Pada zaman saya dahulu, hanya guru-guru lepasan maktab sahaja yang mengajar pelajar-pelajar di sekolah menengah rendah iaitu Tingkatan satu hingga Tingkatan tiga. Guru-guru berijazah sahaja yang layak mengajar Tingkatan empat hingga Tingkatan enam. Terasalah hinanya. Terasalah saya tidak setaraf dengan guru-guru tersebut. Sudahlah kedudukan lebih tinggi, gaji sudah tentu lebih besar. Jika saya mampu memandu motorsikal, mereka mampu memandu kereta. Mampu pula beristeri cantik. Berumah besar. Tapi yang penting ialah tugas mereka lebih ringan. Pelajar-pelajar mereka sudah makan saman. Boleh mendengar dan mengikut. Mereka sudah berakal. Sudah baligh kesemuanya. Psikologi ke, marahlogi ke, rotanlogi ke sudah tidak diperlukan.
Guru-guru seperti saya yang menerima beban yang lebih mencabar. Pelajar-pelajar Tingkatan satu hingga Tingkatan tiga sangatlah merungsingkan. Pelajar Tingkatan satu baru sahaja meninggalkan sekolah kebangsaan. Perangai mereka penuh dengan kenakalan, keributan dan proses transisi dari alam kanak-kanak menjadi awal remaja. Kegawatan ini adalah kerana mereka mendekati saat-saat mereka menjadi baligh dari segi usia. Pelajar-pelajar perempuan mungkin sudah lebih 75% yang sudah baligh dari segi biologi. Namun dari segi usia mereka masih kanak-kanak lagi.
Guru-guru yang mengajar mereka berhadapan dengan situasi-situasi yang dinamik tetapi chaoatic. Ada sahaja karenah mereka. Ada sahaja kejutan-kejutan yang mereka lakukan. Guru-guru yang terlatih sahaja mampu bertenang dalam situasi-situasi yang sulit. Guru-guru muda mungkin banyak kali hilang sabar. Guru-guru yang sudah berumur sudah lali dengan pelajar-pelajar ini. Apatah lagi jika mereka sudah mempunyai anak-anak yang sebaya dengan pelajar-pelajar tersebut. Pengalaman menjadi penentu keupayaan mereka menangani palajar-pelajar yang over active ini.
Saya agak beruntung mengalami sedikit keributan sekolah menengah rendah ini. Pengalaman penuh saya mengenai hal tersebut adalah sewaktu saya mengajar di SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu. Enam tahun lamanya dari tahun 1969 hingga tahun 1974. Di situ saya menimba pengalaman berharga untuk menangani pelajar-pelajar Cina. Pelajar Melayu di sekolah itu hanya ada dua orang sahaja. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Maka setiap hari saya belajar memahami dan merawat apa sahaja yang berkaitan dengan salahlaku mereka.
Sebagai guru kita berhadapan dengan persepsi. Adakah setiap yang pelajar lakukan kita anggap sebagai kesalahan? Melanggar disiplin. Pelajar nakal. Atau lain-lain stereotaip yang kita labelkan kepada pelajar. Harus maklum bahawa pelajar yang masih dalam zaman kanak-kanak ini sedang membuat berbagai eksperimen. Zaman ekspresi. Mencuba. Expound ideas. Tetapi jika kita lihat dari aspek kanak-kanak dan hubungannya dengan ibu bapa maka kita tentulah memberikan reaksi yang berbeza.
Saya pernah sebutkan beberapa insiden sewaktu alam persekolahan saya dahulu. Selepas peperiksaan LCE (PMR sekarang) kami banyak berlegar tanpa tujuan di sekolah. Dalam ramai-ramai kawan saya ada yang membawa cerut ke sekolah. Ketika dia sedang menghisapnya, lalulah seorang guru Bahasa Melayu. Apabila guru itu memandangnya, selamba rakan saya tadi membuat kenyataan yang tidak diminta, ‘Cerut cikgu’. Tidak ada reaksi dari guru tersebut. Tidak bermakna saya dan rakan-rakan saya tidak menghormatinya. Malah kami sangat menghormatinya. Personaltinya meyakinkan kami. Kami banyak terpengaruh dengan gayanya mengajar. Tidak ada apa-apa tindakan daripadanya. Tetapi perkara anih berlaku. Kami semua mengutuk rakan kami yang tidak menghormati guru tersebut. Bukan guru yang bertindak tetapi kami sesama rakan yang memberi reaksi.
Tingkatan empat adalah zaman remaja yang sedang banyak perasannya. Bukan perasaan tetapi perasan. Tengah naik. Baru baligh penuh. Berjinak-jinak dengan jantina yang lain sudah mula datang. Pandang sana pandang sini. Saya beruntung kerana bersekolah lelaki seluruhnya dari Tingkatan satu hingga Tingkatan lima. Perassan malu bagi introvert seperti saya tidak ada. Pandang arah manapun semuanya lelaki. Datanglah seorang guru wanita. Graduan UM. Muda dan cantik. Badannya kecil mungil. Namanya Petronela Fernandez. Bagi remaja lelaki yang usianya menjelang 15 tahun darjah kemiangannya sudah mula menaik. Membuak-buak. Seorang rakan saya yang lain mengambil peluang mencuba-cuba menggoda cikgu tadi. Dia mendatangi meja guru, ‘Teacher, I love you’.
Kami sekelas senyap sesenyapnya. Pengalaman terdahulu menunjukkan bahawa guru tidak boleh untuk dicuba-cuba. Tindakan disiplin akan diambil. Larinya nanti laju ke bilik pengetua. Rotan panjang singgah di punggung. Bayangkan guru tadi mendongak memandang rakan saya sambil berkata, ‘Thank you’. Secara automatik segala-galanya terurai. Menjadi anticlimax pula. Tiada apa-apa berlaku. Selesai. Tiada kes. Bila saya menjadi guru, pengalaman mengajar saya untuk merubah persepsi. Tidak semua perbuatan pelajar itu jahat. Hanya sedikit nakal. Sebab itu saya beranggapan bahawa mereak bukan melanggar disiplin. Sebaliknya mereka membuat salah laku. Jiwa kanak-kanak yang penuh dengan inkuiri. Inkuisitif tentang banyak perkara. Cuba sana cuba sini. Sekarang baru saya faham. Kanak-kanak perlu difahami melalui minda mereka bukan melalui minda guru dan bukan minda ibu bapa.
Satu lagi, lihatlah anak-anak didik itu dengan menggunakan kacamata kasih sayang. Mereka masih mentah. Mereka masih naif. Mereka masih kosong untuk menerima yang terbaik dari kita. Kau adalah guru mereka. Tangungjawab kau mengisi kekosongan jiwa mereka dengan segala yang mereka perlukan. Be positive. No prejudice. No stereotyping. Terima mereka seadanya. Ajar mereka seperlunya. Didik mereka semahunya. Love will prevail in the long run. They will remember you forever.
Nantikan episod berikutnya. Yang ini baru mukadimahnya sahaja.