ﺭﺍﺟﻌﻮﻥ ﻟﻠﹽﻪ
ﻭﺇﻧﹽﺎ ﺇﻟﻴﹿﻪ ﺇﻧﹽﺎ
Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan
kepadaNyalah kami kembali
Berita pemergiannya menyapa pilu di hati. Tergenang
airmata. Seorang lagi meninggalkan kita. Selepas seorang, seorang lagi perginya
tidak kembali. Tahun 2015 menyambut kita dengan kedukaan selepas beberapa
ulamak meninggalkan kita pada tahun 2014 sebelumnya. Kebetulan hari ini tarikh
perginya ulamak tersohor Hassan al-Bana di bumi Mesir. Inilah rentetan kepiluan
yang bakal memanjang. Setiap pemergian mereka tidak akan berganti. Pergi dan
akan pergi. Ramai yang akan menyusul. Esok dan lusa entah siapa lagi. Tulat dan
langkat semakin ramai mengiringi mereka. Begitulah intipati sebuah hadith
Rasulallah bahawa akan sampai ketikanya ilmu diangkat Allah ke langit. Bagaimana.
Sahabat bertanya. Apabila ulamak ramai yang meninggal dunia. Mereka membawa
bersama mereka kegemilangan ilmu. Keindahan beragama. Amalan yang siang dan
malamnya dekat dengan Allah. Kita ditinggalkan.
Ulamak adalah pewaris para anbia. Mereka melestarikan
ilmu Allah kepada manusia. Beruntunglah mereka yang mengambil kebaikan. Mengambil
iktibar. Menambah pengajaran. Memperbaiki diri. Tentulah rugi bagi mereka yang menolak
kebaikan. Bertambah rugi bagi mereka yang mencela kebaikan. Seorang ulamak
adalah seorang pejuang. Takutnya hanya kepada Allah. Manusia lain adalah makhluk
sepertinya. Mereka yang bertaqwa sahaja yang memiliki kelebihan di sisi Allah. Perjuangannya
tidak pernah surut. Dakwahnya memanjang zaman. Ia tidak kenal letih dan lesu. Walaupun
banyak halangan dan kekangan namun tugas menyampai tidak pernah teralpa. Tidak terlupa.
Tidak terleka. Tidak terabai. Masa yang sangat singkat diperguna dengan
seluas-luasnya. Hidup dan matinya kerana Allah. Mengimarahkan dunia ini dengan
harapan ramai lagi yang cintanya hanya kepada Allah. Hidup di dunia hanya
jambatan untuk sampai ke akhirat. Di sana tempat rehat yang panjangnya tiada
kesudahan.
Apabila berada jauh, banyak yang dilihat
dengan mata hati. Banyak yang dirindu. Penulis merancang ingin menziarahi sosok
ulamak yang begitu hangat ilmunya. Namanya banyak diperkatakan kawan dan lawan.
Cadangnya sebelum Ramadhan akan datang penulis ingin ke Pulau Melaka. Ingin menatap
wajah pejuang agama yang sangat sederhana. Yang tidak meminta tetapi banyak
memberi. Ilmunya di tabur ke segenap pelosok yang mencarinya. Sakitnya hanya
berita yang dibaca. Didoakan dari jauh akan sembuhnya. Allah lebih
sayangkannya. Alfatihah untuknya. Bahawa hanya di sini sampai usianya. Ulamak yang
tidak ada ragamnya. Berbuat yang terbaik untuk orang-orang di bawah
tanggungannya. Habuan dunia tidak diambilkira. Yang dirindui ialah Rabbnya yang
satu. Kembali kepada Yang Khaliq.
Tenanglah wahai jiwa yang tenang. Kembalilah
kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Tempatmu di sisi Allah Yang
Maha Mengetahui. Doa dari kami semoga kau berada di sisiNya. Terputuslah dunia.
Semadilah di alam barzah dengan bahagia. Sesungguhnya hidupmu terlalu banyak
tidak disukai. Ada sahaja yang mencela kerana ketidakarifan menilai intan. Kau bukan
kaca. Kau bukan batu bercahaya. Kaulah intan yang telah menyinari sekelilingmu.
