Monday, April 13, 2015

Cinta Lelaki Melayu



Apabila usia menjejak kemilau emas ramai lelaki Melayu hilang serinya. Benarkah cinta itu datang hanya sekali? Datangnya semasa berputik kasih dan sayang. Semasa mata bertentang mata ketika kelu lidah untuk berbicara. Hanya bahasa tubuh yang memperlihatkan adanya pancaran cinta itu. Putik bunga yang memekar wangi diandaikan  segar ke alam rumahtangga. Maka dari putik-putik cinta itu lahirnya zuriat berlapis generasi. Dari anak, cucu dan mungkin cicit bagi yang panjang usianya. Malah ada yang hingga lima generasi. Lelaki Melayu secara tradisinya sangat pasif dalam  bercinta. Walaupun cintanya kepada pasangannya telah berputik dan mekar tetapi ia tidak dilihat membelainya hingga ke akhir zaman. Ada sesuatu yang hilang dalam pandangan umum mengenai cinta lelaki Melayu. Semakin dimamah usia maka semakin hilang sinar cinta pada wajahnya. Yang tinggal berbaki hanyalah tanggungjawab, pengorbanan dan kerja keras membereskan hal-hal rumahtangga. Dilihat tiada lagi kesyahduan cintanya. Hilang seri paduan asmaranya. Barangkali tradisi dan budaya menjadikannya begitu. Diwarisi dari generasi ke satu generasi berikutnya. Walaupun trend semasa sudah banyak berubahnya namun hanya yang benar-benar melalui perubahan budaya, membuat perubahan yang membelai cinta. Lelaki Melayu tradisi masih dengan persepsi lama. Cinta diganti dengan tanggungjawab. Tanggungjawab itu pula seolah-olahnya tamat apabila pengorbanan sudah tidak diperlukan lagi. Apabila anak dan cucu dilihat sudah  boleh mengambil alih tugasnya membereskan keluarga.

Lelaki Melayu tidak seperti lelaki Barat atau lelaki di negara lain yang kasih dan sayangnya abadi hingga ke akhir hayat. Ada yang mengekalkan tradisi mengasihi pasangannya walaupun telah meninggal dunia. Membina tugu. Menatap gambarnya. Mengumpul cebisan harta bendanya menjadi sebuah muzium cinta di rumah yang usang. Yang telah sunyi dari cinta fizikal. Seperti Shah Jahan mengabadikan cintanya kepada Mumtaz dengan membina Taj Mahal. Ada juga yang menerbitkan memoir cinta abadi mereka. Agus Salim di Indonesia semasa hayatnya tidak lekang berpimpin tangan dengan isterinya walaupun mereka sangat lanjut usianya. Berapa ramai lelaki Melayu yang dapat berbuat begitu. Tentunya sangat sedikit dan boleh dibilang dengan jari. Ada sesuatu yang agak luar biasa tentang pasangan Melayu dan Islam. Mereka enggan menunjukkan kasih sayang di hadapan publik. Malu dan sangat malu menunjukkan realiti. Kepada mereka kasih sayang tidak perlu dipertontonkan kepada orang lain. Ironisnya ramai lelaki Melayu mempamerkan kasih sayang yang luar biasa kepada pasangan cintanya yang belum sah bersuami isteri. Yang belum halal. Yang belum lagi menjadi mahram. Di jalanan mereka pastinya berpegangan tangan. Terlalu romantik. Seperti sudah menjadi kebiasaan yang tiada apa-apa. Malangnya apabila mereka menjadi sah bersuami isteri pegangan tangan itu terungkai. Malu dilihat orang! Kerbersamaan yang seperti terpaksa.

