Sunday, October 19, 2014

Siri Tiga Puluh Dua: Hajjah Aminah Pendamping Haji Abas


Gambar terbaru Hajjah Aminah bersama dua orang anaknya, cucu dan cicitnya di rumah anak kelimanya. Seorang cucu perempuannya menikah. Dia sudah agak uzur. Duduk pun sudah terasa letih.  Gambar pada 18 Oktober 2019.



Tidak ramai pasangan yang terus bersama sehingga lanjut usia.


Ceritera mengenai Haji Abas telah bermula sejak 11 Jun 2014. Ketika siri pertama ditulis Hajjah Aminah masih boleh menggagahi dirinya untuk berdiri ala kadar terutamanya ketika memasak. Keuzuran pada kakinya telah berlarutan beberapa tahun lamanya. Anak-anak menyediakan seorang pembantu untuk melakukan apa-apa kerja yang berat. Dapat dibersihkan rumah. Dikemaskan mana yang perlu. Menjaga Haji Abas dan Hajjah Aminah supaya dapat dibantu mana yang wajar. Walaupun sudah uzur Hajjah Aminah masih tidak mahu mengalah dari membuat kerja-kerja rumah mana yang terdaya. Ia terus setia kepada Haji Abas. Menebar kasihnya kepada suami yang berpuluh tahun sudah bersama. Makan dan minum Haji Abas tetap dari air tangannya. Haji Abas pula tetap gemar masakan tradisi. Dimasak oleh isteri kesayangannya, Hajjah Aminah. Kerap sahaja makanan yang terhidang seperti asam pedas ikan sembilang, ayam masak merah atau kicap, sayur nangka atau meranti atau rebung atau pucuk paku perak masak lemak, sambal belacan, tempe goreng atau tauhu goreng bercecah sambal kicap. Pasar minggu hari Sabtu di Parit Sulung tempat Haji Abas mendapatkan bekalan. Hajjah Aminah yang memasaknya.

Siri kisah Haji Abas belum penulis tamatkan. Ada beberapa siri lagi. Rakaman terakhir berita dari jauh mengatakan Hajjah Aminah sudah tidak betah lagi untuk berdiri. Kudratnya sudah banyak berkurangan. Menyusut jauh. Semangatnya juga sudah jauh berkurangan. Tunku dapurnya diletakkan di atas lantai supaya senang Hajjah Aminah memasak. Dalam keuzuran yang semakin parah itu Hajjah Aminah masih juga cuba memasak mana yang terdaya. Kebetulan ia tidak terlalu membiasakan diri memakan makanan yang dibeli dari kedai. Seberapa yang boleh ia memasak sendiri. Seleranya sendiri. Di samping selera suaminya, Haji Abas. Namun begitu keuzurannya memaksa mereka beralah dengan selera. Banyak makanan yang terpaksa dibeli. Mereka pilih mana yang dirasa menambah selera. Mereka berdua tetap perlu memerlukan. Ingin selalu berada di sisi masing-masing. Kebersamaan yang dibawa hingga menjangkau usia yang tidak terkira banyaknya. Senerionya begitulah. Pasangan yang kedua-duanya melampaui usia biasa. Seberapa daya hidup seperti pasangan lain. Mengharungi usia yang masih berbaki. Dalam serba kepayahan. Hajjah Aminah sudah lama tidak berselera untuk makan. Kadang-kadang air sahaja yang diminumnya. Jika makan sekalipun kuantitinya sangat sedikit. 

Sukar juga menterjemahkan keadaan. Payah mentafsir suasana. Keluarga Melayu memiliki ciri-cirinya yang tersendiri.  Anak-anak Melayu ada karakter yang tersendiri. Anak-anak bersedia menjaga keduanya di rumah anak-anak. Tetapi ibu-bapa Melayu selalunya mengagahkan diri untuk hidup berdikari walaupun usia seperti sudah tidak mengizinkan lagi. Begitulah Haji Abas dan Hajjah Aminah. Ziarahnya ke rumah anak-anak hanya untuk sehari atau dua. Baliklah mereka. Minta dihantar segera ikut mahunya. Tidak betah lama-lama di rumah anak. Anak-anak kasihan dan ingin membantu meringankan kesusahannya. Namun ada lapangan minat dan kesukaannya di Parit Sulong yang sukar didapati di lokasi lain. Di Parit Sulong rumahnya hampir dengan pekan. Hampir dengan pasar harian. Hampir dengan pasar mingguan. Hampir dengan kelinik kerajaan dan swasta. Hampir dengan masjid dan surau. Keperluan mereka ada di sekeliling mereka. Meninggalkan Parit Sulong bererti kehilangan segala keindahan hidup serba mudah.

