Setiap pasangan ibu dan bapa inginkan anak-anak yang
soleh dan solehah. Apabila mereka kembali ke rahmatullah ada anak-anak yang
mendoakan mereka. Yang menitipkan mereka doa mohon keampunan dari Allah. Orang
dewasa tugasnya banyak. Paling mencabar ialah mendidik anak-anak supaya mereka
menjadi dewasa yang berharga. Bermanfaat kepada agama dan negara. Dewasa bukan
bermakna usia sahaja yang bertambah. Melepasi angka 21 tahun. Yang itu usia.
Yang dimaksudkan dewasa ialah dari segi berfikir dan dari segi bertindak. Sukar
juga mereka yang berusia tetapi tidak dewasa.
Mereka yang dewasa ada kriterianya yang tersendiri.
1
Mencurahkan pengalaman lama mereka kepada anak-anak
atau kepada anak didik atau kepada rakyat bawahan.
2
Menyediakan asas untuk yang muda membina kedewasaan
dari segala aspek kewarganegaraan.
3
Membina sikap dan sifat untuk menjadi dewasa yang
penuh bertanggungjawab dan memikul kebertanggungjawaban kehidupan.
4
Membina kecerdasan emosi supaya keadaan sekeliling
dapat dikawal dengan rasional dan saksama.
5
Merancang masa hadapan dengan penuh wawasan. Bersedia
untuk memikul tanggungjawab dengan sepenuh relahati dan bukan paksaan.
Kedewasaan adalah tuntutan ke arah tanggungjawab itu.
Ibu dan bapa adalah dua individu yang melahirkan. Yang
menjadi pendidik awal kepada semua anak bangsa. Mereka melestarikan warisan
budaya bangsa dan negara. Guru-guru melanjutkan tugas itu di sekolah. Enam tahun
di sekolah kebangsaan. Lima tahun di sekolah menengah. Dua tahun di matrikulasi
atau tiga tahun mengikuti kursus diploma. Kemudiannya mereka berada di IPT
selama antara dua tahun setengah hingga empat tahun. Soalnya, adakah mereka
yang menjadi graduan IPT sudah dewasa? Sudah matang? Itu soalan yang perlukan
jawapan panjang lebar. Ramai mengatakan bahawa graduan adalah bahan mentah yang
masih banyak proses menggilapnya. Ada yang menjadi dan ada yang tidak. Namun
begitu mereka yang menjadi dalam kehidupannya sudah kelihatan sinarnya semasa
menjadi pelajar. Ada juga dipanggil late developer. Membangunkan diri
setelah keluar dari IPT. Tidak diberi harapan langsung oleh orang lain.
Persekitaran membentuknya. Situasi menjadikannya berkembang sepadan dengan
akademik dan jawatannya.
Jiran tetangga adalah antara mereka yang membantu
dalam perkembangan seseorang individu. Jiran yang di sebelah rumah. Yang selalu
bersama. Yang mengetahui senang dan susah. Yang mengetahui proses pembesaran
dan pendewasaan seseorang. Secara tidak langsung jiran tetangga membantu dalam
pendidikan tidak formal seseorang. Mungkin juga dalam pendidikan informal.
Sebab itu jiran adalah antara mereka yang perlu dikasihi. Yang perlu dihormati.
Yang perlu disusur galur dalam pendewasaan seseorang. Jiran tetangga membantu
dalam perkembangan kemahiran sosial seseroang. Mereka juga membantu dari segi
pembentukan budaya dan akhlak yang selari dengan agama dan kehendak masyarakat
setempat dan semasa. Dari seseorang itu lahir hingga dewasanya jiran-jiran
sangat mengetahui.
Kita tidak dapat lari dari pengaruh guru-guru yang
bertugas secara profesional. Memiliki tauliah untuk menjadi pendidik. Telah
melalui kursus dan sistem yang membolehkan mereka untuk menyampaikan ilmu dalam
bidang mereka atau dalam bidang-bidang yang menjadi kepakaran mereka. Di negara
kita gurulah yang diberi tanggungjwab secara rasmi untuk mendidik anak bangsa.
Melestarikan kesinambungan kesejahteraan negara pada masa hadapan. Walau
bagaimanapun guru bukan diberi kebebesasan untuk menyampaikan apa yang mereka rasa
benar dan perlu. Mereka tertakluk kepada urusan Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka
Baginda Yang DiPertuan Agung. Urusan kerajaan. Kurikulum yang ditentukan oleh
pemerintah. Mematuhi sistem yang sudah dibina. Sekolah menjadi medan untuk
mendewasakan anak-anak bangsa. Acuannya disediakan dengan perancangan yang
tertentu mengikut kehendak kepimpinan negara.
