Tuesday, January 22, 2013

Salam Dari Jordan: Lain Padangnya

Mungkin ramai berasa hairan kenapa saya tidak mandi berhari-hari. Bukan saya sahaja. Orang-orang di hemispiar utara dan selatan sama sahaja. Bila winter mereka tidak mandi kecuali mandi wajib. Bagi orang di kawasan Khatulistiwa seperti Malaysia hal sebegitu tentu tidak masuh akal. Banyak soalan bermain di kepala. Tidak berpeluh ke. Tidak berbau ke pakaian. Tidak berbau ke tubuh badan. Tidak ke, tidak ke. Terlalu banyak soalan. Siapa hendak menjawab. Orang yang mengalaminya tidak bercerita. Orang yang tidak mengalaminya tidak terlintas untuk bertanya. Atau ditanya tetapi jawapannya tiada. Atau tidak memuaskan. Maka soalan-soalan itu tergantung bertahun-tahun. Kesempatan membaca blog ini barangkali ada jawapan yang boleh diterima menasabahnya.
Di negara seperti Jordan winter bukan sahaja sejuk. Geografinya memberikan petunjuk bahawa udara di sini (begitu juga yang lebih utara dan selatan khatulistiwa) kering. Maksudnya tiada kelembapan. Ada tetapi terlalu sedikit. Hatta dalam musim panas sekalipun udara tetap kering. Ini  bermakna pergerakan kita jarang menyebabkan kita berpeluh. Hanya mereka yang melakukan senaman lasak sahaja yang berjaya mengeluarkan peluh. Suhu terlalu rendah berbanding di Malaysia. Udara yang keluar dari mulut menjadi wap. Berkepul-kepul keluarnya. Kerana itu peluh tidak sempat keluar. Kulit terlalu kering untuk membenarkan peluh keluar darinya. Badan sentiasa kering, tiada minyak dan tiada bau.
Suhu rendah dan angin kedua-duanya menjadikan kulit terlalu kering. Sebab itu orang di negara beriklim sederhana texture kulit mereka tidak sehalus kulit kita di negara panas. Memang pigment kulit mereka cantik. Putih melepak. Namun udara kering menjadikan kulit mereka kasar, menggerutu dan keras. Mandi bukan menyelesaikan masalah kulit. Orang Malaysia mandi berkali-kali. Pagi, tengahari, petang dan mungkin malam. Peluh, rimas, panas dan kulit berminyak. Sebut apa sahaja jika tidak mandi ramai orang yang bising. Terlalu ramai orang yang risau jika kita tidak mandi. Badan tidak segar. Lemah longlai. Seorang profesional dari barat kagum dengan orang Islam yang wuduk lima kali sehari sebelum solat. Kajiannya menunjukkan bahawa muka, tangan dan kaki adalah anggota tubuh badan yang sarafnya sangat sensitif dengan air mutlaq. Air menyegarkan saraf-saraf tersebut.
Allah memaklumkan di dalam al-Aquran bahawa Muslim yang berwuduk lima kali sehari bersih tubuh badannya. Analoginya seperti orang mandi. Namun begitu persekitaran diambilkira dalam menentukan banyak perkara. Sekadar contoh, pengikut mazhab Hambali wajib mandi sebelum pergi solat Jumuah (Jumaat di Malaysia) di masjid. Mereka tidak mandi seeprti kita kerana iklim yang sejuk atau kerana air adalah sumber yang nadir. Langka. Scarce.  Jika tidak mandi, jemaah yang lain tentulah sesak nafas kerana bau badan dan bau pakaian. Itu juga sebabnya memakai bau-bauan dikira sunat dan sunnah. Orang seperti kita mandi sebelum solat Jumuah hanya sunat sahaja. Kita kerap mandi kerana banyak air. Alhamdulillah. Ruksyah itu hadiah Allah. Ada banyak kemudahan yang Allah beri dalam keadaan yang berlainan tetapi memerlukan.
