria. Mendamaikan sukma. Bahawa sebagai guru kita bukan sia-sia. Siapapun kita tetap ada jasanya. Apalah ada pada yang sedikit jika itu memberi impak besar kepada warga hadapan negara.

Bagi yang masih bertugas setia, bebaskanlah diri dari belenggu yang membelenggu. Bebaskan minda dari kejumudan. Berubahlah untuk mengubah paradigma. Maju ke hadapan tanpa meninggalkan yang di belakang. Keluar dari kepompong kecil yang sudah terbina lama. Lihatlah alam luas ini sebagi pentas beraksi dan berirama. Menjulang tekad dan azam mencipta nama. Sekadar diingat oleh anak-anak didik yang masih ada. Mudah-mudahan diingat lama. Dikenang berzaman. Kitalah guru yang mengajar tulis baca. Guru biasa yang tidak punya nama. Sekadar kekuatan semangat. Diwajakan dengan ikhlas niat. Jalan ke hadapan yang sangat luas.

Sambutlah harimu hari ini. Santaikan minda. Santaikan fizikalmu. Hari ini hanya hari-hari biasa. Tiada apa-apa yang berbeza. Akan ku bina bumi bertuah ini.