Ramai profesional terlibat dalam sistem mendewasakan
bakal warganegara yang berwibawa. Bangunan sekolah dibina oleh jurubina dan
jurutera. Alatan mengajar disediakan oleh mereka yang profesional dalam
penerbitan dan pengilangan. Melibatkan juga akauntan, peguam dan berbagai
profesional yang lain. Mereka yang berkelayakan tersebut menyumbang secara
tidak langsung dalam kelangsungan sebuah sistem pelajaran. Penglibatan
profesional bukan sedikit. Malah ramai mereka yang menjadi penyelidik
profesional. Sentiasa mencari jalan untuk memberikan yang terbaik dalam
mana-mana sistem pelajaran. Sebab itu idea-idea baru dikongsikan oleh guru dari
kebanyakan negara di dunia. Dalam hal pendidikan sepatutnya tidak ada negara
yang terpencil kerana dunia sudah terlalu kecil dari aspek perhubungan. Hanya
sebuah global village. Sesebuah negara tidak boleh seronok sendiri
melaksanakan sistem pelajaran yang tidak relevan dengan masa.
Pendidikan tidak terlepas dari urusan penjawat awam.
Di Kementerian Pendidikan terdapat penjawat awam Pegawai Tadbir dan Diplomatik
(PTD). Pegawai tabdir profesional yang terlatih. Dalam apa-apa pengurusan
sekalipun perlu ada pentadbir aras tinggi yang mengendalikan pengurusan dan
pentadbiran supaya selaras dengan dasar negara. Memenuhi tuntutan
Perintah-Perintah Am dan bab-bab yang berkaitan. Termasuk juga pengurusan
kewangan yang memenuhi keperluan Perbendaharaan Negara di bawah Kementerian
Kewangan. Mereka adalah orang-orang dewasa yang tugasnya secara tidak langsung
mendewasakan bakal warganegara pada masa hadapan. Walaupun guru mahir mendidik
tetapi kawalan dari segi pentadbiran serta kemahiran mengurus bajet
kadang-kadang terlepas pandang. Kerana itu sentuhan pegawai PTD diperlukan
dalam bidang pengurusan dan pentadbiran. Mereka dilatih untuk mentadbir negara.
Melaksanakan dasar-dasar kerajaan Persekutuan.
Sesebuah negara dikendalikan oleh pemimpin berbagai
peringkat. Dari Perdana Menteri hinggalah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung. Setiap peringkat pemimpin menjalankan tugas dan kuasa yang
ada untuk menjamin sistem pemerintahan negara berjalan mengikut garispanduan
yang ada. Juga memenuhi keperluan Perlembagaan Negara. Pemimpin memenuhi
keperluan kepimpinan. Mereka berada di hadapan untuk membawa orang lain turut
ke hadapan. Berada di atas untuk menaikkan orang lain ke atas. Pelajaran tidak
terpisah dari politik. Political will yang menentukan sesuatu dasar yang
dilaksanakan. Ke mana arah pelajaran ditentukan oleh pemimpin politik.
Guru-guru hanya profesional yang mendokong dasar kerajaan. Bukan pegawai yang
memandai-mandai. Anak-anak didik menjadi bahan mentah yang dicanai untuk
menjadi warganegara berwibawa pada masa hadapan.
Agamawan berada di tempatnya yang tersendiri. Mereka
sangat penting untuk mengawal kehidupan manusia di dunia supaya sampai ke
jannah. Merekalah yang mendidik masyarakat yang beriman, berakhlak mulia dan
beramal saleh. Dakwah adalah keperluan dalam menyebarluaskan agama supaya
sampai ke sanubari mereka yang mendengarnya. Yang melihatnya. Yang membacanya.
Yang berada bersamanya. Dalam dunia yang penuh pancaroba ini kita dibimbing supaya
sentiasa berada dalam suasana halal dan wajib. Melarikan kita dari suasana
haram dan syubhah. Manusia selalu berada antara nafsu dan akalnya. Agama
mendidik akal dan mengawal nafsu. Akal pula diselarikan dengan perintah Allah
dan menjauhkan dari larangan Allah. Akal yang terdidik memilih kebaikan dari
kejahatan. Memilih pahala dari dosa.
Khalayak umum banyak juga peranannya. Mereka yang
disekeliling kita selalu memberikan sumbangan secara tidak langsung. Kita
belajar dari seorang mekanik sewaktu kita membaiki kenderaan kita. Belajar dari
tukang yang membuat perabot. Belajar dari tukang masak untuk menyediakan
makanan kegemaran kita sendiri. Belajar dari jurulatih sewaktu belajar memandu.
