Kata orang adat Melayu penuh dengan budi dan bahasa. Lemah lembut. Menghormati orang lain. Peka dengan hal-hal yang berkaitan dengan orang lain. Apabila berjalan memberi laluan kepada orang tua. Selalu menunduk dan memperlahankan suara. Tidak menyampuk apabila bercakap. Menjauh dari kumpulan orang tua yang sedang rancak berbual. Menjawab apabila ditanya sahaja. Gambaran tersebut sewaktu saya hidup di kampung pada tahun-tahun 50an dahulu. Begitu juga sewaktu saya tinggal di Kuala Terengganu pada awal tahun-tahun 70an. Sudah berpuluh tahun. Zaman itu sudah berlalu. Pembangunan telah menelan tradisi yang cantik penuh dengan budi dan bahasanya yang tersendiri. Kelembutan yang dirindui sudah banyak yang tidak ada. Kepekaan yang darjahnya semakin menurun. Orang Melayu dahulu berbeza jalan fikirnya berbanding dengan orang Melayu pada zaman saya kecil dan muda dahulu. Banyak yang ditinggalkan kerana mengejar kelipan cahaya sinar. Sinar yang katanya kemajuan teknologi. Kemahiran yang dilalui di institusi menengah, pasca menengah dan di IPT.
Apabila saya sampai di Universiti Zarqa, di Amman, Jordan saya kembali menyaksikan zaman kecil dan muda saya dahulu. Pensyarah-pensyarah yang tua dan muda sama sahaja layanan mereka terhadap kami yang datang dari Malaysia. Tutur kata mereka lembut. Suara mereka rendah. Senyum. Intonasi suara yang antara dengar dengan tidak. Bertanya yang hak sahaja. Berulang kali memberi salam setiap kali bertemu. Bertanya khabar setiap kali bertemu. Walaupun pertemuan itu di persekitaran yang sama. Dari pagi hinggalah meninggalkan universiti, salam dan bertanya khabar tidak lekang dari bibir mereka setiap kali bertemu. Itulah juga yang saya alami dahulu sewaktu menuntut di US dan sewaktu berkursus di Canada. Di negara maju ucapan selamat dan bertanya khabar adalah tanda mereka bertamadun tinggi. Peka dengan kehadiran orang lain. Amalan ini bagi yang terpelajar dan berjawatan. Mereka yang selalu berurusan dengan orang ramai. The public. Di Jordan ianya suatu tahap lain. Salam dan bertanya khabar adalah tanda islamik. Tanda amalan terbaik orang Islam. Amalan Muslim yang berkhlak mulia.
Kadang-kadang kita tidak perasan apa hubungannya antara budaya dan agama. Antara bahasa dan budaya. Antara budaya dan hubungan antarabangsa. Cuba kita berhenti sejenak. Fikirkan implikasi dan impaknya kepada individu yang menerima dan memberi yang terbaik untuk orang lain. Ungkapan yang terlembut bahasanya. Senyuman yang paling ikhlas boleh diberi. Bahasa tubuh yang dilihat menyenangkan. Sesungguhnya amalan Islam adalah yang terbaik jika kita dapat mendalaminya dengan saksama. Mengambil yang terbaik dari agama kita sendiri. Amalan yang merangkap akhlak Islami. Akhlak mulia. Sebab itulah dalam pengajian Islam matapelajaran adab tidak boleh diabaikan. Orang Barat menamakannya etika. Etiquette kata orang Perancis. Kebetulan istilah ini sangat popular diketengahkan sebagai sesuatu yang memiliki nilai estetika. Matapelajaran adab ini sudah lama dipekenalkan kepada manusia. Sejak dari zaman Nabi Adam a.s. lagi. Dalam tamadun Yunani umpamanya Socrettes, Plato dan Aristotle memberikan tekanan kepada perlunya etika dalam kehidupan manusia.
Apabila dua orang individu bertemu maka wujudlah imej dan persepei yang berlainan antara keduanya. Tanggapan itu mencerminkan budaya yang datang dari dua keluarga. Pendidikan dan asuhan yang berlainan. Pengalaman yang berlainan. Taraf soasial yang berlainan. Pandangan hidup, sikap dan sifat yang berlainan. Masing-masing membawa latarbelakang yang berlainan. Ada masanya wujud persamaan. Ada masanya wujud kelainan yang boleh ditolerensi. Ada masanya wujud perbezaan yang tidak boleh dikompromi. Pertemuan itu memberikan pengalaman yang berharga untuk masing-masing menjaga batas yang boleh dan yang tidak boleh. Masing-masing belajar antara satu sama lain. Belajar menghormati. Belajar meraikan kelainan dan perbezaan. Jika kita membuka ruang dada kita untuk menerima perbezaan dengan senang hati maka wujudlah keharmonian. Manusia perlukan suasana yang harmonis untuk meneruskan kehidupan yang rencam dan mencabar. Suasana berubah khususnya dalam perhubungan antarabangsa.
