Tuesday, July 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Nikmat Bertarawih



Tepuk dada tanyalah iman. Begitulah kata ustaz apabila berlaku kontroversi tentang agama. Bukan perkara pokok yang menyangkut akidah atau iman. Selalunya berkaitan dengan perkara furu’. Perkara kecil yang telah lama selesainya tetapi masih juga menjadi igauan kepada setengah orang Islam. Pada bulan Ramadhan yang selalu menjadi isu ialah solat tarawih. Lapan rakaat atau 20 rakaat. Jika lapan rakaat perlukah tazkirah. Bagaimana pula tazkirah yang hendak disampaikan. Bagaimana skopnya. Konteksnya. Relevannya dengan Islam dan dakwahnya. Kita seolah-olahnya masih tercari-cari formula yang terbaik. Apabila kita fikirkan semula, kita perlu kembali kepada dasar. Bulan Ramadhan adalah bulan mulia untuk umat Islam. Amalan baik Allah janjikan gandaan ganjarannya. Kerana itu sebagai hambanya kita yang perlu memilih yang terbaik di sisi Allah. Ada satu elemen penting dalam setiap ibadat. Ikhlas. Ikhlas seikhlasnya dalam semua konteks beribadat.

Kita tidak boleh bercakap sebarangan tanpa ilmu yang hak. Tidak boleh berhujjah tanpa ilmu. Tidak boleh memberi pendapat tanpa ilmu yang relevan. Yang mengetahui bertanggungjawab memberitahu. Mengajar. Menyampaikan. Berdakwah. Yang tidak tahu banyakkan belajar. Banyak bertanya. Banyak membaca. Apabila dua golongan ini selalu bertemu maka segarlah taman ilmu itu sendiri. Kerana itu banyak masalah kecil dapat diselesaikan secara akademik. Bukan secara emosi. Apabila al-Quran dirujuk, di situ terdapat jawapan dari Allah. Apabila al-Sunnah dirujuk, di situ terdapat jawapan dari Rasulallah. Apabila kitab dirujuk, di situ terdapat hujjah dari ulamak. Dari mereka yang mursyid. Yang muktabar. Yang ilmunya melimpah ruah sejak dari dahulu lagi.

Satu hal yang digalakkan oleh Islam ialah mengembara. Imam Syafiee menggalakkannya. Penulis sendiri berasa berlapang dada apabila berada di negara orang. Lama dahulu sebelum berkesempatan untuk memulakan rehlah ilmu banyak yang disangka dan diagak-agak sahaja. Setelah berjalan jauh barulah dapat memahami bahwa dunia ini bulat. Jika kita berada di satu tempat sahaja kita hanya melihat ratanya di sekeliling kita. Mendatar. Sama di mana-mana arah. Lama-kelamaan fikiran kita menjadi tepu dengan keadaan yang sama. Baik dalam satu keadaan tetapi mungkin banyak kekurangannya dalam aspek yang lain. Begitu juga dalam hal agama dan amalannya. Sewaktu penulis membaca kitab kefahamannya berdasarkan kepada kalimah dan ayat yang tertulis. Yang dimaksudkan untuk difahami. Natijahnya berbeza apabila kita mengembara mengalaminya sendiri.

Tentu sukar memahami apabila dikatakan di England mereka berpuasa selama 19 jam. Melihat angka itu sendiri kita seperti hendak pengsan. Mana tahan selama 19 jam. Musim panas pula seperti sekarang. Mungkin jika musim sejuk lebih baik sebab berpuasa selama kira-kira 10 jam. Dalam soal seperti ini kita lupa satu aspek penting. Kita berpuasa dengan niat. Kesemuanya kerana Allah. Kuasa Allah yang menjadikan niat itu lebih kuat dari psikologi.

Orang putih bertanya, “Don’t you feel hungry?”
Dengan tenang orang Islam menjawab, “Of course I’m hungry. But … I can stand it. You may not understand. In fact I love it.”

Begitulah iman yang melingkari diri kita. Ditambah pula dengan keikhlasan. Begitu perhatian kita dibawa untuk menginsafi tarawih. Pemerintah di Malaysia menetapkan sama ada ianya lapan rakaat atau 20 rakaat. Di negara Arab isu seperti itu tidak timbul. Masing-masing ingin beribadat sakan. Walaupun tarawihnya lapan rakaat tetapi masa yang diambil lebih lama berbanding dengan kita di Malaysia yang tarawihnya 20 rakaat. Surah yang dibaca bagi setiap rakaat panjang-panjang belaka. Imam menyambung bacaan al-Quran solat tarawih malam sebelumnya pada solat Maghrib hari berikutnya. Maknanya dari solat Maghrib hingga rakaat terakhir (ke lapan) solat tarawih tamat satu juzuk. Begitulah setiap malam. Rasa puas kerana solatnya panjang. Imamnya hafiz. Apatah lagi jika memahami makna ayat-ayat yang dibaca.

Kita di Malaysia hanya gemar membaca ayat-ayat lazim. Ramai yang menamatkan tarawihnya lebih awal. Banyak kerja lain yang hendak dibuat. Adat kita ialah menyediakan diri untuk berhari raya. Tidak untuk merai, menghormati dan menyanyangi Ramadhan itu sendiri. Tarawih hanya satu aspek. Bagaimana dengan al-Quran. Mendengar tazkirah. Hadir dalam majlis ilmu. Zikir. Qiam al-lail. Lail al-qadr menanti. Jika hanya dan jika hanya kita mengerti tuntutan beragama tentu banyak aspek keduniaan yang kita buang dari diri kita. Mereka yang berganda amalnya dalam  bulan Ramadhan tentu merasa manisnya. Jika tidak kita hanya terasa terhimpit kerisauan kerana lapar dan dahaga. Di Mesir umpamanya, ada antara rakyatnya bercuti dari bekerja selama sebulan semata-mata mengambil peluang untuk fokus beribadat dalam bulan Ramadhan. Malah ada masjid yang dikatakan tarawihnyat amat pada pukul 1.00 atau 2.00 pagi. Disambung pula dengan qiam al-lail. Selepas solat Subuh sambung lagi dengan tazkirah Subuh. Kesemuanya tepuk dada tanya iman.


Amalan kebiasaan kita ialah membaca doa qunut bermula pada malam ke-16 Ramadhan. Di negara Arab qunut sudah dibaca sejak dari malam pertama lagi. Bukan doa qunut kita seperti dalam solat Subuh. Ringkas dan padat. Qunut tarawih di sini panjang hingga melepasi 15 minit. Suara imam naik dan turun dengan intonasi orang berdoa. Apabila suaranya ditarik tinggi terasa nikmatnya melayan perasaan berada dalam solat. Yang menjadi makmum bertambah pula semangatnya. Kaliman amin dan Allah berselang seli menyambut doa imam. Terasa sebak di dada. Tergenang air mata. Terbuai dalam keindahan beribadat. Tidak hairan ramai yang menangis. Mengenang kekerdilan diri di hadapan Allah. Kemuncak nikmat beribadat ialah menghadirkan diri dan perasaan kita di hadapan Allah. Memahami bahawa Allah melihat kita. Hati dan perasaan kita tahu bahawa Allah berada di hadapan kita. Ya Allah itulah ihsanMu. Semoga kita semua mendapat ihsanNya. InsyaAllah.