Universiti Malaya (UM) banyak sejarah di kalangan alumninya. Ramai antara mereka menjadi orang besar negara. Ada yang menjadi Perdana Menteri. Yang menjadi menteri memang ramai. Pegawai kerajaan dan tokoh swasta lagilah ramai. Pendek kata apabila keluar dari UM pasti 'jadi orang'.
Banyak yang indah-indah di sana. Siapa yang tidak ingat tasiknya. Entah berapa banyak pasangan yang mengikat janji di situ. Entah berapa ramai yang beranak pinak. Seperti lumrahnya entah berapa ikatan yang terlerai di situ. Ada yang datang dan ada yang pergi. Perpustakaan yang sentiasa tersergam, agam dan menggmit pelajar-pelajar yang setia. Dewan Tunku Canselor dan plaza siswa yang ada di belakangnya.
Begitu juga kolej-kolej kediaman yang berada di keliling kampus. Dulu kolej 5 adalah yang paling jauh. Sekarang kolej 5 dijirani kolej 11 dan kolej 12. Ada pula komplek sukan. Mungkin Akademi Islam yang paling jauh ketik ini. Saya hanya berkerkesempatan tinggal di asrama Zaaba selama seminggu dalam masa orientasi. Selepas it mencari tempat tinggal di luar kampus.
Cerita rumah ini banyak episod dukanya. Cerita guru lagi. Waktu tahun 60an dan 70an belajar di UM banyak siksanya. Sekarang ini terlalu ramai mahasiswa dan mahasistua yang berkereta ke kampus. Waktu saya dulu bermotorsikal sudah cukup mewah. Ramai pula yang sedia membonceng. Apa lagi jika Vespa dan Lambretta. Lambang kegilaan dari Itali. Memang ramai guru yang bermotorsikal. Tetapi itu adalah keperluan yang sangat diutamakan. Untuk ke kuliah, ke perpustakaan, ke masjid. Wang di saku memang tipis. Secukupnya sahaja.
Bagaimana ya mahasitua mengurus hidup. Bagi guru yang isterinya bekerja tentulah tiada masalah kewangan. Tetapi bagi yang lain seperti orang berpakaian singkat. Serba tidak kena. Pada era itu walaupun UM itu gah, ramai pelajarnya yang hidup melarat dan merempat semata-mata untuk menjejak segulung ijazah tanpa mengira kualitinya. Tetapi untuk menghabiskan masa selama 3 tahun, banyak keajaiban yang diperlukan. Sebenarnya ramai yang menolak bila mendapat tawaran ke universiti. Suatu keberanian yang luar biasa untuk sampai di IPT. Untuk bercuti dengan separuh gaja memang suatu pengorbanan yang bukan calang-calang. Mana nak beli buku sedangkan hutang rumah perlu dibayar. Mana nak bayar yuran sedangkan hutang kereta perlu ditunaikan. Mana nak berlau sedap sedangkan anak-anak sudah bersekolah. masakan hendak bermewah sedangkan isteri dan anak-anak di kampung cukup mengikat perut. Hanya pesan, "Sabarlah sayang. Tiga tahun nanti hidup kita aka berubah. Doakan abang." Saya menghembus suara. Hanya Allah yang tahu deritanya untuk menghabiskan jangkamasa tiga tahun. Derita itu hanya boleh ditangung sendiri. Tidak perlu dikongsi. Hanya manyayat hati.
Ramai guru yang makan sekali sehari. Mereka berpuasa sepanjang hari. Makan hanya waktu malam sahaja. Seminggu pertama setiap bulan mungkin ada peruntukan untuk makan siang. Itupun cuma seminggu sahaja. Tiga minggu berikutnya mereka mengikat perut. Sukar mencari guru yang gemuk waktu berda dalam kampus. Piggang saya bersaiz 27 sewaktu keluar dari kampus. Sekarang mencecah saiz 35. Manakan tidak, siang berlapar, malam berjaga pula. Sekali dua kita ajak makan, mereka menolak sahaja. Lama kelamaan perasan juga. Kasihan. Rupanya mereka berpuasa. Saya yang makan terasa berdosa pula. Semuanya demi kelangsungan hidup. Suatu perjuangan. Suatu jihad barangkali.
Bagi yang lain mereka ada bajet makan tetapi tidak mampu untuk menyewa rumah atau bilik. Banyak masjid yang mereka huni. Percuma. Ada yang tinggal di masjid Kajang setengahnya. Terutama apabila rakan mereka belajar di UKM. Mereka dalam kelompok ini mungkin kurang makan tetapi masih makan. Kurang lauk tetapi masih berlauk. Kurang banyak tetapi masih berlauk juga. Mungkinyang paling murah tetapi masih berlauk juga. masih ada rasa masin dan manis, masih masam dan kelatnya, yang pahit dan pedas. Cuma tidur mereka ala kadar sahaja. Tidaklah makan berlaukkan daun ubi rebus sahaja. Masih banyak nikmatnya.
Saya hanya boleh bercerita. Namun saya tidak merasa deritanya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Bagi mereka, mendapat Ijazah Am sudah cukup membahagiakan. Jika mendapat honours memang berganda nikmatnya. Mereka kesemuanya sudah bersara. Derita di kampus sudah lama berlalu. Cuma kadang-kadang melihat kemewahan pada pelajar-pelajar sekarang saya rasa terkilan. Mereka tidak pandai merasa. Amalan berpuasa dalam bulan Ramadhanpun masih tidak mampu mengubah persepsi mereka tentang erti kehidupan. bahawa kemewahan yang mereka kecap adalah penat lelah datuk nenek mereka. Keringat dan air mata entah berapa tempayan yang mengalir. Derita itulah yang membahagiakan anak-anak, melapangkan kehidupan berkeluarga.