Sunday, July 29, 2012

Semangat Dari US


Pengalaman dari US sangat mengubah banyak persepsi saya. Sebagai guru saya melihat sekeliling. Saya dapati banyak yang perlukan tuntutan perubahan dalam proses pengajaran. Tentunya ia  menyangkut pembelajaran kepada pelajar-pelajar. Konsep yang saya pelajari pada tahun 1986 belum banyak dilaksanakan di Malaysia. Di US konsep itu telah berdekad-dekad dilaksanakan. Penilaian kita tentang modal insan sangat naif dan berbeza. Ketaksuban kita terhadap British membunuh kreativi lain yang jauh lebih fitrah. Jauh lebih baik. Saya telah berada dalam dua sistem itu. Saya merasakan sistem US lebih terbuka. Lebih demokratik. Insan yang hendak dimodalkan diberi ruang yang cukup luas supaya cemerlang dalam usahanya. Di situ timbulnya istilah excellence. Mumtaz. Cemerlang. Melihat makna excellence dan mumtaz tidak sama dengan mengerti makna cemerlang. Kita tidak memberi makna yang besar terhadap istilah cemerlang. Kita selalu hanya sekadar mengatakan pandai. Pandai dan cemerlang pula dua istilah yang jauh berbeza. Hal-hal biasapun selalu kita kata pandai. Sehinggakan perkataan itu tiada makna yang dimengerti. Menjadi terlalu lumrah.

 Seorang anak yang berjaya memakai baju dan seluarnya dikatakan pandai. Bagaimana? Bukankah pandai bermakna berjaya menggunakan proses fikirnya. Mendapat idea yang luar biasa. Membina kelainan. Menyelesaikan masalah dengan cara yang lebih efisien. Lebih cost-effective. Cekap dan berkesan. Produktif pula. Itulah nilai pandai. Memakai pakaian hanya survival. Boleh makan sendiri adalah survival. Begitu juga memandu kereta. Semuanya sekadar survival. Ini bermakna pandai adalah suatu proses dari tidak tahu kepada tahu. Dari biasa kepada cekap. Tentunya dari tidak ada kepada ada. Iaitu mengadakan sesuatu yang dahulunya tiada dengan menggunakan bahan-bahan yang sedia ada. Membina sistem baru umpamanya. Membina produk baru. Membina fungsi baru bagi produk biasa. Pandai mestilah diberi nilai baru. Jika semua perkara dikatakan pandai maka ianya tidak mempunyai erti yang besar. Yang mantap. Yang gah. Dalam bahasa sekarang tidak komersil.

Semua yang saya lihat di US ada konsep besar. orang Amerika sangat berbangga menjadi rakyat negaranya. Ungkapan I’m American dilafazkan dengan getaran rasa bangga yang eksklusif. Yakin. Tiada rasa bersalah. Mereka berusaha mengunggului apa sahaja dalam dunia ini. Kalah dalam satu perkara tetapi mereka tebus dengan banyak perkara lain. Begitulah hebatnya sebuah negara membina negara bangsanya. Tiada istilah eksperimen dalam pendidikan. Penyelidikan dan kajian berterusan sepanjang masa. Ada sahaja idea baru yang boleh dilaksana. Pendidik diberi kebebasan dalam lingkungan yang dibenarkan untuk mendidik mengikut pedagogi yang mereka yakini. Yang telah mereka kaji. Yang telah mereka fahami yang ianya memberi kesan positif. Mereka mencari jalan membantu pelajar-pelajar supaya ada dalam diri mereka ruang untuk membina diri. Membina kehidupan pada masa hadapan. Untuk survival diri mereka sendiri.

