Saya telah memilih menjadi guru. Sudah 41 tahun hingga kini. Dari muda hingga bersara. Masih kejap kaki bertapak menyampai rasa. Membelai didik anak-anak yang dahaga. Ilmu, kemahiran dan maklumat yang tidak pernah berhenti mencurah-curah. Profesion yang tidak menjanjikan apa-apa. Hanya kepuasan mendidik anak bangsa. Mereka mendapat pendidikan. Mereka menjadi apa yang mereka inginkan. Yang pastinya mereka lebih pandai selepas sumbangan saya mendidiknya. Mungkin tidak yang terlalu pandai. Cukup mereka boleh berdikari. Bebas dari menyusahkan orang lain. Bebaslah ibu bapa dari menyara mereka. Alhamdulillah membantu mereka pada waktu dan ketikanya. Usia tua yang memerlukan. Sentuhan kasih ana-anak yang pandai. Yang keluar dari kepompong kemiskinan keluarga. Yang menjana hidup lebih lumayan.
Kadang-kadang guru adalah profesion yang selalu disalah erti. Tugasnya dianggap senang. Cutinya panjang. Kerjanya setengah hari sahaja. Boleh bergaya hari-hari. Sentiasa boleh berpakaian cantik. Elegan. Anggun. Ramai orang hormat. Khususnya yang bijak membahagi masa untuk berkhidmat dengan masyarakat. Namun masanya hanya untuk anak-anak didik. Di bahunya tanggungjawab. Ada komitmen yang silih berganti. Berat ringan menyapa rasa. Anak didikku. Anak didikku. Jadilah kamu memandai diri. Berdikari. Mencipta hari-hari muka yang ria. Berzaman nanti diingat sebagai manusia berjasa.
Persepsi itu banyak berubah. Profesion keguruan bukan lagi santai seperti dulu. Tidak lagi banyak cutinya. Malah musim cuti juga musim kursus dan mesyuarat. Kerjanya tidak lagi separuh hari. Yang nyatanya sepanjang hari dari pagi hingga ke malam. Tekanan mendatang mendesah dan mendesak. Guru menjadi personalia yang juga berubah. Ramai yang tertekan. Ramai yang hilang kemurnian diri. Masa dan suasana mengganggu diri dan emosinya. Dinamika guru mengubah paradigma. Pengubah zaman. Budaya membaca dan bercerita. Masanya berlalu merentas rencana bangsa dan negara.
Saya menjadi guru kerana kemuliaannya. Kerana keagungannya. Kerana keindahannya. Gelaran guru yang memanjang dari hidup hingga matinya. Yang sentiasa disebut baiknya. Jasanya. Baktinya. Ingatkah bait-bait puisi Usman Awang? Apabila seorang peguam menang bicara, di belakangnya ada guru. Apabila seorang raja menaiki tahta, di belakangnya ada seorang guru. Sekali sekala ada orang memberi penghargaan. Ada pengiktirafan. Memberi sanjungan. Nama guru dipahat di mana-mana. Disebut di merata tempat yang baik dan mulia. Betapa ramai yang berterima kasih. Betapa ramai ibu bapa yang merasa terhutang budi. Namun yang paling mengujakan ialah apabila seorang muda menyapa. Seorang tua bertanya tidak pasti. Seorang ibu tersipu mengenal diri. Seorang isteri memperkenalkan suami. Seorang lelaki membimbing anak-anaknya. Ini cikgu saya. Ini pendidik saya. Ini guru saya. Panjang dulu ceritanya. Panjang nasihat dan mintanya. Hari ini abah jadi seperti ini. Ini guru abah yamg jadikan abah manusia. Aduh. Terpana sebentar. Masih ada yang ingat. Masih ada yang kenal. Masih ada yang mendekat. Masih ada yang menabur mesra.
Ingatan-ingatan sebegitu bukan datang selalu. Sekali sekala menerpa. Membuai rasa. Membelai warna-warna rona berbunga itu. Begitupun ramai juga anak didik yang lupa entah kenapa. Mereka lari tidak menyapa. Menjauh diri tanpa bicara. Aduh lukanya hati. Semuanya tidak diminta. Menjadi guru adalah pilihan sendiri. Pilihan diri. Pilihan hati. Disapa bekas anak didik adalah bonus. Hanya suatu kebetulan barangkali. Saya selalu beringat. Tiada jasa sebenarnya. Tiada bakti sebenarnya. Tidak ada apa-apa. Anak didik saya berhak mendapat yang terbaik. Itu hak mereka. Tugas saya dibayar. Dibayar oleh ibu bapa mereka yang membayar cukai. Yang membayar saya. Tidak perlu ada hutang dengan siapa-siapa. Bukan percuma hingga perlu diingat. Ingatan hanya kebetulan. Yang tidak;pun terancang.
Ingatlah, dulu ada anak didik yang pandainya melangit. Ada yang biasa-biasa. Ada yang perlukan bantuan setiap tahap, setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun. Di mana mereka sekarang? Di mana mereka? Saya pernah menjadi murid. Menjadi pelajar. Menjadi mahasiswa. I know the feeling. Ada guru yang saya kenang hingga sekarang. Ada pensyarah yang selalu diingat. Masih bersarang ingatan tentang kehadirannya di benak saya. Begitulah juga anak-anak didik saya. Mereka menyimpan ingatan itu di minda mereka. Jika ada saya dalam ingatan mereka, tentu membahagiakan. Sekali dua mungkin ada doa dititip. Berpanjang amal jariah. Ilmu untuk amal yang berangkai masa.
