Friday, June 14, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Antara Seorang dan Berorang-Orang


Kita hidup dalam kelompok manusia yang sebangsa. Ada kalanya kita mencelah dalam kelompok yang berlainan bangsa. Tidak kira siapa yang bersama kita, pastinya mereka adalah orang-orang yang sama sifatnya seperti kita. Mungkin yang lainnya  jantina, tutur kata, cara hidup, pakaian, makanan, agama, keprcayaan, trait, falsafah hidup, perasaan, keinginan dan pengakhiran kehidupan yang berlainan. Tiada manusia yang hidup bersendirian. Tiada juga manusia suka dalam kelompok yang terlalu ramai. Maka dalam keadaan tertentu kita berada dalam kelompok ramai tetapi berasa bersendirian. Berlaku apabila kita berada di tempat asing dan baru.   Bersama orang-orang yang belum dikenali atau mereka yang sukar dikenali. Berada dalam kelompok yang berbeza minat dan kerjaya. Bahasa yang berbeza. Mungkin kita tersesat masuk dalam kelompok yang bukan hak. Ketika itu kita berasa ganjil. Kekok. Mungkin risau dan gelabah. Bergantung siapa kita. Orang yang ekstrovert tiada masalah. Campak mereka ke mana sahaja dia hidup dalam hidup yang sebenarnya.
Ekstrovert adalah orang-orang yang memiliki kebebasan berfikir dan bertindak. Mereka tidak perlukan orang lain untuk mengerakkan apa-apa yang hendak dimulakan. Kepada mereka semuanya mudah. Semua orang menjadi rakan mereka. Senang berkawan. Senang berinteraksi. Banyak pula tajuk yang dibicarakan. Ekstrovert ramai rakan yang berlainan latarbelakang. Berlainan profesion. Berlainan pengalaman. Maka mereka memindahkan tajuk-tajuk yang digarapnya kepada orang lain yang baru dikenalinya. Cara dia berkenalan sangat santai. Tanya dan bualnya meluncur laju tanpa brek. Pertukaran tajuk perbualan bukan sesuatu yang sukar. Dia tahu pula menilai lawan cakapnya. Ada sahaja tajuk yang sesuai untuk orang baru yang seketika dikenalinya. Maka orang lain selalunya tidak menolak untuk berkenalan dengannya. Banyak perintang waktu yang dapat dipenuhi. Walaupun perkenalan itu seketika sahaja yang sangat pendek seolah-olahnya mereka rakan lama yang baru ditemui semula.
Namun begitu orang-orang yang ekstrovert perlu juga mengetahui bahawa ekstrovert mereka hendaklah ada batas-batasnya. Ada juga orang lain yang mungkin menghindar dari berinteraksi dengan mereka yang ekstrovert. Introvert tidak mahu ada rahsia diri diketahui orang. Ekstrovert pula pandai mengorek hal-hal peribadi. Pertanyaannya secara tidak langsung. Orang akan tercakap juga hal-hal yang hendak dirahsiakan. Maka introvert kadang-kadang terperangkap dan diperangkap oleh ekstrovert. Tetapi jika batas-batas peribadi dapat dilindungi maka persahabatan boleh berkekalan lama. Antara masing-masing mengenali diri masing-masing. Melindungi dan dilindungi. Ada rasa selamat apabila bersama. Tanpa rasa selamat orang tidak mahu berinteraksi dengan bebas. Privacy yang sedikit dijaga memberikan impak besar dalam persahabatan.  Sebenarnya tidak ramai orang yang hendak berahsia. Tetapi rahsia tetap rahsia. Terlalu ekstrovert seperti tiada lagi rahsia. Susuh juga akhirnya.
Lain dengan orang yang dirinya introvert. Jika interovertnya terkawal berada di tempat asing bukan masalah baginya. Dia boleh membawa dirinya tanpa ganggu gugat orang lain. Dia pendiam tetapi bukan tidak mengerti apa-apa. Dia banyak mendengar, melihat dan bermonolog. Bercakap yang perlu dan apabila diperlukan. Tajuk santai mungkin tidak berapa diminati. Ada tajuk-tajuk besar dan membina yang dibincangkan. Bagi introvert yang akstreme negatif barangkali banyak takutnya. Banyak gundah gulana. Mereka menjadi orang-orang yang bimbang dan takut. Kesemuanya dibimbangi dan ditakuti. Kerana itu introvert ekstreme perlukan banyak bimbingaan. Dibawa ke persekitaran yang ramai dan riuh. Letakkan dia bersama-sama orang yang banyak cakapnya. Banyak ceritanya. Banyak pengalamannya. Terutama sekali mereka yang pengalamannya hampir menyerupai orang-orang yang introvert. Cakap-cakap santai itu boleh memotivasi orang-orang yang introvert.
Bagi mereka yang ambivert anginnya mungkin tinggi dan tidak menentu. Ada masanya dia senang bebas berbicara. Ada masanya jiwanya terlalu mudah tersentuh. Sebenarnya siapalah kita jika tiada memiliki persekitaran yang ramai kawan. Yang selalu bersama dengan orang lain. Tidak kira siapa mereka, kita adalah sebahagian dari kelompok yang besar. Yang tolong-menolong. Yang bantu-membantu. Yang ada berada sesama sendiri.  Mana mungkin kita hidup sendiri. Mati kita lagilah banyak pertolongan orang hidup yang kita perlukan. Maknanya hidup dan mati kita dalam keberadaan orang lain. Tanpa orang lain itu kita bukan siapa-siapa. Tidak ada maknanya hidup sendirian kerana yang namanya manusia wajib baginya bersama jemaah. Besar atau kecil jemaah itu bukan soalnya. Yang penting ada jemaah yang kita anggotai. Melalui jemaah itu kita berinteraksi dan bertukar keindahan kehidupan.  Jemaah itu yang bersama kita dari hidup hingga pengakhir hayat kita.