Suatu konsep yang unik di US ialah konsep ruang dan konsep kebebasan. Satu lagi barangkali konsep kumpulan. Kita ingin melahirkan modal insan. Tetapi tumpuan kita bukan ke arahnya. Kita bangga membangunkan sistem pendidikan tetapi bajet pendidikan tidak menampakkan ke arah itu. Saya telah banyak ulas tentang perkara ini dalam artikel terdahulu. Di US baik di sekolah rendah atau di sekolah menengah konsep ruang tiada bandingannya. Setiap bilik darjah dimensinya sangat luas. Dindingnya jauh. Silingnya tinggi. Setiap pelajar duduk di meja-meja yang kelihatan kecil nisbahnya berbanding keluasan bilik itu. Bilangan pelajar bagi setiap kelas juga tidak ramai. Konsep ini benar di sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) di Malaysia. 25 orang adalah maksimum. Kerana itu prestasi akademik pelajar SBP sentiasa yang teratas. Semua kemudahan ada. Pelajar tidak perlukan guru kadang-kadang. Mereka boleh belajar sendiri. Minda mereka yang mengawal diri mereka. Panduan dan disiplin mengiringi sistem yang baik.

Individualised learning sangat luas pelaksanaannya di US.  Setiap pelajar memilih apa yang mereka mahu belajar. Sekolah menyediakan keperluan mereka. Dalam konteks kita hanya apabila ada 15 orang pelajar memerlukan sesuatu barulah pihak sekolah mempertimbangkannya. Itupun selalu tidak dipenuhi. Beban kewangan kepada kerajaan. Ini tidak berlaku di US. Malah di Canada juga tidak berlaku. Permintaan individu dianggap sebagai permintaan negara. Keperluan negara. Saya imbas begini. Sewaktu Prof. Dato’ Dr. Mazlan (penarah Planetarium Negara dahulu) hendak mengambil jurusannya dahulu semua orang seperti tidak percaya. Soalan yang banyak diungkapkan ialah, nak buat apa. Nak kerja apa. Senang cakap gila budak tu. Ternyata ilmu tidak pernah tidak berguna. Kebenaran memihak kepadanya. Wanita yang berjaya membenam persepsi standard rakyat Malaysia.

Dalam Falsafah Pendidikan Nagara ada ruang yang disebut khas sebagai mengembangkan lagi potensi diri. Pada hakikatnya banyak ruang yang tidak dibuka. Yang ada jalan yang sudah diruangkan. Lorong yang sudah disuluh. Maka anak-anak menjadi lumba kuda yang dilindungi matanya selain dari melihat lorong balapan yang disediakan.  Bagaimana kita membina kecemarlangan jika semuanya disediakan untuk dipatuhi. Ikut standard. Sedangkan kecemerlangan tidak mengikut standard. Kelainan-kelainan yang wujud mesti diraikan kerana insan yang dimodalkan akan menjadi aset negara pada masa hadapan. Jika ada persepsi bahawa permintaan mereka membebankan negara maka selagi itulah bakal aset negara ini tidak dibangunkan secara optimum potensi dirinya. Dia akan gagal memberi impak besar kepada negaranya sendiri. Bayangkan jika kita memiliki orang-orang yang berbagai ilmunya. Berbagai kepakarannya. Memiliki keunikan. Keistimewaan. Potensi yang tidak terungkap kerena setiap seorang akan bergerak secara dinamik untuk mengembangkan kepakaran masing-masing. Dalam jangka panjang negara akan beruntung kerana warganya memiliki kepelbagaian dalam disiplin ilmu. Kita boleh bergantung kepada warga kita sendiri. Kita pula boleh mengeksport mereka. Tukaran wang asing yang lumayan. Pendidikan yang menjamin ekonomi.

Konsep ketiga yang ingin saya sebut ialah konsep kumpulan. Seorang pelajar yang cemerlang memang perlu untuk dirinya. Tetapi semasa belajar ia perlu berkongsi ruang, berkongsi masa, berkongsi alat, berkongsi subjek, berkongsi silibus, berkongsi guru, berkongsi perasaan dan minat. Hidup di luar banyak mengajar kita untuk mahir berkongsi segala-galanya. Sebagai institusi masyarakat, sekolah (dan IPT) harus mendidik pelajarnya untuk berkongsi. Dalam berkongsi ada kepelbagaian ahli, tahap pandai yang berbeza, kemahiran yang berbeza tetapi dipandu dengan matlamat yang sama. Perkongsian dalam kumpulan ini mendidik social quotient antara pelajar. Ini akan dibina untuk menjadi resepi yang lebih luas pada masa dewasa mereka. Resepi membina negara yang penuh dengan toleransi, kerjasama, perkongsian, lengkap-melengkapi dan perpaduan. Kerja kumpulan bukan sahaja untuk memenuhi tugas fizikal tetapi juga untuk memenuhi tuntutan yang lebih subtle di sebaliknya.

