Ganjil bunyinya. Apa pula
cerita longkang pada kali ini. Penulis ingin hubungkaitkan longkang dengan
kegemaran kita makan di luar rumah. Kita gemar makan. Apatah lagi makan di
luar. Banyak kedai makan atau restoran dalam senarai kita. Pernahkah kita
sama-sama berhenti sejenak untuk melihatnya pada waktu siang. Di mana sebenarnya
kedai atau gerai kita makan pada malam hari. Bagaimana sebenarnya persekitaran
kedai itu. kondusif atau tidak. Bersih atau tidak. Pada waktu malam kita
terpana dengan pelanggan yang ramai, lampu neon berkelap-kelip, aroma yang
menangkap hidung dan selera, hidangan berwajah indah. Kita hanya perasan
sedikit bau yang berbaur dengan aroma masakan. Kita hanya terkilas pandang kotor
dan sampah di sekeliling. Tetapi kita tidak pun melihat sama ada tempat kita
makan itu berstatus A atau lebih rendah.
Ada jaminan kebersihan dari pihak yang berwajib. Maksudnya ada juga
jaminan kesihatan.
Di mana keperihatinan
kita sebenarnya dalam hal ini? Di mulut atau pada akal budi? Cuba kita pandang
keliling.
1
Gerai orang kita bersepah di tepi jalan. Bersepah dari sedi
kedudukannya. Dari segi rupa bentuknya. Bersepah dari segi susunaturnya. Ersepah
kekemasannya.
2
Kedai makan orang kita tidak strategik kebanyakannya. Kedudukannya menyulitkan.
Sukar untuk parkir. Sukar untuk sampai ke tempatnya.
3
Makanan yang disediakan terlalu stereotaip. Sama sahaja setiap hari dan
masa. Garai lain itu juga makanannya. Rupa masakannya sahaja yang kelihatan
berlainan.
4
Layanan pula ala kadar. Setengah pembantu kedai tidak pandai menambat
hati pelanggan. Masam, kasar, lambat, salah tulis, salah dengar dan berbagai
karenah lagi.
5
Tuan kedai pula tidak perihatin dengan kehadiran pelanggan. Yang penting
bukan wang sahaja. Keperihatinan tuan kedai terhadap kehadiran pelanggan sangat
kritikal. Sangat penting. Dilayan segera. Ambil pesanan dengan tepat.
6
Standard makanan hendaklah dikawal rapi supaya kekal kualitinya setiap
masa. Variasinya sangat sedikit. Masinnya tidak terlalu berbeza. Manisnya tidak
terlalu berbeza. Masamnya tidak terlalu berbeza.
Penulis rasa
terpanggil untuk berterus terang. Mengapa medan selera makanan Melayu/Islam
terletak di tempat yang tidak dijaga kebersihannya. Tidak teratur keadaannya.
Banyak gerai tutup dari yang beroperasi. Sampah banyak merata-rata. Paling
merisaukan ialah:
1
Longkang di sekeliling medan selera tidak dibersihkan.
2
Airnya tidak dialirkan.
3
Sampah yang terperangkap tidak dibuang.
4
Sampah di tong sampah melimpah dan membuak. Bertabur apabila diselongkar
anjing dan kucing.
5
Malangnya terdapat gerai makanan yang terletak benar-benar bersebelahan
tempat membuang sampah. Tempat sampah berlonggok. Tempat paling banyak semut
dan lalat. Langau sudah tidak dapat dikira banyaknya. Itu belum lipas dan tikus mondok.
Implikasinya terlalu
banyak:
1
Bau busuk mengganggu minat pelanggan untuk datang menikmati apa-apa
hidangan di kawasan itu.
2
Pelanggan yang sedang makan juga sangat terganggu dengan bau busuk yang
kadang-kadang terlalu menusuk hidung.
3
Mungkin mengakibatkan mudarat kesihatan.
Apakah orang kita terlalu
kelaparan sehingga tidak memikirkan semua itu?
Apakah orang kita tidak
mengenal bersih dan kotor?
Apakah orang kita
terlalu daif berfikir sehingga tidak dapat membezakan antara faktor yang
menyumbang kepada kesihatan dengan penyebab-penyebab penyakit?
Ianya menjadi lebih menarik apabila kita berbicara tentang pihak yang
berwajib. Penulis ingin berkongsi pengalaman tinggal di Ipoh dan sekarang
sesekali ke Ipoh. Ada beberapa perkara yang boleh dicontohi oleh Pihak Berkuasa
Tempatan lain.