Apakah ada halangan agama menjadikan segalanya dibataskan tanpa kecuali. Mungkin di khalayak umum kasih dan cinta itu dibatasi malu dan adab sopan tetapi di belakang khalayak sifat itu terbawa-bawa. Bicaranya terbatas kepada yang perlu. Tugasnya menyediakan bahan makanan dan ubatan. Atau mungkin pakaian. Senyuman angat mahal. Tawa juga seperti sengal rahang di mulut. Gerakgerinya seperlu yang dituntut sahaja. Benarkah halangan sosial membatasi kasih sayang. Mungkin ada suara-suara yang laser. Sudah lanjut usia tidak sedarkan diri. Berlagak seperti tidak pernah tua. Kerana itu lelaki Melayu membiasakan diri sebagai lelaki Melayu. Layu kasihnya. Layu sayangnya. Layu layanannya. Layu ambil tahunya. Dekatnya ketika perlu. Jauhnya diselalu-selalukan. Bicaranya hanya pada waktu-waktu. Segalanya layu bersama lanjutnya usia.

Tidak ramai yang tahu. Tidak ramai yang maklum hati budi seorang isteri yang dimamah usia. Perasaan halusnya yang terpendam. Yang tertekan dalam gundah lama. Hasrat bersama yang selalu tertunda. Menunggu belai dan usap. Sentuh dan picit. Apakah kulit berkedut sudah tiada lagi naluri cinta dan sayang. Apakah keuzuran hanya layak untuk diabaikan. Layunya gemala hati kerana terlalu lama hilang sentuhan indah sewaktu dahulu. Sewaktu sama-sama segalanya sangat indah. Malam yang penuh gemerlapan bintang. Purnama yang penuh menerangi hati. Hari-hari yang berlalu dengan insutan manja waktu. Sampai masanya kesemua itu hilang jua. Pudar bak warna dimamah mentari. Layu bak bunga yang gugur dari tampuknya. Masa telah berlalu. Hanya pasrah seorang isteri Melayu. Namun begitu senerio ini merentas juga budaya, etnik dan bangsa. Ramai beranggapan cinta dan kasih sayang hanya layak untuk yang muda. Yang lanjut usia hanya layak untuk melihat. Menonton adegan-adegannya yang pernah dilalui sewaktu masa dahulu.

Barangkali yang muda seeloknya mengambil iktibar. Belajar dari pengalaman orang tua. Bahawa budaya boleh diubah seperlunya. Kasih sayang perlu ditambah nilai setiap fasa kehidupan. Yang tua ialah usia. Tetapi hati tetap segar muda jika dibelai mesra. Jika dibaja dengan kasih sayang yang berpanjangan. Lelaki Melayu perlu banyak lagi belajarnya. Mengambil lagi ilmu baru yang tiada dalam kamus hati lelaki Melayu sebelumnya. Hidup yang panjang diperhias dengan keindahan taman-taman kasih yang baru. Yang menghidup segar jiwa tua yang dihalang untuk layu. Sewaktu bersendirian dahulu seorang lelaki perlukan Hawa di sisinya. Hawa itu kembali di sisinya sewaktu tuanya. Kekal abadi semasa hayatnya. Yang diperlukan ialah kesedaran bahawa Adam dan Hawa tidak pernah berpisah semasa hayat dan wafatnya. Kerana itu tiada sesalnya bersama hingga akhir hayat selagi kudrat rasa cinta itu kekal ada. Ia tidak perlu hilang kecuali disengajakan. Tidak perlu ketandusan kasih sayang kecuali memaksa diri berbuat demikian.


Persepsi lelaki Melayu inilah yang perlu diubah. Diberi nafas baru. Diperindahkan dengan hiasan cinta dan kasih sayang pasangan lanjut usia. Kemilau emas tempawannya memancar menyilau anak cucu. Jadi suri teladan yang berpanjangan. Semoga kesinambungannya bersama anak cucu yang terkemudian. Sejarah cinta dan kasih sayang yang diulang-ulang indah sepanjang zaman. Cerita realiti kehidupan seperti dongengan purba. Dipanjangkan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Tanpa keindahan berumahtangga seperti itu sejarah keindahannya luput ditelan zaman yang berganti silamnya. Seandainya waktu lama lagi bergantinya biarlah cinta dan kasih sayang lelaki Melayu memanjang deretan cerita indah. Memagari bulan dan bintang yang terus-menerus bergemerlapan. Kekurangan semakin banyak. Kudrat dan pancaindera terhakis kerana usia. Namun di sebalik itu semua keindahan abadi masih utuh adanya.