Sewaktu bermain bola umpamanya. Maknanya semua mereka yang berada di sekeliling
kita adalah guru dalam aspek yang tersendiri dan aspek yang berlainan.
Kesemuanya mendidik kita dengan cara mereka yang tersendiri. Kita belajar dari
semua yang ada di sekeliling kita. Tidak ada mereka yang terlepas dari belajar
situasi itu. No man is an island. Maka beruntunglah kita jika kita hidup
dalam persekitaran bergama. Persekitaran akademik. Persekitaran profesional.
Kesemuanya membantu kita menjadi dewasa dan matang mengikut acuan yang hak.
Yang benar. Yang betul.
Apa sebenarnya tugas media jika bukan menyampaikan
yang hak. Mendidik hal-hal kebaikan. Memberikan contoh teladan melalui media
yang ada. Media pula besar pengaruhnya. Malah kepada setengah orang apa sahaja
yang dipaparkan melalui media dianggap benar. Dipercayai benar. Kerana itu di
negara maju media menjadi alat yang sangat berkesan untuk mendidik. Di USA
umpamanya terdapat TV untuk kanak-kanak dari pagi hingga ke petang. Video yang
sama diulang-ulang dari pagi hingga ke petang. Dari hari Isnin hingga hari
Jumaat. Video yang sama diulangtayang berulang-ulang. Tujuannya untuk propagate
minda kanak-kanak mengenal dan mengetahui topik yang sama. Untuk mengajar
bentuk mereka lukis. Mereka warna. Mereka nyanyikan. Mereka lakonkan. Mereka
perlagaikan aktiviti hanya untuk melatih tubi minda, sebutan, persepsi dan
variasinya. Di negara membangun seperti negara kita TV pendidikan terlalu kering dan keras. Tiada jiwa. Sukar mendapat
nafas darinya. Ianya wujud tetapi tidak dapat dimanfaatkan.
Kesemua yang disebut di atas, orang dewasalah yang
memainkan peranan. Di negara maju TV tidak digunakan sewenang-wenang untuk
merosakkan minda warganegaranya. Mentality mereka berbeza. Akal budi
mereka berbeza. Mereka mengamalkan kebebasan bersuara tetapi mereka masih patuh
kepada garspanduan yang ada. Kanak-kanak di bawah 18 tahun umpamanya tidak
boleh menonton TV yang ada unsur seks atau keganasan. TV pula tidak menayangkan
filem atau video yang mengandungi unsur lucah atau keganasan sebelum pukul
10.00 malam. Ibu dan bapa diingatkan supaya menggunakan budi bicara mereka
semasa menontonnya. Parents, use your discretion and advice. Besar,
jelas dan mungkin berwarna merah. Persepsi kita tentang USA seolah-olah mereka
bobrok dalam semua hal. Percayalah, kadang-kadang mereka lebih Islamik dari
kita yang Islam. Anak-anak mereka dididik untuk bebas. Bersuara dengan bebas.
Mengeluarkan pendapat dengan bebas tetapi mereka diberi had-had yang dipatuhi.
Kita yang selalu terpedaya seolah-olah yang kita tiru dari mereka dianggap
kesemuanya benar. Realitinya anak-anak muda kita lebih gila dari anak-anak muda
USA. Lakonan mereka di filem dan TV diyakini sebagai betul. Tanyalah mereka
yang berada di USA atau yang baru kembali dari USA, benarkah apa yang kita
tonton di filem dan TV terbitan mereka.
Malah kadang-kadang pemimpin kita menggunakan media
seolah-olah rakyat terlalu tidak mengethui. Seperti mereka tidak mengetahui
apa-apa. Banyak tingkah laku orang dewasa di negara kita yang membahayakan
minda anak-anak muda. Mungkin di akhir zaman hal-hal yang lucah menjadi mainan.
Penipuan dan dusta hanya antara dua bibir. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak
zaman. Mereka yang menjadi anak dan cucu kita. Minda mereka terjual kerana
kealpaan orang dewasa yang tidak menjaga masa hadapan keturunan mereka. Media kita
sudah melampau had yang wajar kepada penonton Islam. Bantahan demi bantahan
dilaungkan. Tindakan mengakhirinya tidak juga nampak bayangnya. Hanya keinsafan
sahaja yang boleh digunakan untuk mengundur kesilapan ke belakang. Soalnya,
siapa yang boleh menyedarkan pemilik media. Kita tanyalah diri kita sendiri.