Wednesday, July 16, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Tazkirah Seorang Duta

TYT Dato Duta sedang memberi tazkirah.

Jumaat 13 Ramadhan 1435H bersamaan 11 Julai 2014  adalah suatu sejarah di Hayyi Sabi’, Kaherah. Dalam suatu majlis iftar anjuran Keluarga Persendirian Malaysia Mesir, TYT Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir dan  Palestin, Dato Ku Jaafar Ku Shaari telah turut hadir. Penulis tidak pernah secara khusus bersama seorang Duta sebelum ini. Pertemuan ini adalah kali yang kedua setelah bersama TYT Dato di Asrama Malaysia (ARMA) semasa kehadiran YB Dato Sabree Chik tempoh hari. Tanggapan umum selalunya berdasarkan kepada pengalaman pertama bahawa seorang Duta lebih kepada profesional tentang jawatannya. Kedudukannya tinggi sebagai penjawat awam. Apabila dipilih menjadi Duta tentulah dia telah melalui proses yang panjang untuk sampai ke peringkat itu. Mesir pula adalah negara yang dianggap kanan di Benua Afrika. Pada realitinya sedikit memeranjatkan. Dalam iftar yang sederhana itu rupanya terserlah suatu peribadi yang menyimpang dari tanggapan umum. Beliau bercakap tentang ilmu, tentang sari teladan yang positif, tentang teori kosmologi dan tentang falsafah hidup. Ianya diungkapkan secara santai tetapi akademik. Bersalut agama, motivasi dan pendidikan. Penuh diplomasi sesuai dengan pengalamannya sebagai diplomat ke negara asing.

Mendahulukan Ilmu
Sesuai benar tazkirahnya kerana hampir kesemua yang hadir adalah pelajar. Yang muda memang sah adalah pelajar. Namun yang berusia juga pelajar dalam kategorinya yang tersendiri. Pelajar dewasa. Masih mengejar pelangi senja. Ingin menyalut usianya dengan pelangi itu. Mewarnai kehidupan yang berbaki dengan spektrum warna yang bergemerlapan. Bahawa usia bukan titik noktah dalam usaha. Bagi yang muda tentulah pelanginya masih jauh dan tinggi. Warnanya juga melebihi pancawarna yang ditatap. Malah usia muda mencipta pelangi mereka yang tersendiri demi kehidupan yang jauh di hadapan. Ilmu sangat penting dalam melonjakkan diri ke persada yang lebih tinggi. Yang lebih sejagat. Yang lebih mendekatkan akhirat dan dunia. TYT Duta mengingatkan pelajar tentang penting dan nikmatnya ilmu.

Sebagai anak muda fokusnya hendaklah berilmu. Untuk membezakan antara yang membangun dirinya dengan yang tidak membangun. Antara yang boleh berjalan di hadapan dengan yang hanya tercicir di belakang. Antara yang boleh mengangkat diri dengan yang terus tenggelam lemas. Sejarah meletakkan umat Islam sebagai umat yang paling tercicir di belakang dalam banyak hal. Dari pendidikan hinggalah teknologi. Dari ekonomi hinggalah politik. Malah negara Islam terletak di bawah naungan kuasa-kuasa besar. Rasanya tidak ada negara Islam yang tidak mengikat perjanjian dengan mana-mana kuasa besar sama ada Barat atau Timur. Antara cara untuk bangkit ialah melalui ilmu. Dalam bentuk kuantiti dan kualiti. Untuk menguasai dunia dan selesa ke akhirat jalannya tentulah ilmu. Setelah ilmu dikuasai maka banyak bidang yang boleh dikuasai. Kerana itu al-Quran dan al-Sunnah tiada terpisah keduanya dengan umat Islam. Kembali kepada agama. Kembali kepada Islam. Kembali kepada ilmu.

Teori kosmologi
Manusia terlalu kerdil dari segi saiznya. Apatah lagi relatif kepada planet dan bintang. Lagilah tiada relatifnya kepada galaxy (cakerawala). Galaxy itu pula tidak boleh dibilang dengan jari banyaknya. Alam semesta ini terlalu luas. Bukan billion isinya. Tiada akal manusia yang dapat mengiranya. Maksudnya, manusia yang Allah ciptakan adalah terlalu kecil. Terlalu kecil. Terlalu seni saiznya. Jika bumi secara relatifnya adalah terlau kecil berbanding dengan cakerawalanya sendiri maka bumi itu sendiri terlalu kecil di alam semesta ini. Terlalu kecil. Kerana itu manusia perlu bergantung kepada Allah. Berharap kepadaNya. Sentiasa ingin di bawah naunganNya. Di bawah rahmatNya. Sesungguhnya dalam diri manusia ada God’s Spot iaitu sentiasa perlukan adanya Allah. Walaupun manusia sangat kecil secara relatifnya dengan alam semesta yang amat luas ini, namun alam ini Allah ciptakan untuk manusia. Begitulah kasih Allah terhadap Rasulallah dan umatnya yang beriman kepadaNya. Yang ruku’ kepadaNya. Yang sujud kepadaNya. Yang menyerahkan diri kepadaNya. Yang nanti kembali kepadaNya pada hari kebangkitan dan hari pembalasan.  