Saturday, April 11, 2015

Menyesuaikan Diri Semakin Payah



Apabila usia menganjak banyak berlaku hal-hal yang sukar difahami oleh mereka yang muda. Paling ketara ialah kesukaran menyesuaikan diri dengan keadaan.
1                    Mungkin kerana budaya yang mencengkam sehingga sukar untuk berubah.
2                    Mungkin pendidikan yang tidak mencapai tahap berfikiran aras tinggi.
3                    Mungkin kerana usia yang sudah melampaui mudahnya menyesuaikan diri.
4                    Mungkin penyesuaian diri bukan agenda diri.
5                    Mungkin faktor iklim dan cuaca antara lokasi berbeza.

Kadang-kadang kita rasa sangat berbeza apabila usia berganjak banyak. Semakin kita bertambah usia semakin sukar menyesuaikan diri. Banyak yang perlu dipelajari semula. Payah pula untuk mempelajarinya.

1                    Usia tidak banyak membantu menyesuai diri.
2                    Pengalaman tidak dapat banyak membantu.
3                    Tempat dan suasana juga tidak membantu.

Berada di luar negara memberikan impak yang sukar pada diri. Banyak yang diambil dari pengalaman di negara orang. Sewaktu kembali dari USA pada tahun 1986 dahulu penulis merasakan bahawa Malaysia lebih panas dari biasa. Kebetulan penulis kembali pada akhir musim bunga. Begitu juga sekembali dari Canada pada tahun 1990 dahulu, Malaysia terasa agak panas. Ketika itu penulis kembali pada musim luruh. Setelah kembali dari menunaikan ibadah haji pada tahun 1999 terasa pula Malaysia lebih panas dari Arab Saudi. Kebetulam ketika itu musim bunga. Sekarang penulis sudah lebih dua minggu berada di Malaysia.  Kembali dari Mesir yang sekarang sedang bermusim bunga. Ternyata suhu di tanahair tercinta ini sangat mencabar diri. Panasnya meruap. Berpeluh selalu. Sekali pakaian dipakai maka perlu diganti kerana peluh. Setiap hari banyak berganti pakaian. Yang merisaukan ialah diri ini sukar menyesuaikan diri. Jika dahulu proses menyesuaikan diri sangat pantas tetapi kini ianya perlukan jangkamasa yang lebih panjang. Lebih lama. Lebih sukar. Sepertinya ada yang menghalang dari berlakunya penyesuaian diri kepada iklim dan cuaca yang dahulunya adalah lumrah.

Di Kaherah dahulu ramai teman-teman dari Asia Tengah seperti Karzakhstan, Kirgyzistan, Turki dan sebagainya tidak percaya bahawa di Malaysia tidak ada peredaran musim. Mereka terkejut kerana kita tidak mengalami musim dingin yang bersalji. Mereka tidak memahami bahawa kita hanya hanya ada dua musim yang pasti iaitu musim panas dan hujan. Panasnya melekit dan merimaskan. Hujannya mungkin mengakibatkan banjir. Tetapi itu adalah hakikat. Itulah hakikat kita di negara tercinta ini. Diri ini agaknya  yang merasa kesukaran untuk menyesuaikan diri. Semakin lambat prosesnya. Sewaktu ke Canada dahulu penulis mengambil masa tiga hari sahaja untuk menghilangkan jet-lag dan time-lag. Namun kali ini penulis mengambil masa yang agak lama. Kaherah enam jam lebih lewat. Kembali ke Malaysia kehilangan pula satu hari. Bumi berputar dan berputar. Pada hari Sabtu pertama jam dan telefon masih lagi menunjukkan hari Jumaat. Tertinggal satu hari. Perbezaan-perbezaan demi perbezaan sejak kembali dari Kaherah.
1                    Amalan agama yang berbeza.
2                    Implikasi iklim dan cuaca yang berbeza.
3                    Kompliksi budaya yang berbeza.