Hanya jauhari yang mengenal manikam. Malangnya tidak ramai jauhari yang mengenal
manikam yang ada dalam dirimu. Kelembutanmu menusuk. Keramahanmu dirindui. Ilmumu
ditatap baca. Tutur katamu bermain di telinga. Kepada yang mengerti hanya
kebaikan yang telah kau berikan. Yang mahu menerima yang baik dan hak. Yang tunduk
syahdu kerana kau bukan sebarang insan. Auramu menyinari siapa yang pernah kau
sapa. Dirindui jauh dan dekat.
Kini keberadaanmu tiada lagi. Ruang kosong
yang tidak mungkin berganti. Ketentuan Allah. Kita berpisah jua. Namun begitu
pesanmu selalu akan diingat. Ceritamu akan disambung untuk jangka waktu yang
panjang. Pergimu meninggalkan nama. Meninggalkan jasa. Meninggalkan jalur-jalur
sejarah bangsa dan agama. Malam ini rohmu disambut para malaikat. Sesaknya Pulau
Maleka menjadi saksi ramainya yang mengasihimu. Bukan pangkatmu. Bukan kayamu. Kasih
datang kerana kehebatanmu kepada manusia. Mudah-mudahan kepada malaikat. Mudah-mudahan
juga kepada Allah melebihi segala-galanya. Malam ini ramai yang berkampung di
daerah terakhirmu. Akan ramai yang akan berkunjung ke makammu. Sesudah ketiadaanmu
masih ramai yang ingin bersamamu. Dalam jaga dan dalam mimpi mereka
mengingatimu. Esok akan berpisahlah kita semua darimu. Doa kami sepanjang masa.
Ya Allah, Kau redhailah hambamu ini. Berikanlah
ia sebaik-baik balasan. Hidupnya tidak meminta. Biarlah matinya Kau beri yang
teristimewa. Masih teringat pesannya: Buatlah apa sahaja di dunia ini
sekira-kira boleh dijawab di hadapan Allah. Yang maksudnya berbuatlah kebaikan
supaya kebaikan itu diberi ganjaran oleh Allah. Diterima oleh Allah. Menelusuri
masa sangat banyak pesannya. Banyak nasihatnya. Banyak tunjuk dan ajarnya. Sesungguhnya
kita kehilangan gemilang seorang insan istimewa. Insan yang banyak memberi kita
cahaya. Menunjuk jalan lurus untuk mencari redha Allah. Betapa ratap tangis
hanya mengiring. Betapa remuk redam hanya rasa hiba. Betapa kerinduan akan
menghimpit qalbu.
Malam Jumaat yang istimewa ini rohmu di
jemput Allah. Esok Pulau Melaka akan banjir dengan duka nestapa. Meratapi pemergianmu
untuk selama-lamanya. Rakyat Kelantan belum tamat dukanya. Mereka masih sendu
lewat bah besar yang menenggelamkan segala. Yang menghakis kebahagiaan mereka. Malam
ini mereka meratap lagi. Allah berikan perkhabaran duka kepada mereka. Sabarlah
wahai saudara. Kami yang jauh juga dukanya tidak terduga. Kami yang jauh turut
meratapi pemergiannya. Himpunkanlah doa sebanyak-banyaknya untuk mengiringi
pemergiannya. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk meneruskan
perjuangannya. Dakwahnya. Kegemilanganya.
Hidupnya yang sederhana
Banyak memberi bukan meminta
Jangkauan namanya mengharum
Menyinar terang menembusi tembok usia
Menegakkan yang hak bukan semudah kata
Ramai yang melihat benci bersama cerca
Lupa bahawa yang intan tetap sinarnya
Bergemerlapan menembusi dada-dada yang
mengasihi
Indahnya hidup bersederhana
Memberi dan memberi
Mintanya hanya sedikit sekelumit
Yang lainnya milik yang hak
Malam ini ia tiada lagi
Jumaat yang barakoh
Disambut tangis, sendu dan rembesan airmata
Yang sayang bagai tersentap nyawa
Yang benci terkedu kata
Kampungmu bukan lagi di sini
Ada kampung bahagia menantimu
Bersemadi menanti akhirnya waktu
Bahagialah di sana bersama Rabbmu.