Cabarannya banyak. Saya percaya ramai yang percaya bahawa cabaran banyak. Masa tidak ada. Peluang tidak ada. Kos tidak ada. Sokongan tidak ada. Malangkan? Nasib guru. Nasib pendidik. Saya pernah mengusahakan sesuatu yang tidak pernah memerlukan kos. Kembali dari US saya cuba sesuatu. Saya ubah kedudukan meja dan kerusi pelajar supaya membentu U – U-shaped. Hajatnya supaya guru bukan the most important person in the class. Pelajar harus berfikir bahawa yang penting ialah diri mereka. Mereka yang belajar. Mereka yang periksa. Mereka yang ingin lulus. Bukan guru. Guru hanyalah fasilitator. Rakan. Pembantu. Juruteknik. Pembimbing. Jurulatih. Ada reaksi positif dari pelajar. Mereka berhadap-hadapan antara satu sama lain. Bila ada soalan mereka cuba berebut menjawab. Berebut membetulkan jawapan yang salah. Seorang dua  memberikan jawapan yang lebih tinggi tahapnya. Lebih class. Tahap tinggi. Semangat kekitaan berlaku. Lebih students’ oriented.

Malangnya the idea was shot down. Ramai pensyarah yang lain membantah. Sebabnya? Susah mereka hendak menyalin apa yang tertulis di papan tulis. Wow! Pendidik masih lagi menggunakan chalk and talk. Sangat tradisi. Malang si Lebai Malang. Itulah juga yang berlaku di sekolah rendah. Ibu bapa bersungut kerana anak-anak mereka tergeliat pinggang. Terkehel leher.  Malang lagi. Guru tidak menggunakan kebijaksanaan mereka. Dalam kelas ada berbagai fasa. Guru membuat induksi. Ada arahan. Ada contoh yang hendak diberi. Ada taklimat. Guru suka bercakap. Cakaplah. Cuma semasa semua itu dilakukan arahkan pelajar-pelajar menukar posisi mengadap guru. Angkat kerusi mengadap guru. Latih supaya mereka berpaling secara profesional. Tidak berlaga. Tidak bising. Tidak bercakap. Tidak melengah-lengahkan masa. Setelah tamat guru bercakap, arahkan mereka kembali ke posisi asal. Profesionalkan mereka. Semuanya dilakukan secara serius tetapi santai. Arahkan mereka memulakan latihan. Atau kerja. Atau tugas. Guru meronda untuk memantau apa  yang mereka lakukan. Betulkan on the spot apa-apa kesalahan. Percayalah guru akan ringan beban tugasnya kerana buku latihan pelajar sudah terbetul semasa pemantauan dibuat.

Dinamika berfikir  sangat penting. Buatlah anjakan paradigma. Jika mendidik hanya tugas mencari makan  maka negara akan kerugian pada masa akan datang. Dalam apa-apa perkiraan kita tidak lari dari membicarakan tentang demografi,  political will, teknologi, keupayaan modal dan world view. Semuanya perlu digarap. Usaha untuk menjadi negara maju perlukan lonjakan berfikir. Mengejar tidak cukup. Orang lain sudah lama melompat. Modal insan kita perlukan penilaian baru. Garapan baru. Wawasan baru. Ke hadapan. The way forward. Jika perlu foraging ahead. Mindanya. Bukan fizikalnya. Bukan nafsunya. Walau bagaimanapun ingat agama. Ingat syariat. Semuanya mesti syar’i. InsyaAllah Allah makbulkan usaha murni kita.