Cuaca panas semakin dipanaskan dengan suasana ekonomi dan politik yang sentisa berkocak. Kejutan demi kejutan. Pelaksanaan GST bukan sesuatu yang ganjil dalam mana-mana ekonomi tetapi maaflah hanya di Malaysia sahaja yang ianya kelam-kabut. Lebih setahun diumumkan tetapi sistemnya seperti tidak dibina. Orang tidak tahu landasanya. Tidak tahu prosesnya. Selama ini yang ada hanya pencerahan yang tidak begitu cerah. Apabila dilaksanakan semuanya seperti menepati ramalan. Peniaga tidak tahu. Mereka borong sahaja. Kesemua barangan dikenakan GST. Pengguna tidak tahu. Mereka bayar sahaja kerana beranbggapan kesemua barangan dikenakan GST. Yang nyatanya:

1                    Kesemua barangan lebih mahal daripada biasa.
2                    Tidak ada peniaga yang memberikan diskaun. Sebelum GST peruncit biasa masih bersedia menawarkan diskaun. Sekarang semua harga dianggap tetap.
3                    Rakyat bawahan terasa beban harga yang meningkat dan terus meningkat.

Penulis kepayahan untuk menyesuaikan diri dengan cuaca tetapi terasa sangat payah dengan keadaan ekonomi seperti sekarang. Peniaga di Malaysia adalah spesis yang kehilangan usaha untuk mengurangkan kos. Kerajaan dan pemimpin tidak dapat turun ke bawah dan memahami keadaan. Pembangunan tidak boleh hanya dengan menaikkan cukai sahaja. Pakar ekonomi selalu berhujjah bahawa produktiviti boleh menjana pembangunan. Maknanya sesuatu mestilah dilakukan untuk menjananya. Setiap kos memberikan pulangan. Setiap pulangan pula selari dengan produktiviti. Tidak ada yang percuma dalam ekonomi. Udara yang dianggap percuma kita bayar melalui pencemaran. Terlalu banyak yang percuma hanya mempercepatkan ketirisan khazanah negara. Negara tidak boleh dibangun dengan sesuatu yang tidak produktif. Subsidi adalah sesuatu yang positif untuk membantu rakyat bwahan. Memang golongan kaya juga memikmatinya. Sewajarnya kita tidak iri kepada orang kaya. Golongan berada. Banyak kewajaran bahawa mereka juga perlu menikmati subsidi itu.

1                    Golongan berada membayar berbagai cukai khususnya cukai pendapatan. Wajarlah mereka menikmati subsidi seperti rakyat lain yang tidak membayar cukai pendapatan. Untuk menikmati subsidi golongan berada telah membayarnya. Golongan bawahan percuma 100% tanpa membayar cukai pendapatan.
2                    Mereka menggerakkan ekonomi. Memiliki kilang, perusahaan dan syarikat-syarikat besar. Mereka membayar cukai keuntungan. Kerana itu apa salahnya mereka menerima subsidi seperti orang lain.
3                    Mereka tidak menyusahkan kerajaan. Tidak juga menyusahkan golongan bawahan. Malah mereka memberi peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan.
4                    Ramai antara mereka membayar kos perubatan, insuran kenderaan, cukai jalan, penggunaan elektrik dan air yang banyak, penggunaan alat komuniksi yang banyak dan banyak lagi.


Sumbanan golongan berada kepada negara adalah banyak. Maka subsidi yang ingin mereka kongsi seperti orang lain sangat sedikit berbanding dengan sumbangan mereka. Perlukan golongan berada didera hanya kerana mereka berada. Lebih malang rasanya ialah pegawai-pegawai kerajaan yang juga membayar cukai tetapi tidak menikmati subsidi. Jika kita mengenakan GST maka sewajarnya negara mengembalikan apa yang disumbangkan oleh rakyat sama ada secara langsung atau tidak secara langsung. Kebajikan rakyat diutamakan seperti di negara-negara lain yang mengenakan GST. Kebajikan rakyat sentiasa menjadi agenda utama. Rakyat yang terbela adalah rakyat yang bahagia. Setia dan hatinya tenang berhadapan dengan cabaran.