Penulis kagum dengan kegigihan mereka. Pada masa-masa yang lain cemas juga kerana anak-anak jauh dari mereka. Sakit pening lambat diziarah. Sementelahan pula pendengaran mereka berdua semakin berkurangan. Sukar untuk berkomunikasi dari jauh. Bila perlu sahaja Haji Abas berhubungan dengan anak-anak seperti ketika Hajjah Aminah sakit. Dalam keadaan usia tua seperti inilah keduanya perlukan kahadiran anak-anak. Kehadiran cucu dan cicit. Kehadiran saudara jauh dan dekat. Untuk melihat mereka dari dekat. Menghadirkan diri dalam hidup mereka walaupun hanya sebentar. Sekelumit masa. Sedetikpun sudah cukup. Kepada mereka seminggu yang bilangannya tujuh hari sudah cukup lama. Apatah lagi dua minggu. Jangan disebut sebulan atau dua. Pada Haji Abas bulan bermakna zaman yang terlalu lama. Pada mulanya penulis tidak dapat mentafsir apa makna semua angka lama yang disebutnya.

Umpamanya: Dah dua bulan kau tak datang! Sedangkan baru seminggu tidak menjengahnya. Suatu ungkapan yang ironis. Bagi yang tidak biasa terasa tersindir. Atau seperti ditempelak. Tetapi maksudnya bukan begitu. Setelah difikirkan, besar makna dan harapan hatinya. Setelah penulis sendiri bertambah banyak usianya terasa juga dengan kata-kata itu. Sebenarnya Haji Abas dan Hajjah Aminah rindukan kehadiran sesiapa sahaja yang sewajarnya dekat dengan mereka. Dekat dengan darah mereka. Dekat dengan kasih mereka. Dekat dengan rindu dendam mereka. Mereka tidak boleh bergerak ke mana-mana tanpa bantuan sesiapa. Mereka perlu diambil untuk dibawa ke mana-mana. Untuk menziarahi siapa-siapa yang dihasratkan. Dalam kesunyian Haji Abas yang sudah tidak dapat mendengar, ia ingin melihat kelibat orang-orang yang pernah dekat dengannya. Khususnya anak-anaknya. Melihat fizikal mereka. Duduk bersama-sama. Makan lagi bersama-sama. Berada hampir dengan mereka.

Faktor masa itulah yang sebenarnya semakin sukar. Orang muda sukar memahami. Kadang-kadang anak-anak kurang memahami keperluan ibu-bapa yang sudah terlalu tua dan uzur pula. Uzur fizikal. Uzur hati. Uzur perasaan. Kitaran kekeluargaan ini berlangsung tanpa henti. Yang tua semakin tua. Yang muda akan tua. Orang tua merindui masa mudanya. Orang muda leka dengan mudanya. Tanpa menyedari bahawa tua itu adalah fitrah untuk semua orang. Andainya anak-anak mentaati perintah Allah dan Rasulnya supaya berkhidmat kepada orang tua masing-masing, banyak pahala ganjarannya. Ketaatan sesunggunya yang boleh mambawa ke syurga. Kasih ibu dan kasih bapa yang boleh membawa ke syurga. Kemuliaan yang tidak ada tolok bandingnya. Kerana itu keraplah hadir bersama ibu dan bapa. Ziarahi mereka sekerap mungkin. Bukan hanya ketika sakit. Bukan ketika kenduri-kendara. Bukan bila dipanggil datang. Memandang mereka seumpama memandang kaabah pahalanya. Tanpa berbelanja ribuan ringgit dengan pergi ke Makkah al-Mukarramah. Buatlah jadual yang termungkin untuk selalu bersama ibu dan bapa. Kehadiran anak-anak dan cucu mengubat rasa sunyi. Rasa lompang dalam hidup yang hanya sedikit bakinya. Terjemahkanlah rindu mereka menjadi rindu kita. Kembalikan rindu itu kepada mereka. Kembali dari mana kita datang jika bukan dari mereka. Redha mereka adalah redha Allah. Mudah-mudahan kita tergolong dari orang-orang yang soleh dan solehah.