Begitulah interaksi kita dengan orang-orang yang berlainan. Allah menjadikan kita berbangsa-bangsa supaya kita berkenal-kenalan antara satu sama lain. Begitu juga supaya kita memahami bahawa mereka adalah bangsa manusia yang sama seperti kita. Kita kembali seketika kepada Nabi Adam, maka semua manusia adalah anak Adam. Anak cucu Adam. Cucu cicit Adam. Keturunan Adam. Dari tanah liat. Ada unsur angin, api dan air. Kita akan kembali menjadi tanah semula. Bersemadi semula menunggu masa untuk dibangkitkan semula. Qiamah(t) adalah hari kita semua dibangkitkan semua. Dinilai kemanusiaannya. Dinilai baik dan buruknya. Selepas banjir besar zaman Nabi Nuh, anak Nabi Nuh yang bernama Yapith pergi ke arah timur. Jadilah mereka Monggol, Cina, Korea, Jepun, Melayu dan yang seketurunan dengan mereka. Ada unsur putih kuning, sawo matang dan hidung sedikit pesek dan kecil. Rambut dan mata mereka berwarna hitam. Anak yang lain Sham ke utara menjadi sebahagian orang India, Arab, Israel dan Eropah. Hidung mereka mancung. Rambut berbagai warna. Blond, brunnet, silver dan mungkin sedikit kelabu. Tidak hitam.  Mata mereka berwarna warni juga. Biru, hijau, kelabu, perang. Tidak hitam.
Anak yang bernama Ham ke Afrika. Besar dan tinggi. Kulit gelap. Hidung besar dan kembang. Rambut keriting. Dalam ketiga kelompok ini nampaknya keturunan Sham menguasai dunia. Sama ada Islam atau tidak. Yang di timur baru hendak menyaingi keturunan Sham. Yang di Afrika juga begitu. Apa-apa sekalipun manusia tetap manusia. Allah ciptakan untuk menjadikan mereka bersifat kemanusiaan. Menjalankan perintah Allah. Meninggalkan laranganNya. Adam dijadikan supaya keturunannya memakmurkan dunia. Menjadikan dunia ini tempat yang paling baik untuk diduduki. Dari dunia ini kita direncanakan untuk terus mengembara lagi ke akhirat. Sebagai manusia kadang-kadang kita hilang kemanusiaannya. Tidak menginsafi bahawa kita adalah manusia yang biasa-biasa sahaja. Perlu belajar. Perlu hidup. Perlu seperti orang lain. Tidak perlu ganjil. Tidak perlu luarbiasa. Perjalanan usia kita dari roh ke janin ke bayi. Dari ketika itu kita dibesarkan untuk menjadi muda, dewasa dan akhirnya menjadi insan berusia emas.
Jangan risau menjadi manusia. Perlu pandai menjaga diri. Contohnya kita selalu dihimpit keramaian dan keriuhan. Cuba bersendirian dalam keriuhan. Cuba bersunyi walaupun dalam bising. Kita seharuasnya boleh membawa diri dalam keadaan apa sekalipun. Jika kita boleh bersahaja dengan diri kita insyaAllah ada jalan yang baik untuk membawa diri. Membaca dalam masa orang ramai. Belajar dalam masa orang sedang ramai. Maknanya bersunyi dalam bising. Saya sendiri tidak kisah dengan keriuhan atau kebisingan sewaktu saya hendak membaca. Sewaktu hendak belajar. Dalam bas ke, kapalterbang ke, di lapanganterbang ke bukan masalah. Kita kena belajar menahan diri dari merisaukan keadaan. Jika terlalu memikirkan keadaan sekeliling maka kita menjadi susah. Tidak boleh bergerak. Tidak boleh berbuat apa-apa. Keadaan terlalu mengawal kita. Belajar supaya kita dan diri kita sendiri yang mengawal keadaan. Yang menentukan apa yang hendak kita buat. InsyaAllah kita boleh berbuat yang terbaik untuk diri kita.
Dalam dunia persekitaran kita banyak hal yang bukan dalam kawalan kita. Kita tidak berdaya hendak berbuat apa-apa kecuali menjadi orang yang paling lemah imannya. Kita sekadar mampu mengutuk dalam hati. Kerana itu dalam banyak keadaan kita harus bijak  memejamkan mata dari memandang yang bukan hak. Umpamanya mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Yang bukan dalam kawalan kita. Kita tutup telinga dari mendengar kebisingan yang bukan kawalan kita. Umpamanya bunyi kapalterbang. Kita tutup mulut dari melayan pertengkaran atau perbezaan pendapat. Takut melarat menjadi besar dan di luar kawalan. Malah kadang-kadang kita tahan hidung dari menghidu bau yang tidak serasi dengan kita. Kita tidak memiliki dan tidak menyukai bau itu. Hindarkan diri atau anggap bau itu tidak wujud. Hanya dan hanya apabila kita boleh melakukan semua itu barulah kita boleh menjadi seorang dalam banyak orang. Menyendiri dalam ramai. Sunyi dalam sibuk dan riuh. Barulah kita boleh berdamai dengan diri kita sendiri. Berdamai dengan persekitaran.