Bayangkan apa yang saya buat untuk anak didik saya. Mereka ke sekolah kerana ingin mendapat pendidikan. Menjadi pandai atau tidak bukan mutlak tugas saya. Mereka lulus periksa atau tidak bukan saya menentukan. Mereka menjadi orang baik atau tidak kembali kepada persekitaran di mana dia hidup. Ada orang lain yang menentukannya. Saya hanya menyediakan mereka untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran hidup yang volatile ini. Yang sangat dinamik ini. Peranan saya cukup kecil terhadap mereka. Setiap seorang hanya mendapat beberapa minit sehari dalam alam persekolahan mereka. Masa yang perlu dibahagi kerana jumlah dan kuantiti yang bukan kepalang banyaknya. Maaflah. Hanya itu yang saya mampu. Sedikit dari emas suasa masa yang dapat diberi. Mudah-mudahan yang sedikit itu panjang dalam ingatan dan kepandaian.
Anak-anak ini kehilangan kasih sayang di rumah. Kualiti masa seperti tidak ada bersama keluarga. Ibu dan bapa yang sibuk mengatur hidup payah dihimpun. Payah untuk bersama. Untuk bercerita. Payah bertukar berita. Payah untuk berkongsi suka duka. Payah juga memotivasi. Memberi perangsang dan semangat. Mendorong dan memacu ke hadapan. Merentas harapan dan cita-cita yang tinggi mengawan. Kepada saya mereka bergantung harap. Kepada orang seperti saya mereka mencari harap. Ganti ibu dan bapa yang sarat dengan harapan tetapi kering dengan lebihan. Rezeki payah ditambah. Payah dibangunkan ekonomi. Hari-hari hanya cukup makan. Cukup tidur dan cukup pakai. Sayangnya tidak cukup kasih. Tidak cukup sayang. Tidak cukup membelai rasa. Tidak cukup membangun damai. Banyak rongga dan ruang kosong.
Kasih sayang pupus di rumah. Sukar menemukan ibu dan bapa bila diperlukan. Jiwa mereka kosong meminta diisi. Kosong minta dicurah rasa. Mereka dahagakan sesuatu yang sukar ditemui di rumah. Sayalah yang menjadi harapan terakhir. Orang-orang seperti saya menjadi harapan terakhir. Gurulah harapan terakhir mereka. Maka di bahu saya terletak segala tanggungjawab mendepani mereka. Menarik mereka dari air yang mencecah hidung menenggelamkan mereka. Mereka yang terlonta-lonta tiada arah. Destinasi yang suram tiada cahaya. Lorong gelap yang entah ke mana sudahnya.
Bayangkan jika anak-anak ini saya sapa susahnya. Saya empati masalahnya. Saya jejaki risau dan gundahnya. A little gesture will go a long way. Ia mungkin menjadi titik yang memanjang semangat. Yang menjadi pendorong untuk memaju ke hadapan. Anak-anak didik itu membangun diri. Membina keyakinan menjadi manusia. Yang nanti terbilang. Mewarna zaman mereka. Menyilau kilauan intan permata ibunda. Penuh dunia fana ini dengan lincah mereka. Menari dan menyanyi lagu jaya. Keluar menerpa alam yang luas dan bisa tergapai semua.
Guru seperti saya banyak yang perlu dibuat. Kata sedikit yang menancap. Senyum sedikit yang mengubat payah dan seiksa menimba ilmu. Gaya badan yang memberi kehangatan usaha. Mendakap kuat bahu yang nanti diberati tanggungjawab. Yang nanti disandarkan harapan untuk masa depan. Yang nanti dititipkan pesan untuk maju. Yang nanti dipesan supaya langkahnya dibarisi waja semangat. Yang nanti di belakangnya warisan zaman mereka yang minta titipan didikan untuk kelestarian hidup dan berbudaya.
Menjadi guru bukan lagi santai. Bukan lagi menagih cuti. Bukan lagi bicara gaji. Bukan lagi banyak meminta. Ia profesion yang tidak menjanjikan apa-apa yang muluk-muluk. Tetapi profesion ini menuntut korban titik peluh. Korban air mata. Korban hati dan rasa. Kau anak-anak didikku. Kau ku lepaskan. Pergilah sayang. Duniamu menanti. Duniaku telah kau tinggalkan. Kau tidak akan kembali ke zaman aku dahulu. Duniamu dan duniaku terpisah juga akhirnya. Aku hanya pernah menjadi gurumu. Jauh di hatiku kau didikanku. Dalam dirimu ada diriku. Bawalah ia kerana tidak mungkin kau dapat membuangnya. Jagalah ia warisan dari diriku. Ia terbina di situ. Panjangkanlah nanti pada anak didikmu. Pada isteri dan suami. Pada anak dan kemanakanmu. Pada cucu cicitmu. Pada anak-anak bangsamu. Moga yang sedikit ini membesarkan zaman. Melanjutkan harapan. Membuahkan natijah indah membelah awan. Gapailah yang tinggi bak tempawan. Mudah-mudahan hidupmu tiada susahnya. Harapan seorang guru seperti saya.