Manusia diperingatkan supaya sentiasa menyerahkan dirinya kepada Allah. Akal fikiran yang Allah anugerahkan kepada manusia supaya dijadikan alat untuk membuat pertimbangan untuk memilih jalan Allah. Bukan jalan syaitan. Berbuat amal soleh menurut perintah Allah dan mencegah kemungkaran seperti laranganNya. Manusia dan alam semesta sentiasa berkaitan. Sandar menyandar. Mereka yang mahir dengan sains tentu lebih memahami akan akrabnya alam ini dengan diri manusia. Bila berbicara tentang teori kosmologi ini penulis teringat dua nama yang banyak menyumbang ke arah itu. Pertamanya Prof. Madya Dr. Mat Ropa Ismail dari UPM. Keduanya Dr. Jamnus dari Kedah. Mereka dekat dengan ilmu falaq. Atau astronomi. Dari mereka penulis telah didedahkan  kepada konsep supernova, planet, galaxy, nebula dan berbagai lagi istilahnya. Kesemua maklumat yang berkaitan dengan alam semesta ini memberi kesedaran bahawa manusia terlalu tidak signifikan saiznya. Namun begitu akal manusia dididik untuk memahami ciptaan tersebut. Kefahaman adalah suatu proses untuk menambahkan iman dan keterikatan kepada Allah. Ramai cerdik pandai Barat yang akhirnya memeluk Islam kerana mereka menemui kebenaran melalui ilmu mereka.  Ramai antara mereka adalah Orientalis yang pada awalnya memusuhi Islam. Atau berusaha meremehkan Islam.

Negatif yang melengkapkan positif
Kita selalu membuat persepsi yang lazim. Lazimnya salah pula. Sebagai manusia biasa kita selalu inginkan yang positif sahaja. Yang indah sahaja. Yang baik sahaja. Yang menguntungkan sahaja. Seorang pemikir pula melihat sesuatu dengan pandangan sisi yang berbeza. Sesunggunnya Allah menciptakan segala sesuatu berpasang-pasangan. Hanya Allah Yang Esa. Yang Tunggal. Kesemua ciptaan Allah ada pasangannya. Makhluk dicipta memiliki pasangan. Di sinilah kita selalu alpa untuk memikirkannya. Gagal untuk memanfaatkan keadaan. Mereka yang self-concerned hanya memikirkan dirinya sahaja. Dia tidak melihat paradox yang melingkari dirinya. Kekal dengan paradigm yang dirasakan tidak volatile. Walhal yang negatif adalah suatu kebenaran dalam kategorinya yang tersendiri. Yang buruk adalah suatu kebenaran. Yang negatif melengkapkan imbangannya dengan yang positif. Dalam diri manusia ada imbangan itu lengkap-melengkapi.
1                    Mereka yang hebat ada kelemahannya.
2                    Yang kaya ada kekurangannya.
3                    Yang pandai ada yang tidak diketahuinya.

Kaya dan miskin memberi manfaat antara satu sama lain. Yang kaya memberi pekerjaan. Memberi sedekah. Memberi zakat. Menginfaqkan hartanya untuk yang miskin di jalan Allah. Yang miskin menjadi pekerja. Menerima sedekah dan derma. Menerima bantuan zakat. Menikmati banyak kemudahan awam. Yang kuat melindungi yang lemah. Dirinya berguna kerana ada yang lemah. Tanpa adanya yang lemah yang kuat tidak dapat meyalurkan manfaat dirinya.

Kita mungkin marah kepada orang yang marah kepada kita. Normal. Manusia biasa. Bagi mereka yang tinggi akal budinya, marah orang itu mencetuskan suatu fenomena polimik berfikir dalam dirinya.
1                    Ada kesilapan yang telah dilakukan.
2                    Ada maklumat yang tidak diterima.
3                    Ada arahan yang tidak jelas.
4                    Gagal berkomunikasi.
5                    Gagal berinteraksi.
6                    Gagal memahami bahasa tubuh.
7                    Gagal memahami adat kebiasaan.
8                    Gagal memahami sensitivi yang berbagai pada diri orang lain.

Maksudnya apa sahaja yang negatif harus dilihat sebagai laluan untuk mencari positif. Mencari kebenaran. Kebenaran berada dalam dua spektrum positif dan negatif. Bateri tidak berfungsi tanpa positif dan negatif. Tidak mungkin poritif sahaja. Tidak mungkin negatif sahaja. Jika kita boleh melihat perspektif ciptaan Allah yang berpasang-pasangan ini kita akan menjadi lebih banyak berfikir dari banyak bercakap. Jika bercakap sekalipun kalimah dan ayat yang dilisankan telah ditapis berulang-kali. Telah dirasionalkan terlebih dahulu. Difikirkan kesesuaiannya kepada audiennya yang berbagai. Lalu tindakannya lebih difahami dan mengurangkan konflik. Lebih waras dan rasional. Mengambilkira banyak aspek kemanusiaan.


Begitu tazkirah seorang Duta. Jawatannya yang tinggi bersalut dengan kefahaman beragama. Berfalsafah. Berfikir pada tahap pemikiran tinggi. Bagitu juga hasrat ramai bahawa penjawat awam bersandar kepada agama seperti titah DYMM Sultan Perak baru-baru ini. Penjawat awam hendaklah merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam urusan pentadbirannya. Alhamdulillah iftar yang sederhana di Hayyi Sabi’ memberikan manfaat besar kepada yang hadir. Semoga Allah memberi keberkatan kepada kita semua. InsyaAllah.