Apabila individu-individu dari berbagai negara bertemu dalam suatu persekitaran maka banyak pekara yang perlu diambilkira. Pertemuan itu mungkin di atas suatu landasan yang sama tetapi bukan pada lanskap budaya yang sama. Bukan adat yang sama. Bukan kebiasaan yang sama. Resamnya berlainan. Kerana itu pertemuan-pertemuan sebegitu seharusnya membataskan kita dari bercakap yang tidak berkaitan. Bercakap dalam intonasi yang berlainan dengan adat tempatan. Cara bercakap yang tidak boleh becanggah dengan adat. Kita boleh bergurau hanya setelah mengenali hati budi masing-masing. Tidak mungkin pertemuan yang singkat dipenuhi dengan lawak jenaka. Tiada siapa yang mendengar. Tiada siapa yang menerima. Jenaka itu ditolak dengan rasa marah. Mungkin juga pertemuan pertama itu meretakkan hubungan. Menolak harapan untuk berbaik-baik. Kehadiran yang diharapkan santai menjadi tegang tidak menentu. Keharmonian tidak dapat dicipta dengan lancar. Salah faham membesar dan menular. Gara-gara tidak menjaga adab.
Kadang-kadang kit alupa bahawa diri kita adalah sebuah imej. Imej diri. Imej keluarga. Imej bangsa. Imej negara. Apa yang kita pamerkan mencerminkan kesemua trait dan ciri-ciri yang berkaitan. Ini bermakna cara kita berpakaian, makan, bercakap, melayan orang adalah cerminan bangsa dan negara jika kita berada di luar negara. Sebenarnya kita perlu banyak melihat. Banyak mendengar. Banyak mengalami untuk menyelarikan diri kita dengan orang lain. Jika kita menonjolkan diri terlalu ketara mungkin banyak yang tidak kena. Menyalahi kebiasaan. Menyalahi adat. Mungkin juga menyelahi agama jika kita tidak arif. Di Malaysia kita banyak melanggar adab agama. Walaupun nampaknya tidak begitu besar tetapi apabila ianya berleluasa maka cacatnya menjadi besar. Sukar hendak diubah. Sudah biasa katanya. Berjabat tangan, bercakap kuat, ketawa berderai-derai, be.rjalan menghentak kaki dan percampuran yang agak bebas antar alelaki dan perempuan adalah antara ciri-ciri perlanggaran larangan agama yang selalu dipandag sepi. Enteng. Biasa.
Nilai-nilai Islam sangat tinggi. Allah memperakui bahawa hanya agama Islam sahaja yang Allah redhai sebagai agama Rasulullah dan umatnya. (Rujuk ayat 3 surah al-Maidah). Jatidiri Islam yang universal sukar ditandingi oleh mana-mana pihak. Ironisnya pada zaman sekarang ini Islam yang dimiliki oleh orang Islam dipraktikkan oleh orang lain. Orang Islam sendiri kehilangan adab dan akhlaknya. Orang lain selalu mempamerkan protokol dan etiket untuk dilihat beradab. Beretika. Cultured. Setiap orang Islam adalah duta agama Islam. Dirinya yang bertanggungjawab untuk memperlihatkan keislamannya yang tinggi. Memperagakan akhlak yang paling mulia. Nilai Islam adalah nilai sejagat. Pergilah ke mana sekalipun di atas muka bumi ini yang baik juga yang dikenang orang. Yang manis juga diingat orang. Islam ada maruahnya sendiri yang mesti dipertahankan. Maruah Islam itu tiada yang boleh menggantikannya. Ianya bukan sesuatu yang berbentuk komersil. Ia bukan make-up. Bukan hiasan. Adab dan akhlak Islam sewajarnya menjadi fitrah orang Islam. Manis dilihat. Manis untuk bersama.
Agama Islam adalah agama yang penuh denga nasihat. Penuh dengan kebaikan. Penuh dengan keindahannya yang tersendiri. Apabila kita lupa maka ada pihak yang tampil untuk membetulkan keadaan. Dalam hubungan antarabangsa umpamanya kita jarang menghulur tangan secara spontan. Jarang kita lihat orang yang memimpin orang cacat penglihatan untuk memyeberang jalan. Atau menaiki bas. Atau untuk mencapai sesuatu. Sukar kita lihat orang yang membantu orang yang tua atau kesukaran membawa banyak barang atau membantu anak-anak kecil dengan urusan mereka. Di Amman Jordan saya masih melihat sesuatu yang mendamaikan. Memimpin tangan mereka yang kelihatan agak lemah agak biasa. Tolong mengangkat barang mereka. Bertanya khabar dengan muka manis dan senyuman yang memanjang. Semua orang seperti banyak masa untuk orang lain. Bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan. Brbudi bahasa bukan perlu mengeluarkan wang ringgit. Tidak perlu mengeluarkan peluh. Bukan berjam-jam diperlukan. Hanya sedikit keringanan tangan dan kaki. Hanya sedikit kegirangan hati. Jika semua orang membuat yang sedikit maka banyak gunung yang dapat diubah. Banyak bukit yang dapat ditinggikan menjadi gunung. Yang sedikit itulah yang selalu dikenang orang. Hanya yang sedikit. Budi yang baik dikenang juga.