Berada di tempat yang berlainan di muka bumi ini banyak mengajar kita untuk memahami situasi. Kita tidak boleh mengatakan bahawa semua kelainan itu menyusahkan. Allah yang mencipta kesemuanya. Tentulah ada kebaikan yang perlu kita maklumi sebagai hamba Allah. Negara kita mungkin yang terbaik pada pendapat kita. Namun ada hal-hal yang kita tidak ada. Allah tidak menganugerahkannya kepada kita. Walaupun winter adalah sejuk, ada nikmat sebaliknya. Kita menghargai panas yang datang. Salji sejuk tetapi nikmat memandang, memegang dan bermain dengannya. Sejuk. Memang sejuk. Tetapi mereka yang dianugerahkan salji tidak pernah merungut. Malah ramai yang menanti bila turunnya. Mengambil menfaat kerananya. Malah salji dimanfaatkan untuk berbagai jenis sukan hatta ke Sukan Olimpik.
Di Amman Jordan ini saya berkampung dalam suasana yang sangat berlainan dari Malaysia. Hidup baru memang berputar berkali-kali. Masih ada keseronokan yang ada di sekeliling saya. Yang penting sihat walafiat. Boleh buat semua yang dihajat. Boleh belajar dalam suasana yang tidak pernah difikir. Pengalaman dahulu sahaja yang menjadi pedoman bahawa sejuk ini bukan selamanya. Musim bunga hanya beberapa bulan sahaja lagi. Panas masih terik pada waktu siang. Malam ini jam 7.00 agak sejuk sedikit. InsyaAllah pada pukul 8.00 selepas Isya’ nanti ada kelas tajwid di rumah saya. Semuanya Allah yang atur. Manusia diberi ilham dan fikiran untuk melakukan yang terbaik. Berniaga dengan Allah tidak akan pernah ruginya. Carilah ayat al-Quran mengenainya. ﺗﺠﺎﺭﺕ ﻟﻦ ﺗﺒﻮﺭ.

Salam dari Amman Jordan: Jihad Mencari Redha Allah


Bila kita berkehendak susah bukan masalah. Jauh bukan isu. Mahal bukan tidak upaya. Kita banyak pilihan. Pilihan yang tidak terbilang banyaknya. Apa yang kita pilih bergantung siapa kita. Ke mana kita hendak pergi. Objektif kita. Apa sumbangan yang hendak kita lebarkan kepada orang-orang di sekeliling kita. Akhirnya kita zoomkan kepada dua pilihan terakhir. Dunia atau akhirat. Kedua-duanya perlu sebab dari dunia kita ke akhirat. Tidak mungkin sebaliknya kecuali Adam dan Hawa sahaja. Di persimpangan inilah saya selalu melihat kerisauan membuat keputusan. Ke mana antara keduanya. Akhirat yang jauh. Atau dunia yang semakin tertinggal. Di Amman Jordan saya melihat keinsafan di hadapan mata.
Mereka yang belajar Bahasa Arab datang dari seluruh dunia. Di Universiti Zarqa’ terhimpun anak-anak muda dari Poland, Denmark, Albania, Cina dan Filifina. Mungkin ramai lagi yang tidak saya ketahui. Paling ramai dari Malaysia. Ramai yang datang atas inisiatif sendiri. Simpan wang secukupnya. Cuti tanpa gaji semata-mata ingin menguasai Bahasa Arab. Seorang anak muda dari Pulau Pinang baru sahaja tamat peperiksaan STAM. Bekerja beberapa bulan. Kumpul wang lalau terbang ke Jordan. Walaupun ramai yang dihantar oleh ibu bapa namun yang belajar Bahasa Arab ramai atas daya sendiri. Belanja sendiri. Buang semua yang di samping untuk mengejar yang lebih utama.