1
Tiada gerai terdapat di tepi jalan di sekitar Bandaraya Ipoh.
2
Medan selera di wujudkan di banyak tempat yang strategik. Di tengah
bandar, di stadium dan tempat-tempat lain.
3
Kedai dibenarkan tetapi gerai tidak. Di pinggir bandar dibenarkan.
Selagi masih dalam kawasan Bandaraya sebarang gerai tidak dibenarkan.
Apa yang kita lihat ialah:
1
Tiada kenderaan diparkir di sepanjang jalan sehingga mengakibatkan
kesesakan, kemalangan, kegusaran dan sebagainya.
2
Tiada sampah bersepah-sepah kerana dibuang merata-rata atau kerana
ditiup angin.
3
Lalat, langau, semut, lipas dan tikus dapat dikawal atau dibasmi.
4
Kebersihan kedai dan persekitarannya dijaga rapi.
Dalam hal ini biarlah penulis berkongsi kembali proses dan penguruan
sampah di Bandaraya Amman, negara Jordan.
1
Pada musim sejuk sampah memang bersepah-sepah. Seolah-olahnya tiada
siapa yang peduli.
2
Angin dan hujan memburukkan lagi keadaan. Sepahnya merata-rata.
Tetapi pada musim panas keadaan berubah 360ᵒ:
1
Tong sampah diganti baru. Banyak dan berhampiran satu sama lain. Pada
satu-satu tempat terdapat hingga tiga tong sampah.
2
Sampah dipungut bukan secara harian. Sebaliknya dipungut mengikut jadual
jam.
3
Dalam sehari sampah dipungut beberapa kali.
Kadang-kadang orang Arab bukan contoh terbaik. Tetapi dalam kes di
Amman, Jordan ini ia boleh dijadikan contoh teladan. Paling khusus ialah
kawasan yang menempatkan gerai-gerai makanan. Lebih-lebih lagi makanan basah.
Bahannya basah. Sampahnya perlu dikutip segera sebelum mengeluarkan bau.
Kita tidak bercakap untuk mencontohi pengendalian makanan di negara maju
seperti Jepun, US, Canada atau negara maju yang lain. Cukuplah kita merubah
rupa bangsa kita. Rupa kerja kita. Rupa kita bekerja. Orang Melayu sarat dengan
disiplin kebersihannya yang tersendiri. Di kampung umpamanya, rumah orang
Melayu selalu bersih. Halaman rumah mereka bersapu. Tetapi kenapa apabila
berniaga sifat bersih itu hilang. Tidak perihatin dengan kebersihan. Keadaan
bertambah celaru apabila pelanggan pula tidak kisah dengan kotor dan sepah.
Pihak yang berwajib pula tidak juga mempunyai dasar yang standardnya tinggi.
Akhirnya kita terperangkap dalam kotor dan sampah. Sukar untuk keluar dari
adat-beradat yang nisbahnya negatif, kotor dan menjijikkan.
Adakah kita juga hilang sensitiviti. Tidak rimas dengan yang kotor,
berbau busuk, menjijikkan. Longkang yang tidak tega dilihat bukan sahaja
mencucuk mata, ianya malah sangat mengganggu kewarasan mereka yang yang mahu
berfikir. Akhirnya kita semua berada dalam sangkar kekotoran buatan kita
sendiri. Maka kita semua tepalit dengan sikap kotor. Dengan perangai kotor.
Dengan budaya kotor. Hal ini terlalu merebak:
1
Parit kita kotor.
2
Saliran air kita kotor.
3
Sungai kita kotor.
4
Gerai makanan orang kita banyak yang tidak kemas. Susunan barang-barang
dalam kedai tidak rapi. Tidak bersih dari debu dan kotoran lain. Banyak sawang.
5
Paling tidak enak kesemuanya itu dilihat di hadapan mata. Dipandang
tanpa hijab.
Akhirnya cuba kita bertanya sesama kita:
Apa yang kotor?
Siapa yang kotor?
Perlukah ada pihak yang memperingatkan kita supaya sama-sama menjaga persekitaran?
Baik kita fikir bersama-sama. Fikir lama-lama. Fikir dalam-dalam. Fikir sambil
melihat sekeliling kita. Mulakan dari rumah. Kemudian terjemahkan dalam
kehidupan. Jadi amalan hidup supaya hidup dan menghidupkan amalan itu.