Memilih Jordan sebagai tumpuan bukan pula mudah. Bukan suatu keputusan yang santai. Pertamanya JD (Jordanian Dinar) lebih mahal dari RM. Malah lebih mahal dari USD. Keduanya jauh. Ketiganya empat musim di sini amat mencabar. Apabila bahang panas orang boleh berlindung. Tetapi sejuk mencengkam tulang. Bagi mereka yang pernah belajar di luar negara, tidak ada yang served on a silver platter. Usaha yang dijalankan sangat mencabar kesabaran. Kecekalan. Keinsafan. Peserta dari Poland datang sendiri. Isterinya masih di Britain. Dijangka sampai minggu ini. Keduanya Muslim. Mencari kehidupan baru yang diredhai Allah. Namanya Michael. Yang keduanya Syuaib dari Albania. Muda lagi. Baru menikah. Isterinya ditinggalkan di Albania kerana masih belajar di sekolah menengah. Syuib ingin menguasai Bahasa Arab, hafiz al-Quran dan ingin belajar di Madinah al-Munawarrah. Yang dari Filifina bernama Mona Lisa. Baru dua bulan menjadi Islam. Orang di sini menjaganya kerana statusnya.
Seorang lagi Amatullah. Cantik namanya secantik orangnya. Dari Denmark. Suaminya orang Palestin. Sudah tiga orang anaknya. Tiga orang lagi pelajar Islam dari negara Cina. Sudah belajar Bahasa Arab dipondok di Cina. Ingin mendalami lagi Bahasa Arab. Terdapat dua orang adik beradik dari Singapura. Antara beberapa ramai itu ada tiga pasangan keluarga. Dari Selangor dua pasangan. Seorang lagi meninggalkan kerja, suami dan anak-anak untuk mengejar cita-cita menguasai Bahasa Arab. Dari Ipoh. Latar belakang berbagai tetapi matlamat hanya satu. Ingin menguasai Bahasa Arab. Faseh  bercakap. Boleh membaca. Boleh mengarang dan menulis. Mungkin boleh berhujjah, berbantah dan berbahas.   
Kesemua yang datang memiliki ciri-ciri yang unik. Dari manapun mereka datang, mereka memegang kunci     لاإله إلاٱللّه  محمد رسول ٱللّه .  Saudara seagama.  Saudara seagama hingga ke akhirat. Apa yang saya perhatikan sangat mengesahkan pendapat saya. Kesemua saudara islam ini yang datangnya dari seluruh pelosok dunia memiliki akhlak yang mulia. Mereka lemah lembut. Bersopan santun. Jika bercakap beradab. Kadang-kadang di tanahair ramai yang sudah hilang jati diri Islamiahnya. Menghormati orang lain semakin terhakis. Di sini, di Amman, Jordan ini Muslim mempamerkan jatidiri Muslim. Menafikan bahawa Muslim adalah ganas.  Militen. Fundamentalis. Bahawa Muslim adalah mereka yang membela agama.
Terfana juga memikirkan di tanahair ramai bakal pewaris negara sibuk dengan hedonism. Yang ramai tenggelam dengan hiburan. Semua ingin menjadi selebriti dalam dunia yang kabur.  Jarang yang ingin menjadi selebriti akhirat. Yang namanya ditinggalkan harum semerbak sebagai contoh teladan. Barakahnya dinanti. Ditunggu kahadirannya kerana kehebatan aura agamanya. Di Amman Jordan ini saya melihat sendiri jihad yang tinggi anak-anak muda dari seluruh pelosok dunia menghadirkan diri untuk mencari redha Allah. Berpijak di bumi anbia. Banyak titisan darah sahabat, tabi’ien dan tabi’ tabi’ien. Itu belum lagi terjahan Sallahuddin al-Ayubi yang mengusir Richard the Lion Heart. Sallahuddin yang mengembalikan maruah Islam di bumi Palestin.
Ayuh. Kita kembalilah kepada fitrah bahawa kita semua akan kembali kepada Allah. Tiada siapa yang terkecuali. Sampai masanya Izrail datang. Roh kita pasti dipersembahkan kepada Allah Rab al-Jalil. Di hari pembalasan semua akaun kehidupan kita diaudit. Tanpa kecuali. Tanpa ada pilihan lain. Ambillah dunia tetapi bukan mati kerana dunia. InsyaAllah bertemu lagi.